Jumlah Pelawat

Wednesday, November 17, 2010

Konsep Pemisahan Kuasa dan Aliran Demokrasi di Malaysia



Sudah agak lama Che Wan tidak mengemas kini info-info terbaru dalam wadah Nukilan Sebuah Perspektif ini. Baru-baru ini dunia mendapat satu berita gembira dimana pejuang demokrasi yang juga pemenang nobel keamanan iaitu Aung San Suu Kyi telah dibebaskan daripada tahanan rumah selama hampir 15 tahun yang dilakukan oleh pihak junta. Ternyata sinar demokrasi semakin menampakkan hasil di Myanmar walaupun Suu Kyi terpaksa mengorbankan sebegitu banyak masanya demi keadilan. Kali ini Che Wan ingin berkongsi sedikit pandangan tentang konsep pemisahan kuasa (separation of powers) dan hubungannya dengan perinsip-perinsip demokrasi didalam konteks negara kita sendiri iaitu Malaysia. Apakah faktor-faktor yang membuatkan sesebuah negara itu diketegorikan sebagai demokrasi? Dan bagaimanakah sesebuah sistem pemerintahan itu berfungsi agar perinsip demokrasi sesebuah negara itu dapat ditegakkan? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui apakah maksud sebenar konsep pemisahan kuasa itu sendiri dan apakah hubungannya dengan demokrasi.

Menurut A. C. Kapur (1950) dalam bukunya yang bertajuk Principles of Political Science, beliau mendefinasikan pemisahan kuasa sebagai “distribution of power functionally into Legislature, Judiciary and Executive body”. Oleh yang demikian, ianya membawa maksud bahawa konsep pemisahan kuasa ini membahagi peranan kerajaan kepada tiga badan utama iaitu Perundangan, Kehakiman dan juga Eksekutif. Ini perlu dilakukan bagi mewujudkan suasana dimana periksa dan imbang (check and balance) berlaku. “Check and balance” ini akan memastikan bahawa setiap badan-badan tadi akan menjalankan tugas mereka tanpa korupsi dan juga menghalang mereka dari mengunakan kuasa yang melampaui batasan.

Berpandukan kepada pengertian itu tadi, bolehlah disimpulkan bahawa apa yang diperaktikkan di Malaysia tidaklah menunjukkan bahawasanya negara ini mengamalkan sistem demokrasi yang sejati. Ini terjadi kerana, sudah menjadi lumrah parti yang berkuasa (setelah menang pilihanraya) menguasai dua fungsi utama kerajaan iaitu badan eksekutif dan juga perundangan. Ini bermaksud, individu yang dipilih sebagai ahli dewan rakyat boleh juga memegang jawatan di dalam kabinet kerajaan melalui kementerian-kementerian yang ditubuhkan. Pabila seorang individu dibolehkan memegang dua peranan di dalam sistem pemerintahan, ini akan memungkinkan mereka melakukan salah guna kuasa. Sebagai contoh, ahli dewan rakyat boleh mengemukakan sesuatu cadangan yang dapat memberi faedah terhadap kementerian yang diterajui olehnya.

Selain itu juga, berpandukan sejarah dan konflik-konflik yang telah berlaku pada sistem pemerintahan di negara ini, ianya memberi suatu fakta jelas dan sahih yang mengukuhkan lagi pendapat bahawa negara Malaysia bukanlah sebuah negara yang sepenuhnya mengamalkan elemen demokrasi di dalam aspek pemerintahanya. Salah satu peristiwa besar yang mencalarkan imej demokrasi di Malaysia adalah rentetan peristiwa pemecatan Ketua Hakim Negara pada tahun 1987. Diatas sebab-sebab politik pada ketika itu, Perdana Menteri telah memecat Tun Muhamad Salleh Abbas selaku Ketua Hakim Negara kerana badan kehakiman mengangkat keadilan secara telus pada waktu itu. Disebabkan keadilan telah diangkat selayaknya, keputusan mahkamah tidak menyebelahi beliau untuk mengekal survivalnya di dalam parti UMNO yang berlaku perebutan kuasa antara beliau dan juga Tunku Razaleigh Hamzah. Pada ketika itu, Tun Dr. Mahthir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia memecat Tun Salleh Abbas dan kemudiannya digantikan oleh Tun Abdul Hamid Omar yang dipilih olehnya. Peristiwa ini membuktikan bahawa badan-badan kerajaan di Malaysia tidak mengamalkan konsep pemisahan kuasa (berpandukan demokrasi) yang membolehkan mereka dengan mudahnya mencampuri urusan sesuatu badan yang lain.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Economist Intelligence Unit Index of Democracy pada tahun 2008, dengan menilai lima kategori utama iaitu proses pilihanraya, kedaulatan hak, fungsi kerajaan, penyertaan dalam politik, dan juga budaya politik, negara Malaysia menduduki tempat ke 68 daripada 167 negara yang disenaraikan. Menurut kajian itu juga, Malaysia dikategorikan sebagai negara yang cacat demokrasinya (flawed democracy) dengan mengumpul indek sebanyak 6.36. Sesunguhnya ranking Malaysia ini amat memalukan jika dibandingkan dengan negara-negara mundur lain seperti Papua New Guinea (61) dan Botswana (39). Negara yang sentiasa mengalami konflik pertumpahan darah juga lebih tinggi ranking demokrasinya berbanding Malaysia seperti negara Thailand (54), India (35). China pula seperti yang kita ketahui sebagai sebuah negara komunis juga berada lebih jauh kehadapan dari Malaysia iaitu di tempat yang ke-33.

Kesimpulannya, rakyat negara ini perlu mengetahui hakikat dan fakta bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara pengamal demokrasi yang sebenar. Untuk mencapai Wawasan 2020, ada digariskan cabaran untuk mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun. Jika sistem pemerintahan masih lagi goyah dimana elemen-elemen demokrasi tidak dapat diangkat selayaknya, Che Wan beranggapan agak sukar untuk kita mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai mentaliti matang dan berfikiran terbuka yang dapat memberi kritikan secara membina kepada kerajaan. Jika cabaran ini gagal untuk diatasi, bagaimanakah kita ingin mewujudkan sebuah negara maju dan demokrasi yang mendukung freedom of speech?

***Che Wan teringat ketika demostrasi secara aman pun disembur gas pemedih mata..

Sunday, October 24, 2010

Melayu pada nama


Hari ini aku menangis.,

Mengenangkan nasib Jebat yang gugur ditangan saudaranya sendiri.,

Di manakah hendak dicari ganti keberanian seorang perwira menentang kekejaman sang raja.,

Mentari sore tenggelam umpama darah merah Jebat yang terpercik sedikit dibahu Tuah.,

Tuntut bela yang dizahirkan akhirnya kembali berpatah balik kepada rusuk kirinya.,

Lantas, tubuh separuh kaku gugur menyembah sebelah kaki Tuah.,

Kasihan dikau Jebat, Raja bongkak yang engkau tentangi daulatnya masih dijunjung rapi.,

Tujuh petala langit berpetir menandakan lerainya keutuhan lima bersaudara.,

Akhirnya ghaib…ghaib kekuatan Melaka, ghaib perkasa Taming Sari dan ghaib jualah Tuah.,

Hanya yang tinggal…melayu pada nama…

Sunday, October 17, 2010

Idea gila + kesungguhan = kejayaan?


Asalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung blog Che Wan. Kali ini Che Wan cuba untuk mengupas tajuk yang jauh dari menyentuh senario-senario politik tanah air. Apa yang ingin Che Wan kongsikan adalah sedikit pandangan tentang rahsia disebalik kejayaan tokoh-tokoh hebat. Sedar atau tidak, majoriti tokoh-tokoh yang hebat ini menempa kejayaan kerana mereka berani untuk menzahirkan sebuah idea yang gila atau “unrealistic”. Mereka ini mampu menukar sebuah idea gila dan unrealistic itu tadi kepada satu bentuk kejayaan yang amatlah luarbiasa pada akhirnya. Setelah Che Wan membuat sedikit penelitian terhadap latar belakang tokoh-tokoh terbilang, Che Wan dapat menyimpulkan bahawa mereka yang berjaya ini berkongsi sifat yang sama iaitu berani mencuba sesuatu idea yang boleh diklasifikasikan sebagai“gila”.

Tahukah anda bahawa Kolonel Sanders iaitu pengasas francais ayam goreng Kentucky Fried Chicken (KFC) pada mulanya mempunyai satu idea “gila” yang mana beliau mahu menjual resepi ayam goreng turun temurun keluarganya? Diawal kemunculan resepi ayam goreng Kolonel Sanders tidaklah begitu memberangsangkan. Mana mungkin ada orang yang terpikat akan rasa ayam goreng yang direka oleh beliau kerana kebanyakan restoran-restoran pada waktu itu boleh saja mereka resepi ayam goreng mereka sendiri. Namun, Kolonel Sanders tetap juga tidak berputus asa serta terus memperkenalkan resepi ayam goreng beliau di restoran-restoran yang lain kerana beliau yakin bahawa resepi ayam gorengnya mempunyai keunikannya yang tersendiri. Setelah beratus-ratus restoran telah beliau pergi dan memperkenalkan resepi ayam goreng beliau, beliau masih lagi gagal untuk menjualnya. Namun, segalanya berubah pada tahun 1940 apabila seorang pemilik restoran di daerah Kentucky bersetuju untuk membeli resepi ayam goreng beliau. Disinilah menjadi titik tolak kepada kejayaan beliau. Sejak daripada itulah, resepi ayam goreng beliau diminati ramai. Perniagaan ayam goreng beliau maju lalu menjadi terkenal diseluruh dunia sehingga pada hari ini.

Melihat kepada cerita Kolonel Sanders itu tadi, ini membuktikan bahawa idea yang dipandang buruk pada mulanya boleh menjadi satu kejayaan yang besar jika seseorang itu tidak berputus asa untuk menjayakannya. Mendiang Lim Goh Tong (pengasas Genting Berhad) pernah berkata seperti berikut:- When I decided to develop Genting about 38 years ago, there were also people who said I was mad and doomed to failure. But I went on to build it up steadily into an internationally renowned holiday resort. As for the cruise industry, isn’t Miami a success story? If the Westerners can do it, so can we Asians”. Lim Goh Tong adalah seorang migran yang miskin dari negara China yang datang ke tanah melayu untuk mencari sedikit peluang berniaga. Dipendekkan cerita, sewaktu orang ramai berlumba-lumba meminta tanah yang pesat membangun di sekitar Kuala Lumpur pada pertengahan tahun 60-an, Lim Goh Tong pula mempunyai satu “idea gila” iaitu ingin membina pusat peranginan disebuah kawasan tanah tinggi di negeri Pahang. Kawasan tersebut yang jauh pendalaman membuatkan orang ramai mengatakan bahawa beliau seorang yang tidak waras serta mempunyai impian yang sangatlah mustahil. Namun, setelah lebih 30 tahun pusat peranginan Genting Highland beroperasi, barulah orang ramai buka mata tentang idea luarbiasa mendiang Lim Goh Tong itu tadi. Orang-orang yang mentertawakan beliau dulu, kini tertawa malu sendiri.

Jika anda menyelidiki sejarah dan kisah hidup tokoh-tokoh hebat, tidak kiralah dalam apa jua bidang sekalipun, percayalah bahawa ada suatu “idea gila” disebaliknya yang menjadikan mereka insan yang berjaya. Sebenarnya, jika anda sedari idea gila inilah dinamakan inovasi. Masalah masyarakat kita pada hari ini adalah mereka amat takut untuk mencuba idea gila dan berinovasi. Mereka lebih selesa untuk “bermain selamat” dengan mengikut saja prosedur-prosedur lama yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu kepada mereka. Selain itu pula, segala idea-idea baru yang disuarakan oleh orang lain selalu saja disangkal oleh mereka kerana ianya tidak sama seperti apa yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka. Oleh yang demikian, masyarakat kita pada hari ini lambat untuk mengejar kemajuan dan sentiasa berada ditakuk yang lama. Kejayaan memerlukan seseorang yang mempunyai pemikiran diluar kotak (outside of the box) dimana setiap buah fikiran yang dijanakan lebih memberikan kesan yang positif.

Adakah mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seseorang yang mempunyai jenis pemikiran seperti ini? jawapannya tentulah ya! Lihat saja idea-idea beliau seperti pembinaan jambatan Pulau Pinang, Putrajaya, KLCC, Litar Sepang dan sebagainya. Pada mulanya idea beliau ditentang hebat oleh orang ramai dan juga pihak pembangkang. Namun setelah idea-idea yang tidak realistik itu tadi berjaya dizahirkan, barulah orang ramai faham dan mengakui bahawa “idea gila” Tun itu tadi adalah sebuah idea yang amat hebat kerana impaknya memberi kesan yang baik kepada negara seperti meningkatkan jumlah pelancong, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan juga membantu menyemarakan aktiviti ekonomi.

Melalui kisah-kisah kejayaan tiga individu itu tadi, membuktikan bahawa kejayaan dapat dicapai akibat daripada berani untuk merialisasikan sebuah “idea gila” walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. masyarakat kita pada hari ini perlulah membuat suatu anjakan paradigma dengan membuka seluas-luasnya minda mereka agar menerima idea-idea baru walaupun kelihatan agak tidak realistik. Ini kerana, berkemungkinan idea yang tidak realistik itu tadi adalah idea yang paling hebat jika dilakukan. Sebagai pengajaran, ciptalah seberapa banyak “idea gila” yang anda mampu kerana berkemungkinan di dalam semua “idea gila” itu tadi terselit sebuah idea hebat yang akan menjadikan anda seorang tokoh kejayaan yang tidak akan dilupakan sepanjang zaman. ***jangan tertawakan orang lain jika anda tidak mahu ditertawakan…

Friday, October 8, 2010

Sepatah dari pemimpin yang luhur…

Musuhku bukan UMNO, musuhku bukan PKR, musuhku bukan MCA, musuhku bukan DAP, musuhku bukan MIC dan musuhku bukan juga PAS mahupun GERAKAN.

Pesaingku? Ya…mungkin hanya sebagai pesaingku..

Musuhku yang sebenar adalah kemiskinan petani di Jitra..

Musuhku adalah buta huruf yang melanda kaum Iban..

Musuhku adalah kejatuhan teruk ekonomi negara..

Musuhku adalah kekurangan zat kanak-kanak orang asli..

Musuhku adalah kesusahan warga emas..

Musuhku juga adalah kelinciran pentadbiran yang amat mendukacitakan...

Dapatkah pemimpin luhur berjuang mematikan musuhnya..?

***Che Wan masih mencari-cari siapakah gerangan pemimpin yang luhur

Tuesday, September 7, 2010

Pabila Malaysia ingin di ganyang..


Pada ruangan kali ini Che Wan terpanggil untuk berkongsi sedikit pandangan tentang isu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini iaitu tentang isu ganyang Malaysia. Ungkap kata perkataan “ganyang Malaysia” ini terlahir sewaktu pemerintahan Presiden Sukarno dimana pada ketika itu Indonesia melancarkan konfrontasi terhadap pembentukan Malaysia kerana mereka beranggapan sebahagian wilayah negeri Sarawak adalah milik mereka. Setelah isu ini selesai dan selepas tampuk pemerintahan bertukar kepada Presiden Suharto, secara keseluruhan hubungan Malaysia-Indonesia kearah yang lebih positif dan hubungan tersebut boleh diibaratkan seperti hubungan abang-adik yang sangat erat terjalin. Namun demikian, hubungan jernih diantara dua belah pihak kembali bergoncang setelah berlaku sedikit salah faham dimana penguatkuasa maritim negara republik itu ditahan oleh Polis Diraja Malaysia kerana didakwa telah melampaui batas kedaulatan negara Malaysia.

Jika difikirkan kembali, Che Wan merasakan bahawa isu ini merupakan isu kerdil yang pada kebiasaannya dihadapi oleh mana-mana negara di dunia ini kerana ianya melibatkan sempadan perairan yang sukar untuk ditandai. Oleh yang demikian, sukar untuk pihak berkuasa kedua-dua belah pihak untuk menjalankan tugas kerana kawasan perairan tidak boleh dipagari sepertimana sempadan di daratan. Isu ini mula menjadi hangat apabila akhbar arus perdana di Indonesia memperbesarkan insiden penahanan penguatkuasa maritim tersebut agar mereka dapat melariskan penjualan akhbar mereka. Apabila ini berlaku, ianya mengakibatkan sensitiviti rakyat negara itu memuncak lantas demonstrasi-demonstrasi liar terhasil. Pertubuhan-pertubuhan yang be-orientasikan “ganyang Malaysia” seperti GERAM dan BENDERA dengan lantang mewawarkan sentimen anti-Malaysia. Tidak cukup dengan itu, aktivis-aktivis tunjuk perasaan menyapu najis manusia di Banggunan Kedutaan Malaysia di Jakarta. Selain dari itu, Jalur gemilang juga dicemari pabila ianya dipijak, diludah dan dibakar oleh golongan-golongan tunjuk perasaan tadi.

Menurut perspektif Che Wan, demonstrasi-demonstrasi jalanan ini didalangi oleh kumpulan yang berniat jahat terhadap hubungan baik Malaysia-Indonesia yang sedia terjalin. Secara faktanya, jumlah rakyat Indonesia yang menyertai demonstrasi ini amatlah kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan rakyat negara itu. Memetik pada laporan akhbar Berita Harian, ahli-ahli demonstrasi ini tidak melakukan tunjuk perasaan secara sukarela akan tetapi mereka melakukan tunjuk perasaan kerana diberi upah dan imbuhan-imbuhan yang lain. Ini jelas menunjukkan bahawa ada suatu ‘tangan ghaib” yang berada dibelakang tirai menyuntik dana yang agak besar supaya hubungan dua hala Indonesia-Malaysia menjadi keruh.

Selain daripada itu, demonstrasi ganyang Malaysia ini sesungguhnya tidak wajar dilakukan kerana melalui lipatan sejarah Indonesia dan Malaysia saling memerlukan satu sama lain untuk membangun dan memajukan negara masing-masing. Sebagai contoh, Malaysia merupakan negara utama yang menawarkan peluang pekerjaan yang sebegitu banyak kepada rakyat Indonesia di dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, pengilangan, pembinaan dan perkhidmatan. Pada tahun 2009, jumlah keseluruhan warga Indonesia yang bekerja di Malaysia adalah kira-kira 1.2 juta orang (merujuk kepada Jabatan Kerja Manusia). Jumlah ini menunjukkan bahawa hubungan Malaysia-Indonesia mempunyai simbiosis yang amat erat dan sesungguhnya, isu-isu terpencil seperti salah faham ini tidak perlu diperbesarkan sehingga boleh merenggangkan hubungan kedua belah negara.

Kesimpulannya, rakyat di kedua-dua belah pihak tidak perlu finatik terhadap insiden yang terjadi kerana ianya satu permasalahan yang kecil. Kita sebagai negara berjiran perlu segera menyelesaikan masalah ini kerana ianya akan merugikan kedua-dua belah pihak. Tidak boleh tidak, Malaysia dan Indonesia perlu kembali menyemai dan membajai hubungan baik yang sedia terjalin supaya bunga keamanan akan terus berkembang mekar. Akhir sekali, ingatlah bahawa budaya, bahasa, bangsa, agama di kedua-dua negara adalah hampir sama. Jangan sesekali disebabkan masalah kecil ini hubungan baik abang-adik ini menjadi rengang dan punah.

Thursday, July 1, 2010

Politik yang perlu “disekolahkan”


Politik yang perlu disekolahkan. Agak janggal bukan tajuknya? Namun itulah isu yang Che Wan mahu ketengahkan pada ruangan kali ini. Politik. Semua manusia sedar atau tidak mengamalkan elemen politik didalam aspek kehidupan mereka sehari-hari. Tidak kiralah tua atau muda, lelaki atau perempuan, guru atau murid, ibu atau ayah, melayu atau india, waima artis sekalipun telah atau pernah mengamalkan politik didalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, si ibu mengamalkan politik apabila dia “menjanjikan” sesuatu kepada anaknya jika mendapat keputusan cemerlang didalam peperiksaan. Ahli perniagaan pula boleh dikatakan mengamalkan politik pabila mereka melakukan “pelobian” terhadap kontrak-kontrak yang dikeluarkan oleh kerajaan. Sedar atau tidak, kita sebagai manusia telah menjadi pengamal politik yang cekap biarpun seseorang itu mengatakan bahawasanya dia amat membencikan medan politik. Politik tidak boleh dipisahkan dari kehidupan manusia sepertimana bumi tidak akan lengkap tanpa kehadiran bulan di waktu malam. Politik itu baik selagimana ianya diamalkan dengan cara yang luhur serta untuk mencapai matlamat yang baik.

Namun demikian, dizaman yang penuh cabaran kini, jarang seseorang itu mengamalkan politik dengan penuh berintegriti. Lihat saja senario politik yang telah melanda tanah air pada hari ini. Pemimpin-pemimpin politik semakin ghairah mencipta retorik-retorik palsu serta memutarkan belitkan fakta hanya untuk mendapat pancingan undi dari rakyat. Ini ternyata salah. Che Wan merasakan hari ini terlalu banyak penyelewangan yang telah dilakukan oleh pemain-pemain politik di negara ini tidak kiralah apa jua parti politik sekali pun. Kita perlu kembali kepada asas politik yang bersih seperti yang telah diamalkan oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau berjuang dengan niat murni serta mempunyai agenda yang luhur demi untuk membebaskan Tanah Melayu dari cengakaman British. Entah mengapa setelah negara mencapai kemerdekaan, nilai-nilai politik yang baik di dalam diri pemimpin politik semakin terhakis. Fitnah dilakukan, korupsi dijelmakan, dan kroni dihidupkan. Ini semacam telah menjadi suatu budaya pula yang harus diamalkan oleh ahli politik jika ingin mengekalkan pengaruh dan kuasa mereka. Dengan lahirnya blog-blog yang bersifat fitnah serakah, media-media massa yang berat sebelah serta ceramah-ceramah yang memutar belitkan fakta, pemikiran rakyat telah dipesongkan. Lebih memburukkan keadaan, sesetengah ahli-ahli politik memainkan isu-isu perkauman yang bersifat sensitif agar mereka dapat menjadi juara kepada sesuatu kaum itu tadi.

Biarlah si kaum tua tadi mengamalkan budaya-budaya politik murahan seperti itu. Mereka ibarat buluh yang sukar untuk dilenturkan. Diatas kesedaran itu, “rebung” atau generasi muda pada hari ini perlu bangkit dengan cara baru supaya budaya bersih berpolitik dapat dizahirkan. Oleh yang demikian, politik perlu “disekolahkan” kembali. Golongan-golongan muda perlu diajar dengan cara yang berhemah ketika berpolitik. Mereka perlu tahu batasan-batasan ketika berpolitik dengan memberi fakta-fakta yang benar kapada rakyat. Politik pada hari ini dan masa hadapan perlu berorientasikan perkhidmatan kepada masyarakat. Parti-parti politik tidak perlu memburukkan satu sama lain untuk mendapatkan sokongan dari rakyat. Akan tetapi mereka perlu menyediakan manifesto terbaik yang dapat menjamin kesenangan rakyat dan dapat memajukan negara dengan lebih proaktif jika mereka ingin terus berkuasa.

Sehubungan dengan itu, kematangan dalam berpolitik itu amatlah penting. Sepertimana manusia perlu ke sekolah untuk menjadi insan yang lebih matang, begitu juga dengan perihal politik. Politik perlu disekolahkan kembali agar ahli-ahli politik pada masa hadapan lebih matang dan beretika ketika berpolitik. Harus diingat bahawa berpolitik itu tidak salah, kerana pemain-pemainyalah yang mencorakan sifat dan ragam didalam arena politik itu sendiri. Matlamat tidak sesekali menghalalkan cara. Fikir-fikirkan.

Friday, June 11, 2010

RMK-10: Kemana hala tuju Malaysia?

Pada 10 Jun 2010, Perdana Menteri Malaysia telah membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10(RMK-10) di Parlimen. Pada RMK-10 kali ini, tajuk atau asasnya adalah tentang “Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial”. Sejumlah RM 230 billion telah diperuntukan bagi mencapai objektif RMK-10. Antara intipati penting yang terkandung di dalam RMK-10 adalah memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara, memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena antarabangsa, mentransformasi negara ke arah pendapatan tinggi menerusi pengkhususan, dan juga menjayakan pertumbuhan diterajui oleh produktiviti dan inovasi.

Melihat dari segala perancangan yang telah dibuat, ianya bolehlah diketegorikan sebagai sebuah pelan yang baik serta dapat menyembuhkan negara ini dari masalah kemesetan ekonomi. Bagi mencapai wawasan 2020, RMK-10 kali ini adalah satu rancangan yang amat kritikal waktunya. Ini kerana, kita hanya mempunyai sepuluh tahun lagi sebelum kita mencapai tahun keramat 2020. Oleh yang demikian, RMK-10 ini merupakan penggal yang terakhir yang menentukan sama ada Malaysia dapat mencapai status negara maju atau tidak.

Seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia, Model Ekonomi Baru(MEB) menjadi teras di dalam RMK-10. Untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berpendapatan tinggi, ianya perlulah digerakkan oleh sektor swasta. Sektor swasta perlu berperanan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi. Oleh kerana itu, di dalam RMK-10 kali ini jika kita sedar, ianya lebih tertumpu kepada sektor ini seperti memberi pinjaman berisiko kepada usahawan-usahawan yang ingin bangkit semula setelah mengalami kerugian. Yang menariknya juga pada RMK-10 kali ini, keperluan modal insan juga diberi perhatian yang amat serius. Ini kerana, kerajaan sedar bahawa untuk menarik pelabur-pelabur luar untuk melabur di dalam negara ini, pasaran buruh perlulah menawarkan pekerja yang berkemahiran tinggi serta mempunyai daya saing yang tidak mudah mengalah. Kita tidak dapat bersaing lagi dengan harga pasaran buruh yang murah kerana negara-negara lain seperti India, China dan Vietnam lebih menawarkan harga buruh yang rendah.

Penulis berpendapat bahawa RMK-10 ini sebagai sempurna dan tiada cacat celanya. Namun yang menjadi persoalannya kini adalah adakah perlaksanaannya akan menjadi seperti apa yang dirancangkan? RMK yang dilaksanakan sebelum ini menunjukkan berlaku beberapa ketirisan yang menjejaskan perancangan yang telah dibuat. Kita tidak mahu Dasar Ekonomi Baru(DEB) yang terkandung dalam RMK-2 tidak dapat dicapai juga akan berlaku pada RMK-10 kali ini. Ini amatlah mengusarkan kerana kita tidak boleh lagi “bermain-main” seperti RMK terdahulu. Setiap kementerian yang terlibat secara lansung atau tidak langsung perlu bekerja dengan lebih keras. Mereka juga perlu bekerja dengan lebih berintegriti supaya perancangan ini dapat dilaksanakan dengan baik dan sampai ke akar umbi. Pekerja di dalam sektor swasta mahupun sektor kerajaan perlu meningkatkan produktiviti diri mereka supaya rancangan lima tahun ini dapat mencapai objektifnya. Turut tidak ketinggalan, setiap menteri-menteri yang terlibat didalam perlaksanaan RMK-10 ini perlu kerap turun padang supaya mereka dapat melakukan pemantauan yang lebih rapi terhadap perancangan yang dibuat.

Akhir sekali, RMK-10 adalah satu perancangan yang amat penting dan menjadi titik tolak hala tuju negara Malaysia. Diharapkan segala perancangan yang direncanakan akan dapat dizahirkan dengan jayanya kelak. Rakyat perlu menyahut setiap intipati yang telah ditetapkan seperti yang terkandung di dldalam rancangan ini. Setiap institusi dan individu termasuk pihak pembangkang perlu memberi sokongan terhadap perancangan ini agar Malaysia dapat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Thursday, June 10, 2010

Dunia yang sudah tenat


Dunia yang sudah tenat,

Manusia tidak lagi patuh pada yang Esa…

Dunia yang sudah tenat,

Si anak tidak lagi menghormati kedua orang tuanya…

Dunia yang sudah tenat,

Pasangan tidak lagi setia pada kekasihnya…

Dunia yang sudah tenat,

Si kaya semakin memijak tubuh si papa…

Dunia yang sudah tenat,

Kebatilan terus diangkat sedangkan kebenaran sering dilupa…

Dunia yang sudah tenat,

Peperangan yang merobek ada dimana-mana…

Dunia yang sudah tenat,

Musibah-musibah celaka melanda di seluruh dunia…

Dunia yang sudah tenat,

Pencemaran yang menyesakkan berleluasa dengan ghairahnya…

Dunia yang sudah tenat,

Si ibu tidak lagi mengasihi si anak kecilnya…

Dunia yang sudah tenat…..

Sedarlah manusia kepada mu yang sudah tenat,

Sebelum nafasmu sampai ke akhirnya…..

Thursday, June 3, 2010

Sinar Mavi Marmara penguat Rachel Corrie

Alkisah…..12 rakyat Malaysia telah ditahan di Ashdod iaitu di wilayah Israel. Amat memilukan apabila 12 orang rakyat Malaysia ini yang mana sedang menyertai konvoi kemanusiaan ke Gaza ditahan ketika kapal mereka Mavi Marmara berada di perairan antarabangsa dan 65 km dari Gaza. Mereka bersama ahli-ahli konvoi dari negara lain diserang oleh skuad komando negara zionis itu. Mujur tidak terkena dek peluru hidup askar-askar yahudi. Jikalau tidak, tekorbanlah mereka sepertimana ahli konvoi kemanusiaan dari Turki. Syahid menyembah bumi. Begitulah dapat digambarkan bagaimana kekejaman rejim yahudi terhadap konvoi Free Movement for Gaza yang membawa bekalan kemanusiaan seperti ubat-ubatan dan bahan-bahan binaan. Kapal laut Mavi Marmara ditawan lalu ditunda oleh pihak yahudi ke pengkalan laut mereka. Selepas pihak Israel membuat perincian terhadap kapal tersebut ternyata senjata-senjata seperti yang dituduh oleh mereka tidak ditemui. Apa yang ada? Hanyalah ubat-ubatan dan barang-barangan yang boleh membantu meringankan penderitaan yang sedang dialami oleh rakyat Palestin.

Ironinya, serangan tentera yahudi terhadap konvoi kemanusiaan ini mendapat kecaman hebat di seluruh dunia melampui sempadan agama, bangsa dan negara. Sebagai contoh, di Turki, rakyatnya membuat demonstrasi besar-besaran mengutuk tindakan di hadapan kedutaan Israel. Namun demikian perlu di ingat bahawa kesusahan yang ditangung oleh rakyat Palestin telah lama berlaku tetapi baru kini membuka mata dunia. Bayangkan bagaimana sebuah negara yahudi yang dikelilingi oleh negara-negara arab islam berani memijak dan melakukan kekejaman terhadap negara jirannya. Pertubuhan negara-negara arab iaitu Liga Arab semacam kaku terhadap kejadian ini. Peranan pertubuhan ini seperti hidup segan mati tak mahu. Tiada langsung perlaksanaan yang agresif bagi menekan negara Zionis itu.

Israel berani melakukan kekejaman kerana kita sebagai Negara islam tidak bersatu dengan jayanya. Kita masih lagi memisahkan islam melalui mazhab-mazhab dan fahaman-fahaman yang berbeza. Ketika inilah musuh-musuh islam seperti yahudi ini mengambil kesempatan. Kita tidak melihat musuh sebenar islam. Negara islam yang mempunyai kekayaan seperti Arab Saudi dan UAE seperti tutup mata terhadap apa yang berlaku terhadap saudara mereka di Palestin. Mereka lebih mementingkan kekayaan mereka seperti usahasama penjualan minyak ke negara yahudi itu. Mengapa tidak dihentikan sahaja transaksi itu? Negara-negara islam seperti Arab Saudi seolah-olah mengiktiraf pula kewujudan negara yahudi Israel.

Ketika ini “Polis Dunia” Amerika Syarikat masih lagi berdiam diri dan berpeluk tubuh walaupun jelas Israel telah melakukan kekejaman. Presiden Barack Obama masih lagi tidak memberi sebarang respon sama ada beliau menyokong perbuatan israel itu atau menentangnya. Jika negara islam seperti Iran membangunkan teknologi nuklear AS tentunya akan lantas menentangnya dan melakukan pelbagai sekatan dengan mengunakan kuasa Vetonya. Disini jelas menunjukan bahawa AS berat sebelah(double standard) dalam isu-isu keganasan ini. Ini terjadi kerana pelobi-pelobi yahudi telah dulu melobi pemimpin tertinggi dinegara Uncle Sam tersebut.

Berbalik kepada kisah kapal Mavi Marmara tadi, pihak yahudi sememangnya mempunyai niat yang jahat untuk menyekat bekalan bantuan dari sampai kepada penduduk Gaza. Diperingkat global, bermacam-macam telah dilakukan seperti persidangan, deklarasi, demonstrasi dan sebagainya tanda penentangan terhadap keganasan Israel itu. Akan tetapi, semuanya seakan kelihatan gagal kerana tiada satu pun yang dapat menyekat keganasan Israel. Tiada gunanya kita terpekik terlolong dan menghadiri persidangan berjam-jam jika tiada tindakan yang lebih agresif dapat dilakukan. Seperti kisah keperwiraan Sallehuddin Al-Ayubi menentang musuh-musuh islam dengan cara ketenteraan, negara islam juga perlu bangun bersama-sama dan membantu Palestin dari aspek militeri. Kerana ini soal kedaulatan negara Palestin. Sedikit demi sedikit Israel menjarah tanah-tanah milik Palestin.

Kini dilaporkan kapal Rachel Corrie pula melakukan misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza. Seperti kapal Mavi Marmara, kapal ini juga membawa beberapa sukarelawan dari Malaysia. Bagaimana nasib mereka nanti belum diketahui. Diharapkan apa yang terjadi kepada kapal Mavi Marmara tidak melunturkan semangat ahli-ahli sukarelawan di dalam kapal ini malah menjadi pembakar semangat bagi mereka untuk sampai ke Gaza seterusnya penyaluran bantuan dapat dilakukan. PEACE- FREE GAZA MOVEMENT**

Tuesday, June 1, 2010

Dilema ME-LAYU


Penulis tertarik dengan majalah Milenia Muslim keluaran Mei 2010. Ini kerana pada keluaran tersebut, isu yang diketengahkan adalah tentang daya usaha kerja yang kurang di kalangan masyarakat melayu. Isu tersebut pula dikupas dengan baik oleh bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada keluaran tersebut, Tun mengatakan bahawa sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, bermacam-macam cara telah di lakukan demi untuk memajukan kaum melayu. “Saya sudah memujuk, merayu, menangis dan berdoa supaya orang-orang melayu merubah sikap mereka tetapi ternyata saya telah gagal”. Begitulah ungkapan seorang tokoh yang orang ramai mungkin acap kali berpendapat telah berjaya membawa Malaysia ke mercu kejayaan. Namun, Tun sendiri merasakan bahawa beliau telah gagal. Apakah ini benar? Teruk sangatkah kaum melayu ini sehingga Tun berasa sebegitu rupa?

Mengungkap kembali sejarah lampau, bangsa melayu merupakan bangsa yang penuh dengan nilai-nilai kesopanan serta berpegang kepada adat dengan begitu utuh. Ini sememangnya tidak dinafikan, namun begitu melalui pengamatan penulis, secara keseluruhan jelas menunjukkan bahawa bangsa melayu ini menghidapi penyakit yang jelas menjadi batu sempadan untuk mereka terus maju. Melalui pandangan dan pengalaman yang telah dilalui, penulis berpendapat bahawa masyarakat melayu jelas menghidapi dua jenis penyakit ini. Pertamanya sifat dengki dan keduanya malas berusaha. Penyakit inilah yang menghalang mereka untuk menjadi lebih maju serta dapat menyaingi kaum lain. Disebabkan penyakit-penyakit inilah, kerajaan telah mencari formula terbaik bagi menjadi penawar yang mujarab seterusnya dapat mengeluarkan masyarakat melayu dari permasalahan ini. Oleh yang demikian, kerajaan telah melancarkan dasar ekonomi baru (DEB) pada tahun 1971 yang berobjektif untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat melayu supaya ianya akan mensaksamakan pengagihan aktiviti ekonomi antara kaum dan secara tidak langsung akan dapat menyatupadukan rakyat di negara ini.

Setelah dilaksanakan, ternyata objektif utama untuk bumiputra mencapai ekuiti melebihi 30 peratus masih gagal dicapai. Walaupun segala keistimewaan telah diberikan, namun mengapa masih lagi kita melihat sebegitu ramai orang-orang melayu terdampar dan hidup dalam serba kedaifan. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Negara pada tahun 2007, jumlah pendapatan isi rumah dibawah RM 1000 sebulan majoritinya adalah terdiri daripada kaum melayu iaitu seramai 496,500 orang. Kaum-kaum lain yang berpendapatan di bawah RM 1000 sebulan pula terdiri daripada 50,900 untuk isi rumah Cina, 29,000 untuk India, 29,300 Kadazan, 7,500 Orang Asli dan sejumlah 78,800 lagi untuk lain-lain kaum.

Melalui rekod tersebut, jelas menunjukkan bahawa kaum melayu ini seakan merempat di bumi sendiri. Menjadi suatu fanomena yang agak pelik apabila semakin keistimewaan diberikan, semakin jauh orang-orang melayu dari mencapai objektif DEB. Disini mencerminkan bagaimana sikap orang-orang melayu yang tidak acuh terhadap produktiviti diri mereka. Tidak dinafikan ada segelintir orang-orang melayu yang begitu berdaya saing serta amat rajin ketika melakukan kerja. Namun begitu, boleh dikatakan sebahagian besar masyarakat melayu ini masih lena dibuai keselesaan. Mereka merasakan “sekadar cukup” itu telah menjadi sesuatu yang baik untuk mereka. Lantaran itu, mereka sering melakukan kerja dengan cerca merba tanpa mementingkan tentang aspek kualiti. Ini lebih diburukankan lagi dengan sikap orang melayu yang mengalibabakan kontrak kerajaan yang diberikan kepada mereka. Maka terjadilah kontrak yang bertukar tangan kepada kaum lain pula. Dengan hanya mendapat RM 10-20 ribu mereka cukup berasa puas sedangkan mereka telah kerugian berjuta-juta ringgit!.

Kini Model Ekonomi Baru (MEB) pula telah dibentuk oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menangani permasalahan ini. Tetapi dilihat MEB lebih bertujuan untuk menjana ekonomi negara secara keseluruhan tanpa terlalu fokus kepada satu-satu kaum di negara ini. Ini kerana kerajaan sedar akan kepentingan negara untuk bangun setelah kemelesetan ekonomi berlaku pada tahun 2009. Inilah prioriti utama di dalam MEB yang lebih bersifat global daripada hal-hal domestik sahaja. Sama ada kaum melayu boleh terselamat atau tidak melalui dasar ini, hanya masa yang akan menentukannya.

Kesimpulannya, masyarakat melayu kurang maju ketika ini kerana sikap mereka. Dalam hal ini kita tidak perlu menyalahi kerajaan atau pihak-pihak lain. Masyarakat melayu secara keseluruhannya perlu sentiasa bermuhasabah diri dan perlu sedar akan kedudukan mereka ketika ini. Mereka perlu membuat suatu anjakan paradigma di dalam diri mereka. Janganlah terlalu merasa keselesaan(comfort zone) kerana nasib mereka mungkin akan berubah kelak. Bergembiralah waktu ini ketika kuasa politik masih lagi didalam gengaman orang-orang melayu. Menangislah dikemudian hari jika ianya juga terlepas kepada kaum-kaum lain. Masa itu barulah kita sedar ketika kita merempat di tanah tumpah darah sendiri. Hang Tuah ada berkata “takkan melayu hilang di dunia”. Ya benar. Sememangnya tidak akan hilang bangsa melayu di dunia ini. Namun apa guna kewujudan bangsa melayu ini jika ianya tidak dirasa.

di suatu sisi kiri


Setelah lebih 52 tahun negara merdeka. Telah banyak yang sudah kita kecapi. Menara pencakar langit, jambatan terpanjang di asia tenggara, litar bertaraf dunia, lapangan terbang moden dan pelbagai lagi mercu-mercu kejayaan yang negara kita ini kecapi semenjak merdeka. Kemerdekaan bukanlah satu proses yang mudah, kerana seperti yang kita ketahui UMNO, parti tunggal melayu berjuang dengan cara yang diplomatik untuk membebaskan tanah melayu ini dari cengkaman kuasa imperial barat. Namun demikian, tahukah anda bahawa disebalik pertubuhan-pertubuhan politik berjuang menentang British pada tahun 1957, terdapat satu golongan yang juga berjuang untuk memerdekakan negara dengan cara yang lebih radikal yakni golongan berhaluan kiri.

Mungkin sebelum ini masyarakat didedahkan bagaimana golongan berhaluan kiri ini adalah "watak hitam" sepertimana yang terkandung didalam buku-buku teks(sewaktu penulis belajar dahulu) yang menerangkan akan perihal kekejaman mereka. Dewasa ini, semakin melangkaui waktu, takrif golongan berhaluan kiri ini perlu dirombak semula. Ini kerana, kita perlu melihat golongan ini dari satu perspektif yang berbeza bagi melihat fakta yang sebenar. Secara logiknya, masyarakat memandang serong terhadap golongan berhaluan kiri ini kerana golongan ini bertindak dengan berlandaskan ideologi komunisme. Akan tetapi perlu diingat bahawa seperti juga UMNO, mereka juga berjuang dengan menumpahkan setiap keringat dan darah mereka demi untuk memerdekakan negara. Pertubuhan sosialis seperti PUTERA, AWAS, API adalah bertujuan untuk mengusir koloni-koloni British dari tanah melayu.

Penulis tidak mahu mengulas akan Cheng Peng dan segala kekejaman yang telah dilakukan olehnya. Cuma disini penulis ingin mengulas tentang individu-individu berbangsa melayu yang menyertai gerakan haluan kiri dan mengapa mereka menjadikan ideologi komunisme ini sebagai asas perjuangan mereka. Lazimnya orang melayu yang beragama islam menolak fahaman ini. Jadi mengapakah individu-individu seperti Ahmad Boestamam, Samsiah Fakeh, Dr. Burhanuddin Al-Helmy,Ibrahim Yaacob dan lain-lain orang melayu terpikat dengan gerakan haluan kiri ini? Melalui pendapat penulis, mereka ini terpikat untuk menyertai gerakan berhaluan kiri kerana mereka berpendapat bahawa pengusiran kuasa imperialis barat hanya boleh dilakuan dengan jayanya hanya dengan cara mengangkat senjata. Disini satu persoalan timbul. Adakah dengan mengangkat senjata menentang penjajah ini satu kesalahan? tentunya tidak bukan? Kita perlu melihat kedudukan mereka yang serba kekurangan pada waktu itu. Pada tahun-tahun sebelum kemerdekaan, medium-medium untuk menentang penjajah amatlah terhad, oleh yang demikian, mereka terpaksa menyertai pertubuhan yang berorientasi komunisme untuk mendapat sumber dan kelengkapan yang cukup bagi menentang British. Tambahan pula, fahaman komunisme ini paling awal sampai ke tanah melayu dan ianya mempunyai peluang yang cukup cerah bagi menyekat penguasaan British di tanah melayu.

Pada waktu tersebut, Mereka-mereka ini tidak melihat parti-parti politik dapat memberi impak yang besar untuk memerdekakan tanah melayu. Dengan tertubuhnya Malayan Union, ini merencatkan lagi peluang parti-parti politik untuk beroleh kemerdekaan. Individu seperti Ibrahim Yaacob melihat pengusiran kuasa imperialis barat hanya dapat dilakukan dengan cara yang lebih “nampak” atau radikal iaitu melalui serangan-serangan gerila seperti yang berlaku di Indonesia. Dengan menjadikan Indonesia sebagai contoh, mereka berharap tanah melayu dapat mencapai kemerdekaan dengan cara yang sama. Kita perlu melihat golongan komunis ini melalui konteks yang berbeza. Ini kerana melayu-sosialis adalah berbeza dari golongan cina-komunis kerana walaupun mereka didalam satu rumpun yang sama tetapi ternyata mereka berbeza. Individu-individu melayu yang menyertai gerakan haluan kiri ini masih lagi memegang akidah dan tauhid pada Tuhan yang Esa.

Oleh yang demikian, kita perlu memperjelaskan masyarakat tentang fakta yang sebenar. Kita perlu mengetahui bahawa orang-orang melayu menyertai gerakan berhaluan kiri bukan kerana mereka menerima secara bulat-bulat fahaman komunisme akan tetapi mereka terpaksa menyertai gerakan tersebut kerana mempunyai matlamat yang luhur bagi membebaskan negara ini dari penjajah. Amat menyedihkan golongan-golongan veteran haluan kiri ini dibiarkan begitu sahaja. Bekas-bekas pejuang berhaluan kiri yang masih hidup kini kebanyakannya menetap di selatan Negara Thailand. Kehidupan mereka amatlah sederhana namun mereka tetap berasa gembira kerana akhirnya Malaysia bebas. Bebas dari cengkaman penjajah.

Kesimpulanya, apa yang boleh diperkatakan adalah, kita sebagai generasi muda perlu tahu akan fakta yang sebenar. Bahan-bahan bacaan di peringkat sekolah perlu dirombak dan meletakkan nama-nama tokoh haluan kiri ini sebaris dengan Tunku Abdul Rahman,Tun Sambatahan, Tun Tan Cheng Lock dan juga tokoh-tokoh kemerdekaan yang lain. Masyarakat juga perlu sedar bahawa elemen sosialis tidaklah salah kerana sosialis itu sendiri bermaksud golongan rakyat yang berani bangkit untuk berjuang agar mereka tidak lagi ditindas di bumi sendiri. Lapangkan dada, bukalah minda.......

Saturday, May 22, 2010

Dari Cherok Tok Kun ke Putrajaya..


Cherok Tok Kun merupakan sebuah daerah yang agak pedalaman dan jauh dari hiruk pikuk kesibukan kota. Masih terdapat rumah-rumah papan yang berorientasikan ciri-ciri melayu klasik di tempat tersebut. Namun apakah yang istimewanya tentang Cherok Tok Kun ini? Siapa sangka disebalik terpencilnya tempat tersebut, di situlah tempat seorang tokoh hebat telah dilahirkan. Siapakah beliau? Beliau adalah Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim. Kehidupan sewaktu kecil beliau tidaklah semewah kanak-kanak lain. Namun dirinya dianugerahkan bakat yang jarang diperoleh oleh insan lain. Sejak waktu mudanya lagi bakat kepemimpinan yang hebat telah terpancar pada diri beliau. Beliau merupakan ketua pengawas semasa menuntut di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Kemudian beliau telah melanjutkan pengajian beliau di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Pengajian Melayu. Sewaktu di UM beliau merupakan seorang pelajar yang hebat berpidato. Dalam setiap apa pun isu yang diketengahkan oleh beliau, setiap butir kata-kata beliau semestinya mendapat perhatian dari audien kerana beliau bijak untuk meyakinkan orang ramai kerana setiap tutur katanya disokong oleh nas-nas dan fakta-fakta yang begitu jitu sekali.

Sejak muda lagi beliau telah mempunyai visi yang kuat untuk memperjuangan nasib rakyat di Malaysia. Pada tahun 1971, beliau telah menubuhkan persatuan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang mempunyai objektif untuk mempertahankan nasib kaum melayu yang ditindas. Sewaktu beliau menuntut di UM, beliau telah dihumban ke dalam Internal Security Act (ISA) selama dua tahun hanya kerana beliau terlalu radikal menyuarakan pendapat bahawa kerajaan perlu membantu golongan petani di Baling Kedah kerana terjejas teruk akibat harga komoditi getah yang jatuh teruk pada waktu itu. Beberapa tahun selepas itu, beliau lebih aktif dalam bidang politik. Oleh kerana nilai-nilai karismatik yang dipamerkan pada diri beliau, Anwar Ibrahim telah dipelawa oleh beberapa ahli UMNO termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menyertai UMNO. Oleh yang demikian, pada tahun 1982 beliau telah meninggalkan ABIM dan menyertai UMNO untuk mendapat platform bagi memperjuangkan nasib rakyat. Semasa di dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) beliau telah memegang beberapa portfolio penting seperti Menteri Kewangan, Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Namun langit tidak selalunya cerah. Selepas lebih kurang 16 tahun berkhidmat di dalam kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disingkir akibat tuduhan salahguna kuasa dan juga liwat(homoseks). Disebalik dugaan yang menimpa beliau, ternyata ada hikmah yang tersirat. Pada waktu inilah gerakan reformasi telah tercipta. Mahkamah Persekutuan telah mensabitkan beliau diatas semua pertuduhan dan beliau dijatuhkan hukuman penjara selama Sembilan tahun. Namun demikian, selepas tampuk kepimpinan berubah dari legasi Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badwi, beliau telah dibebaskan kerana ternyata Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bukti yang cukup untuk menghukum beliau. Selepas dibebaskan, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi bersemangat untuk memperjuangkan ideologi reformis beliau. Dengan menjadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat, gelombang reformasi semakin menampakkan hasil. Pada 2008 setelah lebih setengah abad negara merdeka, belum pernah pihak pembangkang memenangi sebegitu banyak kerusi dimana kerajaan tidak menang dengan mejoriti mudah dan ahli parlimen pembangkang meningkat dari tahun-tahun sebelumnya. Disinilah terpancar nilai-nilai kepimpinan yang unggul dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada tahun 2009, majalah berpengaruh The Times telah menyenaraikan beliau sebagai “the global thinker ” dengan menduduki tempat ke-32. Ini membukti bahawa beliau mempunyai idea-idea yang memberangsangkan serta mempunyai kebolehan untuk mencari solusi untuk setiap permasalahan. Beliau merupakan tokoh besar yang tidak sepatutnya dipinggirkan. Biarpun gelombang reformasi tidak berjaya pada 16 September lalu namun impaknya amat jelas dirasakan. Kerajaan BN terpaksa melarikan 16 ahli parlimennya ke China yang berkemungkinan akan melompat parti. Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa mencari konsep baru bagi menandingi idea reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mereka terus relevan. Oleh yang demikian, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan konsep “transformasi” di dalam kerajaan supaya dapat menandingi idea reformasi yang dirancana oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ternyata pada waktu ini dilihat idea reformasi lebih mendapat perhatian dari rakyat kerana ianya menekankan elemen demokrasi dan juga kebersihan di dalam pentadbiran disamping memperjuangkan kebajikan rakyat di Negara ini.

Jika di Ukraine Revolusi Oren telah berjaya di bawah pimpinan Tymoshenko mengulingkan kerajaan pada tahun 2004, ianya tidak mustahil untuk di aplikasi di negara ini dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sepertimana Revolusi Oren Berjaya kerana sokongan rakyat yang tidak berbelah-bagi, begitu jugalah semangat yang perlu ditunjukkan oleh segenap masyarakat di negara ini jika ingin melihat Malaysia terus berdiri megah dan gagah. Tuntasnya, dengan mengunakan segala kecerdikan Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat memajukan negara dan merampas kedudukan di Putrajaya.

Sebagai kesimpulan, jika kita melihat tokoh-tokoh hebat lain seperti Nelson Mandela berjuang menentang dasar apartheid di Afrika Selatan, Martin Luther King berjuang menentang penindasan orang kulit hitam di Amerika, Mahatma Gandhi berjuang menentang penjajah di India, dan Aung San Suu Kyi memperjuangkan demokrasi di Myanmar….kita juga mempunyai seorang tokoh reformis yang hebat bernama Anwar Ibrahim yang berjuang demi agama, negara dan anak bangsanya. Sememangnya reformasi memerlukan keberanian kerana ianya menongkah arus menentang sistem yang berkuasa. Oleh yang demikian, keberanian amat diperlukan. Beranikah anda?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...