Jumlah Pelawat

Monday, December 19, 2011

Mat Ludah Versus Mahasiswa





Che Wan sudah menonton video 16 ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO dari kawasan Petaling Jaya Utara yang semuanya kelihatan begitu marah dengan tindakan mahasiswa menurunkan bendera tertera wajah Datuk Seri Najib di PWTC. Klip video berdurasi 1 minit 9 saat itu memaparkan bagaimana saudara Armand Azha memaki hamun mahasiswa-mahasiswa yang terlibat didalam demonstrasi kebebasan akademik pada hari itu. Perkataan yang kerap terpacul dari mulutnya adalah “ludah”. Katanya jika dia dapat “memegang” individu yang menurunkan bendera tersebut, dia akan meludah ke muka mahasiswa itu.

Adakah kita mahu banggakan seseorang seperti ini yang kononya menggelar diri sebagai pahlawan melayu islam? Ludah itu perbuatan syaitan. Ianya perbuatan jijik dan kotor. Agama dan budaya melayu tidak pernah mengajar kita untuk meludah sesuka hati kepada khalayak.

Marah benar nampaknya saudara Armand Azha dengan perbuatan mahasiswa ini. Walau hanya bendera wajah seorang manusia diturunkan, dia sanggup untuk meludah golongan bijak pandai bergelar mahasiswa yang hanya mahukan kebebasan dalam dunia akademik. Oleh yang demikian, wajarlah jika kita memberinya nama timangan yang sesuai. Che Wan mahu menggelarnya sebagai Mat Ludah. Dia mengatakan bahawa mahasiswa yang hadir ketika demonstrasi itu kurang ajar kerana berani menurunkan bendera Datuk Seri Najib. Sebelum menjatuhkan hukum ludah, Mat Ludah perlu berfikir dahulu apakah salah dan silap pihak kerajaan sehingga menjadikan mahasiswa begitu agresif seperti hari ini.

Dasar AUKU 1974 adalah punca segala-galanya. Selama ini mahasiswa terlalu memendamkan rasa mereka. Suara mereka tidak didengari, aspirasi mereka tidak diberi perhatian. Mat Ludah perlu fikirkan perkara ini. Fikir dalam satu kerangka yang lebih besar. Jangan salahkan seseorang diatas kesalahan yang anda mulakan dahulu.

Mahasiswa hari ini tidak seperti mahasiswa dahulu kala yang hanya duduk diam belajar di kolej-kolej dan institusi pengajian. Kini mereka mengetahui setiap isu-isu yang berlaku disekeliling mereka terutamanya berkenaan dengan hak dan kepentingan mereka.

Ramai rakan-rakan Che Wan yang masih menuntut di universiti, mencemuh tindakan Mat Ludah ini. Mat Ludah seharusnya menunjukkan sifat yang lebih matang sebagai seorang  ahli Pemuda kepada parti melayu tertua di negara ini.

Mahasiswa bukannya tidak boleh ditegur langsung. Tentu boleh. Cuma cara dan pendekatan itu perlu sesuai dengan jiwa anak muda. Che Wan yakin golongan mahasiswa hari ini cukup bijak dan jika teguran itu diberikan dalam bentuk sopan dan berilmu, maka mahasiswa akan faham dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Tetapi, klip video Mat Ludah ini tentunya hanya akan menyemarakkan lagi kebencian terhadap kerajaan yang tidak mahu mendengar suara mahasiswa. Kekerasan tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada Mat Ludah dan rakan-rakan. Mahasiswa kini berani menentang ketidakadilan yang berlaku. Mat Ludah dan rakan-rakan perlu sedar akan perkara ini.

Seterusnya Mat Ludah dan rakan-rakan perlu menanyakan soalan kepada diri masing-masing adakah bendera Perdana Menteri itu dirosakkan? Bendera tu sama sekali tidak dirosakkan atau diludah oleh mahasiswa. Ianya hanya diturunkan selama lima minit dan digantikan dengan bendera “academic freedom”. Kemudiannya, bendera Perdana Menteri kembali berkibar di puncak tiang. Adakah terlihat kekurang ajaran disitu? Itu adalah langkah paling bertamadun pada pendapat Che Wan bagi menyatakan simbolik penentangan terhadap pentadbiran BN/UMNO. Mahasiswa tidak merosakkan harta benda jauh sekali menimbulkan huru hara. Itu adalah langkah terbaik. Tiada isu timbul disitu.

Satu lagi Che Wan tak berapa gemar adalah ketika Mat Ludah mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dengan kebangkitan mahasiswa. DSAI tidak pernah pun membuat sebarang kenyataan media menyuruh mahasiswa ini menentang kerajaan. Gerakan pembebasan akademik ini adalah diatas kesepakatan golongan mahasiswa sendiri yang mahu dunia akademik dibebaskan daripada akta-akta yang bersifat mencengkam. Menuduh orang lain akibat dari kelemahan diri sendiri adalah langkah dayus yang hanya mahu menunjukkan keegoan dan sifat bongkak Mat Ludah.

Apa pun, tindakan Mat Ludah dan rakan-rakan ini telah menambah lagi kebencian mahasiswa diseluruh negara terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib. Kekerasan dan budaya samseng mungkin adalah langkah terakhir UMNO/BN untuk mengekalkan penguasaan mereka di Putrajaya. Adakah mahasiswa akan mengalah dengan budaya kekerasan dan samseng seperti ini? Tentulah tidak...Mahasiswa bersemangat kental kini telah bangkit!




Dibawah ini adalah video Mat Ludah & rakan-rakannya..



0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...