Jumlah Pelawat

Friday, March 25, 2011

Mungkinkah semangat reformasi kebangkitan rakyat Mesir terjadi di Malaysia?



Asalamualaikum dan salam reformasi buat semua. Seperti yang kita ketahui, Hosni Mubarak iaitu bekas presiden Mesir telah digulingkan oleh rakyatnya sendiri. Hanya selama kira-kira lebih sebulan rakyat berdemonstrasi dijalanan, ianya mampu melenyapkan tanpuk pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak selama lebih 30 tahun berkuasa. Hebat sungguh kuasa rakyat. Dengan sekelip mata saja boleh menukar seorang pemimpin yang selama ini selesa di singgahsana menjadi seorang perempat di bumi sendiri. Bak kata pepatah, sekali bah sekali pantai berubah. Jika sebelum ini Hosni Mubarak dijunjung rapi oleh si pengampu dan menteri-menteri dalam kabinet, kini semuanya hanya menjadi sejarah. Tiada siapa menduga keadaan Mesir yang tenang sebelum ini dari segi landskap politiknya kini berubah sekelip mata. Hasil tulisan kali ini Che Wan akan berkongsi pandangan tentang faktor reformasi di Mesir dan apakah signifikan peristiwa tersebut terhadap agenda reformasi di Malaysia iaitu negara yang kita cintai ini.



Faktor pertama terjadinya kebangkitan gelombang reformasi di Mesir adalah kerana kebangkitan pemikiran generasi baru disana. Jika sebelum ini rakyat Mesir tidak mempunyai kesedaran tentang keperluan untuk berubah, kini generasi muda di Mesir telah sedar lalu bangkit dari penindasan yang berlaku. Mereka kini telah sedar bahawa negara Mesir mampu menjadi sebuah negara maju yang mana peluang pekerjaan mampu untuk ditingkatkan, jumlah gaji dinaikkan dan ekonomi negara Mesir mampu mencapai paras yang lebih baik. Generasi muda di Mesir hari ini berani untuk menyertai demonstrasi-demonstrasi jalanan kerana mempunyai kesedaran yang jitu dan semakin bijak untuk menilai perkara yang berlaku disekeliling mereka. Namun apakah sebabnya generasi muda Mesir kini lebih bijak berbanding dahulu? Jawapannya adalah kerana generasi muda Mesir hari ini mudah untuk berkongsi informasi dan maklumat melalui jaringan "dunia maya" seperti laman sesawang Facebook dan juga Twitter. Inilah faktor terpenting yang membuatkan generasi muda Mesir untuk menyebar dan memperkuatkan gerakan reformasi mereka. Selain itu juga, lahirnya ikon kebangkitan rakyat seperti Wael Ghonim (pekerja kabel Goggle di Mesir yang lantang menentang kerajaan pimpinan Hosni Mubarak melalui dunia maya) telah merancakkan lagi proses reformasi di sana. Penahanan beliau oleh pihak berkuasa Mesir telah mencetus kebangkitan dan membakar lagi semangat golongan muda untuk keluar rumah dan melakukan demonstrasi dijalanan.



Berpandukan peristiwa yang telah berlaku di timur tengah khususnya di Mesir pada hari ini, ianya menunjukkan bahawa gaya dan corak pemikiran generasi baru hari ini lebih terbuka dan menilai sesuatu itu dengan menggunakan fakta sehingga memungkinkan mereka untuk bangkit menentang pihak kerajaan akibat daripada kelemahan polisi dan pentadbiran kerajaan itu sendiri. Negara Malaysia turut tidak ketinggalan daripada terkena tempias ledakan informasi dunia maya ini. Setiap hari beribu-ribu pelayar internet mengunjungi laman blog dan laman web media alternatif untuk mendapatkan perspektif baru terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang telah berlaku. Mereka berindak sedemikian kerana telah berasa bosan dengan berita-berita yang dilaporkan oleh media arus perdana yang bersifat "stereotype" dengan menyebelahi sebelah pihak. Ini telah mewujudkan persepsi dikalangan masyarakat bahawa sesetengah berita yang dibawa oleh media arus perdana adalah tidak tepat dan memanipulasi hakikat sebenar yang telah berlaku. Keadaan ini telah menyemarakkan lagi gerakan reformasi di negara ini dengan menjadikan medan dunia maya sebagai medium utama untuk mengerakkan pemikiran reformasi.

Selain itu juga, meningkatnya jumlah pelajar yang menuntut di institusi-institusi pengajian tinggi telah menyumbang kepada jenis pemikiran baru ini. Kini generasi muda tidak mudah untuk "digula-gulakan" oleh propaganda yang dicipta kerajaan melalui media arus perdana. Lahirnya pelbagai blog dan media alternatif di internet telah memberi ruang yang cukup untuk mereka mendapatkan informasi dan maklumat yang sebelum ini disekat oleh pihak-pihak tertentu. Keputusan pilihanraya kampus 2011 yang telah berlangsung di universiti seluruh negara memperkuatkan lagi hujah ini. Rata-rata kerusi yang dipertandingkan telah dimenangi oleh calon Pro-Mahasiswa (yang bersifat oposisi) seperti di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga Universiti Putra Malaysia (UPM). Keputusan pilihanraya kampus ini telah memberikan suatu isyarat yang jelas bahawa golongan muda pada hari ini mempunyai suatu pandangan yang bersifat berani, idealistik serta berpandangan jauh terhadap sesuatu isu yang terjadi.


Baru-baru ini melalui sebuah artikel didalam ruangan akhbar tempatan Dato Seri Dr Rais Yatim memberi satu peringatan kepada pelayar-pelayar jalur lebar supaya jangan sesekali menggunakan wadah Facebook, Twitter atau blog untuk "menghidupkn" gerakan mengulingkan kerajaan dengan alasan ianya mengugat ketenteraman awam. Che Wan berasa dukacita kerana dunia maya tidak seharusnya disekat memandangkan ianya adalah hak rakyat untuk memilih sesuatu maklumat yang pada pendapat mereka bersifat benar dan betul. Pihak kerajaan perlulah bersikap lebih terbuka dan menerima kritikan yang membina daripada rakyat demi mempertahankan prinsip demokrasi tulin. Ini akan mewujudkan suatu keadaan dimana rakyat mempunyai daya partisipasi yang tinggi dalam politik serta sama-sama mencari konsensus terhadap satu permasalahan yang berlaku. Jangan melihat kritikan yang dilakukan oleh rakyat di alam maya sebagai suatu ancaman kepada kerajaan. Ingatlah bahawa kerajaan yang baik adalah kerajaan yang sentiasa bermuasabah dan rendah diri dengan mengakui kesalahan yang telah dilakukan.

Jika kerajaan tetap juga menekan rakyat dengan mendiamkan mereka melalui pelbagai sekatan yang dilakukan, Che Wan rasakan bahawa tidak mustahil rakyat akan bangkit dengan cara yang lebih keras dan radikal. Hakikatnya, pemikiran rakyat khususnya golongan muda pada hari ini tidak sama seperti pada tahun 80an atau 90an. Disebabkan era globalisasi dan informasi dihujung jari, mereka kini telah sedar hak dan kuasa yang ada pada mereka. Seperti sifat "spring" semakin mereka kuat ditekan, semakin kuat juga mereka akan melawan tekanan yang ada. Seharusnya perlu diberikan kebebasan demokrasi kepada mereka (rakyat) agar negara ini menjadi negara yang lebih baik, aman dan harmoni. Sejujurnya Che Wan berpendapat bahawa demonstrasi jalanan seperti yang terjadi di Mesir mustahil untuk berlaku di negara ini pada waktu yang terdekat memandangkan waktu Pilihanraya Umum yang semakin hampir. Namun apa yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan adalah bagaimanakah untuk mengadakan proses pilihan raya yang lebih telus dan adil serta menyediakan "padang yang sama rata" untuk kesemua parti politik yang bertanding. Kita perlu ingat bahawa kemenangan dalam pilhanraya bukanlah faktor penentu bahawa rakyat menyokong penuh pihak kerajaan. Kemenangan Hosni Mubarak dalam pilihanraya yang mana peratus kemenangan mencapai sehingga 85 peratus adalah satu contoh penipuan yang telah dilakukan. Mana mungkin jumlah kemenangan itu diterima kerana jumlah rakyat yang keluar rumah untuk menyertai rapat umum kira-kira sejuta orang!.


Setakat ini idea transformasi yang dijana oleh Datuk Seri Najib Tun Razak hanya suatu langkah terakhir yang dapat dilakukan untuk melambat-lambatkan proses reformasi di negara ini. Ada beberapa ketirisan yang berlaku terhadap polisi-polisi yang direncanakan dibawah idea transformasi ini seperti kegagalan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhannya. Kita perlu ingat bahawa transformasi adalah suatu bentuk perubahan yang berskala kecil jika dibandingkan dengan idea reformasi yang lebih membawaperubahan secara drastik. Di dunia yang serba mencabar pada hari ini, kita perlu untuk bersaing dengan negara-negara lain demi untuk menguasai pasaran dan juga ekonomi. Justeru itu perubahan secara agresif perlulah dilakukan kerana jika negara kita hanya bergerak perlahan sepertimana hari ini, dikhuatiri negara yang kita cintai ini akan jauh ketinggalan daripada negara-negara serantau. Seharusnya kita perlu sedar bahawa suatu masa dahulu diawal tahun 1970 taraf ekonomi (dilihat dari faktor GDP) Malaysia dan juga negara Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong adalah lebih kurang sama. Namun, hari ini pembanggunan di negara tersebut telah meninggalkan Malaysia jauh kebelakang. Jika kita dapat lihat GDP dinegara tersebut rata-rata 3 kali ganda daripada yang Malaysia perolehi).


Rakyat Malaysia perlu sedar akan perkara ini. Sesungguhnya reformasi perlu dilakukan agar landskap politik, ekonomi serta sosial negara ini mencapai suatu tahap yang lebih unggul. Tokoh reformasi tanah air iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang pejuang tulin yang dapat memimpin rakyat negara ini untuk mendapat kualiti hidup yang lebih baik. Pada pandangan Che Wan Buku Jingga yang dihasilkan oleh Parti Keadilan Rakyat merupakan satu langkah awal yang baik kerana ianya dapat membuka minda rakyat madani lantas anjakan paradigma dapat berlaku di sudut pemikiran mereka. Ingatlah bahawa perubahan pada hari ini akan menentukan untung nasib anak bangsa kita kelak. Kita tidak mahu lagi elemen politik kotor serta korupsi meratah rakyat yang selama ini sering diperkotak-katikan. Apa yang Che Wan boleh katakan adalah gelombang reformasi pasti akan berlaku di negara ini. Pasti. Cuma persoalannya adalah cepat atau lambat sahaja.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...