Jumlah Pelawat

Tuesday, May 24, 2011

Pengasas UMNO yang menolak UMNO

Asalamualaikum dan salam reformasi buat semua. Hasil tulisan Che Wan kali ini adalah menyentuh tentang persoalan politik berasaskan perkauman sama ada ianya relevan atau tidak untuk diamalkan pada zaman moden kini. Idea artikel ini terbit sewaktu Che Wan sedang beristirehat di rumah sambil menonton berita di sebuah saluran swasta tanah air. Kebetulan waktu itu berita tersebut membuat liputan tentang majlis perasmian sebuah buku sejarah yang bertajuk UMNO dan Malayan Union. Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Dato Hishamuddin Tun Hussein. Secara keseluruhannya, buku itu adalah berkenaan Dato’ Onn Ja’afar dan juga sejarah kewujudan UMNO (gambar Dato’ Onn Ja’afar sebagai kulit buku).

Walaupun Che Wan belum memiliki dan membaca buku tersebut, namun Che Wan berasa sedikit ketidakpastian adakah penghasilan buku tersebut bertujuan untuk memberi peringatan kepada pendukung-pendukung UMNO masa kini tentang perjuangan parti yang cuba dihubungkaitkan dengan ketokohan Dato’ Onn Ja’afar atau sebaliknya. Jika ketokohan Dato’ Onn Ja’afar itu digunakan untuk memberi contoh dan teladan kepada pemimpin-pemimpin UMNO masa kini, Che Wan melihat ianya tidaklah begitu tepat. Ini kerana Dato’ Onn Ja’afar telah pun keluar daripada UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos 1951.

Secara peribadi, Che Wan sendiri mengagumi ketokohan yang ada pada Dato Onn Ja’afar kerana beliau berpandangan jauh serta mempunyai visi yang mantap terutamanya tentang perkara-perkara yang berkenaan dengan hubungan antara kaum. Tertubuhnya parti UMNO pada tahun 1946 adalah hasil buah fikiran beliau sendiri dimana bertujuan untuk menentang penubuhan Malayan Union oleh pihak penjajah British pada waktu itu. Namun, sebagai seorang pemimpin ulung yang berpandangan jauh, Dato Onn Ja’afar telah mengesyorkan bahawa parti UMNO dibuka kepada semua kaum dan tidak dihadkan kepada kaum Melayu sahaja dan nama UMNO ditukar kepada "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu".

Syor ini telah menimbulkan kemarahan sebahagian besar penyokong-penyokong UMNO kerana mereka beranggapan tindakan itu akan menghakis hak-hak mereka sebagai orang melayu dan “tuan tanah” kepada wilayah semenanjung dan menyamai konsep yang British perkenalkan melalui Malayan Union. Diatas sebab itu, pengasas kepada parti UMNO ini telah mengambil keputusan dengan meletak jawatannya sebagai Presiden dan keluar daripada parti itu. Beliau kemudinnya menubuhkan IMP pada tahun yang sama. Parti baru yang diperkenalkan oleh Dato Onn Ja’afar ini membuka keahliannya kepada semua penduduk di tanah melayu tanpa dibezakan oleh bangsa, kaum atau ras.

Tujuan utama Dato Onn Ja’afar menubuhkan parti berbilang kaum ini adalah berniat baik dimana ianya dapat mengeratkan keharmonian antara semua kaum dan memberi suatu kesan baik untuk jangka masa panjang. Inilah yang tidak difahami oleh sebahagian orang-orang melayu pada waktu itu. Bagi mewujudkan semangat hormat-menghormati antara semua kaum, mereka perlu membentuk suatu kesatuan di peringkat akar umbi. Jika kesatuan itu hanya dibentuk diperingkat nasional, amat sukar untuk mewujudkan suatu bangsa Malaysia yang bersatu. Segala permasalahan atau isu-isu yang timbul berkaitan hubungan antara kaum ianya boleh diselesaikan dengan jayanya melalui parti berbilang kaum ini dimana pemimpinnya mempunyai semangat toleransi yang tinggi. Jika diamalkan juga konsep parti berpaksikan perkauman, dikhuatiri ianya akan menjejaskan proses integrasi dan seterusnya menghakis semangat muhibah di antara semua kaum di negara ini.

Kemenangan besar pihak oposisi dalam pilihan raya umum 2008 membuktikan bahawa ideologi perkauman sempit semakin ditolak oleh generasi pada masa kini. Ini dapat dibuktikan dengan asas dan perjuangan oleh tiga parti komponen utama yang membentuk Pakatan Rakyat dimana Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengangkat konsep “keadilan”, Democratic Action Party (DAP) mengangkat konsep “demokrasi” dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengangkat konsep “islam”. Ketiga-tiga parti komponen ini dilihat tidak menggunakan elemen yang disandarkan kepada sesuatu kaum untuk mendapatkan sokongan dan pengaruh. Bagi membentuk suatu bangsa Malaysia yang gagah dan berdaya saing tinggi pada masa hadapan, kita tidak perlu lagi dipisah-pisahkan mengikut sesuatu kaum. Inilah yang cuba dibentuk oleh Pakatan Rakyat dimana “kedaulatan Rakyat” itu perlu diangkat dan bukannya kedaulatan golongan elit tertentu.

Che Wan beranggapan bahawa parti-parti politik yang berasaskan sesuatu kaum hanya menguntungan sebahagian kecil golongan-golongan elit tertentu kerana mereka mendapatkan sokongan dengan hanya memainkan isu-isu perkauman yang bersifat sensitif ini. Kononya merekalah hero dan penyelamat kepada kaum mereka sedangkan kewujudan mereka itu tidak diperlukan pun sebenarnya untuk menjamin kualiti hidup rakyat marhaen. Mereka ini bijak kerana dengan berpakaian tradisional dan melaungkan slogan berbaur perkauman, mereka mudah untuk mendapat sokongan dari kaum mereka sedangkan gaya hidup mereka sendiri bercirikan kebaratan sebenarnya!.

Keadaan ini tidak baik bagi mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatupadu. Jika politik perkauman ini terus juga diamalkan, tentunya sindrom ketakutan atau rasa perasangka buruk ini akan terus tersemat di sanubari setiap rakyat dinegara ini. Kita perlu mengetahui bahawa walaupun kita berbeza dari segi kaum dan warna kulit tetapi kehendak dan keperluan asas kita adalah sama. Kita semua adalah manusia. Tidak kiralah melayu, cina, india atau kaum minoriti yang lain kita semua perlu mengisi perut ketika lapar, berkeinginan untuk memberi pelajaran yang baik untuk anak-anak, perlukan tempat berlindung yang selesa dan sebagainya. Seperti yang kerap diucapkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ceramah-ceramahnya bahawa sebagai orang melayu, beliau amat menitik beratkan nasib bangsa melayu dengan melakukan seberapa daya mungkin untuk membantu mereka.

Akan tetapi, dalam menjaga hal ehwal orang-orang melayu, beliau juga memikirkan kesusahan hidup yang ditanggung oleh rakyat yang berasal daripada kaum lain. Kebajikan hidup mereka perlulah juga dijaga dan tidak disekat. Inilah yang tidak difahami oleh sebahagian pemimpin-pemimpin parti politik tertentu yang sangat tinggi dengan semangat perkaumannya. Mereka ini tanpa segan silu menabur fitnah, mencipta ketakutan dan meniup api kemarahan supaya memusuhi kaum lain. Apa yang Che Wan harapkan adalah kita harus mempelajari dari sejarah dan bukannya mengikuti peristiwa yang berlaku didalam lipatan sejarah secara buta-buta.

Kita adalah generasi yang menerima kesan akibat daripada keputusan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Kita harus mengakui bahawa keputusan yang dibuat oleh mereka dahulu ada memberi kesan yang positif dan juga kesan yang negatif terhadap pembangunan sosio-budaya di negara ini. Che Wan tidak menyalahkan pemimpin terdahulu kerana mereka mungkin tidak mengetahui kesan yang akan terjadi pada hari ini. Oleh yang demikian, kita perlu mereformasikan minda dengan membuat perubahan agar nasib anak bangsa kita kelak lebih baik pada waktu hadapan. Kita perlu belajar dari sejarah yang telah berlaku. Politik masa hadapan perlu lebih “bersih” dengan menjauhi fahaman-fahaman perkauman sempit seperti ini. Hormati kontrak sosial yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ianya mencukupi untuk mengekalkan semangat muhibah diantara semua kaum dinegara ini.

Tidak perlulah lagi kita mencungkil isu-isu bersifat perkauman yang boleh memecah belahkan rakyat di negara ini. Cukuplah. Tumpukan pada isu-isu yang lebih bersifat global seperti permasalahan ekonomi dan sebagainya. Itu lebih memberi faedah kepada rakyat secara keseluruhannya. Akhir sekali, usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat hari ini nyata lebih mirip dengan usaha yang dilakukan oleh Dato’ Onn Ja’afar kerana kedua-duanya tertumpu kepada membina jaringan dan hubungan yang lebih baik diantara semua kaum. Pengasas UMNO ini dengan sendirinya keluar dari UMNO kerana tidak berasa yakin terhadap sifat perkauman yang terkandung di dalam parti tersebut. Syukur generasi masa kini telah menampakkan perubahan. Nilai-nilai perkauman yang tidak baik semakin ditolak hari ini. Alangkah baiknya jika diantara kita tiada lagi sengketa, perasangka, dan perpecahan. Alangkah indahnya jika suatu hari nanti anak-anak kita boleh duduk bersama tanpa mengira warna kulit, bergurau dan bersenda..

Ayuh!Kita sama-sama menuju suatu dimensi baru.

6 Ulasan:

Alexia Aqram said...

salam.

sekadar memberi pendapat. saya rasa perspektif anda mengenai dato onn jaafar agak kurang tepat.

di sini saja memberikan perspektif saya, dan mungkin majoriti perspektif ramai dari kalangan veteran UMNO sendiri mengenai dato onn jaafar, UMNO, visi, IMP dan di sebalik penubuhan PERIKATAN.

visi dan misi dato onn jaafar mudah saja. Visi awalnya ialah, Menyatupadukan orang-orang Melayu di tanah Melayu di bawah UMNO atau PEKEMBAR. visi itu tercapai apabila orang-orang melayu yang sebelum ini berpecah kerana semangat kenegerian dan fahaman terhadap sultan, telah mula mengendurkan semua pandangan berbeza dan beralih kepada penyatuan politik demi menyelamatkan survival orang Melayu, khasnya dengan tertubuh UMNO.

namun, selepas beberapa tempoh orang-orang Melayu berjaya di satupadukan. Visi dan misi Dato Onn Jaafar mula meningkat ke satu tahap yang lebih besar. Visi itu ialah Menyatupadukan seluruh rakyat Tanah Melayu untuk mencapai kemerdekaan. Visi ini agak besar kerana ia melibatkan penglibatan kaum2 lain iaitu Cina dan India.

Hal ini menyebabkan Dato Onn Jaafar bercadang membuka UMNO kepada kaum-kaum lain. Anda kena tahu mengapa orang-orang Melayu sewaktu itu atau orang-orang Melayu yang menyertai UMNO tidak bersetuju dengan penyertaan kaum lain ke dalam UMNO. Ia kerana orang-orang Melayu masih belum sedia dan masih banyak jurang antara kaum apatah lagi setelah slogan 'KEBANGSAAN MELAYU' di perjuangkan untuk menyebarkan kekuatan Melayu bagi membenci British.

Hakikatnya, memang mustahil untuk UMNO membuka keahlian kepada kaum lain sewaktu itu. Dato Onn merasakan ia juga mustahil, namun demi kemerdekaan, apa lagi yang Dato Onn boleh lakukan? Nilai sebuah kemerdekaan bagi Dato Onn ialah perpaduan orang Melayu dan kaum2 lain. Dan itu juga syarat British bagi memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Kemerdekaan tanpa penumpahan darah dan peperangan. Kemerdekaan dengan perbincangan dan kesefahaman.

Dato Onn bukan rela mahu keluar dari UMNO. Ia adalah satu tindakan keterpaksaan. Akur dengan semangat orang Melayu yang membara sewaktu itu.

Bagi orang-orang Melayu sewaktu itu, ada satu jalan lagi yang boleh mempercepatkan kemerdekaan. Jawapannya ialah dengan IKATAN antara seluruh kaum di Tanah Melayu. Idea itu datang dari Tunku abdul Rahman Putra Al-Haj. Yang menerajui UMNO selepas Dato Onn. Idea Tunku ialah mudah, UMNO takkan membuka keahlian kepada kaum lain, tetapi itu tidak bermakna UMNO tidak boleh duduk semeja dan bersekutu dengan kaum-kaum lain.

dari situ timbullah PERIKATAN. yang mengikat ketiga-tiga parti terbesar antara kaum untuk mencapai kemerdekaan. UMNO, MCA dan MIC.

hal ini di persetujui British, dan British memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Anda tak perlulah mengatakan Dato Onn menolak UMNO. Dato Onn kekal sebagai wira UMNO di mata generasi UMNO sampai bila-bila. Jika Dato Onn menolak UMNO, masakan anak dan cucunya di benarkan menyertai dan menerajui UMNO?

Anda perlu tahu, parti politik hanyalah sebuah entiti perpaduan. Tetapi, jasa Dato Onn kepada masyarakat Melayu terutaman UMNO sendiri, adalah tiada tolok bandingan. Bahkan, raja dan sultan sewaktu itu pun tidak mampu menyatupadukan orang-orang Melayu. Hanya Dato Onn saja.

Kesimpulannya, Dato Onn bukan menolak UMNO, tetapi Dato Onn keluar kerana ada misi yang lebih jauh dari UMNO. Di akhirnya, misi itu bukan dilaksana oleh dato Onn, cuma ia dapat kepada Tunku Abdul Rahman. Rezeki masing-masing, hanya tuhan yang tahu.

harap anda faham, dan usah mencetuskan polemik dalam UMNO yang mungkin anda tidak faham keseluruhannya.

p/s : sekali lagi, tiada masalah dengan parti berlandaskan kaum. yang menjadi masalah ialah parti yang tidak boleh tolerate dengan parti kaum lain. setakat ini, UMNO masih tolerate, buktinya dengan kewujudan Perikatan dan Barisan Nasional. Cuma, apakah DAP mampu bertoleransi dengan PAS?

sekian, terima kasih.

AA

Che Wan said...

Wasalam...

Pertamanya disini terima kasih kerana membahaskan isu ini dengan menggunakan daya intelektual yang tinggi. Amat sukar dikala ini hendak mencari seseorang yang meneliti persoalan politik berpandukan fakta dan hakikat sebenar.

Baiklah. AA sendiri mengakui bahawa Dato Onn Jaafar mempunyai visi yang lebih besar pada waktu itu. Ya..sememangnya ada kebenaran. Seperti yang saya kongsikan dalam artikel ini.Dato Onn mempunyai niat yang baik iaitu untuk menyatupadukan rakyat untuk tempoh jangka masa panjang.

Idea beliau ini mungkin agak kelihatan "idealistik" pada waktu itu. Tetapi percayalah bahawa idea ini jika dilaksanakan pastinya akan mengeratkan lagi hubungan antara kaum di negara ini.

Jika AA hendak katakan bahawa berlaku keterpaksaan untuk Dato Onn meninggalkan parti UMNO disebabkan semangat oarang Melayu yang membara pada waktu itu, saya menyanggah pendapat ini. Saya katakan sememangnya Dato Onn sebagai pengasas UMNO sendiri "menolak" UMNO kerana mempunyai agenda baru yang lebih besar dan baik. AA pun mengakui hakikat ini.

Fahami terminologi "menolak" itu. Dato Onn sememangnya menolak UMNO kerana dia memilih untuk menrima perinsip keharmonian untuk semua kaum dan bukannya sifat fanatik membuta tuli terhadap sesuatu kaum itu.

Che Wan said...

Jika AA menggunakan hujah bahawa perpaduan antara kaum dapat dijelmakan dengan terubuhnya PERIKATAN yang mengabungkan UMNO, MCA dan MIC, dapat menyatupadukan rakyat dinegara ini, saya sekali lagi menyangkal pendapat itu.

Ini kerana penubuhan PERIKATAN yang membentuk Barisan Nasional hanya berlaku di peringkat nasional. Untuk menjamin sifat toleransi antara semua kaum, sesuatu parti itu perlu bersifat holistik dan strukturnya perlulah boleh menerima keanggotaan setiap kaum.

Buat pengetahuan saudara AA saya memahami benar asas dan perjuangan UMNO dan segala sejarahnya kerana saya dibesarkan di dalam keluarga yang menyokong kuat parti tersebut. Untuk pengetahuan saudara AA, saya juga pernah mendaftar sebagai ahli UMNO pada tahun 2007 (kad keahlian UMNO masih ada dalam simpanan saya).

Namun apabila saya mempelajari segala konsep dan teori demokrasi tulin, saya melihat bahawa parti yang berlandaskan kaum bukanlah jalan terbaik untuk membentuk "bangsa Malaysia" yang berdaya saing tinggi untuk masa-masa yang mendatang.

Ini ditambah lagi apa yang berlaku pada masa lampau dimana parti yang berlandaskan kaum ini semakin terpesong dari asas dan perjuangannya. Tahukah saudara AA bahawa UMNO yang dikatakan parti terbesar orang-orang melayu itu pernah mengemukakan usul mengehadkan hak kekebalan Raja-Raja Melayu pada tahun 1993 sehingga mengubah perkara 66 dalam Perlembagaan Persekutuan?

Amat kecewa bila parti yang dikatakan memperjuangkan bangsa melayu itu sendiri mahu menghakis hak kekebalan Institusi Raja-Raja Melayu. Sepatutnya institsi ini perlu dilindungi dan dihormati kerana Raja-Raja Melayu merupakan lambang kedaulatan negara.

Saudara AA perlu berlapang dada dan cuba berfikir dengan lebih kritis. Akui hakikat sebenar bahawa hari ini pemimpin-pemimpin yang menggunakan isu-isu yang bersifat perkauman hanya mahu mendapatkan sokongan dan pengaruh.

Jika isu PAS dan DAP yang cuba dibangkitkan, Sehingga hari ini tiada satu permasalahan besar pun yang timbul. Hubungan antara ketiga-tiga parti komponen masih utuh walaupun kadangkala pihak-pihak luar sekali lagi meniup isu-isu yang bersifat perkauman. PAS di dalam Pakatan Rakyat mempunyai agenda murni iaitu ingin menjelaskan perinsip-perinsip islam sebenar kepada yang bukan islam.


Tindakan ini boleh dikatakan sebagai proses dakwah PAS untuk membuktikan bahawa undang-undang islam itu lebih bersifat adil untuk semua kaum berbanding undang-undang sivil yang kita gunakan pada hari ini.

Buktinya MB Pulau Pinang iaitu Lim Guan Eng sendiri ingin mencontohi corak pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Walaupun ada yang berpendapat bahawa tindakan ini mengkin hanya bersifat retorik politik namun dilihat MB Lim mahu juga memperkatakan tentang pemimpin islam dan hal-hal yang berkenaan dengan islam. MB Lim juga tanpa berat hati untuk sama-sama berarak sewaktu sambutan maal hijrah.

Dibandingkan dengan bekas MB Pulau Pinang dulu iaitu Dr Koh Tsu Koon, beliau jauh sekali mahu memperkatakan tentang hal-hal yang berkaitan dengan agama islam. Suatu persoalan timbul, apakah UMNO gagal dalam menyebarkan fahaman islam yang bersifat syumul itu?

Saya tidak mengamalkan politik penentangan dimana saling menuding jari dan saling menyalahkan orang-orang yang berada disekeliling mereka. Saya melihat sesuatu dari perspektif sejarah dan fakta yang telah berlaku. Kebenaran tetap menjadi Kebenaran. Yang batil tetap menjadi batil.

Syukur bahawa hari ini anak-anak muda semakin sedar dan menolak fahaman politik yang berlandaskan kaum seperti ini.

Diharapkan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih baik dari hari ini dimana semua rakyatnya dapat bergaul dengan penuh kemesraan dan hidup dalam keadaan harmoni serta Malaysia menjadi lebih aman dan tenteram. Amin...

Sekian, Terima Kasih..

AlexiaAqram said...

salam kembali.

ada beberapa perkara yang saya kurang setuju dengan pendapat saudara, biarlah saya kepada perkara2 itu saja ya?

misi yang besar oleh dato onn yang saya maksudkan saya ialah misi perpaduan seluruh kaum di tanah melayu. ada pelbagai cara sebenarnya selain dari cara dato onn dan cara tunku abdul rahman. cara lain ialah seperti yang di lakukan oleh golongan kiri iaitu menolak kehendak british. ataupun mengadakan revolusi rakyat. hartal contohnya. smeua itu berlandaskan ke arah perpaduan rakyat.

namun, hakikat yang perlu saudara kena lihat ialah. pilihanraya pertama, sokongan seluruh rakyat tanah melayu adalah kepada PERIKATAN. sebuah blok parti yang membawa perpaduan dalam tanah melayu. saudara kena terima hakikat ini, pilihanraya tersebut menunjukkan suara rakyat tanah melayu yang sebenar. saya tak rasa rakyat bodoh sewaktu itu. jika tindakan dato onn keluar dari UMNO kerana melihat kelemahan UMNO. pasti UMNO akan kalah dalam pilihanraya. tetapi, hakikatnya UMNO dan PERIKATAN tetap menang, dengan undian dari majoriti orang melayu, cina dan india.

apakah itu tidak cukup perpaduan kah? suara rakyat sewaktu itu sia-sia kah? kemerdekaan tidak tercapai? tidak cukup struktur bangsa malaysia yang saudara inginkan? hanya satu kerusi di menangi oleh PAS. andai kata jika PAS yang menang banyak kerusi sewaktu pilihanraya tersebut, adakah konsep bangsa malaysia boleh di wujudkan? tidak. pastinya konsep negara islam akan di perjuangkan.

saya sedang cuba memahami terminologi 'menolak' saudara. namun, terus terang saya bukan seorang ahli sains politik. kalau psikologi, ya. pemikiran kritis, ya saya pernah pelajari. maksud menolak itu terlalu kasar apabila di lihat oleh sebilangan orang. saya lebih suka menggunakan perkataan 'meninggalkan'. kerana ia lebih nyata dan tidak menunjukkan banyak falasi. itu saja.

AlexiaAqram said...

kedua, menyentuh hal anda dan umno. ya, saya tiada masalah. saya juga lahir dari keluarga yang kuat terhadap umno. cuma saya tidak melibatkan diri dalam politik secara serius. mengikut orang-orang politik, dan bekerja dengan mereka. itu saya pernah.

apabila anda sebut tentang kes 1993. saya tersenyum membaca. adalah satu kebodohan lah kalau saya tidak tahu mengenai perkara itu. cuma, saya nak bertanya saudara. apakah trigger kepada kes tersebut? apakah saudara tidak rasakan sewaktu itu betapa zalimnya seorang sultan memukul jurulatih hoki sekolah? apakah saudara tidak terfikir jika seorang sultan negeri A, tidak sukakan sultan negeri B. maka mereka bertelagah dan bergaduh. bergaduh di pub, (kes anak sultan johor dan anak YDP NS).

ada banyak lagi kes pertelingkahan, jenayah dan kontroversi oleh sultan2 melayu sebelum penggubalan 1993 oleh UMNO. adakah saudara tidak kaji perkara tersebut? apakah saudara rela jika seorang sultan membunuh rakyatnya sendiri kerana tidak dapat mengawal kemarahan, namun sultan tersebut tidak boleh di hukum kerana kekebalan kuasa sultan yang tak boleh di hukum? di mana adil nya? bukankah itu kezaliman?

anda perlu semak hal itu dahulu.

ketiga mengenai lim guan eng. haha ini membuatkan saya kelakar. saya tidak kisah apa pandangan saudar mengenai lim guan eng. saya tinggal di pulau pinang. saya lebih tahu hal politik negeri yang saya duduki ini kini.

saya nak beritahu saudara. ia bukan setakat retorik politik. kalau disni, rakyat2 pulau pinang yang marah dengan kerajaan negeri PP dan lim guan eng mengatakan sebagai TALA DUA MUKA.

di depan orang2 melayu terutamanya kepada kroni2 dari Pakatan rakyat, dia akan cakap cantik. secantik sastera politik. di depa orang cina terutama dari kroni DAP, dia cakap lain.

3 tahun sudah rakyat miskin di pulau pinang terseksa dengan pemerintahan lim guan eng. apa yang dia janjikan mengenai tol penang, kosong. apa yang dia janjikan mengenai rumah untuk golongan berpendapatan rendah? kosong. malah tanah di balik pulau mahu di rampas. dah macam cukong UMNO perangainya. tanah di padang brown, mana hak kaum2 india yang duduk beratus tahun di situ? tarif air pun dah naik. cukai tanah? jangan cerita. yang lim guan eng asyik fikir ialah mercu-mercu pulau pinang, kelab malam dan shopping kompleks. apakah itu yang di mahukan rakyat terutamanya berpendapatan rendah?

eh, banyak sangat lah ketidak adilan pemimpin yang konon mencontohi khalifah umar ini. saya nasihatkan anda, usah terlalu kerap mempercayai harakah, suara keadilan, malaysia kini dan malaysian insider. da oh, utusan malaysia pun sama. haha!

kalau anda seorang ahli dalam sains politik yang benar2 baik, usah jadi seperti Khairy Jamaludin (KJ). itu saja yang saya minta.

sekian.

Che Wan said...

Wasalam..

Baiklah. Pertamanya Saya tidak pasti mengapa saudara AA kerap tergelak (kerap tengok maharaja lawak kot). segala yang berlaku adalah mengikut perspektif sejarah. Dan saya mengharapkan saudara AA fikir lagi dengan lebih mendalam tentang perkara-perkara yang berlaku. Jangan melihat sesuatu perkara itu dari permukaan (surface)sahaja.

Dalam isu 1993 dimana hak kekebalan Raja-Raja Melayu yang dihadkan, saya ingin mengambarkan bahawa asas dan perjuangan UMNO telah tersasar jauh dari perjuangan asal. Bagi saya walaupun Institusi Raja itu ada melakukan kesalahan, namun biarlah ianya dibincang dan diselesaikan secara dalaman. Tidak perlulah dibahaskan di dalam Parlimen sehingga mencemar dan mengaibkan Institusi Raja-Raja Melayu.

Seperti yang saya katakan tadi cuba saudara AA fikir dengan lebih mendalam. Bila perkara 66 dalam Perlembagaan Persekutuan itu diubah, saudara AA tahukah apa kesannya terhadap corak pemerintahan negara ini terutama berkenaan dengan proses implentasi sesuatu polisi itu?

Baiklah saya terangkan. Jika dulu sesuatu usul (bil) yang dibahaskan di dalam Dewan Rakyat seterusnya dibawa ke Dewan Negara perlu mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong (YDPA) sebelum dilaksanakan. Kini kuasa tersebut tidak lagi diguna pakai setelah perkara 66 dalam Perlembagaan Persekutuan itu diubah.

Ini membawa maksud jika sesuatu usul (atau polisi) itu sudah dibahas dan dapat undi 2/3 dari ahli-ahli Dewan Rakyat, usul tersebut dengan mudahnya boleh dilaksanakan. Dikhuatiri keadaan ini membawa kesan buruk terhadap negara ini kerana kadangkala usul atau sesuatu polisi itu tidak menguntungkan rakyat.

Jika dulu YDPA berperanan sebagai individu terakhir yang mempunyai kuasa untuk menyemak semula setiap usul dan baginda juga menpunyai kuasa untuk meluluskan atau membatal sesuatu usul itu.(Tertakluk pada budi bicara baginda).

Tahukah saudara AA perkara ini akan melahirkan suatu keadaan "check and balance" dan ianya baik untuk menghasilkan polisi yang benar-benar berkualiti untuk rakyat?

Baiklah. Kembali kepada persoalan DAP tadi. Saya tidak pasti isu-isu yang dibangkitkan oleh saudara AA. Saya harap suadara AA tidak terperangkap dengan isu-isu yang dibawa oleh orang-orang tertentu yang penuh dengan sifat perkaumannya. Yang saya ketahui bahawa belanjawan untuk negeri Pulau Pinang kini mencatat peningkatan kira-kira 1 billion (surplus). Jika dulu sebelum 2008, belanjawan negeri tersebut mencatatkan kerugian (defisit).

Disini saya mahu tegaskan bahawa jangan memandang buruk sahaja pihak oposisi. Mengikut teori demokrasi tulin, sebuah negara yang baik adalah kerajaan dan pembangkang perlu sama-sama kuat agar "check and balance" akan berlaku dan seterusnya kedua-dua pihak akan takut untuk melakukan salah guna kuasa atau korupsi.

Jika diizinkan Pakatan Rakyat memenangi Pilihanraya Umum ke 13 nanti, pihak Barisan Nasional perlulah juga menjadi pihak pembangkang yang kuat. Berikan kritikan yang membina dan akhirnya rakyat juga yang akan mendapat manfaat.

Secara peribadi saya menyokong UMNO yang ditubuhkan oleh Dato Onn pada tahun 1946. Tetapi saya menentang UMNO Baru yang dijenamakan semula pada tahun 1988. Ada bezanya. Harap saudara AA menyelidiki perkara itu.

Insyaallah..Jika diberi peluang saya akan buat yang terbaik dan mengambil pengajaran dari KJ dan beberapa pemimpin-pemimpin UMNO lain. Doakan Malaysia supaya menjadi lebih adil, demokrasi dan berkebajikan..

Salam hormat dari saya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...