Jumlah Pelawat

Thursday, June 3, 2010

Sinar Mavi Marmara penguat Rachel Corrie

Alkisah…..12 rakyat Malaysia telah ditahan di Ashdod iaitu di wilayah Israel. Amat memilukan apabila 12 orang rakyat Malaysia ini yang mana sedang menyertai konvoi kemanusiaan ke Gaza ditahan ketika kapal mereka Mavi Marmara berada di perairan antarabangsa dan 65 km dari Gaza. Mereka bersama ahli-ahli konvoi dari negara lain diserang oleh skuad komando negara zionis itu. Mujur tidak terkena dek peluru hidup askar-askar yahudi. Jikalau tidak, tekorbanlah mereka sepertimana ahli konvoi kemanusiaan dari Turki. Syahid menyembah bumi. Begitulah dapat digambarkan bagaimana kekejaman rejim yahudi terhadap konvoi Free Movement for Gaza yang membawa bekalan kemanusiaan seperti ubat-ubatan dan bahan-bahan binaan. Kapal laut Mavi Marmara ditawan lalu ditunda oleh pihak yahudi ke pengkalan laut mereka. Selepas pihak Israel membuat perincian terhadap kapal tersebut ternyata senjata-senjata seperti yang dituduh oleh mereka tidak ditemui. Apa yang ada? Hanyalah ubat-ubatan dan barang-barangan yang boleh membantu meringankan penderitaan yang sedang dialami oleh rakyat Palestin.

Ironinya, serangan tentera yahudi terhadap konvoi kemanusiaan ini mendapat kecaman hebat di seluruh dunia melampui sempadan agama, bangsa dan negara. Sebagai contoh, di Turki, rakyatnya membuat demonstrasi besar-besaran mengutuk tindakan di hadapan kedutaan Israel. Namun demikian perlu di ingat bahawa kesusahan yang ditangung oleh rakyat Palestin telah lama berlaku tetapi baru kini membuka mata dunia. Bayangkan bagaimana sebuah negara yahudi yang dikelilingi oleh negara-negara arab islam berani memijak dan melakukan kekejaman terhadap negara jirannya. Pertubuhan negara-negara arab iaitu Liga Arab semacam kaku terhadap kejadian ini. Peranan pertubuhan ini seperti hidup segan mati tak mahu. Tiada langsung perlaksanaan yang agresif bagi menekan negara Zionis itu.

Israel berani melakukan kekejaman kerana kita sebagai Negara islam tidak bersatu dengan jayanya. Kita masih lagi memisahkan islam melalui mazhab-mazhab dan fahaman-fahaman yang berbeza. Ketika inilah musuh-musuh islam seperti yahudi ini mengambil kesempatan. Kita tidak melihat musuh sebenar islam. Negara islam yang mempunyai kekayaan seperti Arab Saudi dan UAE seperti tutup mata terhadap apa yang berlaku terhadap saudara mereka di Palestin. Mereka lebih mementingkan kekayaan mereka seperti usahasama penjualan minyak ke negara yahudi itu. Mengapa tidak dihentikan sahaja transaksi itu? Negara-negara islam seperti Arab Saudi seolah-olah mengiktiraf pula kewujudan negara yahudi Israel.

Ketika ini “Polis Dunia” Amerika Syarikat masih lagi berdiam diri dan berpeluk tubuh walaupun jelas Israel telah melakukan kekejaman. Presiden Barack Obama masih lagi tidak memberi sebarang respon sama ada beliau menyokong perbuatan israel itu atau menentangnya. Jika negara islam seperti Iran membangunkan teknologi nuklear AS tentunya akan lantas menentangnya dan melakukan pelbagai sekatan dengan mengunakan kuasa Vetonya. Disini jelas menunjukan bahawa AS berat sebelah(double standard) dalam isu-isu keganasan ini. Ini terjadi kerana pelobi-pelobi yahudi telah dulu melobi pemimpin tertinggi dinegara Uncle Sam tersebut.

Berbalik kepada kisah kapal Mavi Marmara tadi, pihak yahudi sememangnya mempunyai niat yang jahat untuk menyekat bekalan bantuan dari sampai kepada penduduk Gaza. Diperingkat global, bermacam-macam telah dilakukan seperti persidangan, deklarasi, demonstrasi dan sebagainya tanda penentangan terhadap keganasan Israel itu. Akan tetapi, semuanya seakan kelihatan gagal kerana tiada satu pun yang dapat menyekat keganasan Israel. Tiada gunanya kita terpekik terlolong dan menghadiri persidangan berjam-jam jika tiada tindakan yang lebih agresif dapat dilakukan. Seperti kisah keperwiraan Sallehuddin Al-Ayubi menentang musuh-musuh islam dengan cara ketenteraan, negara islam juga perlu bangun bersama-sama dan membantu Palestin dari aspek militeri. Kerana ini soal kedaulatan negara Palestin. Sedikit demi sedikit Israel menjarah tanah-tanah milik Palestin.

Kini dilaporkan kapal Rachel Corrie pula melakukan misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza. Seperti kapal Mavi Marmara, kapal ini juga membawa beberapa sukarelawan dari Malaysia. Bagaimana nasib mereka nanti belum diketahui. Diharapkan apa yang terjadi kepada kapal Mavi Marmara tidak melunturkan semangat ahli-ahli sukarelawan di dalam kapal ini malah menjadi pembakar semangat bagi mereka untuk sampai ke Gaza seterusnya penyaluran bantuan dapat dilakukan. PEACE- FREE GAZA MOVEMENT**

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...