Jumlah Pelawat

Saturday, May 22, 2010

Dari Cherok Tok Kun ke Putrajaya..


Cherok Tok Kun merupakan sebuah daerah yang agak pedalaman dan jauh dari hiruk pikuk kesibukan kota. Masih terdapat rumah-rumah papan yang berorientasikan ciri-ciri melayu klasik di tempat tersebut. Namun apakah yang istimewanya tentang Cherok Tok Kun ini? Siapa sangka disebalik terpencilnya tempat tersebut, di situlah tempat seorang tokoh hebat telah dilahirkan. Siapakah beliau? Beliau adalah Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim. Kehidupan sewaktu kecil beliau tidaklah semewah kanak-kanak lain. Namun dirinya dianugerahkan bakat yang jarang diperoleh oleh insan lain. Sejak waktu mudanya lagi bakat kepemimpinan yang hebat telah terpancar pada diri beliau. Beliau merupakan ketua pengawas semasa menuntut di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Kemudian beliau telah melanjutkan pengajian beliau di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Pengajian Melayu. Sewaktu di UM beliau merupakan seorang pelajar yang hebat berpidato. Dalam setiap apa pun isu yang diketengahkan oleh beliau, setiap butir kata-kata beliau semestinya mendapat perhatian dari audien kerana beliau bijak untuk meyakinkan orang ramai kerana setiap tutur katanya disokong oleh nas-nas dan fakta-fakta yang begitu jitu sekali.

Sejak muda lagi beliau telah mempunyai visi yang kuat untuk memperjuangan nasib rakyat di Malaysia. Pada tahun 1971, beliau telah menubuhkan persatuan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang mempunyai objektif untuk mempertahankan nasib kaum melayu yang ditindas. Sewaktu beliau menuntut di UM, beliau telah dihumban ke dalam Internal Security Act (ISA) selama dua tahun hanya kerana beliau terlalu radikal menyuarakan pendapat bahawa kerajaan perlu membantu golongan petani di Baling Kedah kerana terjejas teruk akibat harga komoditi getah yang jatuh teruk pada waktu itu. Beberapa tahun selepas itu, beliau lebih aktif dalam bidang politik. Oleh kerana nilai-nilai karismatik yang dipamerkan pada diri beliau, Anwar Ibrahim telah dipelawa oleh beberapa ahli UMNO termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menyertai UMNO. Oleh yang demikian, pada tahun 1982 beliau telah meninggalkan ABIM dan menyertai UMNO untuk mendapat platform bagi memperjuangkan nasib rakyat. Semasa di dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) beliau telah memegang beberapa portfolio penting seperti Menteri Kewangan, Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Namun langit tidak selalunya cerah. Selepas lebih kurang 16 tahun berkhidmat di dalam kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disingkir akibat tuduhan salahguna kuasa dan juga liwat(homoseks). Disebalik dugaan yang menimpa beliau, ternyata ada hikmah yang tersirat. Pada waktu inilah gerakan reformasi telah tercipta. Mahkamah Persekutuan telah mensabitkan beliau diatas semua pertuduhan dan beliau dijatuhkan hukuman penjara selama Sembilan tahun. Namun demikian, selepas tampuk kepimpinan berubah dari legasi Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badwi, beliau telah dibebaskan kerana ternyata Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bukti yang cukup untuk menghukum beliau. Selepas dibebaskan, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi bersemangat untuk memperjuangkan ideologi reformis beliau. Dengan menjadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat, gelombang reformasi semakin menampakkan hasil. Pada 2008 setelah lebih setengah abad negara merdeka, belum pernah pihak pembangkang memenangi sebegitu banyak kerusi dimana kerajaan tidak menang dengan mejoriti mudah dan ahli parlimen pembangkang meningkat dari tahun-tahun sebelumnya. Disinilah terpancar nilai-nilai kepimpinan yang unggul dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada tahun 2009, majalah berpengaruh The Times telah menyenaraikan beliau sebagai “the global thinker ” dengan menduduki tempat ke-32. Ini membukti bahawa beliau mempunyai idea-idea yang memberangsangkan serta mempunyai kebolehan untuk mencari solusi untuk setiap permasalahan. Beliau merupakan tokoh besar yang tidak sepatutnya dipinggirkan. Biarpun gelombang reformasi tidak berjaya pada 16 September lalu namun impaknya amat jelas dirasakan. Kerajaan BN terpaksa melarikan 16 ahli parlimennya ke China yang berkemungkinan akan melompat parti. Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa mencari konsep baru bagi menandingi idea reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mereka terus relevan. Oleh yang demikian, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan konsep “transformasi” di dalam kerajaan supaya dapat menandingi idea reformasi yang dirancana oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ternyata pada waktu ini dilihat idea reformasi lebih mendapat perhatian dari rakyat kerana ianya menekankan elemen demokrasi dan juga kebersihan di dalam pentadbiran disamping memperjuangkan kebajikan rakyat di Negara ini.

Jika di Ukraine Revolusi Oren telah berjaya di bawah pimpinan Tymoshenko mengulingkan kerajaan pada tahun 2004, ianya tidak mustahil untuk di aplikasi di negara ini dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sepertimana Revolusi Oren Berjaya kerana sokongan rakyat yang tidak berbelah-bagi, begitu jugalah semangat yang perlu ditunjukkan oleh segenap masyarakat di negara ini jika ingin melihat Malaysia terus berdiri megah dan gagah. Tuntasnya, dengan mengunakan segala kecerdikan Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat memajukan negara dan merampas kedudukan di Putrajaya.

Sebagai kesimpulan, jika kita melihat tokoh-tokoh hebat lain seperti Nelson Mandela berjuang menentang dasar apartheid di Afrika Selatan, Martin Luther King berjuang menentang penindasan orang kulit hitam di Amerika, Mahatma Gandhi berjuang menentang penjajah di India, dan Aung San Suu Kyi memperjuangkan demokrasi di Myanmar….kita juga mempunyai seorang tokoh reformis yang hebat bernama Anwar Ibrahim yang berjuang demi agama, negara dan anak bangsanya. Sememangnya reformasi memerlukan keberanian kerana ianya menongkah arus menentang sistem yang berkuasa. Oleh yang demikian, keberanian amat diperlukan. Beranikah anda?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...