Jumlah Pelawat

Wednesday, June 29, 2011

Flotilla II: Suatu tekanan terhadap rejim Israel



Sehingga artikel ini ditulis, sukarelawan negara yang mengambil bahagian dalam konvoi kemanusiaan ke Gaza melalui jalan laut kini telah berada di pelabuhan Greece. Seperti yang dilaporkan oleh media-media antarabangsa, konvoi kedua flotilla ini telah disertai oleh sukarelawan dari negara-negara berbeza merentasi kepelbagaian bangsa, agama, latarbelakang dan warna kulit.

Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa dunia kini semakin membuka mata terhadap kesengsaraan dan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin khususnya yang berada di semenanjung Gaza. Kini, konflik yang berlaku di wilayah suci bagi tiga agama itu bukan hanya penentangan Palestin terhadap kekejaman Israel atau perselisihan antara Islam dan kekejaman rejim Zionis Yahudi tetapi penentangan masyarakat dunia secara keseluruhannya terhadap kekejaman rejim Israel.

Apa yang menarik, sebahagian kapal-kapal bantuan yang sedang berlayar menuju ke Gaza kebanyakkannya datang dari negara sekutu kuat Israel seperti Amerika Syarikat dan juga Perancis. Pengaruh Israel kini kelihatan semakin berkurangan akibat daripada peristiwa Komando Tentera Laut negara itu membunuh tujuh orang sukarelawan di atas kapal Rachel Corrie melalui flotilla pertama tahun lalu.

Turki adalah negara pertama dengan lantang membidas tindakan yang dilakukan oleh rejim Israel itu kerana kebanyakan sukarelawan yang tekorban adalah terdiri daripada rakyat negara itu. Hubungan diplomatik yang wujud antara Turki-Israel telah tercalar akibat daripada peristiwa ini. Kekejaman yang dilakukan Israel akhirnya telah memakan diri.

Namun, misi konvoi ke Gaza ini bukanlah suatu tugas yang mudah kerana rejim Israel sentiasa menggunakan pengaruhnya untuk memberi tekanan terhadap misi kemanusiaan ini. Di pelabuhan Piraeus yang terletak di Greece, kapal bernama Juliano yang datang dari negara Sweden telah disabotaj. Menurut sukarelawan yang berada di dalam kapal itu, kipas yang mengerakkan kapal tersebut telah dirosakkan sehingga kapal itu terpaksa berada di pelabuhan Piraeus beberapa hari untuk proses baik pulih.

Diharapkan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui jalan laut tidak terhenti begitu sahaja. Usaha sebegini perlu diteruskan dan seharusnya menjadi suatu program wajib setiap tahun. Lebih banyak flotilla di hantar ke Gaza, lebih banyak tekanan yang dapat diberikan kepada pihak Zionis Israel. Semoga penduduk Gaza masih lagi bertahan sehingga bantuan tiba.

Monday, June 27, 2011

Satu ucapan hebat dari sasterawan negara - A. Samad Said


Artikel ini diambil dari http://samadsaid.wordpress.com/



“Murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan.

Kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi? Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?

Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni.

Kita sedar bahawa jalan ini tidaklah mudah. Maka itu, kita menjadi lebih berazam. Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal. Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan “siasah” yang sangat bercita-cita buruk. Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat.

Kita tidak begitu. Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani.

Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul.

Inilah gerakan kita yang, sayangnya, terpaksa bermula di tengah keangkuhan kerajaan yang merasa segala-galanya sudah betul, malah sudah syurgawi, di tanah air ini. Kita sebenarnya masih dalam derita yang terus dicipta oleh tangan kasar berhati angkuh yang sangat bercita-cita.

Kita merindukan suara kuasa yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan kuasa yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.

Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan tofan.

Jikalau berlaku, kita bukanlah kelompok manusia yang gamam berlari; kita, sebaliknya, adalah manusia yang cekal berdiri. Kita ingin memupuk demokrasi yang lebih berhati nurani.

Dua ratus tahun dulu seorang tokoh kecil Sam Adams, dengan kelompoknya yang kecil juga, telah mencurahkan teh ke dalam laut di pelabuhan Boston, Amerika. Kata Sam Adams: “It does not require a majority to prevail, but rather an irate, tireless minority keen to set bushfires in people’s minds.”

Kita nyalakan unggun api itu pada malam ini!”

Sunday, June 26, 2011

Demi Rakyat

Sedarlah wahai anak muda sekalian. Ini tanah tumpahnya darah kita. Kita perlu hidup dengan bebas dan aman tanpa dikongkong oleh sebahagian golongan elit tertentu. Jika bukan hari ini kita membuat perubahan, masa depan pasti kelam seperti apa yang telah berlaku pada generasi terdahulu. Demi rakyat yang cintakan keamanan dan demokrasi tulen, buatlah perubahan pada pilihanraya umum yang akan datang. Mari sama-sama kita memperkuatkan gelombang reformasi agar menjadi satu lingkaran ombak yang besar untuk membaham pemimpin-pemimpin yang korupsi dan zalim itu.


Sunday, June 19, 2011

Setiap perhimpunan aman ada penentangnya


9 Julai 2011 adalah tarikh dimana perhimpunan Bersih 2.0 akan berlansung. Media arus perdana tidak habis-habis melabel perhimpunan aman ini sebagai menganggu gugat ketenteraman awam dan kononnya memburukkan imej negara.

Sedangkan dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 10) memperuntukan kebebasan kepada rakyat negara ini untuk berhimpun secara aman. Apa yang pasti, melalui lipatan sejarah, setiap perhimpunan aman yang berlaku di seluruh dunia telahpun berjaya dan setiap penentang kepada perhimpunan aman tersebut pasti akan menemui kegagalan.


Contohnya...


Revolusi Iran pada tahun 1979.


Beribu-ribu rakyat keluar menyertai rapat umum dengan menyokong Ayatullah Khomeini dan menentang sistem monarki Iran. Revolusi ini berjaya walaupun mendapat tentangan dari pro-monarki.



Demostrasi Baju Kuning di Thailand


Golongan baju kuning yang menentang Thaksin Shinawatra yang menjadi Perdana Menteri ketika itu. Golongan baju kuning berhimpun selama beberapa hari di jalanan dan juga di lapangan terbang. Thaksin berjaya disingkirkan walaupun golongan Baju Merah yang pro-Thaksin menentang perhimpunan tersebut.



Rapat umum menentang rejim Hosni Mubarak di Mesir



Kira-kira sejuta rakyat Mesir keluar untuk menyertai perhimpunan aman di beberapa bandar utama di negara itu selama sebulan. Hosni Mubarak tersungkur jua setelah lebih 30 tahun menjadi Presiden. Golongan yang memihak kepada Hosni Mubarak juga keluar ke jalan-jalan utama untuk menentang perhimpunan itu. Namun gagal untuk menyelamatkan Hosni Mubarak dari disingkirkan.

Bersih 2.0 pada 9 Julai ini - Keadaan pasti sama seperti perhimpunan aman yang lain



Adakah perhimpunan aman Bersih 2.0 akan gagal jika mendapat tentangan dari Perkasa dan Pemuda UMNO? Che Wan rasakan itu tidak akan berlaku kerana himpunan aman yang dilakukan akan lebih kuat jika tentangan diberikan. Seperti sifat spring. Semakin banyak tekanan diberikan, semakin kuat daya untuk melawan kembali tekanan itu.

Saturday, June 18, 2011

Berpecah atau kita sudah matang?


Baiklah, Che Wan ingin bertanya kepada saudara sekalian adakah situasi terbahaginya dua kelompok utama iaitu barisan kerajaan dan barisan pembangkang menandakan masyarakat hari ini sudah berpecah belah ataupun mereka sudah matang dalam berpolitik?

Jawapan Che Wan adalah masyarakat atau rakyat hari ini telah matang dan BUKANNYA berpecah belah seperti yang diwawarkan oleh pemimpin-pemimpin politik tertentu.

Ini disebabkan melalui pemerhatian Che Wan, jika terjadinya dua kelompok besar yang berbeza pendapat ianya dapat mewujudkan suatu keadaan dimana periksa dan imbang (check and balance) itu akan berlaku. Keadaan ini akan memberikan kesan positif kepada negara kerana masing-masing akan saling memperbetulkan satu sama lain jika melakukan sesuatu kesilapan.

Teori inilah yang digunakan oleh negara-negara maju yang mekar dari segi demokrasinya. Kita ambil negara Amerika Syarikat sebagai contoh, dua seteru utama iaitu Republikan dan Demokrat saling bertukar-tukar tempat menguasai Rumah Putih (White House) kerana rakyatnya telah matang untuk memilih calon Presiden yang benar-benar layak menerajui negara tersebut.

Sistem dua parti lebih memberi manfaat kepada rakyat kerana ianya dapat memberi peringatan kepada kerajaan yang sedang memerintah untuk bekerja dengan lebih keras dan melaksana apa yang telah dijanjikan oleh mereka.

Jika tidak, mereka akan digantikan.

Seperti yang dikatakan oleh seorang ahli falsafah iaitu Aristotle, “absolute power corupt absolutly”. Ada benarnya kata-kata ahli falsafah Greek ini. Jika kita memberi terlalu banyak kuasa kepada seseorang, ianya akan menyebabkan seseorang itu menjadi korupsi dan memungkinkan mereka menyalahgunakan kuasa yang diberikan.

Dengan wujudnya pihak pembangkang yang kuat, ianya dapat mengehadkan gejala-gejala korupsi dan salahguna kuasa ini. Seperti apa yang berlaku semenjak Pilihanraya Umum 2008, Pakatan Rakyat dapat memberikan peringatan kepada kerajaan yang sedang mentadbir iaitu Barisan Nasional supaya berusaha dengan lebih gigih untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Biarlah kedua-dua parti tersebut bersaing secara sihat dan berlumba-lumba melakukan kebaikan yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat marhaen.

Sekali lagi Che Wan mengatakan bahawa idealogi parti politik yang berbeza tidak bermakna rakyat negara ini berpecah belah dan bergaduh. Mereka masih lagi bersatupadu dan hidup dalam keharmonian.

Sebagai contoh, jika pasukan bolasepak negara menghadapi sesuatu kejohanan seperti di Piala Suzuki, semua rakyat tanpa mengira kaum, umur dan latar belakang sama-sama memenuhi stadium dan memberikan sokongan tanpa belah bagi kepada skuad negara.

Tiada isu-isu perpecahan yang timbul, malahan adik beradik yang mempunyai idealogi politik yang berbeza boleh menyambut hari perayaan bersama-sama dengan gembira tanpa bermasam muka (Pengalaman Che Wan sendiri).

Hari ini jelas menunjukkan bahawa rata-rata rakyat telah matang dalam hal-hal yang berkenaan dengan politik dan mereka tidak takut untuk membuat sesuatu perubahan.

Jika dibiarkan sahaja Barisan Nasional itu menjadi satu-satunya parti dominan di negara ini, tentulah agak sukar untuk rakyat memberikan tentangan terhadap parti tersebut jika sesuatu kesalahan dilakukan oleh mereka. Kita perlu akui bahawa ahli-ahli didalam parti Barisan Nasional itu tidaklah sempurna dan kadang-kala terbukti melakukan salahguna kuasa.

Dengan adanya Pakatan Rakyat, ianya akan dapat menjadi alternatif kepada rakyat untuk meneutralkan kuasa yang ada pada Barisan Nasional.

Sekali lagi Che Wan mengingatkan bahawa politik masa hadapan janganlah tertumpu kepada “permusuhan” tetapi lebih kepada “persaingan sihat”. Parti mana yang lebih adil dan berkebajikan pastinya akan berjaya menarik sokongan rakyat terbanyak. Ibarat sebuah aliran sungai yang terbahagi dua namun menuju ke muara yang sama. Begitulah juga perihal parti politik. Walau berbeza, namun destinasi kita sama. Untuk kesenangan dan kebajikan rakyat...

P/s Mari sama-sama menuju ke suatu dimensi baru..Reformasi..!

Saturday, June 4, 2011

Satu lagi perancangan yang gagal..


Che Wan bersama seorang kenalan baik menghadiri sesi temuduga di Hotel Legend Kuala Lumpur. Selepas selesai sesi temuduga tersebut, kami pun mengambil keputusan untuk berehat seketika di McDonald The Mall (bersebelahan hotel tersebut). Selesai mengisi perut dengan sebuah beef burger dan air coke yang dibelanja oleh kenalan Che Wan itu, Che Wan pun lantas bergegas ke stesen komuter Putra untuk balik ke rumah.

Jam menunjukkan pukul 6.30 petang. Che Wan berada di stesen komuter Putra. Sangat ramai orang ketika itu. Bermacam watak dan bermacam jenis ragam yang Che Wan sempat perhatikan. Budak sekolah, pekerja kilang, lelaki banggali, gadis manis bertudung dan macam-macam lagi. Semuanya seperti Che Wan, menunggu train yang berkepala kuning dan berbadan biru itu. Train pertama menuju ke Rawang sampai. Che Wan bergegas ke muka pintu train tersebut. Namun, Che Wan berasa kehampaan kerana disebabkan penumpang di dalam train tersebut terlalu padat, Che Wan mematikan niat untuk menaiki train tersebut.

Che Wan terus menunggu dengan penuh kesabaran. Kira-kira hampir sejam menunggu, train kedua yang menuju ke Rawang tiba. Kali ini sekali lagi Che Wan beratur dengan penuh pengharapan. Setelah train tersebut berhenti dan membuka pintu automatiknya, hanya beberapa orang sahaja yang turun. Selebihnya masih berada di dalam train tersebut. Senario dan keadaannya hampir sama dengan train pertama tadi. Penuh dan padat (macam tin sardin!). Bagi yang bernasib baik, dapat juga menaiki train tersebut walaupun mereka terpaksa mengempis perut dan mengecilkan diri mereka untuk memadatkan tempat yang sudah tersedia padat itu.

Train kedua tadi perlahan-lahan menutup pintunya lalu mengelongsor laju meninggalkan Che Wan. Che Wan berasa sangat kecewa. Tiba-tiba Che Wan teringat kata-kata seorang rakan Che Wan yang pulang bercuti daripada melanjutkan pengajiannya di Seoul, Korea dulu. “Kau tahu tak wan, kat Korea kalau train lewat 2 minit pun orang sana dah marah-marah dan maki hamun kau tau tak”. Lantas Che Wan berfikir sejenak. Bukankah dua tahun lalu kerajaan ada memperkenalkan Enam Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) dimana salah satu bidangnya adalah ingin meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini?

Jika betul program yang diperkenalkan itu mengikut seperti apa yang dirancangkan, mengapakah keadaan kepadatan penumpang-penumpang yang menggunakan pengangkutan awam seperti ini masih berlaku? Che Wan melihat bahawa tiada bezanya keadaan dua tahun lalu dan hari ini dari segi kualiti pengangkutan awam. Keadaanya masih lagi sama. Tiada ketepatan masa dan perkhidmatan pengangkutan tidak dapat menampung keperluan pengguna pada satu-satu masa. Segala idea “transformasi” yang diuar-uarkan oleh kerajaaan hanya bersifat perubahan kosmetik dan luaran sahaja. Sesetengah orang “melabel” keadaan ini sebagai retorik politik yang mana rakyat ditipu oleh janji-janji manis yang dibuat oleh pihak kerajaan.

Apa yang menghairankan adalah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk memantau proses implementasi seperti PEMANDU masih lagi tidak dapat menjamin keberjayaan sesebuah program atau polisi yang dirancanakan. Inilah masalah utama yang dihadapi oleh Malaysia semenjak dari dulu lagi. Segala perancangan yang direncana sememangnya kelihatan hebat pada mulanya. Namun pabila tiba pada proses perlaksanaan, perancangan yang hebat tadi tidak dapat dizahirkan dengan jayanya. Che Wan melihat kegagalan setiap polisi dan program itu adalah kerana berlaku ketirisan, korupsi dan salah guna kuasa. Ini kerana jika setiap agensi kerajaan atau sesebuah organisasi itu melakukan tugas mereka dengan betul dan amanah, segala bentuk perancangan pasti akan dapat dilaksanakan.

Dalam permasalahan pengangkutan awam tadi, sebab utama berlaku kesesakan dan kepadatan penumpang adalah kerana jumlah pengangkutan awam yang terhad. Kerajaan perlu menyedari bahawa seiring dengan meningkatnya populasi penduduk, jumlah pengangkutan awam di negara ini perlulah juga ditingkatkan. Barulah akan wujud situasi keseimbangan dimana penawaran dan permintaan akan bertemu (konsep ekonomi). Jika kerajaan boleh membelanjakan sebahagian duit pembayar cukai untuk membeli jet pejuang dan kapal selam bagi tujuan yang kurang penting, mengapa tidak kerajaan meningkatkan perbelanjaan bagi kepentingan awam seperti membeli gerabak-gerabak baru untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan bas-bas baru untuk Rapid KL?

Disitu telah menampakkan kelemahan kerajaan dalam menjayakan setiap polisi dan program yang telah dirancang. Diharapkan kerajaan sedar akan kelemahan ini. Jika tidak, berilah laluan kepada pemimpin-pemimpin generasi baru untuk merencanakan polisi dan program yang lebih progresif dan dinamik.


P/S Kira-kira tiga jam Che Wan perlukan untuk sampai ke rumah di Kuala Kubu Bharu dengan pengangkutan awam..Sabar je lah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...