Jumlah Pelawat

Thursday, November 8, 2012

Pendidikan percuma. Realiti, fantasi dan kekuatan ekonomi



Ilmu suluh kemajuan. Ilmu adalah pengetahuan yang diperolehi oleh seseorang kesan daripada pembacaan, kajian serta dari pengalamannya sendiri. Kepentingan ilmu tidak boleh disangkal apa lagi dipertikaikan. Melalui lipatan sejarah, jika sesuatu bangsa itu memiliki penguasaan terhadap ilmu yang mantap, maka bangsa itu akan maju dan menguasai sesuatu bangsa lain. Kejatuhan empayar Melaka pada tahun  1511 adalah contoh yang boleh dilihat bagaimana Portugis yang menguasai ilmu ketenteraan dan kecanggihan alat peperangan seperti senapang dan meriam telah membedil kota Melaka sedangkan lawan mereka, pahlawan-pahlawan melayu ketika waktu itu hanya bersenjatakan keris dua jengkal.

Peristiwa itu telah menjadi pengajaran buat kita semua. Jika sesuatu bangsa itu ketinggalan dari sudut penguasaan ilmu, kesudahannya mereka akan ditindas oleh bangsa lain. Bagi mengatasi masalah ini supaya ianya tidak berulang lagi, setiap rakyat Malaysia perlu mempunyai penguasaan ilmu yang mantap di dada. Untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, tidak boleh tidak titik permulaanya adalah berpaksi kepada penyediaan peluang pendidikan yang baik untuk mereka.

Pendidikan perlu dilihat sebagai hak sejagat yang perlu diberikan kepada setiap rakyat dinegara ini. Setiap orang, tidak kira apa kaum sekalipun tanpa diskriminasi samada melayu, cina, india, serta lain-lain suku kaum di negara ini pastinya mahu menjadi bijaksana. Tiada ibubapa yang mahu melihat anak-anak mereka menghadapi kejumudan ilmu.

Sungguhlah tidak adil jika hak mereka untuk memperkayakan pengetahuan diri ini diambil dari mereka. Adakalanya keinginan untuk menimba ilmu itu ada, tetapi batas kemampuan dari segi kewangan telah menjadi batu penghalang kepada rakyat dinegara ini untuk mendapatkan taraf pendidikan yang lebih baik.

Justeru itu, sekadar kemahuan dan kepandaian semata-mata tidak mengcukupi jika mahu melanjutkan pengajian di zaman pasca moden kini. Jika anda mahu melanjutkan pengajian ditahap yang lebih tinggi, anda perlu mempunyai kemampuan kewangan bagi menanggung segala kos pendidikan yang terbabit.

Solusi yang dapat dicapai ketika ini adalah dengan menperkenalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) yang dirangka dalam bentuk pemberian pinjaman awal kepada pelajar-pelajar yang berpeluang melanjutkan pengajian di institusi awam atau swasta dinegara ini. Jumlah wang yang diberikan secara “bank-in” terus kedalam akaun bank pelajar sedikit sebanyak dapat membantu pelajar untuk membayar yuran pengajian dan juga menampung segala perbelanjaan bahan ilmiah mereka pada setiap semester.


PTPTN bebanan dalam senyap
Setelah pelajar-pelajar ini bergraduasi dan mendapat segulung ijazah, belum pun mula bekerja, hutang pinjaman pendidikan ini akan mula menghantui hidup mereka. Kadar faedah 1% setahun yang dikenakan kepada peminjam mengakibatkan jumlah pinjaman yang perlu dibayar semakin meningkat. Ini akan menambah lagi beban graduan-graduan yang baru sahaja mula bekerja. Disamping kos sara hidup yang tinggi, pinjaman pendidikan ini seperti menjadi barah yang sedikit demi sedikit menyempitkan kemampuan poket anak-anak muda. Akhirnya keadaan ini akan meningkatkan risiko mereka untuk jatuh bangkrap pada usia muda.


Pendidikan percuma relevan atau tidak?
Melalui pengenalan Buku Jingga, Pakatan Rakyat ada mengemukakan pendidikan percuma sebagai agenda utama yang diperjuangkan jika berjaya menakluki Putrajaya kelak. Pakatan Rakyat memahami aspirasi anak muda yang terdiri dari lepasan siswazah yang terbeban akibat daripada hutang pendidikan ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) melalui siri jelajah ceramah-ceramahnya diseluruh negara acapkali mengulas tentang pendidikan percuma ini. “Bila kita sebut mansuh PTPTN, isu utama yang harus difokus ialah pendidikan percuma untuk semua rakyat terutama golongan miskin” tegas DSAI pada 31 Mac yang lalu. Maksud beliau adalah dasar pendidikan percuma perlu menjadi wacana utama negara dan golongan yang tidak bernasib baik perlu dibantu dengan menyediakan pendidikan yang baik dengan kos yang minima.

Sebagai seorang bekas Menteri Kewangan Malaysia (1991-1998), tentunya DSAI faham selok-belok bagaimana untuk mengawal hasil dan juga perbelanjaan negara ini. Hutang PTPTN akan dilangsaikan secara ansuran iaitu sebanyak RM 2 billion setahun. Jadi, jumlah keseluruhan hutang pinjaman pendidikan (setakat 2012) iaitu sebanyak RM 24.7 billion akan dapat dilangsaikan dalam masa 15 tahun sahaja. Kemampuan ini diyakini dapat dilaksana berlandaskan kepada hasil bumi Malaysia yang kaya. Sebahagian daripada untung perolehan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) iaitu syarikat carigali petroleum tunggal negara yang dianggarkan kira-kira RM 70 billion setahun akan disalurkan semula kepada rakyat dalam bentuk pembiyaan kos pendidikan mereka. Angka-angka yang digambarkan tersebut adalah amat relevan selagi mana wang perolehan dan hasil bumi negara bertuah ini tidak dibolot oleh pihak-pihak tertentu.

Perkara pokok kepada isu ini bukannya tertumpu kepada keengganan graduan untuk membayar hutang pendidikan seperti yang dipersetujui dalam perjanjian pinjaman tetapi ianya lebih kepada persoalan tentang samaada Malaysia mampu untuk menampung kos pendidikan rakyatnya atau tidak. Mampu atau tidak, kita boleh lihat Turki sebagai model negara pendidikan percuma yang boleh dibandingkan.


Turki sebagai contoh
Sejurus selepas pemimpin parti Aadalet Kalkinma (parti keadilan dan pembangunan Turki) iaitu Recep Tayyip Erdogan dipilih sebagai Presiden dinegara itu, beliau telah memansuhkan pinjaman pendidikan yang ditanggung oleh rakyatnya. Turki yang tidak mempunyai kekayaan sumber petroleum sekalipun mampu untuk memberikan pendidikan percuma, Apakah Malaysia begitu daif untuk melaksana dasar pendidikan percuma sama seperti Turki sedangkan kita mempunyai kemampuan lebih dari negara itu?

Pengajaran yang boleh kita dapati daripada Turki adalah jika pemimpin tidak korup tentunya hasil negara mencukupi untuk memberi pendidikan percuma kepada rakyat. Tidak ada satu pun negara didunia jatuh bangkrap disebabkan kerajaan membantu rakyatnya melainkan kerajaan di negara itu sendiri yang melakukan salahlaku seperti rasuah, kronisme melampau dan sebagainya. Presiden Erdogan sewaktu diwawancara oleh sebuah stesen Televisyen di Turki iaitu TRT Haber TV berkata, Support for education is one of the priorities of the government and Turkey will further seek to become one of the leading states in the field of education".

Selaku pemimpin dan ketua negara, Presiden Erdogan dilihat begitu mementingkan pendidikan dikalangan rakyatnya sehingga dasar pendidikan dinegara itu dilaksanakan dengan percuma. Presiden Erdogan menambah, “Half the state budget fund is allocated to education in Turkey, and the state will continue to pay considerable attention to this sphere”. Setengah daripada hasil negara Turki akan dibelanjakan kepada pendidikan dan langkah itu akan sentiasa diberi perhatian dan diteliti. Lihatlah betapa Presiden Erdogan amat mementingkan pendidikan sehingga setengah daripada pendapatan negara Turki dibelanjakan kearah itu. Ya..Setengah! Malaysia pula sibuk membelanjakan berbillion-billion ringgit untuk membeli kapal selam yang mempunyai kerosakan teknikal sehingga menyelam pun gagal. Itu beza tadbir urus kewangan bekas negara pemerintahan khalifah itu dangan kita.


Kesan daripada pendidikan percuma kepada rakyat
Che Wan memandang pemberian pendidikan percuma kepada rakyat dinegara ini dari beberapa perspektif yang positif. Pertamanya kesan langsung dari pemberikan pendidikan percuma adalah jumlah modal insan yang berkualiti di negara ini akan dapat dipertingkatkan. Jika dasar pendidikan percuma dilaksanakan tentunya setiap rakyat mempunyai peluang yang seluas-luasnya untuk melanjutkan pengajian.

Pendidikan adalah satu bentuk pelaburan yang baik dan seharusnya pihak kerajaan menanggung segala kos ini. Mungkin anak-anak petani yang mempunyai potensi dari segi akademik sebelum ini hanya memendam rasa untuk menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi kerana tidak berkemampuan. Keadaan ini dapat diubah jika dasar pendidikan percuma dapat diperkenalkan kelak.

Bila mana bilangan cerdik pandai dapat dilahirkan dinegara ini dengan jumlah yang begitu banyak setiap tahun, Malaysia tidak lagi menghadapi masalah yang disebut “brain drain” yakni kekeringan dari segi sumber manusia yang berilmu dan berkebolehan tinggi kerana dasar pendidikan percuma ini membolehkan semua orang tanpa diskriminasi untuk menimba ilmu di institusi pengajian tinggi. Lantaran itu, kewangan bukan lagi menjadi satu masalah buat anak-anak golongan bawahan untuk melanjutkan pengajian.

Keduanya pendidikan percuma dapat menarik pelabur asing (FDI) untuk melabur dinegara ini. Ada perkaitan yang jelas diantara pendidikan percuma dan pelaburan asing. Pabila rakyat dinegara ini mempunyai taraf pendidikan yang baik, secara tidak langsung keadaan ini akan menarik minat pelabur asing untuk melabur di negara ini. Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada penawaran sumber tenaga buruh yang murah untuk menarik pelabur luar disebabkan negara dunia ketiga berdekatan seperti Vietnam, Myanmar dan Laos dapat menyediakan kos buruh yang lebih rendah kepada mereka (pelabur) berbanding Malaysia.

Dasar pendidikan percuma akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah hub pasaran tenaga buruh berkemahiran (knowledgeable worker) yang diyakini dapat menarik minat syarikat dari luar negara untuk beroperasi di negara ini. Abad ke 21 yang lebih tertumpu kepada sains dan teknologi memerlukan Malaysia melahirkan pekerja yang mempunyai pengetahuan yang tinggi. Dasar pendidikan percuma ini secara tidak langsung dapat menyediakan Malaysia kearah itu.

Ketiganya adalah jurang antara miskin-kaya dapat dikurangkan. Pendidikan seperti yang kita ketahui ianya adalah amat penting. Penting kerana melalui pendidikan sahaja dapat menjadikan seseorang itu berilmu. Ilmu itu pula akan memimpin manusia untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Teorinya mudah, jika seseorang itu mempunyai segulung ijazah, sarjana ataupun Phd semestinya dia akan mendapat satu posisi yang tinggi didalam organisasi atau syarikat-syarikat tertentu. Semakin tinggi pangkat seseorang itu, maka semakin tinggilah gaji yang diterima mereka pada setiap bulan.

Ini adalah satu-satunya jalan yang dapat membantu golongan bawahan untuk memperbaiki ekonomi keluarga mereka. Apabila mempunyai taraf pendidikan yang baik, ianya dapat membebaskan mereka dari kepompong kemiskinan yang membelenggu mereka selama ini. Untuk membantu mereka, dasar pendidikan percuma perlulah dilaksanakan dengan segera.

Peribahasa inggeris ada menyebut bahawa “knowledge is power”. Benarlah seperti yang disebutkan bahawa ilmu itu amat berkuasa. Tetapi untuk mendapatkan ilmu itu bukan juga satu tugas yang mudah. Masa ini ianya tidak percuma. Ada golongan kapitalis yang mahu memperdagangkan pula pendidikan di Malaysia sedangkan rakyat berhak mendapatkannya dengan percuma. Pilihanraya ke-13 ada sinar baru. Pilih manifesto Buku Jingga, pilihlah pendidikan percuma..keputusan ditangan anda..




0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...