Jumlah Pelawat

Tuesday, May 24, 2011

Pengasas UMNO yang menolak UMNO

Asalamualaikum dan salam reformasi buat semua. Hasil tulisan Che Wan kali ini adalah menyentuh tentang persoalan politik berasaskan perkauman sama ada ianya relevan atau tidak untuk diamalkan pada zaman moden kini. Idea artikel ini terbit sewaktu Che Wan sedang beristirehat di rumah sambil menonton berita di sebuah saluran swasta tanah air. Kebetulan waktu itu berita tersebut membuat liputan tentang majlis perasmian sebuah buku sejarah yang bertajuk UMNO dan Malayan Union. Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Dato Hishamuddin Tun Hussein. Secara keseluruhannya, buku itu adalah berkenaan Dato’ Onn Ja’afar dan juga sejarah kewujudan UMNO (gambar Dato’ Onn Ja’afar sebagai kulit buku).

Walaupun Che Wan belum memiliki dan membaca buku tersebut, namun Che Wan berasa sedikit ketidakpastian adakah penghasilan buku tersebut bertujuan untuk memberi peringatan kepada pendukung-pendukung UMNO masa kini tentang perjuangan parti yang cuba dihubungkaitkan dengan ketokohan Dato’ Onn Ja’afar atau sebaliknya. Jika ketokohan Dato’ Onn Ja’afar itu digunakan untuk memberi contoh dan teladan kepada pemimpin-pemimpin UMNO masa kini, Che Wan melihat ianya tidaklah begitu tepat. Ini kerana Dato’ Onn Ja’afar telah pun keluar daripada UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos 1951.

Secara peribadi, Che Wan sendiri mengagumi ketokohan yang ada pada Dato Onn Ja’afar kerana beliau berpandangan jauh serta mempunyai visi yang mantap terutamanya tentang perkara-perkara yang berkenaan dengan hubungan antara kaum. Tertubuhnya parti UMNO pada tahun 1946 adalah hasil buah fikiran beliau sendiri dimana bertujuan untuk menentang penubuhan Malayan Union oleh pihak penjajah British pada waktu itu. Namun, sebagai seorang pemimpin ulung yang berpandangan jauh, Dato Onn Ja’afar telah mengesyorkan bahawa parti UMNO dibuka kepada semua kaum dan tidak dihadkan kepada kaum Melayu sahaja dan nama UMNO ditukar kepada "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu".

Syor ini telah menimbulkan kemarahan sebahagian besar penyokong-penyokong UMNO kerana mereka beranggapan tindakan itu akan menghakis hak-hak mereka sebagai orang melayu dan “tuan tanah” kepada wilayah semenanjung dan menyamai konsep yang British perkenalkan melalui Malayan Union. Diatas sebab itu, pengasas kepada parti UMNO ini telah mengambil keputusan dengan meletak jawatannya sebagai Presiden dan keluar daripada parti itu. Beliau kemudinnya menubuhkan IMP pada tahun yang sama. Parti baru yang diperkenalkan oleh Dato Onn Ja’afar ini membuka keahliannya kepada semua penduduk di tanah melayu tanpa dibezakan oleh bangsa, kaum atau ras.

Tujuan utama Dato Onn Ja’afar menubuhkan parti berbilang kaum ini adalah berniat baik dimana ianya dapat mengeratkan keharmonian antara semua kaum dan memberi suatu kesan baik untuk jangka masa panjang. Inilah yang tidak difahami oleh sebahagian orang-orang melayu pada waktu itu. Bagi mewujudkan semangat hormat-menghormati antara semua kaum, mereka perlu membentuk suatu kesatuan di peringkat akar umbi. Jika kesatuan itu hanya dibentuk diperingkat nasional, amat sukar untuk mewujudkan suatu bangsa Malaysia yang bersatu. Segala permasalahan atau isu-isu yang timbul berkaitan hubungan antara kaum ianya boleh diselesaikan dengan jayanya melalui parti berbilang kaum ini dimana pemimpinnya mempunyai semangat toleransi yang tinggi. Jika diamalkan juga konsep parti berpaksikan perkauman, dikhuatiri ianya akan menjejaskan proses integrasi dan seterusnya menghakis semangat muhibah di antara semua kaum di negara ini.

Kemenangan besar pihak oposisi dalam pilihan raya umum 2008 membuktikan bahawa ideologi perkauman sempit semakin ditolak oleh generasi pada masa kini. Ini dapat dibuktikan dengan asas dan perjuangan oleh tiga parti komponen utama yang membentuk Pakatan Rakyat dimana Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengangkat konsep “keadilan”, Democratic Action Party (DAP) mengangkat konsep “demokrasi” dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengangkat konsep “islam”. Ketiga-tiga parti komponen ini dilihat tidak menggunakan elemen yang disandarkan kepada sesuatu kaum untuk mendapatkan sokongan dan pengaruh. Bagi membentuk suatu bangsa Malaysia yang gagah dan berdaya saing tinggi pada masa hadapan, kita tidak perlu lagi dipisah-pisahkan mengikut sesuatu kaum. Inilah yang cuba dibentuk oleh Pakatan Rakyat dimana “kedaulatan Rakyat” itu perlu diangkat dan bukannya kedaulatan golongan elit tertentu.

Che Wan beranggapan bahawa parti-parti politik yang berasaskan sesuatu kaum hanya menguntungan sebahagian kecil golongan-golongan elit tertentu kerana mereka mendapatkan sokongan dengan hanya memainkan isu-isu perkauman yang bersifat sensitif ini. Kononya merekalah hero dan penyelamat kepada kaum mereka sedangkan kewujudan mereka itu tidak diperlukan pun sebenarnya untuk menjamin kualiti hidup rakyat marhaen. Mereka ini bijak kerana dengan berpakaian tradisional dan melaungkan slogan berbaur perkauman, mereka mudah untuk mendapat sokongan dari kaum mereka sedangkan gaya hidup mereka sendiri bercirikan kebaratan sebenarnya!.

Keadaan ini tidak baik bagi mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatupadu. Jika politik perkauman ini terus juga diamalkan, tentunya sindrom ketakutan atau rasa perasangka buruk ini akan terus tersemat di sanubari setiap rakyat dinegara ini. Kita perlu mengetahui bahawa walaupun kita berbeza dari segi kaum dan warna kulit tetapi kehendak dan keperluan asas kita adalah sama. Kita semua adalah manusia. Tidak kiralah melayu, cina, india atau kaum minoriti yang lain kita semua perlu mengisi perut ketika lapar, berkeinginan untuk memberi pelajaran yang baik untuk anak-anak, perlukan tempat berlindung yang selesa dan sebagainya. Seperti yang kerap diucapkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ceramah-ceramahnya bahawa sebagai orang melayu, beliau amat menitik beratkan nasib bangsa melayu dengan melakukan seberapa daya mungkin untuk membantu mereka.

Akan tetapi, dalam menjaga hal ehwal orang-orang melayu, beliau juga memikirkan kesusahan hidup yang ditanggung oleh rakyat yang berasal daripada kaum lain. Kebajikan hidup mereka perlulah juga dijaga dan tidak disekat. Inilah yang tidak difahami oleh sebahagian pemimpin-pemimpin parti politik tertentu yang sangat tinggi dengan semangat perkaumannya. Mereka ini tanpa segan silu menabur fitnah, mencipta ketakutan dan meniup api kemarahan supaya memusuhi kaum lain. Apa yang Che Wan harapkan adalah kita harus mempelajari dari sejarah dan bukannya mengikuti peristiwa yang berlaku didalam lipatan sejarah secara buta-buta.

Kita adalah generasi yang menerima kesan akibat daripada keputusan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Kita harus mengakui bahawa keputusan yang dibuat oleh mereka dahulu ada memberi kesan yang positif dan juga kesan yang negatif terhadap pembangunan sosio-budaya di negara ini. Che Wan tidak menyalahkan pemimpin terdahulu kerana mereka mungkin tidak mengetahui kesan yang akan terjadi pada hari ini. Oleh yang demikian, kita perlu mereformasikan minda dengan membuat perubahan agar nasib anak bangsa kita kelak lebih baik pada waktu hadapan. Kita perlu belajar dari sejarah yang telah berlaku. Politik masa hadapan perlu lebih “bersih” dengan menjauhi fahaman-fahaman perkauman sempit seperti ini. Hormati kontrak sosial yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ianya mencukupi untuk mengekalkan semangat muhibah diantara semua kaum dinegara ini.

Tidak perlulah lagi kita mencungkil isu-isu bersifat perkauman yang boleh memecah belahkan rakyat di negara ini. Cukuplah. Tumpukan pada isu-isu yang lebih bersifat global seperti permasalahan ekonomi dan sebagainya. Itu lebih memberi faedah kepada rakyat secara keseluruhannya. Akhir sekali, usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat hari ini nyata lebih mirip dengan usaha yang dilakukan oleh Dato’ Onn Ja’afar kerana kedua-duanya tertumpu kepada membina jaringan dan hubungan yang lebih baik diantara semua kaum. Pengasas UMNO ini dengan sendirinya keluar dari UMNO kerana tidak berasa yakin terhadap sifat perkauman yang terkandung di dalam parti tersebut. Syukur generasi masa kini telah menampakkan perubahan. Nilai-nilai perkauman yang tidak baik semakin ditolak hari ini. Alangkah baiknya jika diantara kita tiada lagi sengketa, perasangka, dan perpecahan. Alangkah indahnya jika suatu hari nanti anak-anak kita boleh duduk bersama tanpa mengira warna kulit, bergurau dan bersenda..

Ayuh!Kita sama-sama menuju suatu dimensi baru.

Monday, May 2, 2011

Perang persepsi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim


Alhamdulillah bertemu kita lagi dalam Nukilan Sebuah Perspektif. Setelah beberapa kali kita dipamerkan oleh media arus perdana dengan kejadian-kejadian bersifat kebetulan yang sentiasa menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) melakukan salahlaku seperti meliwat dan zina, ternyata disini Che Wan berpendapat bahawa konspirasi yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu itu semakin menyerlahkan kebodohannya.

Masakan tidak, waktu isu video yang disebarkan itu sama dengan berlakunya pembubaran DUN Sarawak. Selain itu, Trio yang menjadi dalang kepada penyebaran bahan lucah itu juga mengikut tindak tanduk Saiful Bukhari dengan melakukan sumpah laknat di masjid Amru Ibni Al As, Bandar Baru Sentul. Namun hanya Dato Eskay sahaja yang berani melakukan sumpah laknat itu. Jelas disini ianya suatu rekariasa yang sengaja diadakan demi untuk menghakis kredibiliti DSAI dimata khalayak ramai khususnya rakyat Malaysia.

Kini strategi politik yang digunakan oleh musuh DSAI telah beralih kepada “perang persepsi” dimana isu-isu bersifat personaliti dicipta supaya ianya kelihatan buruk dan rakyat diharapkan akan mempercayainya lalu menghakis keyakinan mereka terhadap DSAI. Dari tahun 1998 hinggalah pada hari ini, media arus perdana tidak habis-habis menyerang personaliti DSAI dengan memanipulasi ayat atau keterangan yang diberikan oleh beliau.

Mujurlah blog dan media alternatif dapat menyeimbang dan menangkis serangan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggugjawab itu. Golongan muda yang majoritinya berpaksi kepada ideologi reformis tidak akan sesekali mempercayai berita-berita yang dibawa oleh media arus perdana ini. Pastikan bahawa kita menguasai kerangka dunia maya dengan memberi penjelasan kepada rakyat agar perang persepsi terhadap DSAI akan gagal lalu memakan diri mereka sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...