Jumlah Pelawat

Thursday, June 27, 2013

Anwar: Bahas titah Agong bukan penderhakaan

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan dakwaan bahawa tindakan membahas titah Yang Dipertuan Agong, yang menyeru agar semua pihak menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, merupakan satu penderhakaan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, perbahasan itu dilakukan bukan untuk menderhaka tetapi sekadar memberi teguran.

Anwar berkata beliau menjunjung kasih atas titah berkenaan namun teguran serta bukti berhubung dakwaan penipuan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diberikan bagi memberi penjelasan kepada pihak istana.

"Apa saya kata, saya kata titah Tuanku saya junjung kasih... tetapi Tuanku juga berhak diberi bukti dan fakta bahawa Tuanku harus menimbangkan pandangan sebahagian daripada rakyat. Kalau tak jelas, kami dalam Pakatan akan bawa bukti dan persembahkan pada istana negara," katanya lagi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baru) di Parlimen hari ini.

Abdul Aziz membangkitkan sama ada pembangkang memberi gambaran bahawa Yang Dipertuan Agong Tuanku  Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah semalam membaca titah berkenaan dalam keadaan tidak faham, secara dipaksa atau terpaksa.

Mengulas perkara itu, Anwar berkata teguran dalam perbahasan seperti itu bukanlah satu bentuk tindakan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Sistem Diraja yang berkuasa mutlak menjadikan rakyat tak boleh persoal. Kita faham, dalam sistem beraja dalam kuasa mutlak pun, perdana menteri dan penasihat bukan mengampu tetapi memberi saranan dan teguran.

"Perlembagaan kita itu jelas, Bila beri teguran, sejak tahun 1957 lagi, (kalau) semua orang beri teguran ia bukan umpama menderhaka atau menghina.

Ucapan itu adalah titah Diraja atas nama kerajaan yang memerintah. Kalau itu tak faham, susah. Kalau itu maksudnya (menderhaka), tak payah debatlah,"

Perkara itu timbul ekoran kenyataan Anwar semalam, bahawa titah Yang di-Pertuan Agong upacara perasmian sidang Parlimen ke-13 bukan satu arahan kepada Dewan Rakyat.

Sebaliknya, ia hanyalah pandangan yang diusulkan dan dinasihatkan oleh Perdana Menteri untuk pihak kerajaan bagi membolehkan perbahasan terbuka di Dewan Rakyat diadakan, katanya.

Artikel dipetik dari Malaysiakini: (Klik disini).

Monday, June 24, 2013

Isu Jerebu: Terima Maaf Presiden, Mahu tindakan segera diambil.


Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono membuat satu kenyataan rasmi memohon maaf berhubung masalah jerebu yang melanda Singapura dan Malaysia disebabkan aktiviti pembakaran terbuka di negara itu.

Che Wan sebagai rakyat Malaysia yang terkena tempias langsung akibat menghirup udara tercemar ini secara individu memaafkan Presiden Bambang. Tetapi diharapkan, beliau dapat membuat satu keputusan yang proaktif bagi mengatasi masalah ini. Zahirkan kata-kata dengan pelakuan dan tindakan.


Memetik laporan dari Bernama :
_______________________________________________________________

 Jerebu: SBY minta maaf

susilo
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono

JAKARTA - INDONESIA. Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono meminta maaf kepada Malaysia dan Singapura yang dilanda jerebu sehingga menjejaskan kualiti udara kedua-dua negara itu akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera.
 
"Atas apa yang terjadi ini, selaku presiden saya meminta maaf dan pengertian saudara-saudara kami di Singapura dan Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Presiden di sini pada Isnin malam.
 
"Tentu, tidak ada niat Indonesia atas apa yang terjadi," katanya.
 
Yudhoyono berkata pada masa ini kawasan yang terlibat dengan kebakaran itu iaitu Jambi, Bengkulu, dan Riau ditetapkan sebagai daerah bencana berstatus darurat, dan kerajaan pusat mengerahkan tenaga secara maksimum untuk menangani bencana itu.
 
Beliau berkata Indonesia bertanggungjawab penuh untuk mengatasi masalah itu dan beliau yakin ia akan dapat diatasi dengan segera.

Yudhoyono berjanji bahawa Indonesia akan berusaha memadamkan titik-titik api yang membakar hutan Indonesia dengan melakukan hujan buatan melalui pembenihan awan selain mengerah pasukan pemadam kebakaran di darat termasuk menggunakan tenaga anggota tentera.
 
Pada sidang akhbar itu Presiden Indonesia itu turut menyindir beberapa pegawai kerajaan republik itu yang menyebut nama syarikat perladangan yang dipercayai menyebabkan kebakaran itu, yang katanya tidak seharusnya mereka lakukan.
 
"Dari apa yang saya pantau setiap hari, ada pernyataan dari sejumlah pegawai yang menurut saya tidak semestinya disampaikan seperti itu," katanya.
 
Beliau berkata syarikat berkenaan belum dipastikan terlibat dalam pembakaran itu dan para pegawai kerajaan harus menghindari daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian.
 
"Kalau ada syarikat lalai, apa lagi menyebut namanya jelas tidak diperlukan seperti itu. Sama halnya menyebutkan syarikat asing yang dimiliki negara jiran kita, itu juga tidak diperlukan," katanya.
 
Apa yang lebih penting pada masa ini ialah tumpuan kepada usaha mengatasi bencana kebakaran dan asap yang sudah berlarutan selama seminggu ini, katanya. - Bernama


Tuesday, June 18, 2013

Satu hari nanti: Nurul Izzah bakal menjadi Perdana Menteri Wanita Pertama Malaysia?

Tangan yang menghayun buaian mampu untuk mengoncang dunia. Mungkin itulah perumpamaan yang sesuai untuk ditujukan kepada YB Nurul Izzah Anwar. Mengapa tidak, percubaan pertamanya bertanding dalam pilihanraya pada tahun 2008 beliau telah berjaya menumpaskan Datuk Sharizat Abdul Jalil bagi kawasan Lembah Pantai. Kemudiaan, pada PRU ke 13 lalu pula beliau mengalahkan Datuk Raja Nong Chik; seorang berjawatan menteri dalam kabinet YAB Datuk Seri Najib Razak.

Kelibat beliau amat digeruni musuh politiknya sehingga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman pernah mengeluarkan perintah larangan bagi Nurul Izzah untuk masuk ke negeri tersebut. Sedangkan beliau menyebut bahawa niat beliau adalah murni, iaitu untuk menyambut Pesta Kaamatan dan Pesta Menuai bersama-sama rakyat Sabah pada masa itu. Tindakan ini tidak lain tidak bukan adalah semata-mata untuk menghalang usaha Nurul Izzah untuk membina jaringan pengaruh antara beliau dan penduduk di negeri bawah bayu itu.

Sebagai seorang wanita dan masih lagi dalam ketegori "muda", tentunya perjalanan karier politik Nurul Izzah amat cerah. Mungkin ada kalangan penganalisis politik yang sudah mula mencongak pencapaian tertinggi Nurul Izzah mampu kecapi bersandarkan potensi diri yang ada pada beliau. Che Wan katakan bahawa Nurul Izzah mampu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti. Berikut adalah sebab-sebab mengapa tokoh wanita ini mempunyai peluang baik untuk memegang jawatan nombor satu tersebut :-

Pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebab pertamanya adalah kerana Nurul Izzah mempunyai pengaruh keluarga yang kuat dalam politik. Pasti semua sedia maklum bahawa Nurul Izzah merupakan puteri sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seorang pemimpin yang sejak zaman mudanya berjuang bagi mempertahankan hak-hak rakyat bawahan (rujuk Demonstrasi Baling 1974). Seperti kata pepatah melayu, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tentunya darah kepimpinan DSAI akan meresap jua ke dalam diri Nurul Izzah.

Banyak contoh dari sejarah yang boleh kita lihat untuk menguatkan hujah ini. Kalau di Myanmar, ikon demokrasinya iaitu Su Kyi adalah anak perempuan kepada General Aung San iaitu seorang pejuang kemerdekaan di negara tersebut. Bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo adalah anak kepada Diosdado Macapagal yang juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden di negara itu.

Di Indonesia juga begitu. Mantan Presiden iaitu Megawati Sukarnoputri adalah anak kepada pejuang sosialis Sukarno yang berjaya menghalau penjajah Belanda dari Indonesia. Datuk Seri Najib (Perdana Menteri Malaysia ketika ini) juga adalah anak kepada Tun Razak (Perdana Menteri terdahulu).

Jadi, dalam perkara ini pengaruh "bapa" mampu diperturunkan kepada anak mereka. Faktor ini secara tidak langsung dapat membantu Nurul Izzah bagi mendapatkan sokongan padu dari rakyat. Ini kerana Nurul Izzah membawa satu "jenama" yang kuat dimana orang ramai mengenali jenama "Anwar Ibrahim" tersebut. Sejarah sendiri telah membuktikan perkara ini.

Aspirasi Anak Muda
Faktor kedua yang mampu melonjakkan nama Nurul Izzah di pentas arena politik tanah air adalah kerana beliau membawa aspirasi baru anak muda. Disebabkan umur beliau yang masih lagi "sedikit" bagi seorang yang bergelar ahli politik, tentunya Nurul Izzah memahami apa yang di inginkan oleh anak-anak muda dinegara ini. Kita ambil kempen turunkan harga kereta sebagai contoh. Kempen ini diperkenalkan adalah untuk membantu golongan muda yang baru sahaja mula bekerja bagi memiliki kenderaan sendiri. Sememangnya kempen ini menjurus kepada apa yang golongan muda mahukan. Sayangnya manifesto PR untuk menurunkan harga kereta tidak dapat dilaksanakan ketika ini disebabkan UMNO / BN masih memegang tampuk kekuasaan.

Selain itu, sebagai pengguna media sosial Che Wan melihat Nurul Izzah sebagai antara tokoh politik yang begitu aktif melayani pertanyaan dan pandangan-pandangan selain berkongsi informasi melalui akaun facebook dan twitter-nya. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa YB Lembah Pantai ini faham  keinginan anak muda yang mahu suara mereka sentiasa diberi perhatian dan didengari. Mereka ini (anak muda) tidak gemar untuk mengisi borang, beratur panjang dan formaliti untuk memberi sesuatu cadangan ataupun aduan tertentu. Media sosial adalah jawapan terbaik bagi mengatasi masalah ini dan tentunya pemimpin muda seperti Nurul Izzah celik tentang dunia media sosial ini.

Bukti: Data statistik dari akaun facebook YB Nurul Izzah. Setiap pendapat dan cadangan dari pengguna laman sosial itu  diberi perhatian.
Ini adalah cara baru "engaging with public" yang dilakukan oleh beliau. Pastinya golongan belia di negara ini akan sentiasa berasa dekat dengan kepimpinan muda Nurul Izzah dan seterusnya dapat menukar sokongan tersebut dalam bentuk undi pada masa hadapan.

Pakatan Rakyat memperjuangkan keadilan sosial.
Faktor ketiga mengapa Che Wan berpandangan bahawa Nurul Izzah mampu menjadi Perdana Menteri Wanita pertama adalah kerana platform yang dipilihnya amat bersesuaian dengan kehendak masyarakat. Pada PRU13 yang lalu diakui bahawa BN masih mempartahankan Putrajaya. Namun harus diingat majoriti yang dimenangi mereka mengecil dari 140 kerusi (2008) kepada 133 kerusi (2013). Pertama kali dalam sejarah kerajaan yang dibentuk BN menjadi kerajaan tidak popular (hanya mendapat 47 peratus undian dari jumlah keseluruhan pengundi).

Ini menandakan BN telah berada diambang kejatuhan disebabkan perjuangan bersifat perkauman sempit mereka semakin ditolak oleh rakyat. Rakyat semakin menyedari fanatik kepada kaum-kaum tertentu tidak akan membawa apa-apa kebaikan untuk negara. Politik perpaduan dan keadilan sosial merupakan ciri-ciri masyarakat moden pada hari ini. Konsep politik perkauman yang digunakan oleh Parti Perikatan (sebelum ditukar kepada Barisan Nasional) hanya sesuai diamal untuk mendapatkan kemerdekaan dari kuasa imperialis British. Tetapi tidak lagi relevan pada hari ini. Masa telah berlalu dan pemikiran rakyat berubah seiring dengan perubahan masa.

Nurul Izzah dilihat sebagai pemimpin masa hadapan yang mampu untuk menyinar kerana perjuangan PR bersifat sejagat dan memperjuangkan hak rakyat bawahan yang sering ditindas. Bukan seperti parti yang kononnya memperjuangkan nasib melayu, tetapi sebenarnya hanya mengenyangkan kroni dan kembungkan poket sendiri. Mereka ini mempergunakan laungan melayu sedangkan cara hidup mereka sendiri pun kebaratan!

Tetapi kasihan, kerana masih ada melayu yang berjaya dibohongi mereka.

Nurul Izzah setanding ahli politik lelaki lain di dalam PR

Keberanian
Salah satu faktor yang membuatkan Nurul Izzah menjadi "favourite" sebagai calon PM pada masa hadapan adalah kerana keberanian diri yang dipaparkan beliau. Untuk menjadi seseorang pemimpin, sifat keberanian perlu menjadi azimat kerana merekalah nakhoda yang mengerakkan bahtera untuk sampai ke destinasi yang dituju. Walaupun seorang  wanita, ianya tidak menghalang Nurul Izzah untuk menceburkan dirinya di dalam politik yang lazimnya dipelopori kaum lelaki. Malahan dari segi keberanian tiada cacat celanya beliau dengan pimpinan muda lain yang berada di dalam PR.

Satu peristiwa yang membuktikan keberanian Nurul Izzah adalah ketika mengadakan ceramah di Lembah Pantai pada 24 Mei 2012. Walaupun ditekan oleh penyokong pihak lawan yang begitu fanatik dan cuba provokasi, namun Nurul Izzah dilihat tenang dan tetap berdiri diatas pentas bagi memberi pendedahan kepada masyarakat. Bukan mahu memuji membabi buta tetapi terbukti beliau adalah pemimpin muda yang berani bangkit walau ditekan. Tidak ramai pemimpin muda seperti beliau yang berani kedepan. Dan kerana sifat ini, beliau merupakan calon popular untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama Malaysia kelak.

Dibawah adalah video sewaktu ceramah tersebut yang menyerlahkan bakat kepimpinan dan keberanian beliau.



Nurul Izzah merupakan seorang politikus muda yang perlu diberi perhatian. Beliau mempunyai ciri-ciri dinamik yang diperlukan untuk menjadi pemimpin utama Malaysia pada masa hadapan. Wanita ini tidak boleh diperkecilkan kredibalitinya. Pengaruh bapa, platfom politik yang dipilih, aspirasi anak muda, dan nilai keberanian yang ada, mampu menempatkan diri beliau sebaris tokoh politik lelaki yang ada di negara ini.

Seperti Margaret Thatcher yang pernah dipilih untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama Britain pada tahun 1979 hingga 1990. Nurul Izzah juga dilihat mempunyai persamaan jelas dengan tokoh pemimpin tersebut. Yakni, waktu muda mereka banyak dihabiskan untuk memperjuang nasib rakyat jelata. Namun cabaran dan rintangan yang dihadapi tidak sesekali mematahkan semangat mereka. Siapa tahu, mungkin Nurul Izzah mampu menuruti jejak langkah Thatcher.






Bergelar seorang wanita, isteri & ibu yang memperjuangkan agenda reformasi di Malaysia. Dalam kelembutannya tersemat ketegasan.





Sunday, June 16, 2013

Rafizi akan terus dedahkan pelbagai isu.

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

PERTAMA kali akan berada di Dewan Rakyat secara rasmi, pelbagai isu rakyat akan diperjuangkan demi memastikan cita- citanya untuk melaksanakan perubahan terhadap negara ini menjadi realiti.

Apabila diberikan mandat menjadi Ahli Parlimen Pandan, ia dijadikan tiket untuk terus mendampingi rakyat tanpa mengabaikan perjuangan politiknya dan menganggap membuat bising serta bermain angka adalah hobinya. Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, NORSHAHZURA MAT ZUKI dan JAMILAH HAMZAH serta juru foto, SAFWAN MANSOR bersama Pengarah Strategi PKR, RAFIZI RAMLI.


Apakah yang akan disumbangkan dalam Dewan Rakyat nanti?
Saya akan mendapatkan lebih banyak maklumat yang mungkin selama ini tidak diketahui umum. Saya banyak menghabiskan masa dengan membuat analisa data dan maklumat ekonomi.


Ahli Parlimen kita mempunyai pelbagai latar belakang dan tidak ramai berminat dengan data dan angka yang banyak. Saya akan memberikan tumpuan untuk mendapatkan maklumat yang banyak kerajaan supaya kita tafsir, terjemah dan analisa kemudian kita akan membawanya kepada rakyat.


Contohnya maklumat terbaru ialah mengenai pendapatan isi rumah rakyat yang terbaru  dan dibuat pada tahun 2012. Sehingga sekarang, kita tidak tahu apa- apa. Ia adalah perkara sulit yang tidak dibentangkan kepada rakyat sedangkan rakyat perlu tahu berapa sebenarnya purata pendapatan isi rumah Melayu dan perbezaan dengan bangsa lain.


Ini adalah contoh peranan yang boleh dimainkan dengan baik. Maklumat yang orang tidak berminat ini kita dapatkan supaya ia boleh dibawa kepada pengetahuan umum.


Adakah YB akan lebih banyak mendedahkan lebih banyak isu selepas ini dan apakah isu tersebut?
Isu yang akan dibawa ada dua jenis iaitu isu rapat atau hobi kita. Antaranya ialah perkara yang telah dibawa iaitu turun harga kereta, pendidikan, masalah melibatkan orang muda dan pengumuman terbaru untuk tidak memberikan jaminan pekerjaan kepada siswazah perguruan.


Banyak rakyat datang tanya dan meminta pertolongan kita serta memberikan maklumat kepada kita. Itu pun isu yang akan dilihat dan saya akan membawanya dari semasa ke semasa. Ketika ini saya didatangi banyak pemandu teksi yang mengemukakan dua isu.

Pertamanya ialah mengenai janji permit peribadi tetapi ia tidak peribadi. Apa yang dijanjikan ialah permit peribadi tetapi apa yang perlu lakukan ialah memohon dan kena membeli kereta jenis proton Exora.


Permit sah hanya tujuh tahun. Ini bermakna mereka perlu membayar lebih daripada sekarang dan perlu bertukar kereta setiap tujuh tahun. Keduanya, pada tahun 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan mengenai rebat pemandu teksi tukar kereta baru supaya banyak kereta baru.


Bagaimanapun rebat itu belum dibayar, sepatutnya dibayar 2012. Dari semasa ke semasa, pada sidang baru nanti, selain isu biasa yang dibawa secara peribadi, apa yang di bawa oleh rakyat kita kena bawa.


Saya juga akan menumpukan perhatian kepada isu ekonomi, soal pendapatan rakyat, jurang miskin kaya dan isu yang wang 1Malaysia iaitu  sebanyak RM7 bilion diletakkan di luar negara sedangkan ia dipinjam dari dalam negara tetapi dipindahkan ke luar negara. Tata kelola dan urus tadbir yang baik. Saya juga akan membawa isu SPR dan dakwat kekal.


Adakah YB yakin, petisyen yang dikemukakan PR mampu mengubah keputusan PRU13?
Ia bergantung kepada keputusan mahkamah, tidak boleh baca bagaimana hakim akan menangani dan mengadili petisyen- petisyen ini. Saya perlu bersandarkan kepada rekod petisyen lepas iaitu hanya satu peratus sahaja peluang di bicarakan.


Pada tahun 2008, 29 petisyen difailkan seluruh negara hanya satu sahaja dibicarakan sebelum ditolak manakala 28 itu ditolak ketika difailkan. Petisyen ini sukar kerana standard bukti yang diperlukan terlalu tinggi. Jika tafsiran yang sama diperlukan, ia susah kecuali Hakim mengambil pendirian lain.


Apakah isu yang difokuskan?
Bergantung kepada setiap tempat dan undang- undang pilihan raya. Undang- undang pilihan raya, setiap isu mesti salah satu asas yang ditetapkan undang- undang pilihan raya.


Pertamanya ialah rasuah khusus iaitu calon ditangkap ketika memberikan wang, ini tiada. Keduanya, rasuah umum dan ini biasanya berlaku seperti beri makanan, kena dapat saksi kerana asas memfailkan petisyen ialah jumlah saksi boleh menukar keputusan pilihan raya.


Jika hanya membawa dua tiga orang sahaja, itu tidak cukup, maka ditolak. Ketiganya ialah kesalahan- kesalahan pilihan raya termasuklah borang 14 salah kira, 'black out' dan peti undi hilang. Kita hanya boleh memfailkan mengikut kawasan tertentu bukannya seluruh Malaysia.


Contohnya Segamat, beberapa soal dakwat kekal, pengundi tidak boleh undi, 2,000 pengundi di Segamat perlu mengundi di tempat lain walaupun mereka tinggal serumah yang sama.


Ini adalah kerana untuk mengurangkan pengundi Cina. Mereka tidak boleh mengundi di Segamat untuk mengurangkan pengundi Cina. Bukti kuat dan hanya berlaku di Segamat.


Di Parlimen Balik Pulau pula ialah jumlah kertas undi yang dikira melebihi kertas undi yang dikeluarkan.. Di Ketereh kesalahan pilihan raya iaitu peti undi awal dibuka tanpa arahan mahkamah. Setiap satu kerusi, ada kesalahan yang khusus.


Adakah bukti yang sedia ada mencukupi untuk memfailkan petisyen pilihan raya?
Pada pandangan saya, maklum balas, bukti itu mencukupi pada pengiraan mahkamah, itu adalah keputusan Hakim, kita kena tunggu. Oleh itu, kita mengambil pendirian, sementara kita memfailkan di mahkamah, kita juga akan memberikan maklumat- maklumat penipuan ini melalui media kepada rakyat kerana kita juga mahu menguji rakyat sama ada boleh terima atau tidak bukti.


Selepas sebulan, rakyat memang berkata berlaku penipuan contohnya di Besut, pegawai SPR buat laporan polis, mengaku bahawa undi dirampas. Saya memujuk dia untuk tampil.


Kalau ada keputusan begitu, biar dia tampil dan saya rasa mahkamah tidak menerima bukti ini tidak mencukupi,  saya yakin rakyat boleh terima bahawa ini bukti kukuh, penipuan telah berlaku.


Jika petisyen tidak berjaya, adakah PKR akan membuat rayuan?
Kalau ikut undang-undang mahkamah, apabila memfailkan petisyen, mahkamah mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan pilihan raya dan mengarahkan pilihan raya diadakan semula.


Kalau ada pilihan raya semula, hanya di kerusi Parlimen tertentu sahaja kecuali SPR atau kepimpinan kerajaan di Putrajaya merasakan bahawa mandat mereka rapuh dan tidak kuat dan perlu mendapatkan mandat baru.


Walaupun 29 kerusi dipanggil pilihan raya semula, keadaan mana majoriti BN rendah hanya 22 Parlimen sahaja, mungkin ada kesan kepada mandat kerajaan di Putrajaya. Ada kemungkinan- kemungkinan itu, hanya pilihan raya 29 kawasan yang difailkan petisyen. Sama ada membuat rayuan atau tidak, saya akan merujuk balik majlis pimpinan dan pimpinan PKR kerana kos tinggi.


PKR akan memfailkan 19 petisyen, berapakah keyakinan YB untuk menang?
Kesemua 19  kerusi tersebut mempunyai bukti yang kukuh, kita akan bentangkan bukti ini mengikut Parlimen melalui media dan sebagainya. Berdasarkan keputusan mahkamah lepas, di pihak PKR tujuh kerusi buktinya lebih dekat standard bukti yang ditetapkan SPR.


Tujuh kerusi tersebut apabila kesalahan dibuat SPR atau pihak lawan terlalu besar untuk dilupakan. Tujuh kerusi mempunyai peluang besar untuk terus ke peringkat perbicaraan.


Selepas membuat petisyen apakah langkah seterusnya yang akan diambil?
Daripada awal lagi ini adalah sebahagian usaha kita untuk menuntut reformasi dan pembaharuan pilihan raya. Itu menjadi isu terbesar selepas PRU13. Sentimen rakyat cukup kuat kalau berdasarkan kehadiran dan sokongan mereka kepada perhimpunan- perhimpunan aman yang telah dibuat.


Petisyen sebahagian langkah terus tuntut yakin rakyat bahawa kita perlu ada perubahan dan penambahbaikan reformasi pilihan raya. Selain memfailkan petisyen, sudah tentu kita akan bawa ke Parlimen, kita akan terus dengan sesi penerangan dan kempen dan perhimpunan aman.


Kita akan kemukakan pelbagai cadangan dan konsep baru mengenai pilihan raya adil terutamanya berkaitan persempadanan semula yang akan berlaku pada bila- bila masa. Kita akan bawa semua ini mengikut saluran dan kaedah yang ada pada kita.

Yang penting rakyat dapat pemahaman kenapa sistem dan SPR yang ada sekarang tidak berkesan untuk menjamin pilihan raya adil sehingga berlaku penipuan dan penyelewengan.


BN tidak akan berganjak kalau hanya berdebat dalam Parlimen atau berbincang. BN berganjak apabila ada isyarat jelas daripada rakyat tuntut perubahan dan pertukaran dasar. Kesemua langkah ini untuk menekan BN supaya akur dengan tuntutan rakyat mengadakan reformasi pilihan raya.


YB adalah antara pemimpin muda yang dilihat menonjol dan mungkin terlalu menonjol kerana sering membuat sidang media, adakah ini atas inisiatif sendiri atau arahan parti?
Saya sendiri ahli politik muda mempunyai pandangan lain kerana tidak besar kerangka politik lama. Kerangka politik lama kena naik bertanding dan menunggu masa lama akibatnya sebahagian besar masa politik mereka tertumpu kepada dalaman parti sahaja.


Mereka banyak menumpukan masa kepada pimpinan parti, daripada memikirkan apa yang terjadi. Kami yang muda tidak melalui sistem itu. Dalam PKR, pandangan lain kerana apa yang penting ialah apa yang rakyat fikirkan bukannya apa yang orang dalam parti fikirkan. Ahli Politik mesti ada isu berkaitan rakyat yang serasi dengan kita untuk dibawa.


Kita tidak ada akses kepada media perdana, kita hanya media Internet sahaja. Kita tidak ada pilihan lain untuk membawa isu kecuali untuk membuat laporan dan sidang media.


Ia berkesan dan itulah gaya politik baru dan rakyat menilai laporan politik dengan melihat isu mana yang rakyat bawa. Rakyat tidak menilai jawatan yang dipegang tetapi mereka melihat isu yang dibawa dan kerja- kerja yang dilakukan. Cara terbaik membawa isu yang dekat dengan rakyat.
 

Adakah YB akan terus aktif berkhidmat kepada masyarakat sehingga di akhir usia?
Tidak. Saya daripada awal lagi, tidak rancang untuk jadi ahli politik. Saya hanya mahu perubahan. Saya muda dan beberapa perkara yang saya mahu Malaysia berubah dan lebih adil. Selama ini, boleh berada di belakang dan hanya membantu dari segi dasar.


Sampai satu peringkat, pimpinan melihat perlu tampil ke depan. Saya tidak mahu bertanding dalam pilihan raya sebab latar belakang lain. Oleh kerana keperluan untuk menang kerusi seberapa banyak, saya perlu bertanding.


Tidak ada rancangan untuk menjadi ahli politik sampai habis. Kalau boleh saya mahu bersara 55 tahun. Apabila menjadi ahli politik muda, banyak masa bersama keluarga akan hilang.


Dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada pilihan kerana rakyat dan pimpinan PKR memerlukan beliau. Beliau juga mempunyai pandangan yang sama kebanyakan kita.

Sumber dipetik dari :-
Rafizi akan terus dedahkan pelbagai isu - Wawancara - Sinar Harian

Monday, June 3, 2013

Ceramah suara rakyat suara keramat sesuatu yang luar biasa.

Berlangsungnya ceramah “Suara rakyat suara keramat” di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei lalu merupakan sesuatu yang luar biasa. Nukilan kali ini berkisarkan pengalaman Che Wan menghadiri siri ceramah tersebut.

Disebabkan kehadiran penyokong-penyokong PR yang terlalu ramai, laluan trafik sekitar Kelana Jaya (terutama Lebuhraya LDP) menjadi agak perlahan. Che Wan melihat ada kenderaan diletakkan kira-kira 2 kilometer jaraknya dari lokasi ceramah. Mereka-mereka ini sanggup berjalan kaki dengan jarak yang begitu jauh demi untuk mendengar ceramah dari pimpinan tertinggi PR berkenaan penipuan PRU 13 yang lalu.

Suasana dimana ramai orang berpusu-pusu ke stadium lazimnya hanya dapat dilihat ketika menjelangnya perlawanan akhir sesuatu kejohanan bolasepak. Tetapi tidak pada malam itu. Rasanya, itulah pertama kali orang ramai berkumpul bersama-sama di dalam sebuah stadium pada waktu malam bagi memperjuangkan hak dan keadilan.

Ditepian jalan menuju ke stadium Kelana Jaya kelihatan berduyun-duyun orang ramai berbilang bangsa berjalan bersama-sama dengan mengenakan baju serba hitam. Hitam itu adalah sebagai simbolik kepada malap dan matinya demokrasi di Malaysia.

Di hadapan pintu gerbang stadium, sebelum dapat melangkah masuk kedengaran sorakan “Ubah!” dan laungan “Reformasi!”. Diselangi bunyi tiupan dari “Vuvuzela horn”. Suasana malam itu memang menaikkan semangat Che Wan untuk terus berjuang menegakkan keadilan di negara ini. 

Kawasan dalam stadium nampaknya begitu padat. Che Wan sendiri terpaksa bersesak-sesak untuk masuk. Ketika sudah berada didalam stadium pula, kelihatan lautan manusia berpakaian serba hitam membanjiri setiap inci stadium itu. Tiada langsung amalan rasisme disini. Orang cina tanpa rasa malu dan segan mengibarkan bendera PAS. Orang melayu begitu juga. Ada yang mengibarkan bendera DAP. Panji PKR turut tidak ketinggalan dikibarkan oleh seorang “uncle” berbangsa India.

Ini adalah satu manifestasi sebenar apa itu dimaksudkan dengan “Satu Malaysia”. Satu Malaysia dimana kita semua mahukan perubahan berlaku dinegara ini. Banyak banting tulisan tangan seperti “fight against racism” dan “Kami Tolak Perkauman” diangkat oleh anak-anak muda dari pelbagai kaum. 

Kemuncak kepada acara malam itu adalah apabila pentas diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum Keadilan untuk berbicara. Bunyi perit “Vuvuzela horn” tidak kedengaran lagi. Diam seketika. Hadirin yang hadir menumpukan sepenuh perhatian mereka pada susuk tubuh DSAI yang berada di pentas. Lengan kemeja hitam DSAI kelihatan disenteng sedikit.

“This is the beginning of a battle between the Rakyat and an illegitimate, corrupt, and arrogant government”. Butir-butir kata awal yang keluar dari mulut DSAI. Kata-katanya itu lantas disambut sorakkan oleh ribuan rakyat yang setia berdiri di tengah padang sambil tangan mereka dijulangkan julangkan keudara.

DSAI juga menambah, “Saya tidak akan berhenti sehingga kita sampai ke Putrajaya, sehingga kita dedahkan semua (penipuan) dan tuntut Putrajaya untuk rakyat”.

Anwar Ibrahim pada 8 Mei 2013 di Kelana Jaya.



DSAI kemudiannya mengumumkan bahawa satu lagi perhimpunan pada hari Sabtu di Pulau Pinang, serta merancang untuk turut mengadakan perhimpunan serupa di Ipoh pada hari Jumaat. Selain itu beliau menggalakkan supaya orang ramai yang hadir untuk memakai warna hitam pada setiap hari sabtu tanda protes terhadap sistem pilihanraya yang tidak adil di negara ini.

Walaupun hujan rintik-rintik melanda ketika ucapan DSAI malam itu. Hadirin yang hadir tetap juga tidak berganjak untuk mendengar ucapan dari beliau. Ini bukan satu perhimpunan “kosong” yang mengajak anak muda terkinja-kinja diatas pentas dengan disajikan artis-artis seksi. Walaupun dilabel “perhimpunan haram” oleh sesetengah pihak, tetapi pengisiannya lebih baik daripada konsert-konsert yang mendapat permit dan kebenaran dari pihak berkuasa.

Diakhir perhimpunan aman Blackout 505 pada malam itu. Seluruh rakyat marhaen yang hadir berdiri tegak dan sama-sama menyayikan lagu kebangsaan Negaraku. Perhimpunan tersebut berlansung dalam keadaan aman dan orang ramai bersurai dengan penuh tertib di luar stadium. Perhimpunan aman Blackout 505 tamat kira-kira pada pukul 11.45 malam.




Monday, April 29, 2013

Membuat perubahan bukan satu jenayah





Perubahan merupakan satu sifat lahiriah manusia. Daripada segumpal daging dalam perut ibu berubah menjadi bentuk tangan dan kaki-kaki halus. Kemudian dilahirkan sebagai seorang bayi. Mempunyai sepasang kaki dan tangan gebu yang mampu untuk digerak-gerakkan. Kemudian bayi itu tadi sudah mula boleh merangkak. Dari merangkak, sedikit-sedikit bertatih untuk berjalan. Bayi membesar menjadi seorang kanak-kanak yang mampu pula untuk berlari walau tidak pantas.

Itu adalah satu contoh perkembangan biologi seorang manusia. Manusia berubah dari dalam perut ibu sehinggalah menjadi dewasa dan kemudiannya lanjut usia. Perubahan tidak boleh dielakkan. Mahu atau tidak, perubahan pasti akan berlaku. Hanya cepat atau lambat sahaja yang menjadi persoalan.

Jangan perlu takut kepada perubahan. Orang yang takut pada perubahan adalah orang yang tidak berani untuk berhadapan dengan cabaran dan rintangan demi mendapat satu kehidupan yang lebih baik. Orang seperti ini lebih rela duduk dalam “zon selesa” yang mana mereka berpendapat mereka sudah tenteram. Tidak perlu pada perubahan. Syukur sahaja apa yang ada.



Konsep syukur ini betul. Tetapi kita hendaklah berusaha terlebih dahulu. Berusaha dengan membuat beberapa perubahan dan memperbaiki kelemahan yang ada. Lebih baik kecundang dalam perubahan daripada terus takut untuk berubah.



Pendapat Che Wan selari dengan pendapat bekas Mufti Perlis iaitu Prof Madya Dato’ Dr Asri Zainul Abidin melalui tulisan di blognya.(Klik disini)



Saya percaya tukar, tukar dan tukar lagi sehingga kita dapat yang terbaik, dapat membawa negara ke arah yang lebih matang dan baik. Kita hendaklah bersedia untuk menukar BN kepada PR, ataupun PR kepada BN ataupun membuang keduanya sekali pada masa depan dan memunculkan politik baru sehingga kita menemui yang terbaik. Apabila yang terbaik itu mula ‘merepek’, kita akan tukar lagi. Kita tidak pentingkan nama parti, tetapi kualiti servis yang mampu diberikan! Kita sanggup menukar jika perlu tanpa mengira BN ataupun PR. Ubah, ubah dan ubah lagi sehingga yang baik diperolehi.


Dr Asri sendiri mengakui betapa pentingnya “tukar” atau “berubah” jika mahu mengecapi kejayaan. UMNO/BN telah diberi peluang yang secukupnya untuk mentadbir negara ini. 56 tahun adalah satu tempoh masa yang sangat panjang bagi membuktikan pencapaian mereka. Kini, tibalah pula masa tampuk pemerintahan itu disambung oleh orang-orang baru yang mempunyai idea yang lebih segar.



Tahun 2013 kita sebagai anak muda saluran 3 perlu mencari aspirasi serta visi baru untuk negara tercinta kita ini. Kita perlu perubahan kearah yang lebih baik. Para menteri yang mentadbir kelak perlu berintegriti tinggi, amanah dan adil. Sentiasa dengari masalah rakyat marhaen yang hidup kesempitan dibawah.

UMNO / BN akan menggunakan media arus perdana mereka bagi menakut-nakutkan pengundi tentang perubahan ini. Mereka sering melontarkan fitnah mengatakan bahawa jika PR dapat menawan Putrajaya, maka hancurlah bumi Malaysia ini, merempatlah orang-orang melayu, bankraplah negara dan bermacam-macam lagi tomahan liar yang dilemparkan. Sedangkan tidak terfikirkah mereka selama lima tahun PR memerintah empat buah negeri, tiada satu pun Raja-Raja Melayu yang berdaulat dihalau dari istana. PR juga menghormati perkara-perkara yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Islam tetap sebagai agama rasmi. Bahasa melayu tetap sebagai bahasa kebangsaan.

Tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan oleh pihak UMNO / BN ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menanam sifat ketakutan di dalam diri dan pemikiran rakyat yang dilihat mahu membuat perubahan pada PRU kali ini. Mereka katakan bahawa pendidikan percuma adalah dongengan. Turunkan harga kereta adalah mustahil. Rendahkan harga minyak adalah tidak masuk akal. Walhal didalam PR terdapat tokoh-tokoh yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang berkaitan ekonomi. Ketua Umum juga merupakan bekas Menteri Kewangan yang mempunyai pengalaman luas “inside-out” berkenaan  tadbir urus ekonomi dan kewangan negara. Beri peluang mereka untuk buktikan.

PR perlu diberi peluang satu penggal sebagai kerajaan pusat bagi membuktikan kata-kata yang dijanjikan mereka. UMNO / BN telah diberikan kuasa untuk memerintah dengan lamanya sebelum ini. Mengapa tidak peluang ini diberikan kepada PR pula. Kita cuba dengan angin baru. Sesebuah negara perlukan satu anjakan dalam perjalanannya untuk menjadi lebih baik. Salah satu caranya adalah dengan menukar tampuk pemerintahan negara tersebut. Anda tidak perlu takut untuk membuat perubahan kerana perubahan itu bukanlah satu jenayah. Ianya satu kemestian. #UBAH

Wednesday, April 10, 2013

Bahaya mandat 2/3 diberikan pada pemerintah





Datuk Seri Najib Razak sewaktu berucap di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 8 April 2013 berkata kepada pesara-pesara kerajaan yang hadir bahawa BN memerlukan mandat rakyat yang kukuh bagi membangunkan Malaysia pada masa hadapan. Ujar beliau, "yakinlah, jika anda menyokong kerajaan pada hari ini, kita akan melakar lebih banyak kejayaan lagi. Saya akan bekerja lebih kuat lagi. Saya beri jaminan untuk bekerja sepenuh hati dengan segala kekuatan yang ada pada saya," (rujuk Akhbar Sinar Harian 8 April 2013).

Datuk Seri Najib merayu kepada rakyat supaya memberi sokongan padu pada parti yang dipelopori beliau. Maksudnya ialah beliau menginginkan BN memegang majoriti kerusi di parlimen menjangkau 2/3.  Persoalannya, adakah patut kita berikan mandat 2/3 ini kepada beliau?

Majoriti 2/3 adalah bahaya.

Majoriti 2/3 ini pada pemikiran Che Wan akan mendatangkan kesan yang amat buruk terhadap sistem pentadbiran negara dimana pihak pembangkang tidak dapat memberikan krtikan-kirtikan membina terhadap polisi-polisi atau dasar-dasar pihak pemerintah yang lemah.

Pengundi perlu bijak membuat keputusan. Cerdik menganalisis lanskap politik negara. Berfikir melangkaui kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli politik yang gemar bermain sentimen perkauman. 2/3 adalah satu bentuk “penganugerahan” kuasa yang terlalu besar kepada parti yang memerintah sehingga membolehkan mereka meluluskan dasar-dasar yang berlawanan dengan kehendak rakyat.

Tokoh sejarawan Jerman bernama John Emerich Edward Dalberg Acton (1834–1902) mengatakan bahawa "Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely”. John Emerich berpendapat jika terlalu banyak kuasa diberikan kepada seseorang nescaya mereka akan cenderung untuk melakukan salah laku dan salah guna kuasa.

Isu kilang nadir bumi Lynas adalah satu contoh dari pendapat John Emerich itu tadi. Kerajaan yang diberikan mandat pada tahun 2008 tanpa memikirkan keselamatan rakyatnya telah memberi kelulusan sewenang-wenangnya kepada syarikat luar untuk membuka operasinya di negara ini bagi memproses nadir bumi yang boleh mendatangkan risiko terhadap kualiti kesihatan penduduk setempat.

Melalui wakil pembangkang di parlimen, suara rakyat yang ditindas tadi akan dibawa dan kemudiannya dibahaskan. Alasan kerajaan BN yang menganggap bahawa kilang Lynas ini tidak akan membawa sebarang kemudaratan kepada penduduk setempat adalah tidak benar sama sekali. Ironinya kilang ini apabila beroperasi kelak akan menghasilkan sekurang-kurangnya 20 000 tan bahan radioaktif yang berbahaya.

Diakui oleh sendiri oleh pakar kesihatan awam, Dr T Jayabalan. Katanya "Dan mungkin juga pihak berkuasa adalah betul kerana thorium adalah sisa tahap rendah (radioactive) dan mereka dakwa ini adalah selamat. Ini adalah istilah yang digunakan oleh industri untuk menggelirukan anda (rakyat). Ingat tidak ada tahap selamat bagi radioaktif”.

Isu Lynas adalah contoh bagaimana pihak pembangkang dapat menyampaikan kehendak penduduk sekitar Gebeng (kawasan dimana kilang dibina) kepada kerajaan melalui sidang parlimen. Oleh demikian, wakil dari pihak pembangkang haruslah tidak sedikit jumlahnya. Sesebuah negara demokrasi yang baik ialah apabila kekuatan antara kerajaan dan pembangkang adalah hampir setara.

Keadaan seimbang ini akan mewujudkan satu suasana “check and balance” antara pihak yang memerintah dan oposisi. Diyakini suasana ini akan membuat kerajaan yang memerintah akan sentiasa berada dalam  keadaan terjaga dan seterusnya berkhidmatan dengan bersungguh-sungguh untuk rakyat. Jika gagal berbuat sebegitu rupa, maka tunggu saja kritikan-kritikan pedas daripada pihak pembangkang kepada mereka.

Tsunami politik yang berlaku pada tahun 2008 lalu telah membuka mata kita bagaimana kerajaan BN yang hanya berjaya memenangi 140 kerusi dalam parlimen seakan-akan tersentak dari lamunan tidur dan mimpi-mimpi indah. Kesenangan selama ini yang dinikmati mereka daripada segala amalan kronisme, rasuah, dan pembaziran tidak dapat dipertahankan lagi.

Pihak pembangkang yang kuat akan sentiasa memerhati dan seterusnya akan membongkar segala kegiatan korupsi yang dilakukan oleh pihak kerajaan . Dengan itu, pihak kerajaan pasti akan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan akan melakukan sesuatu yang “betul” untuk rakyat walaupun secara dasarnya mereka itu tidaklah betul pun.

Buktinya, selepas BN gagal mendapat majoriti 2/3 pada PRU 12, bermacam-macam program yang dilakukan oleh mereka bagi memenangi kembali sokongan rakyat. BRIM, SLIM, dan PRIMA adalah contoh program-program yang menguntungkan rakyat. Terima kasih kepada pembangkang yang kuat di parlimen.

Jika ditakdirkan  PR menang pada pilihanraya yang akan datang, BN jangan terus berkubur. BN juga perlu menjadi pembangkang yang kuat di parlimen supaya perbahasan sihat tentang permasalahan rakyat dapat diwujudkan. PRU 13 ini rakyat sekali lagi diberikan peluang dan ruang untuk memilih. Buatlah pilihan yang bijak. Kekalkan keseimbangan ini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...