Jumlah Pelawat

Sunday, October 14, 2012

Generasi muda dan masalah kenaikan harga rumah.


Setiap orang pasti mengimpikan sebuah kediaman yang selesa untuk diduduki. Kediaman yang selesa dapat menjamin ketenangan jiwa serta dapat mempertingkatkan kualiti kehidupan seseorang itu. Sebuah kediaman yang selesa dapat ditentukan dari beberapa aspek iaitu dari segi keselamatan, keadaan fizikal, lokasi serta kemudahan-kemudahan awam setempat yang disediakan.

Melihat kepada senario semasa, Che Wan merasakan generasi muda hari ini mempunyai masalah untuk memiliki rumah sendiri disebabkan harga rumah kini yang telah melambung tinggi. Dikawasan-kawasan yang diketegorikan sebagai kawasan bandar, kepadatan penduduk menyebabkan permintaan terhadap rumah meningkat dan seterusnya harga rumah juga turut meningkat dengan sendirinya. Masalah meningkatnya harga rumah dikawasan bandar ini tidak boleh dielakkan kerana rumah juga mengikut hukum permintaan dan penawaran pasaran.

Mungkin ada yang berpendapat mengapa perlu mendiami kawasan bandar jika tidak mampu untuk menanggung kos sara hidup dikawasan tersebut? Duduk sajalah dikawasan kampung ataupun luar dari kawasan bandar. Tetapi sebagai anak muda, secara peribadi Che Wan sendiri memahami persoalan ini, mengapa anak muda tetap juga mengharungi ombak dan badai dikawasan bandar walaupun kos sara hidup dan sewa rumah di kawasan itu lebih tinggi. Sebab utamanaya adalah dikawasan-kawasan bandar peluang pekerjaannya lebih banyak dimana syarikat-syarikat dan sektor swasta amnya lebih tertumpu di kawasan tersebut.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh The National Property Information Centre (NAPIC). Harga sebuah sebuah rumah di kawasan lembah Klang secara relatifnya berharga RM 184 574 pada tahun 2009, telah melonjak naik sebanyak 20% menjadikan harga rumah tersebut RM 221 488 pada tahun 2012. Kenaikan harga rumah sebegitu drastik menyebabkan anak-anak muda kini terutamanya pasangan yang baru mendirikan rumah tangga tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri.

Nilai hartanah yang meningkat ini tidak dapat ditampung dengan jumlah kenaikan pendapatan tahunan golongan anak muda. Akhirnya keadaan ini menyebabkan rumah-rumah dikawasan bandar-bandar di bolot oleh spekulator hartanah yang seperti diketahui mempunyai banyak wang untuk membeli rumah-rumah ini tadi. Kemudian spekulator hartanah ini akan menjualnya semula dengan harga yang lebih mahal kepada orang ramai untuk mendapatkan untung. Golongan muda seperti menjadi mangsa keadaan kerana terpaksa mengumpul duit bertahun-tahun lamanya hanya untuk memiliki rumah sendiri.

Memetik dari sebuah artikel dalam akhbar Kosmo (Klik Disini), Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud ada meramalkan bahawa harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang. Jika betul apa yang diramalkan oleh Profesor Dr. Jariah Masud, tentunya perkara ini menjadi kegusaran buat generasi muda hari ini.

Dalam belanjawan 2013 yang lalu, ada mengariskan beberapa mekanisma bagi menghadapi masalah ini. Tetapi mekanisma yang digunapakai amatlah lemah kerana ianya tidak dirangka menjurus kepada golongan anak muda di negara ini. Pihak kerajaan perlu menyediakan satu skim pemilikan rumah yang dituju khas buat generasi muda. Pihak kerajaan seharusnya memperkenalkan satu skim yang dipanggil “skim kediaman impian untuk graduan”.

Skim ini seperti juga skim pinjaman kereta untuk graduan perlu lebih fleksibel dan syarat-syarat pinjaman perlulah tidak terlalu ketat. Ini memudahkan anak-anak muda yang baru sahaja bekerja untuk mendapat kelulusan pinjaman perumahan. Skim ini dapat membantu golongan muda untuk memiliki rumah sendiri diawal usia mereka.

Jika anak muda itu sendiri mahu menunggu kenaikan gaji dahulu sebelum mahu membeli sesebuah rumah, tentunya pada waktu itu bukan sahaja akan lebih membebankan, malahan ianya menjadi makin sukar kerana harga rumah juga makin meningkat dan harganya pula tidak statik setiap masa. Sebagai contoh, rumah yang berharga RM 300 000 hari ini mungkin akan meningkat menjadi RM 400 000 pada dua tahun akan datang kerana seperti yang diketahui nilai pasaran hartanah makin meningkat dari satu tahun ke satu tahun.

Berpandukan kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jobstreet.com, lingkungan gaji yang diperoleh para graduan ijazah yang baru bekerja adalah sebanyak RM 2500 hingga RM 2800 sebulan. Jika rata-rata anak muda di Malaysia memperolehi gaji setiap bulan serendah itu, tentunya agak sukar bagi mereka membuat pinjaman perumahan untuk memiliki sebuah kediaman impian.

Pihak kerajaan melalui pengawalan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mewujudkan pinjaman perumahan fleksibel ini yang dikhususkan kepada generasi muda dibawah umur 30 tahun. Tempoh pembiyaan bayar balik pinjaman perumahan ini perlu dipanjangkan serta kadar faedahnya hendaklah direndahkan dari kadar semasa (4% ketika ini) agar bayaran bulanan yang dikenakan kepada peminjam tidak terlalu tinggi. Pembelian rumah diwaktu awal usia dapat mengurangkan beban anak-anak muda di negara ini untuk memiliki rumah sendiri sebelum harga rumah impian mereka melambung tinggi pada waktu hadapan.

Lantaran itu, mekanisme terbaik bagi mengatasi masalah ini adalah dengan memperkenalkan skim bantuan pinjaman “mesra” anak muda seperti yang Che Wan cuba kongsikan tadi. Diharapkan kerajaan pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memandang permasalahan ini dengan lebih serius kerana rumah adalah penting untuk rakyat. Ianya adalah ibarat perisai yang melindungi dari terik panas mentari dan juga rintik-rintik hujan. Rumah adalah keperluan hakiki buat insan yang bergelar manusia. Sedialah sebuah tempat teduh yang baik untuk mereka agar mereka dapat merasakan bahawa “rumahku adalah syurgawiku”.

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...