Jumlah Pelawat

Wednesday, November 17, 2010

Konsep Pemisahan Kuasa dan Aliran Demokrasi di Malaysia



Sudah agak lama Che Wan tidak mengemas kini info-info terbaru dalam wadah Nukilan Sebuah Perspektif ini. Baru-baru ini dunia mendapat satu berita gembira dimana pejuang demokrasi yang juga pemenang nobel keamanan iaitu Aung San Suu Kyi telah dibebaskan daripada tahanan rumah selama hampir 15 tahun yang dilakukan oleh pihak junta. Ternyata sinar demokrasi semakin menampakkan hasil di Myanmar walaupun Suu Kyi terpaksa mengorbankan sebegitu banyak masanya demi keadilan. Kali ini Che Wan ingin berkongsi sedikit pandangan tentang konsep pemisahan kuasa (separation of powers) dan hubungannya dengan perinsip-perinsip demokrasi didalam konteks negara kita sendiri iaitu Malaysia. Apakah faktor-faktor yang membuatkan sesebuah negara itu diketegorikan sebagai demokrasi? Dan bagaimanakah sesebuah sistem pemerintahan itu berfungsi agar perinsip demokrasi sesebuah negara itu dapat ditegakkan? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui apakah maksud sebenar konsep pemisahan kuasa itu sendiri dan apakah hubungannya dengan demokrasi.

Menurut A. C. Kapur (1950) dalam bukunya yang bertajuk Principles of Political Science, beliau mendefinasikan pemisahan kuasa sebagai “distribution of power functionally into Legislature, Judiciary and Executive body”. Oleh yang demikian, ianya membawa maksud bahawa konsep pemisahan kuasa ini membahagi peranan kerajaan kepada tiga badan utama iaitu Perundangan, Kehakiman dan juga Eksekutif. Ini perlu dilakukan bagi mewujudkan suasana dimana periksa dan imbang (check and balance) berlaku. “Check and balance” ini akan memastikan bahawa setiap badan-badan tadi akan menjalankan tugas mereka tanpa korupsi dan juga menghalang mereka dari mengunakan kuasa yang melampaui batasan.

Berpandukan kepada pengertian itu tadi, bolehlah disimpulkan bahawa apa yang diperaktikkan di Malaysia tidaklah menunjukkan bahawasanya negara ini mengamalkan sistem demokrasi yang sejati. Ini terjadi kerana, sudah menjadi lumrah parti yang berkuasa (setelah menang pilihanraya) menguasai dua fungsi utama kerajaan iaitu badan eksekutif dan juga perundangan. Ini bermaksud, individu yang dipilih sebagai ahli dewan rakyat boleh juga memegang jawatan di dalam kabinet kerajaan melalui kementerian-kementerian yang ditubuhkan. Pabila seorang individu dibolehkan memegang dua peranan di dalam sistem pemerintahan, ini akan memungkinkan mereka melakukan salah guna kuasa. Sebagai contoh, ahli dewan rakyat boleh mengemukakan sesuatu cadangan yang dapat memberi faedah terhadap kementerian yang diterajui olehnya.

Selain itu juga, berpandukan sejarah dan konflik-konflik yang telah berlaku pada sistem pemerintahan di negara ini, ianya memberi suatu fakta jelas dan sahih yang mengukuhkan lagi pendapat bahawa negara Malaysia bukanlah sebuah negara yang sepenuhnya mengamalkan elemen demokrasi di dalam aspek pemerintahanya. Salah satu peristiwa besar yang mencalarkan imej demokrasi di Malaysia adalah rentetan peristiwa pemecatan Ketua Hakim Negara pada tahun 1987. Diatas sebab-sebab politik pada ketika itu, Perdana Menteri telah memecat Tun Muhamad Salleh Abbas selaku Ketua Hakim Negara kerana badan kehakiman mengangkat keadilan secara telus pada waktu itu. Disebabkan keadilan telah diangkat selayaknya, keputusan mahkamah tidak menyebelahi beliau untuk mengekal survivalnya di dalam parti UMNO yang berlaku perebutan kuasa antara beliau dan juga Tunku Razaleigh Hamzah. Pada ketika itu, Tun Dr. Mahthir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia memecat Tun Salleh Abbas dan kemudiannya digantikan oleh Tun Abdul Hamid Omar yang dipilih olehnya. Peristiwa ini membuktikan bahawa badan-badan kerajaan di Malaysia tidak mengamalkan konsep pemisahan kuasa (berpandukan demokrasi) yang membolehkan mereka dengan mudahnya mencampuri urusan sesuatu badan yang lain.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Economist Intelligence Unit Index of Democracy pada tahun 2008, dengan menilai lima kategori utama iaitu proses pilihanraya, kedaulatan hak, fungsi kerajaan, penyertaan dalam politik, dan juga budaya politik, negara Malaysia menduduki tempat ke 68 daripada 167 negara yang disenaraikan. Menurut kajian itu juga, Malaysia dikategorikan sebagai negara yang cacat demokrasinya (flawed democracy) dengan mengumpul indek sebanyak 6.36. Sesunguhnya ranking Malaysia ini amat memalukan jika dibandingkan dengan negara-negara mundur lain seperti Papua New Guinea (61) dan Botswana (39). Negara yang sentiasa mengalami konflik pertumpahan darah juga lebih tinggi ranking demokrasinya berbanding Malaysia seperti negara Thailand (54), India (35). China pula seperti yang kita ketahui sebagai sebuah negara komunis juga berada lebih jauh kehadapan dari Malaysia iaitu di tempat yang ke-33.

Kesimpulannya, rakyat negara ini perlu mengetahui hakikat dan fakta bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara pengamal demokrasi yang sebenar. Untuk mencapai Wawasan 2020, ada digariskan cabaran untuk mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun. Jika sistem pemerintahan masih lagi goyah dimana elemen-elemen demokrasi tidak dapat diangkat selayaknya, Che Wan beranggapan agak sukar untuk kita mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai mentaliti matang dan berfikiran terbuka yang dapat memberi kritikan secara membina kepada kerajaan. Jika cabaran ini gagal untuk diatasi, bagaimanakah kita ingin mewujudkan sebuah negara maju dan demokrasi yang mendukung freedom of speech?

***Che Wan teringat ketika demostrasi secara aman pun disembur gas pemedih mata..

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...