Jumlah Pelawat

Friday, September 30, 2011

Golongan melayu kelas bawahan perlu bangkit


Tahukah anda sekalian bahawa terdapat dua kelompok utama dalam masyarakat melayu kita hari ini? Jika anda sedar, masyarakat melayu terbahagi kepada dua iaitu golongan melayu kelas atasan dan juga golongan melayu kelas bawahan.

Golongan melayu kelas atasan terdiri daripada golongan elit dan bangsawan yang boleh diketegorikan sebagai orang kaya. Manakala golongan melayu kelas bawahan pula terdiri daripada golongan melayu yang sentiasa hidup dalam kesempitan dan boleh diketegorikan sebagai orang miskin.

Selama ini keadilan dinafikan kepada golongan melayu kelas bawahan kerana mereka tidak diberikan peluang yang secukupnya untuk memajukan diri dan hidup mereka. Peluang tersebut dikaut dengan rakus oleh golongan melayu kelas atasan tadi.

Walaupun golongan melayu kelas bawahan berusaha berganda-ganda melebihi golongan melayu kelas atasan, namun pulangan yang baik (dalam bentuk wang) hanya didapati oleh golongan melayu kelas atasan.

Ini sudah seperti menjadi suatu lumrah alam. Yang kaya semakin kaya, dan yang miskin menjadi semakin miskin. Inilah yang membuatkan jurang kualiti hidup antara melayu kelas atasan dan bawahan ini semakin melebar.

Jika ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa kesemua melayu itu miskin berbanding kaum-kaum yang lain dinegara ini, ternyata pendapat itu tidaklah tepat. Sememangnya ada melayu yang kaya. Malah kekayaan mereka melebihi kaum-kaum yang lain. Akan tetapi, terdapat lagi sebahagian besar masyarakat melayu yang jauh ketinggalan dibelakang.

Yang pasti, harta dan kekayaan itu boleh diwarisi dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Begitu juga dengan kemiskinan. Kemiskinan dan kesusahan juga boleh diwarisi dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Hatta, pusingan ini semacam sudah menjadi rantaian yang mengakibatkan pembanggunan sosio-ekonomi dinegara ini tidak seimbang dan seterusnya menyebabkan ketidakadilan berlaku.

Bayangkan begini:

Dua orang bayi lelaki dilahirkan pada tarikh yang sama iaitu bernama Ali dan Abu. Ali dilahirkan disebuah hospital swasta terkenal yang terletak di Kuala Lumpur manakala Abu dilahirkan dirumahnya (cara bidan kampung) yang terletak di Changlun Kedah. Bapa Ali adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya manakala bapa Abu hanya bekerja mengambil upah menoreh getah.

Masa pantas berlalu, kini usia kedua-duanya telah menjangkau 13 tahun.

Disebabkan kesempitan hidup, bapa Abu hanya mampu menghantar anaknya itu ke kesekolah menengah harian manakala bapa Ali menghantar anaknya ke sekolah yang mempunyai tradisi kecemerlangan yang tinggi iaitu sekolah menengah St John yang terletak di Kuala Lumpur. Walaupun yuran tahunan sekolah tersebut lebih tinggi berbanding dengan sekolah menengah yang lain, namun ayah Ali tetap juga mahu anaknya bersekolah disitu kerana infrastrukturnya lengkap. Guru tuisyen sains juga diupah khas untuk membimbing Ali dirumah disebabkan Ali lemah dalam matapelajaran itu.

Abu pula amat rajin mengulangkaji pelajaran namun kadangkala dia memerlukan buku rujukan tambahan dan bimbingan dari guru tuisyen kerana terdapat beberapa topik yang tidak difahami olehnya dalam matapelajaran matematik. Keperluan pendidikan Abu tidak dapat dipenuhi kerana ayahnya tidak mempunyai wang yang cukup untuk menanggung segala kos terbabit. Abu pasrah kerana faham akan keadaan ayahnya itu.

Masa berlalu pergi, kini umur Ali dan Abu menjangkau 18 tahun.

Disebabkan Ali mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajiannya di United Kingdom dalam bidang perundangan. Ali mengambil peluang itu kerana keluarganya mampu untuk menanggung segala kos pengajiannya.

Abu yang mendapat keputusan sederhana baik didalam SPM ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian di universiti awam dalam negara sahaja. Namun disebabkan kos pengajian yang tinggi. Dia terpaksa menolak tawaran itu. Dia mahu membantu keluarganya mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung.

Selepas 10 tahun. Ali dan Abu (usia 28).

Ali berjaya membuka firma guamannya sendiri di ibukota. Bapa Ali juga berhasrat untuk memberinya mengurus perniagaan milik keluarga. Gajinya menjangkau RM 8000 sebulan.

Jauh diutara tanah air pula, Abu baru selesai menebas semak samun. Diatas sebuah tanah yang luas, dia menjadi pekerja suruhan untuk menanam benih pokok getah dengan bayaran hanya RM 900 sebulan.

_________________________________________________________________________

Apa pengajarannya?

Pengajaran dan mesej dari cerita ini adalah berlaku ketidakadilan dimana orang melayu kelas atasan dapat meneruskan penguasaan dan kekayaan kerana mereka dapat menjamin taraf kesihatan, pendidikan, peluang perniagaan yang lebih baik berbanding golongan melayu kelas bawahan yang tidak diberi peluang yang sama rata.

Berpandukan kisah tadi, bayangkan jika si Abu diberi kualiti pendidikan yang sama seperti Ali, besar kemungkinan Abu akan berjaya sama seperti Ali atau mungkin lebih.

Sememangnya ada juga kisah dimana seorang yang berjaya dilahirkan daripada keluarga yang susah dalam kalangan melayu kelas bawahan, seperti jutawan Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Datuk Idris Jala (bekas CEO sebuah syarikat penerbangan terkenal di Malaysia dan kini menteri tanpa portfolio dalam kerajaan).

Namun jumlah yang betul-betul berjaya amatlah kurang. Disebabkan mereka tidak diberi peluang yang cukup, akhirnya mereka mewarisi kesusahan yang dipikul ibubapa mereka dahulu.

Diatas kesedaran itu, golongan melayu kelas bawahan perlu bangkit dari kitaran kesusahan ini. Mereka perlu melipat gandakan usaha mereka supaya mereka dapat mendaki strata yang sememangnya wujud dalam masyarakat melayu.

Che Wan juga mengkritik sekeras-kerasnya dasar kerajaan yang lemah dan segala korupsi yang berlaku dalam pentadbirannya sehingga mengakibatkan golongan melayu kelas bawahan sering terpinggir dari arus pembanggunan.

Masalah ini juga berpunca daripada pengamalan kronisme yang berleluasa. Segala kontrak hanya diberikan kepada individu-individu tertentu dan ini akan menguntungkan mereka-mereka yang berada dalam golongan melayu kelas atasan. Aktiviti ekonomi hanya tertumpu pada golongan-golongan melayu tersebut sehinggakan golongan melayu kelas bawahan menghadapi kesukaran untuk merebut tender-tender dan kontrak milik kerajaan.

Pemimpin-pemimpin yang berasal dari keluarga bangsawan dan elit tidak sesuai untuk mentadbir negara dan jauh sekali untuk merangka dasar-dasar yang berguna untuk keseluruhan rakyat yang kebanyakkannya tergolong dalam golongan melayu kelas bawahan ini. Mereka ini tidak faham kesusahan dan keperitan yang ditanggung oleh golongan melayu kelas bawahan. Sebagai contoh, kenaikan harga minyak petrol sebanyak 10 sen seliter tidak memberikan apa-apa impak kepada mereka.

Tetapi kenaikan harga minyak petrol sebanyak itu akan menjejas dan membebankan kelangsungan hidup golongan melayu kelas bawahan yang menetap di kampung-kampung.

Oleh yang demikian, setiap wakil rakyat perlu dipilih dari kalangan rakyat sendiri demi untuk menjamin bahawa setiap dasar yang dilaksanakan menguntungkan golongan melayu kelas bawahan ini. Fokus kepada golongan ini perlu diperhebatkan lagi. Setakat ini tiada satu pun mekanisme yang berjaya untuk menangani masalah ini. Model Ekonomi Baru (MEB) cetusan idea Perdana Menteri juga tidak menunjukkan “transformasi” seperti yang dilaung-laungkan.

Bangkit golongan melayu kelas bawahan! Kita sama-sama jatuhkan golongan melayu kelas atasan yang sombong dan bongkak. Pecahkan dominasi itu..!

Malaysia itu rumahku (suara kecil politikus muda)


Rumah itu dibina atas seluas lautan tangisan dan segunung perjuangan nenek moyangku.

Dulu, rumah itu dihuni oleh anjing barat yang membawa budaya kuning mengotori tiang seri, menconteng dinding-dinding, merosakkan jendela songket yang berkilau megah dalam rumah itu.

Anjing barat itu telah pulang selepas puas melapah daging segar dan meninggalkan onak duri berbisa yang membakar rumah itu sedikit demi sedikit.

Walau apa pun, kini rumah itu menjadi milikku sekeluarga. Pelbagai budaya, perbagai citarasa.

Rumah itu penuh personanya. Perbezaan kami adalah madu dan gula yang memberi manis untuk menyulam muhibah.

Kami saling berkasih. Kami tunduk satu sama lain tanda hormat sebagai insani.

Namun langit tidak selalunya cerah. Ada antara kami yang cuba menangguk di air keruh, menjadi duri dalam daging, bersifat gunting dalam lipatan, bagai api dalam sekam.

Cuba memecah belahkan antara ufuk timur dan barat, utara dan selatan untuk terus mengenggami kuasa bernama putrajaya.

Teori diperkenal anjing barat pecah dan perintah itu dijelmakan kembali. Untuk melestari kuasa dalam rumah empat belas anak tangga itu. Hitam mesti duduk sama hitam, putih mesti duduk sama putih.

Namun sebenarnya ada dua orang nakhoda dirumah itu. Nakhoda besar dan juga nakhoda sederhana besar. Si transformasi dan juga si reformasi namanya.

Aku mulanya sangsi dalam buntu. Tetapi aku memilih jalan yang ditunjukkan oleh si reformasi.

Aku percaya jalan itu. Sinarnya makin dirasa. Jika Salehuddin Al-Ayubi mampu menerobos dan menawan Kota Al-Quds di Jerusalam. Begitu juga perjuangan ini.

Perjuangan murni ini perlu dilahirkan menggunakan segenap tekad dari hujung nafas yang panjang untuk kembali membina rumah yang setengah roboh itu ke mercu kejayaan.

Aku mahu perkuatkan kembali tiang seri, aku mahu putihkan dinding-dinding, dan aku mahu kembali memasang jendela songket itu supaya ia kembali bergemalapan.

Aku hanya insan biasa yang kadangkala alpa di pesisir hiburan melampau dalam rumah nazak itu.

Tapi aku sedar jua dalam gejolak nafsu anak muda, aku perlu bangkit menepuk tubuh yang lain semoga mereka terjaga dari bayangan mimpi yang mengasyikkan.

Anak muda adalah sendi dan tulang belakang membentuk wajah rumah itu. Waktu emas, ada dalam kedua belah tangan mereka. Kanan adalah penawar dan kiri adalah tuba kepada rumah yang bernama Malaysia itu.

Friday, September 23, 2011

video "undilah" untuk kesedaran generasi muda


Saturday, September 17, 2011

Perjuangan untuk mansuhkan ISA akhirnya berjaya


Tahniah..tahniah Che Wan ucapkan kepada barisan pemimpin dan pendukung-pendukung idealogi reformasi kerana dengan perjuangan serta pengorbanan anda semua akhirnya undang-undang kejam Internal Security Act (ISA) akhirnya telah dimansuhkan secara rasmi.

Walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa keputusan beliau ini adalah disebabkan keperhatinan terhadap rakyat, namun bagi Che Wan, sebenarnya ianya adalah disebabkan oleh perjuangan yang dimulakan oleh pihak oposisi dan seterusnya disokong penuh oleh rakyat marhaen.

Undang-undang yang dimulakan oleh pihak penjajah British ini seharusnya telah dimansuhkan sejak lama dahulu terutamanya selepas negara ini mencapai kemerdekaanya kerana undang-undang tersebut bersifat kejam dimana pihak berkuasa mempunyai hak untuk menahan seseorang itu sewenang-wenangnya tanpa dibicarakan.

Entah bagaimana, undang-undang kejam ini diteruskan dibawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dengan alasan ingin memerangi keganasan. Terminalogi “keganasan” itu dilemparkan kepada musuh-musuh politik yang tidak sehaluan dengan mereka. Maka ramailah aktivis hak asasi manusia dan pemimpin politik telah ditahan dan disumbat ke dalam ISA hanya kerana lantang mengkritik pentadbiran kerajaan.

Setelah gelombang kebangkitan rakyat semakin menampakkan hasil, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil langkah populis dengan memansuhkan akta kejam ini dengan serta merta, sedangkan keputusan ini boleh dibuat sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri iaitu pada tahun 2009.

Mengapa kini? Itu menjadi persoalannya.

Semacam ada agenda tertentu terselindung disebalik keputusan tergesa-gesa beliau ini. Bak kata pepatah “seperti udang disebalik batu”. Pemimpin dan barisan Pakatan Rakyat perlu berwaspada dan jangan terlalu gembira diatas kemenangan ini.

Menurut kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang, tindakan Perdana Menteri memansuhkan akta ISA ini hanya satu retorik politik disebabkan ianya akan digantikan dengan akta-akta kejam lain diwaktu hadapan. Dengan ayat yang lebih mudah, “tukar nama, tetapi kekejamannya masih ada”.

ataupun,

Barangkali pilihanraya ke-13 bakal dilangsungkan sedikit masa lagi sehingga membuatkan Datuk Seri Najib tiada pilihan lalu menceduk idea yang terkandung dalam buku jingga milik Pakatan Rakyat.

Bagi Che Wan, menceduk atau meniru idea yang terkandung di dalam buku jingga tidak menjadi masalah selagi ianya bertujuan untuk merubah negara ini menjadi lebih baik. Pada masa yang sama secara tidak langsung ia mencerminkan bahawa Datuk Seri Najib ketandusan idea dan mengakui hakikat bahawa idea reformasi itu lebih menguntungkan daripada idea transformasi yang sering dilaung-laungkan olehnya.

Akhir sekali,

Diharapkan usaha tekanan ke arah memakmur dan memekarkan demokrasi tanah air tercinta ini seharusnya tidak terhenti begitu sahaja. Selepas ini, akta-akta lain yang bersifat menekan rakyat seperti akta AUKU dan akta Penerbitan dan Percetakan 1984 perlu disemak kembali sama ada ianya masih lagi relevan atau tidak untuk dilaksanakan di negara ini.

Monday, September 12, 2011

Bukit Kepong : Kontroversi dalam lipatan sejarah

Salam aidilfitri buat semua. Dikala arena politik tanah air seperti berehat seketika dikala ramadhan, tiba-tiba sejarah berkenaan dengan peristiwa Bukit Kepong menjadi suatu topik perbualan hangat menjelang syawal yang secara kebetulan tarikhnya jatuh berdekatan dengan tarikh dimana negara ini mencapai kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos.

Media arus perdana sekali lagi cuba untuk memanipulasi kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PAS iaitu Mat Sabu dalam ucapannya di Tasik Gelugor, Pulau Pinang. Akhbar Utusan seperti kita ketahui yang sangat anti pada pihak pembangkang telah menjadikan tajuk muka depan terbitannya pada 27 Ogos 2011 melabel Mat Sabu sebagai “menghina pejuang negara”.

Pada entri terdahulu, Che Wan pernah mengulas tentang isu ini dimana seharusnya sejarah tentang pejuang-pejuang berhaluan kiri perlu dikaji semula kerana tindakan yang dilakukan oleh mereka dahulu secara tidak langsung bersifat ingin membebaskan tanah melayu (ketika itu) dari cengkaman penjajahan British.

Bezanya adalah mereka ini mengambil jalan dengan mengangkat senjata untuk mengusir kuasa asing. Langkah yang sama diambil oleh pejuang-pejuang kemerdekaan di Indonesia untuk mengusir kuasa imperialis Belanda dan terbukti langkah ini berjaya disana.

Che Wan teringat kembali bahawa novel sastera Bukit Kepong hasil tulisan Ismail Johari menjadi novel wajib bagi pelajar-pelajar tingkatan empat untuk membacanya. Che Wan juga tidak terkecuali membaca novel tersebut ketika dibangku persekolahan dahulu.

Ketika itu sifat kagum terhadap keperwiraan watak utama (diambil dari peristiwa sebenar) iaitu bernama Konstabel Othman diatas kesungguhannya mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong dari serangan kira-kira 200 askar komunis sehingga ketitisan darah yang terakhir benar-benar telah menyentap seluruh sanubari diri Che Wan.

Dari satu segi sememangnya anggota polis yang terkorban bolehlah dilabel sebagai pejuang negara.

Selain itu juga, sewaktu di bangku persekolahan, kita sering didedahkan dengan hujahan-hujahan yang terkandung dalam buku teks sejarah mengatakan bahawa usaha kemerdekaan negara seratus peratus dilakukan oleh gerakan-gerakan parti politik seperti UMNO, MIC dan MCA yang mendesak pihak British untuk memerdekakan tanah melayu melalui jalan diplomatik.

Ya benar. Sememangnya delegasi Allmarhum Tunku Abdul Rahman ke London merupakan titik tolak kepada kemerdekaan negara. Itu jelas dan Che Wan tidak sesekali menafikan perkara itu.

Namun demikian, golongan pejuang berhaluan kiri seperti Dr Burhanuddin Al Helmy, Ahmad Boestamam, Samsiah Fakeh, Rasyid Maidin dan lain-lain perlu juga diberi penghormatan. Kajian tentang mereka ini perlu dilakukan dengan lebih mendalam oleh sejarawan negara agar rakyat hari ini dan generasi akan datang dapat mengetahui hakikat sebenar.

Berbalik kepada peristiwa Bukit Kepong tadi, status pejuang negara yang diberikan kepada anggota-anggota polis yang terkorban boleh disangkal berlandaskan fakta bahawa peristiwa tersebut berlaku sebelum negara ini mencapai kemerdekaan.

Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1950 iaitu kira-kira 7 tahun sebelum negara ini mencapai kemerdekaannya.

Pada ketika itu setiap anggota polis tunduk dan patuh kepada arahan kuasa imperialis British selaku pentadbir dan penguasa tanah melayu.

Kita perlu ingat bahawa pihak British juga merupakan penjajah dan sesiapa yang bekerja untuk mereka pada waktu itu boleh juga dilabel sebagai talibarut British.

Bekerja untuk mereka (Btitish) bermaksud anggota polis yang bertugas di Bukit Kepong ketika itu secara tidak langsung membantu dakyah dan penjajahan yang dilakukan oleh pihak British ditanah melayu.

Sama ada 14 orang anggota polis yang terkorban di Bukit Kepong benar-benar mempertahankan tanah air atau mempertahankan kuasa penjajah British masih menjadi suatu tanda tanya sehingga hari ini.

Lantas perkara ini bolehlah dikatakan sebagai suatu “kontroversi dalam lipatan sejarah”.

Ini kerana perjuangan anggota polis yang mempertahankan Bukit Kepong dari serangan komunis sedikit sebanyak telah menimbulkan kemushkilan.

Jika kita membandingkan kisah perjuangan anggota polis Bukit Kepong ini dengan perjuangan pahlawan-pahlawan terdahulu seperti Dato Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Dato Maharajalela, Dol Said dan Rentap di Sarawak, sememangnya ada terhasil suatu perbezaan yang besar.

Masakan tidak, pahlawan-pahlawan atau perjuang yang dinyatakan tadi berjuang habis-habisan menentang kuasa penjajah kerana sayangkan tanah tempat tumpahnya darah mereka tanpa perlu tunduk dengan suatu kuasa penjajah yang lain dan mereka layak digelar pahlawan sejati tanah melayu.

Akan tetapi, anggota polis mempertahankan balai polis Bukit Kepong dari serangan komunis kerana mengikut telunjuk dan arahan pihak British pada waktu itu.

Mengapa tidak anggota polis tersebut menentang komunis dan seterusnya menentang juga pihak British agar tanah melayu ini benar-benar bebas dari cengkaman ideologi pihak luar? Jika perkara tersebut berlaku pada waktu itu, jelaslah mereka adalah pejuang negara dan layak mendapat penghormatan tanpa belah bagi dari rakyat negara ini.

Walau apa pun, sebagai umat islam kita perlu sentiasa berdoa agar roh saudara-saudara kita yang terkorban pada waktu itu (anggota-anggota polis Bukit Kepong) di cucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan hambaNya yang beriman.

Bagi generasi muda, belajarlah dari sejarah dan berjuanglah dengan betul tanpa perlu tunduk dengan satu pun anasir-anasir dari luar. Buat golongan sejarawan dan pengkaji sejarah pula, lakukan kajian tentang perjuangan golongan haluan kiri ini agar fakta dan penemuan-penemuan terbaru dapat dihasilkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...