Jumlah Pelawat

Monday, November 19, 2012

Demi Rakyat: Bertindak sekarang, Selamatkan Malaysia!

Saturday, November 17, 2012


Wednesday, November 14, 2012

Menghadapi perbezaan politik dengan berlapang dada



Sistem Raja Berpelembagaan merupakan tulang belakang dan tunjang kepada sistem pemerintahan di Malaysia yang mengamalkan ciri-ciri demokrasi sebagai garis panduan pentadbiran (rujuk konsep pemisahan kuasa). Apabila kita bercakap mengenai sebuah negara demokrasi tulen, ianya tidak boleh lari dari kerangka wujudnya dua belah pihak iaitu pihak kerajaan dan juga pembangkang. Cantiknya sistem demokrasi ini adalah kerana ianya membolehkan kedua-dua belah pihak sentiasa saling nasihat menasihati antara satu sama lain demi kebaikan masyarakat bersama.

Peranan pembangkang tidak boleh diperkecilkan kerana melalui suara merekalah segala rasa ketidakpuasan hati rakyat itu dapat dibawa seterusnya diketengahkan. Sebab itulah watak ataupun sumbangan pihak pembangkang diiktiraf seperti yang termaktub di dalam perlembagaan sehingga pihak pembangkang diberikan tempat rasmi didalam parlimen untuk menyuarakan segala pandangan dan kritikan mereka.

Hari ini kita perlu melihat perbezaan idealogi politik dari perspektif yang berbeza berbanding dengan generasi terdahulu. Jika dahulu mak-mak atau atuk nenek kita sangat emosional dan sanggup senteng tangan menentang orang-orang berbeza fahaman politik, janganlah sifat itu diulang semula hari ini. Kita seharusnya bersikap profesional dan matang serta mempunyai sifat toleransi yang tinggi terhadap individu yang mungkin tidak sehaluan dengan kita.

Dalam sebuah negara demokrasi madani, perbezaan pendapat itu perlu dianggap sebagai perkara biasa selagi ianya bertujuan untuk kebaikkan negara. Kita perlu beranggapan bahawa setiap parti politik di negara ini mempunyai agenda yang baik tetapi diantara yang baik itu kita perlu memilih mana satukah yang terbaik serta diyakini dapat memacu negara ini dengan lebih gemilang.

Pandora pemikiran kita perlu dibuka seluas-luasnya agar kita dapat menjauhi budaya-budaya samseng yang dilihat sedang menjangkiti segelintir masyarakat yang terlalu beremosi terhadap orang-orang yang berbeza sudut pandangan dari mereka sehingga memungkinkan tindakan-tindakan ganas berlaku.

Mutakhir ini, serangan demi serangan dalam bentuk samseng ini semakin berleluasa berlaku dan dilihat kebanyakkanya dituju kepada tokoh-tokoh dari kem pembangkang. Ini terjadi kerana parti-parti yang berlandaskan kaum dengan tanpa rasa bertanggugjawab memainkan sentimen-sentimen perkauman yang melampau. Keadaan ini amatlah mengusarkan kerana seperti yang diketahui sentimen perkauman akan menjadi bom jangka kepada perpaduan rakyat dinegara ini. Individu yang cetek akalnya akan mudah terpengaruh dengan permainan sentimen perkauman dan seterusnya akan menzahirkan perbuatan ganas mereka itu.

Sebenarnya, jika semua rakyat faham benar tentang kerangka sebuah negara demokrasi tulen, nescaya masalah politik samseng seperti ini mungkin akan dapat diatasi dengan jayanya. Sehubungan dengan itu, rakyat dinegara ini hendaklah memperhebat pembacaan terutamanya berkenaan isu semasa, sains politik dan sosial supaya fikiran mereka menjadi lebih rasional dan terdedah kepada fakta yang sebenar.

Untuk memudahkan pemahaman bagaimana kita mampu untuk berlapang dada bagi menghadapi perbezaan idealogi politik, Che Wan akan jelaskan melalui perumpamaan “milo ais - teh ais”.


Demokrasi matang ibarat “Teori Milo Ais - Teh Ais”

Demokrasi yang matang adalah ibarat teori “milo ais dan teh ais”. Che Wan katakan begitu kerana kedua-dua jenis minuman ini sememangnya sedap diminum tetapi dari segi rasa ianya berbeza. Inilah yang dipanggil sebagai citarasa. Individu A meminati milo ais lebih dari teh ais. Manakala individu B pula meminati teh ais lebih dari milo ais. Dalam konteks ini masing-masing mempunyai citarasa tersendiri. Kita tidak boleh saling salah menyalahkan kerana kedua-dua belah pihak adalah betul. Sememangnya kedua-dua jenis air minuman ini adalah enak dan menyegarkan.

Begitu jugalah dengan perihal terhadap pandangan politik ini. Ketika ini Che Wan percaya bahawa idea reformasi-Anwar mampu untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik berbanding idea transformasi-Najib. Sokongan ini adalah berlandaskan kepada beberapa faktor. Che Wan percaya bahawa reformasi merupakan satu perubahan yang pantas,  adil dan holistik yang diyakini dapat menjadikan Malaysia lebih berdaya saing bukan sahaja di rantau asia tenggara, tetapi di pentas dunia secara keseluruhannya.

Ironinya adalah kerana apabila perubahan berbentuk reformasi itu berlaku, portfolio didalam kerajaan persekutuan akan pasti turut berubah. Kementerian-kementerian akan digantikan dengan muka-muka baru yang dikategorikan sebagai golongan muda professional. Perubahan reformasi ini diyakini dapat memangkin Malaysia kearah yang lebih positif baik dari segi ekonomi mahupun sosialnya.

Namun demikian Che Wan tetap menghormati individu-individu yang pro kepada idea transformasi-Najib kerana itu adalah kepercayaan mereka dan sememangnya sukar untuk diubah pendapat mereka itu. Sama seperti pengemar teh ais yang sukar untuk tiba-tiba bertukar meminati milo ais dalam sekelip mata walaupun dipaksa kerana itu sudah menjadi citarasa yang dapat memuaskan hati sanubari mereka. Perbezaan ini perlu dihadapi dengan berlapang dada kerana pertembungan dalam sebuah negara demokrasi antara pihak majoriti dan minoriti sememangnya tidak dapat dielakkan.

Tetapi janganlah kita salah faham terhadap pertembungan pendapat ini. Walaupun kadangkala perselisihan faham itu berlaku dimana-mana tetapi kita sebagai rakyat Malaysia tetap juga bersatu dan ini dapat dibuktikan dengan kita menyambut hari kemerdekaan dan perayaan bersama-sama.

Ini sebenarnya adalah gaya pemikiran baru yang kita perlu terapkan agar tidak lagi berlaku pertembungan antara dua fahaman politik yang begitu emosional. Fahamilah bahawa didalam sebuah negara demokrasi, pertukaran antara kedua-dua belah parti untuk memegang tampuk pemerintahan adalah satu perkara biasa dan tidak perlu dihairankan.

Tidak salah untuk memberi peluang mana-mana parti untuk mentadbir negara kerana bagi Che Wan semua parti politik dinegara ini mahu membawa perubahan kearah lebih baik walaubagaimanapun masing-masing mempunyai acuan mereka yang tersendiri. Tugas kita sebagai pengundi adalah memilih acuan itu. Tepuk dada, tanya diri anda baik-baik. Acuan Reformasi atau Transformasi yang anda mahukan? Reformasi atau Transformasi, yang pentingnya adalah segala budaya samseng, fitnah dan serangan berbentuk peribadi dalam politik perlu dihentikan segera.

Thursday, November 8, 2012

Pendidikan percuma. Realiti, fantasi dan kekuatan ekonomi



Ilmu suluh kemajuan. Ilmu adalah pengetahuan yang diperolehi oleh seseorang kesan daripada pembacaan, kajian serta dari pengalamannya sendiri. Kepentingan ilmu tidak boleh disangkal apa lagi dipertikaikan. Melalui lipatan sejarah, jika sesuatu bangsa itu memiliki penguasaan terhadap ilmu yang mantap, maka bangsa itu akan maju dan menguasai sesuatu bangsa lain. Kejatuhan empayar Melaka pada tahun  1511 adalah contoh yang boleh dilihat bagaimana Portugis yang menguasai ilmu ketenteraan dan kecanggihan alat peperangan seperti senapang dan meriam telah membedil kota Melaka sedangkan lawan mereka, pahlawan-pahlawan melayu ketika waktu itu hanya bersenjatakan keris dua jengkal.

Peristiwa itu telah menjadi pengajaran buat kita semua. Jika sesuatu bangsa itu ketinggalan dari sudut penguasaan ilmu, kesudahannya mereka akan ditindas oleh bangsa lain. Bagi mengatasi masalah ini supaya ianya tidak berulang lagi, setiap rakyat Malaysia perlu mempunyai penguasaan ilmu yang mantap di dada. Untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, tidak boleh tidak titik permulaanya adalah berpaksi kepada penyediaan peluang pendidikan yang baik untuk mereka.

Pendidikan perlu dilihat sebagai hak sejagat yang perlu diberikan kepada setiap rakyat dinegara ini. Setiap orang, tidak kira apa kaum sekalipun tanpa diskriminasi samada melayu, cina, india, serta lain-lain suku kaum di negara ini pastinya mahu menjadi bijaksana. Tiada ibubapa yang mahu melihat anak-anak mereka menghadapi kejumudan ilmu.

Sungguhlah tidak adil jika hak mereka untuk memperkayakan pengetahuan diri ini diambil dari mereka. Adakalanya keinginan untuk menimba ilmu itu ada, tetapi batas kemampuan dari segi kewangan telah menjadi batu penghalang kepada rakyat dinegara ini untuk mendapatkan taraf pendidikan yang lebih baik.

Justeru itu, sekadar kemahuan dan kepandaian semata-mata tidak mengcukupi jika mahu melanjutkan pengajian di zaman pasca moden kini. Jika anda mahu melanjutkan pengajian ditahap yang lebih tinggi, anda perlu mempunyai kemampuan kewangan bagi menanggung segala kos pendidikan yang terbabit.

Solusi yang dapat dicapai ketika ini adalah dengan menperkenalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) yang dirangka dalam bentuk pemberian pinjaman awal kepada pelajar-pelajar yang berpeluang melanjutkan pengajian di institusi awam atau swasta dinegara ini. Jumlah wang yang diberikan secara “bank-in” terus kedalam akaun bank pelajar sedikit sebanyak dapat membantu pelajar untuk membayar yuran pengajian dan juga menampung segala perbelanjaan bahan ilmiah mereka pada setiap semester.


PTPTN bebanan dalam senyap
Setelah pelajar-pelajar ini bergraduasi dan mendapat segulung ijazah, belum pun mula bekerja, hutang pinjaman pendidikan ini akan mula menghantui hidup mereka. Kadar faedah 1% setahun yang dikenakan kepada peminjam mengakibatkan jumlah pinjaman yang perlu dibayar semakin meningkat. Ini akan menambah lagi beban graduan-graduan yang baru sahaja mula bekerja. Disamping kos sara hidup yang tinggi, pinjaman pendidikan ini seperti menjadi barah yang sedikit demi sedikit menyempitkan kemampuan poket anak-anak muda. Akhirnya keadaan ini akan meningkatkan risiko mereka untuk jatuh bangkrap pada usia muda.


Pendidikan percuma relevan atau tidak?
Melalui pengenalan Buku Jingga, Pakatan Rakyat ada mengemukakan pendidikan percuma sebagai agenda utama yang diperjuangkan jika berjaya menakluki Putrajaya kelak. Pakatan Rakyat memahami aspirasi anak muda yang terdiri dari lepasan siswazah yang terbeban akibat daripada hutang pendidikan ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) melalui siri jelajah ceramah-ceramahnya diseluruh negara acapkali mengulas tentang pendidikan percuma ini. “Bila kita sebut mansuh PTPTN, isu utama yang harus difokus ialah pendidikan percuma untuk semua rakyat terutama golongan miskin” tegas DSAI pada 31 Mac yang lalu. Maksud beliau adalah dasar pendidikan percuma perlu menjadi wacana utama negara dan golongan yang tidak bernasib baik perlu dibantu dengan menyediakan pendidikan yang baik dengan kos yang minima.

Sebagai seorang bekas Menteri Kewangan Malaysia (1991-1998), tentunya DSAI faham selok-belok bagaimana untuk mengawal hasil dan juga perbelanjaan negara ini. Hutang PTPTN akan dilangsaikan secara ansuran iaitu sebanyak RM 2 billion setahun. Jadi, jumlah keseluruhan hutang pinjaman pendidikan (setakat 2012) iaitu sebanyak RM 24.7 billion akan dapat dilangsaikan dalam masa 15 tahun sahaja. Kemampuan ini diyakini dapat dilaksana berlandaskan kepada hasil bumi Malaysia yang kaya. Sebahagian daripada untung perolehan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) iaitu syarikat carigali petroleum tunggal negara yang dianggarkan kira-kira RM 70 billion setahun akan disalurkan semula kepada rakyat dalam bentuk pembiyaan kos pendidikan mereka. Angka-angka yang digambarkan tersebut adalah amat relevan selagi mana wang perolehan dan hasil bumi negara bertuah ini tidak dibolot oleh pihak-pihak tertentu.

Perkara pokok kepada isu ini bukannya tertumpu kepada keengganan graduan untuk membayar hutang pendidikan seperti yang dipersetujui dalam perjanjian pinjaman tetapi ianya lebih kepada persoalan tentang samaada Malaysia mampu untuk menampung kos pendidikan rakyatnya atau tidak. Mampu atau tidak, kita boleh lihat Turki sebagai model negara pendidikan percuma yang boleh dibandingkan.


Turki sebagai contoh
Sejurus selepas pemimpin parti Aadalet Kalkinma (parti keadilan dan pembangunan Turki) iaitu Recep Tayyip Erdogan dipilih sebagai Presiden dinegara itu, beliau telah memansuhkan pinjaman pendidikan yang ditanggung oleh rakyatnya. Turki yang tidak mempunyai kekayaan sumber petroleum sekalipun mampu untuk memberikan pendidikan percuma, Apakah Malaysia begitu daif untuk melaksana dasar pendidikan percuma sama seperti Turki sedangkan kita mempunyai kemampuan lebih dari negara itu?

Pengajaran yang boleh kita dapati daripada Turki adalah jika pemimpin tidak korup tentunya hasil negara mencukupi untuk memberi pendidikan percuma kepada rakyat. Tidak ada satu pun negara didunia jatuh bangkrap disebabkan kerajaan membantu rakyatnya melainkan kerajaan di negara itu sendiri yang melakukan salahlaku seperti rasuah, kronisme melampau dan sebagainya. Presiden Erdogan sewaktu diwawancara oleh sebuah stesen Televisyen di Turki iaitu TRT Haber TV berkata, Support for education is one of the priorities of the government and Turkey will further seek to become one of the leading states in the field of education".

Selaku pemimpin dan ketua negara, Presiden Erdogan dilihat begitu mementingkan pendidikan dikalangan rakyatnya sehingga dasar pendidikan dinegara itu dilaksanakan dengan percuma. Presiden Erdogan menambah, “Half the state budget fund is allocated to education in Turkey, and the state will continue to pay considerable attention to this sphere”. Setengah daripada hasil negara Turki akan dibelanjakan kepada pendidikan dan langkah itu akan sentiasa diberi perhatian dan diteliti. Lihatlah betapa Presiden Erdogan amat mementingkan pendidikan sehingga setengah daripada pendapatan negara Turki dibelanjakan kearah itu. Ya..Setengah! Malaysia pula sibuk membelanjakan berbillion-billion ringgit untuk membeli kapal selam yang mempunyai kerosakan teknikal sehingga menyelam pun gagal. Itu beza tadbir urus kewangan bekas negara pemerintahan khalifah itu dangan kita.


Kesan daripada pendidikan percuma kepada rakyat
Che Wan memandang pemberian pendidikan percuma kepada rakyat dinegara ini dari beberapa perspektif yang positif. Pertamanya kesan langsung dari pemberikan pendidikan percuma adalah jumlah modal insan yang berkualiti di negara ini akan dapat dipertingkatkan. Jika dasar pendidikan percuma dilaksanakan tentunya setiap rakyat mempunyai peluang yang seluas-luasnya untuk melanjutkan pengajian.

Pendidikan adalah satu bentuk pelaburan yang baik dan seharusnya pihak kerajaan menanggung segala kos ini. Mungkin anak-anak petani yang mempunyai potensi dari segi akademik sebelum ini hanya memendam rasa untuk menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi kerana tidak berkemampuan. Keadaan ini dapat diubah jika dasar pendidikan percuma dapat diperkenalkan kelak.

Bila mana bilangan cerdik pandai dapat dilahirkan dinegara ini dengan jumlah yang begitu banyak setiap tahun, Malaysia tidak lagi menghadapi masalah yang disebut “brain drain” yakni kekeringan dari segi sumber manusia yang berilmu dan berkebolehan tinggi kerana dasar pendidikan percuma ini membolehkan semua orang tanpa diskriminasi untuk menimba ilmu di institusi pengajian tinggi. Lantaran itu, kewangan bukan lagi menjadi satu masalah buat anak-anak golongan bawahan untuk melanjutkan pengajian.

Keduanya pendidikan percuma dapat menarik pelabur asing (FDI) untuk melabur dinegara ini. Ada perkaitan yang jelas diantara pendidikan percuma dan pelaburan asing. Pabila rakyat dinegara ini mempunyai taraf pendidikan yang baik, secara tidak langsung keadaan ini akan menarik minat pelabur asing untuk melabur di negara ini. Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada penawaran sumber tenaga buruh yang murah untuk menarik pelabur luar disebabkan negara dunia ketiga berdekatan seperti Vietnam, Myanmar dan Laos dapat menyediakan kos buruh yang lebih rendah kepada mereka (pelabur) berbanding Malaysia.

Dasar pendidikan percuma akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah hub pasaran tenaga buruh berkemahiran (knowledgeable worker) yang diyakini dapat menarik minat syarikat dari luar negara untuk beroperasi di negara ini. Abad ke 21 yang lebih tertumpu kepada sains dan teknologi memerlukan Malaysia melahirkan pekerja yang mempunyai pengetahuan yang tinggi. Dasar pendidikan percuma ini secara tidak langsung dapat menyediakan Malaysia kearah itu.

Ketiganya adalah jurang antara miskin-kaya dapat dikurangkan. Pendidikan seperti yang kita ketahui ianya adalah amat penting. Penting kerana melalui pendidikan sahaja dapat menjadikan seseorang itu berilmu. Ilmu itu pula akan memimpin manusia untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Teorinya mudah, jika seseorang itu mempunyai segulung ijazah, sarjana ataupun Phd semestinya dia akan mendapat satu posisi yang tinggi didalam organisasi atau syarikat-syarikat tertentu. Semakin tinggi pangkat seseorang itu, maka semakin tinggilah gaji yang diterima mereka pada setiap bulan.

Ini adalah satu-satunya jalan yang dapat membantu golongan bawahan untuk memperbaiki ekonomi keluarga mereka. Apabila mempunyai taraf pendidikan yang baik, ianya dapat membebaskan mereka dari kepompong kemiskinan yang membelenggu mereka selama ini. Untuk membantu mereka, dasar pendidikan percuma perlulah dilaksanakan dengan segera.

Peribahasa inggeris ada menyebut bahawa “knowledge is power”. Benarlah seperti yang disebutkan bahawa ilmu itu amat berkuasa. Tetapi untuk mendapatkan ilmu itu bukan juga satu tugas yang mudah. Masa ini ianya tidak percuma. Ada golongan kapitalis yang mahu memperdagangkan pula pendidikan di Malaysia sedangkan rakyat berhak mendapatkannya dengan percuma. Pilihanraya ke-13 ada sinar baru. Pilih manifesto Buku Jingga, pilihlah pendidikan percuma..keputusan ditangan anda..




Sunday, October 14, 2012

Generasi muda dan masalah kenaikan harga rumah.


Setiap orang pasti mengimpikan sebuah kediaman yang selesa untuk diduduki. Kediaman yang selesa dapat menjamin ketenangan jiwa serta dapat mempertingkatkan kualiti kehidupan seseorang itu. Sebuah kediaman yang selesa dapat ditentukan dari beberapa aspek iaitu dari segi keselamatan, keadaan fizikal, lokasi serta kemudahan-kemudahan awam setempat yang disediakan.

Melihat kepada senario semasa, Che Wan merasakan generasi muda hari ini mempunyai masalah untuk memiliki rumah sendiri disebabkan harga rumah kini yang telah melambung tinggi. Dikawasan-kawasan yang diketegorikan sebagai kawasan bandar, kepadatan penduduk menyebabkan permintaan terhadap rumah meningkat dan seterusnya harga rumah juga turut meningkat dengan sendirinya. Masalah meningkatnya harga rumah dikawasan bandar ini tidak boleh dielakkan kerana rumah juga mengikut hukum permintaan dan penawaran pasaran.

Mungkin ada yang berpendapat mengapa perlu mendiami kawasan bandar jika tidak mampu untuk menanggung kos sara hidup dikawasan tersebut? Duduk sajalah dikawasan kampung ataupun luar dari kawasan bandar. Tetapi sebagai anak muda, secara peribadi Che Wan sendiri memahami persoalan ini, mengapa anak muda tetap juga mengharungi ombak dan badai dikawasan bandar walaupun kos sara hidup dan sewa rumah di kawasan itu lebih tinggi. Sebab utamanaya adalah dikawasan-kawasan bandar peluang pekerjaannya lebih banyak dimana syarikat-syarikat dan sektor swasta amnya lebih tertumpu di kawasan tersebut.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh The National Property Information Centre (NAPIC). Harga sebuah sebuah rumah di kawasan lembah Klang secara relatifnya berharga RM 184 574 pada tahun 2009, telah melonjak naik sebanyak 20% menjadikan harga rumah tersebut RM 221 488 pada tahun 2012. Kenaikan harga rumah sebegitu drastik menyebabkan anak-anak muda kini terutamanya pasangan yang baru mendirikan rumah tangga tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri.

Nilai hartanah yang meningkat ini tidak dapat ditampung dengan jumlah kenaikan pendapatan tahunan golongan anak muda. Akhirnya keadaan ini menyebabkan rumah-rumah dikawasan bandar-bandar di bolot oleh spekulator hartanah yang seperti diketahui mempunyai banyak wang untuk membeli rumah-rumah ini tadi. Kemudian spekulator hartanah ini akan menjualnya semula dengan harga yang lebih mahal kepada orang ramai untuk mendapatkan untung. Golongan muda seperti menjadi mangsa keadaan kerana terpaksa mengumpul duit bertahun-tahun lamanya hanya untuk memiliki rumah sendiri.

Memetik dari sebuah artikel dalam akhbar Kosmo (Klik Disini), Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud ada meramalkan bahawa harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang. Jika betul apa yang diramalkan oleh Profesor Dr. Jariah Masud, tentunya perkara ini menjadi kegusaran buat generasi muda hari ini.

Dalam belanjawan 2013 yang lalu, ada mengariskan beberapa mekanisma bagi menghadapi masalah ini. Tetapi mekanisma yang digunapakai amatlah lemah kerana ianya tidak dirangka menjurus kepada golongan anak muda di negara ini. Pihak kerajaan perlu menyediakan satu skim pemilikan rumah yang dituju khas buat generasi muda. Pihak kerajaan seharusnya memperkenalkan satu skim yang dipanggil “skim kediaman impian untuk graduan”.

Skim ini seperti juga skim pinjaman kereta untuk graduan perlu lebih fleksibel dan syarat-syarat pinjaman perlulah tidak terlalu ketat. Ini memudahkan anak-anak muda yang baru sahaja bekerja untuk mendapat kelulusan pinjaman perumahan. Skim ini dapat membantu golongan muda untuk memiliki rumah sendiri diawal usia mereka.

Jika anak muda itu sendiri mahu menunggu kenaikan gaji dahulu sebelum mahu membeli sesebuah rumah, tentunya pada waktu itu bukan sahaja akan lebih membebankan, malahan ianya menjadi makin sukar kerana harga rumah juga makin meningkat dan harganya pula tidak statik setiap masa. Sebagai contoh, rumah yang berharga RM 300 000 hari ini mungkin akan meningkat menjadi RM 400 000 pada dua tahun akan datang kerana seperti yang diketahui nilai pasaran hartanah makin meningkat dari satu tahun ke satu tahun.

Berpandukan kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jobstreet.com, lingkungan gaji yang diperoleh para graduan ijazah yang baru bekerja adalah sebanyak RM 2500 hingga RM 2800 sebulan. Jika rata-rata anak muda di Malaysia memperolehi gaji setiap bulan serendah itu, tentunya agak sukar bagi mereka membuat pinjaman perumahan untuk memiliki sebuah kediaman impian.

Pihak kerajaan melalui pengawalan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mewujudkan pinjaman perumahan fleksibel ini yang dikhususkan kepada generasi muda dibawah umur 30 tahun. Tempoh pembiyaan bayar balik pinjaman perumahan ini perlu dipanjangkan serta kadar faedahnya hendaklah direndahkan dari kadar semasa (4% ketika ini) agar bayaran bulanan yang dikenakan kepada peminjam tidak terlalu tinggi. Pembelian rumah diwaktu awal usia dapat mengurangkan beban anak-anak muda di negara ini untuk memiliki rumah sendiri sebelum harga rumah impian mereka melambung tinggi pada waktu hadapan.

Lantaran itu, mekanisme terbaik bagi mengatasi masalah ini adalah dengan memperkenalkan skim bantuan pinjaman “mesra” anak muda seperti yang Che Wan cuba kongsikan tadi. Diharapkan kerajaan pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memandang permasalahan ini dengan lebih serius kerana rumah adalah penting untuk rakyat. Ianya adalah ibarat perisai yang melindungi dari terik panas mentari dan juga rintik-rintik hujan. Rumah adalah keperluan hakiki buat insan yang bergelar manusia. Sedialah sebuah tempat teduh yang baik untuk mereka agar mereka dapat merasakan bahawa “rumahku adalah syurgawiku”.

Semarak Reformasi

Tuesday, October 2, 2012

Tingkah laku wakil rakyat yang mendukacitakan




Jumaat lalu Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri Malaysia telah membentangkan belanjawan negara bagi tahun 2013. Belanjawan ini merupakan belanjawan terakhir sebelum parlimen dibubar dan seterusnya Pilihanraya Umum Ke-13 akan diadakan. Disaat belanjawan 2013 ini dibentangkan tempoh hari, dilihat kebanyakkan ahli-ahli parlimen dari pihak pembangkang hadir sama untuk mendengar belanjawan tersebut dengan lebih teliti agar mereka dapat mengetahui kemana arah tuju ekonomi negara ini kelak.

“Kehadiran” ahli-ahli parlimen dari pihak pembangkang juga membuktikan bahawa mereka menjalankan amanah yang diberikan kepada mereka selaku wakil rakyat yang dipilih dengan sebaik-baiknya. Wakil rakyat yang dipilih oleh penduduk sesuatu kawasan itu perlu menghadirkan diri mereka pada setiap sidang parlimen yang berlangsung jika pada waktu tersebut mereka tidak menghadapi sebarang halangan yang lebih memerlukan. Itu sememangnya adalah tugas yang perlu digalas oleh seorang yang bernama wakil rakyat dari hari pertama mereka memenangi undian dalam pilihanraya bagi DUN atau kawasan Parlimen tertentu.

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, hasil dari cukai yang dikenakan kepada rakyat saban tahun akan disalurkan semula dalam bentuk gaji dan elaun kepada 222 orang wakil rakyat dinegara ini. Sehubungan dengan itu, wajarlah mereka menjalankan tugas mereka dengan penuh bertanggungjawab dan dedikasi. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melupakan tugas mereka sebagai wakil kepada rakyat setempat untuk hadir ke sidang parlimen. Itu sudah menjadi tugas rasmi mereka.

Sebaliknya pula berlaku semalam (1 Oktober 2012) pabila majoriti wakil rakyat dari pihak Barisan Nasional (BN) tidak menghadirkan diri untuk perbahasan belanjawan 2013 yang diadakan. Setelah Perdana Menteri membentangkan belanjawan negara pada hari Jumaat lalu, maka tibalah pula masanya buat Ketua Pembangkang untuk membahas belanjawan tersebut pada Isnin yang berikutnya (semalam). Situasi majoriti ahli parlimen dari BN yang tidak dapat menghadirkan diri untuk mendengar pembahasan dari Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah amat mendukacitakan.

Mereka ini (wakil rakyat), telah mendapat gaji dan juga diberikan bermacam jenis keistimewaan dalam bentuk elaun bertujuan memastikan mereka dapat menjalankan tugas mereka sebagai wakil rakyat dengan lancar. Namun, nyata tanggungjawab itu tidak dijalankan dengan penuh wibawa kerana mereka gagal untuk mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan itu semalam.

Inikah tabiat yang dibanggakan sebagai seorang yang bernama wakil rakyat? Sama ada ketidakhadiran itu sengaja atau tidak disengajakan Che Wan sendiri tidak dapat tentukan. Tetapi jika mejoriti wakil rakyat dari pihak kerajaan pusat yang tidak hadir pada sidang perbahasan itu, anda sendiri boleh tentukan. Ini seperti satu tindakan yang telah dirancang secara berkumpulan.

Mungkin juga mereka takut akan susuk kelibat Anwar Ibrahim pabila beliau mula berbicara dengan mencarik segala fakta, membuka hijab dalam bentuk statistik ekonomi yang tidak boleh dibohongi. Mereka itu hanya wakil rakyat tanpa keberanian…

Friday, August 10, 2012

Isu logo dan tema kemerdekaan ke-55: Satu perbandingan terus antara BN dan PR. Siapa lebih profesional?



31 Ogos setiap tahun merupakan satu tarikh keramat buat semua rakyat Malaysia. Tarikh ini adalah titik tolak kepada Tanah Melayu (ketika itu, sebelum pembentukan Malaysia pada tahun 1963) telah dibebaskan setelah lebih 400 tahun ianya dijajah oleh beberapa kuasa besar imperialis. Kita sedar bahawa rombongan Almarhum Tuanku Abdul Rahman selaku pemimpin UMNO ketika itu berangkat ke London telah membuahkan hasil dan kita sepatutnya berterima kasih kepada jasa beliau itu.

Namun setelah 55 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, pemimpin-pemimpin UMNO hari ini seperti mahu memilik hartakan negara seperti barang kepunyaan mereka sendiri. Seperti yang semua sedia maklum, tema yang menjadi pilihan untuk sambutan kemerdekaan ke-55 tahun ini adalah “Janji Ditepati”. Che Wan nak tanya pembaca-pembaca yang dikasihi sekalian, adakah “Janji Ditepati” ini satu pilihan yang tepat dan sesuai untuk menjadi tema kemerdekaan negara kita?

Ini sebenarnya satu statement atau ayat yang digunakan untuk mendapat belas simpati rakyat. Che Wan tidak nafikan sememangnya ada janji yang ditepati, tetapi tidaklah secara keseluruhannya dan itu adalah suatu realiti. Lihat sahaja hak royalti minyak yang sepatutnya diagihkan kepada negeri Kelantan. Hak itu telah dinafikan bertahun-tahun lamanya walaupun sumber bahan api tersebut dikaut dari negeri Che Siti Wan Kembang itu.

Selain itu juga, “Janji Ditepati” ini diguna untuk ditujukan kepada satu pihak sahaja iaitu Barisan Nasional dan ini jelas tidak bersesuaian dengan konsep negara Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan juga idealogi politik.

Seharusnya biarlah Hari Kemerdekaan negara temanya disepakati bersama oleh segenap pelusuk masyarakat merentasi perbezaan idealogi politik dan boleh diterima oleh pemimpin dari kedua-dua belah pihak, baik kerajaan ataupun pembangkang. Ianya tidak boleh didominasi oleh pihak-pihak tertentu agar perpaduan rakyat dapat dikekalkan menjelang 31 Ogos ini.

Apa yang kita perlukan adalah orang nombor satu negara bernama Perdana Menteri yang mempunyai professionalisme yang tinggi serta mampu untuk membezakan peranannya sebagai ketua kerajaan dan juga ketua parti. Nilai ini yang Che Wan tidak nampak pada susuk peribadi Datuk Seri Najib kerana beliau tetap berkeras dengan tema “Janji Ditepati” - nya itu.

Dibawah ini Che Wan lampirkan kedua-dua logo serta tema yang dipilih oleh BN dan PR. Anda putuskan mana satu lebih mengambarkan professionalisme dan sesuai dijadikan tema Hari Kemerdekaan Ke-55:-





Logo dan tema "Janji Ditepati" yang tidak begitu professional dan holistik ciptaan Kerajaan Barisan Nasional.




"Sebangsa, Senegara, Sejiwa". Rekaan logo simbolik kombinasi maksud kebebasan, Kedaulatan Raja dan rasa cinta akan negara. Menjadi pilihan negeri dibawah Pakatan Rakyat menjauhi perbezaan politik sempit.



Nota: Che Wan pilih Sebangsa, Senegara, Sejiwa...Pilihan anda bagaimana?

Tuesday, August 7, 2012

Bashar Al-Assad. Presiden dan juga pembunuh rakyat Syria


















Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kira-kira tiga bulan lalu. Beliau disabitkan kesalahan kerana telah melakukan keganasan terhadap aktivis kebangkitan rakyat yang menentang kepimpinanannya selama lebih dari 40 tahun itu. Angin kebangkitan rakyat di kebanyakkan negara-nagara arab seperti Mesir ini dilihat telah bertiup kencang ke sebuah lagi negara yang terletak di timur tengah, iaitu Syria.

Kini, fokus Che Wan adalah ingin memperkatakan tentang konflik di negara yang sedang bergolak bernama Syria ini. Syria sejak dari dulu lagi sememangnya telah menghadapi pelbagai masalah dalaman. Daripada isu pertelingkahan antara fahaman Syiah-Sunnah, pemberontakkan puak Houthi dan juga ancaman Al-Qaeda telah meletakkan negara itu pada satu keadaan yang kurang stabil. Namun demikian, Presiden Bashar Al-Assad dilihat mampu untuk menangkis segala ancaman tersebut dan sehingga ke hari ini berjaya mengekalkan kuasanya di negara itu.

Tetapi arus kebangkitan rakyat yang berlaku di Syria pada hari ini, seperti yang Che Wan sebutkan diawal kalam tadi, adalah berlainan sama sekali daripada ancaman-ancaman yang dihadapi oleh Presiden Bashar sebelum ini kerana kebangkitan rakyat di negara itu bukanlah sebuah gerakan terrorisme yang mahukan kacau-bilau mahupun tindakan keganasan, tetapi kebangkitan rakyat itu lahir kesan daripada kesedaran mereka menggunakan segala ruang yang anda demi untuk mempertahankan hak dan keadilan.

Tetapi perjuangan rakyat Syria menggunakan jalanan sebagai medan bagi menunjukkan tentangan kepada Presiden Bashar bukanlah suatu tindakan yang mudah. Barangkali Presiden Bashar telah mempelajari apa yang telah berlaku kepada beberapa negara sekitarnya. Kebangkitan rakyat harus dihentikan serta merta jika mahu terus kekal diatas tampuk pemerintahan. Oleh sebab itulah Presiden Bashar dilihat begitu keras memburu pemimpin-pemimpin yang mengerakkan kebangkitan rakyat ini. Tidak terlalu keterlaluan jika Che Wan katakan bahawa tindakan Presiden Bashar ini lebih kejam berbanding Hosni Mubarak di Mesir.

Laporan dari stesen penyiaran Al-Jazeera membuktikan bahawa Presiden Bashar telah menggunakan kekuatan infantri dalam bentuk ketenteraan bagi mengekang kebangkitan rakyat di negara itu. Kereta kebal diletakkan dikawasan-kawasan utama sekitar Damsyik dan askar-askar penembak tepat (sniper) sentiasa dalam langkah berjaga-jaga dan bersedia bila-bila masa sahaja untuk menembak sesiapa yang mahu memulakan demonstrasi.

Menurut data yang dikeluarkan oleh sebuah badan pemantau bebas dinegara itu bernama Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), sehingga artikel ini ditulis, jumlah keseluruhan yang terkorban akibat dari kebangkitan rakyat ini telah menjangkau seramai 302 orang. Angka ini membuktikan bahawa regim pimpinan Bashar Al-Assad ini telah menjadikan rakyat dan orang awam dinegara itu sendiri sebagai musuhnya.
Sebenarnya, rakyat Syria begitu berang dan menentang Presiden mereka itu akibat daripada ketidakpuasan hati mereka terhadap korupsi dan amalan kroni yang diamalkan oleh Presiden Bashar itu sendiri. Hasil kekayaan ekonomi Syria yang bergantung kepada hasil keluaran petroleum telah diekpoitasi oleh golongan-golongan elit yang mempunyai pertalian rapat dengan Presiden Bashar sehingga menyebabkan pengagihan ekonomi negara yang tidak adil telah menyebabkan rakyat di negara itu bangkit menunjukkan tanda protes. Undang-undang yang bersifat drakonian dan menekan juga merupakan faktor lain yang menyebabkan rakyat Syria untuk berani bangkit lantas demonstrasi jalanan dijelmakan sebagai tanda menentang. Apa yang diinginkan oleh mereka adalah sebuah keadaan aman dan kebebasan seperti mana yang telah dikecapi oleh negara-negara jiran yang lebih dahulu melakukan revolusi menjatuhkan kerajaan diktator (ambil Mesir dan Tunisia sebagai contoh).
Proses untuk menumbangkan rejim kuku besi Presiden Bashar ini berlarutan sehingga waktu ketika ini umat islam seluruh dunia sedang menjalankan ibadah puasa di bulan ramadhan. Che Wan tertanya-tanya juga bagaimana nanti rakyat Syria melakukan kebangkitan dalam keadaan lapar dan dahaga. Diharapkan semangat mereka tidak luntur malahan menjadi pembakar semangat buat mereka untuk menentang kekejaman Presiden Bashar ini.

Presiden Bashar Al-Assad tetap merasakan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti rakyat Syria walaupun jelas tentangan hebat dilakukan oleh rakyat di negara itu terhadapnya.


Friday, June 29, 2012

Lagu untuk kebangkitan rakyat..

Saturday, June 9, 2012

Warkah buat Utusan



Ini adalah warkah buat akhbar berbahasa melayu bernama Utusan. Coretan warkah ini bukanlah berniat jahat untuk menfitnah pihak akhbar Utusan jauh lagi mahu menjatuhkan kredibiliti akhbar itu. Cumanya melalui artikel ini, Che Wan mahu memberikan beberapa teguran ikhlas. Janganlah pula kelak diri ini disaman hanya kerana ingin memberi teguran daripada kacamata seorang rakyat Malaysia yang perihatin. Jikalau pihak Utusan mengemukakan saman pun, Che Wan tidak mampu untuk membayarnya kerana Che Wan bukanlah seperti pak-pak menteri yang mempunyai wang simpanan jutaan ringgit.

Akhbar Utusan merupakan sebuah akhbar utama dalam bahasa melayu bertulisan jawi di negara ini. Akhbar yang diasaskan pada tanggal 29 Mei 1939 ini pada awalnya berfungsi sebagai lidah dan senjata bagi bangsa melayu untuk menentang kuasa imperial inggeris. Pengarang pertama Utusan Melayu adalah saudara Abdul Rahim Kajai. Bersama beliau pada ketika itu adalah Dato Onn Jaafar yang begitu agresif menggunakan senjata mata pena ini menulis pelbagai bentuk artikel yang menjurus kepada kepentingan orang-orang melayu.

Ketika itu perjuangan Utusan sangatlah jelas. Menyampaikan seranan dan gesaan supaya orang melayu bangkit mempertahankan hak mereka. Musuh utama ketika itu adalah pihak penjajah inggeris semata. Tidak sesekali Utusan menghentam orang-orang melayu yang mempunyai pandangan yang berbeza dari mereka. Walhal ketika itu ada saja golongan haluan kiri yang mahu memerdekakan negara dengan cara yang berlainan dari mereka. Walaupun aliran perjuangan yang berlainan, namun Utusan tetap neutral dengan perinsip serta normanya.

Sifat neutral inilah yang telah hilang pada Utusan hari ini. Umpama burung merak cantik yang hilang ekor warna warninya. Tidak lagi gah seperti sifat asal yang dulu. Kini akhbar bahasa melayu ini tidak lebih sebagai alat dan perkakasan pihak-pihak tertentu yang digunakan untuk menyerang musuh sebangsa dan seagama yang hanya mempunyai sedikit perbezaan dari segi idealogi politik.

Umumnya, semua orang mengetahui bahawa akhbar ini telah dikawal oleh pihak pemerintah yang diterajui parti bernama UMNO. Setiap hari dan juga 365 keluaran Utusan setahun dengan tanpa belas kasihan membidas pihak oposisi dengan rakus. Kita perlu mengetahui bahawa lahirnya Utusan itu lebih dahulu daripada parti-parti politik yang ada di negara ini. Seharusnya Utusan menguasai tindak tanduk parti politik di Malaysia. Bukannya parti politik itu menguasai akhbar Utusan.

Tidak salah untuk mengkritik pihak oposisi jika berlakunya sesuatu kelemahan. Tetapi pihak Utusan perlu menpunyai etika dalam setiap laporannya. Utusan seharusnya bertindak adil dengan mengkritik juga dasar-dasar kerajaan pusat jika terdapat kelompangan dan kelemahan yang terbukti berlaku. Ini barulah menunjukkan bahawa slogan Utusan Malaysia sebagai “penyebar fikiran rakyat” itu boleh diguna pakai.

Ketika ini realitinya sikap Utusan yang berat sebelah amat mendukacitakan. Adakah pihak Utusan berasa bangga dengan laporan-laporan muka hadapannya yang memaparkan adegan-adegan lucah dan porno? Inikah yang mahu disebarkan didalam setiap pemikiran rakyat Malaysia? Apa akan jadi jika anak-anak kita kelak melihat adegan-adegan tersebut dan tidakkah pihak akhbar Utusan memikirkan tentang perkara ini? Merujuk kepada terbitan Utusan pada tarikh 5 April 2010 (kononnya mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan  juga 2 Mei 2012 (kononya mirip pula Azmin Ali) jelas membuktikan etika kewartawanan Utusan tidak mengikut nilai-nilai bangsa melayu yang sopan dan jauh dari perinsip agama Islam yang suci.

Utusan Malaysia keluaran 5 April 2010

                                                                         
                                                             Akhbar Utusan keluaran 2 Mei 2012

Che Wan begitu mengharapkan bahawa pihak akhbar Utusan mengambil iktibar daripada kes saman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Mahkamah Pulau Pinang membuat keputusan bahawa Utusan Malaysia bersalah kerana menerbitkan sebuah artikel berunsur fitnah pada keluarannya 20 Disember 2010. Utusan secara semborono menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai “anti-melayu” dan “rasis”. Setelah dibicarakan, Hakim mendapati pihak Utusan ternyata bersalah kerana menerbitkan artikel berunsur fitnah tersebut dan memerintahkan Utusan untuk membayar pampasan sebanyak RM 200 000 kepada Lim Guan Eng.

Selaku sebuah pengamal media massa, Utusan perlu segera bermuhasabah diri dan melihat kembali sejarah sebenar penubuhannya. Disebabkan pihak akhbar Utusan yang tidak neutral ini, banyak nama-nama timangan yang diberikan oleh pengguna-pengguna laman sesawang dan blog seperti utusanmeloya, utuseks dan sebagainya. Bagi Che Wan, Utusan tidak perlu dilabel sebegitu rupa kerana Che Wan percaya kita sebagai rakyat perlu memberi masa untuk Utusan ini memperbaiki dirinya selepas kerajaan Pakatan Rakyat berjaya menakluki Putrajaya kelak. Ketika itu insyallah Utusan akan menjadi penyebar fikiran rakyat yang sebenar. Sama-samalah kita doakan impian ini akan terlaksana. Semoga media kita dibebaskan dari cengkaman politikus korup hari ini.

             Utusan Melayu keluaran Pertama dalam tulisan Jawi pada tahun 1939.




Suatu masa dahulu: Akhbar Utusan Malaysia begitu neutral sehingga bebas mengkritik mana-mana parti di Malaysia termasuk UMNO sendiri.


Wednesday, May 23, 2012

"Negeri Hang Tuah Ada Hang Samseng"

Thursday, May 3, 2012

Dulu mencintai puisi A. Samad Said. Kini berjuang bersamanya..




Siapa yang tidak kenal dengan susuk tubuh tua ini. Namanya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia kesusasteraan tanah air. Umurnya yang lanjut tidak menjadi penghalang buat dirinya mengepalai sebuah gerakan yang mahukan keadilan serta sebuah kerajaan yang mengamalkan tertib tatasusila pentadbiran yang lebih bersih. Sebelum Che Wan meneruskan bicara tentang tokoh ini, izinkan Che Wan menyebut namanya terlebih dahulu. Namanya adalah A. Samad Said.

A. Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad adalah seorang sasterawan yang amat perihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh manusia sejagat. Che Wan mengenali nama A. Samad Said ini sewaktu berada di bangku persekolahan melalui hasil nukilan-nukilan puisinya yang indah. Namun bukanlah melalui puisi bahasa melayunya  yang mengenalkan Che Wan dengan A. Samad Said ini tetapi melalui puisi bahasa inggerisnya yang bertajuk “The Dead Crow”. Ketika itu subjek bahasa inggeris mewajibkan pelajar-pelajar sekolah untuk membaca dan memahami “literature” dalam bahasa inggeris dan “poem” bertajuk The Dead Crow ini merupakan salah satu puisi bahasa inggeris yang perlu dihafal oleh pelajar-pelajar sekolah ketika itu. Jika tidak silap, Che Wan berada di tingkatan dua sewaktu pertama kali membaca hasil sastera Pak Samad itu.

Puisi The Dead Crow ini mengisahkan betapa pentingnya masyarakat dan ahli politik untuk menjaga hasil khazanah alam. Banyak maksud tersirat didalam puisi The Dead Crow ini jika diteliti.

Selepas itu, barulah Che Wan mengenal hasil-hasil sasteranya yang lain seperti Lantai T-Pinkie, Salina, Langit Petang, dan juga Warkah Eropah.

Rasanya cukup kita berbicara tentang kehebatan Pak Samad dalam bidang kesusasteraan. Cintanya terhadap bahasa tidak boleh sesekali dipertikaikan. Pemenang anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1985 ini adalah juga seorang pejuang keadilan yang mungkin ramai masih tidak mengetahuinya.

Pak Samad mungkin hanya tua dari segi usia tetapi semangatnya masih lagi muda remaja dan nampak segar bugar. Bukan jawatan yang dikejarnya. Bukan juga wang ringgit yang menjadi kiblatnya. Tahukah anda bahawa Pak Samad adalah pengerusi bersama untuk gerakan bernama Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil (Bersih 2.0)? Disebalik cakap-cakap yang mengatakan bahawa Bersih itu adalah semata-mata dikepalai oleh seorang yang bukan islam bernama Ambiga, kenyataan itu adalah kurang tepat sama sekali.

Hakikatnya, Pak Samad merupakan “leader” atau ketua utama yang bersama-sama mengerakkan Bersih ini. Niat hatinya itu sememangnya sangat baik. Beliau mahukan pihak kerajaan memandang serius terhadap permintaan rakyat yang mahukan sistem pilihanraya yang lebih adil dan bersih pada pilihanraya umum ke-13 nanti. Bukan kita mahukan pembangkang menang, tetapi biarlah padang permainan itu dibuat sama rata, dan perlumbaan itu dimulakan di tempat yang sama oleh kedua-dua parti yang bertanding. Diharapkan lapan tuntutan Bersih ini akan dipenuhi oleh pihak kerajaan dengan segera. Perubahan lebih baik adalah perlu demi untuk menjamin kemajuan negara.

Bersih 3.0 yang berlangsung pada 28 April lalu akan sentiasa tersemat didalam hati Che Wan. Jika tubuh tua Pak Samad masih mampu untuk berjuang mempertahankan sistem demokrasi negara ini, mengapa tidak anda anak muda? Fikir-fikirkan...







Monday, April 30, 2012

Bersih 3.0 menampakkan kegagalan idea transformasi Najib


Ini kali kedua Che Wan menyertai perhimpunan aman Bersih. Semangat Bersih 3.0 yang diadakan pada Sabtu lalu lebih membara daripada Bersih 2.0 yang diadakan pada bulan Julai tahun lalu. Ini dapat dibuktikan dengan melihat jumlah kehadiran orang ramai yang semakin sedar akan peri pentingnya sebuah pilihanraya yang bersih dan adil.

Selepas Bersih 2.0 diadakan pada Julai tahun lepas, Datuk Seri Najib menjanjikan sebuah transformasi yang memberi lebih kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun secara aman seperti hak yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 10).

Namun demikian, melihat kepada kesan yang berlaku sepanjang perjalanan Bersih 3.0, mengambarkan bahawa transformasi yang diperkatakan oleh Datuk Seri Najib itu hanyalah satu omongan kosong. Masih lagi terdapat kekerasan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap peserta perhimpunan aman ini.

Dibawah ini adalah bukti-bukti kekerasan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap aktivis Bersih 3.0 :-








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...