Jumlah Pelawat

Friday, June 11, 2010

RMK-10: Kemana hala tuju Malaysia?

Pada 10 Jun 2010, Perdana Menteri Malaysia telah membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10(RMK-10) di Parlimen. Pada RMK-10 kali ini, tajuk atau asasnya adalah tentang “Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial”. Sejumlah RM 230 billion telah diperuntukan bagi mencapai objektif RMK-10. Antara intipati penting yang terkandung di dalam RMK-10 adalah memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara, memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena antarabangsa, mentransformasi negara ke arah pendapatan tinggi menerusi pengkhususan, dan juga menjayakan pertumbuhan diterajui oleh produktiviti dan inovasi.

Melihat dari segala perancangan yang telah dibuat, ianya bolehlah diketegorikan sebagai sebuah pelan yang baik serta dapat menyembuhkan negara ini dari masalah kemesetan ekonomi. Bagi mencapai wawasan 2020, RMK-10 kali ini adalah satu rancangan yang amat kritikal waktunya. Ini kerana, kita hanya mempunyai sepuluh tahun lagi sebelum kita mencapai tahun keramat 2020. Oleh yang demikian, RMK-10 ini merupakan penggal yang terakhir yang menentukan sama ada Malaysia dapat mencapai status negara maju atau tidak.

Seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia, Model Ekonomi Baru(MEB) menjadi teras di dalam RMK-10. Untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berpendapatan tinggi, ianya perlulah digerakkan oleh sektor swasta. Sektor swasta perlu berperanan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi. Oleh kerana itu, di dalam RMK-10 kali ini jika kita sedar, ianya lebih tertumpu kepada sektor ini seperti memberi pinjaman berisiko kepada usahawan-usahawan yang ingin bangkit semula setelah mengalami kerugian. Yang menariknya juga pada RMK-10 kali ini, keperluan modal insan juga diberi perhatian yang amat serius. Ini kerana, kerajaan sedar bahawa untuk menarik pelabur-pelabur luar untuk melabur di dalam negara ini, pasaran buruh perlulah menawarkan pekerja yang berkemahiran tinggi serta mempunyai daya saing yang tidak mudah mengalah. Kita tidak dapat bersaing lagi dengan harga pasaran buruh yang murah kerana negara-negara lain seperti India, China dan Vietnam lebih menawarkan harga buruh yang rendah.

Penulis berpendapat bahawa RMK-10 ini sebagai sempurna dan tiada cacat celanya. Namun yang menjadi persoalannya kini adalah adakah perlaksanaannya akan menjadi seperti apa yang dirancangkan? RMK yang dilaksanakan sebelum ini menunjukkan berlaku beberapa ketirisan yang menjejaskan perancangan yang telah dibuat. Kita tidak mahu Dasar Ekonomi Baru(DEB) yang terkandung dalam RMK-2 tidak dapat dicapai juga akan berlaku pada RMK-10 kali ini. Ini amatlah mengusarkan kerana kita tidak boleh lagi “bermain-main” seperti RMK terdahulu. Setiap kementerian yang terlibat secara lansung atau tidak langsung perlu bekerja dengan lebih keras. Mereka juga perlu bekerja dengan lebih berintegriti supaya perancangan ini dapat dilaksanakan dengan baik dan sampai ke akar umbi. Pekerja di dalam sektor swasta mahupun sektor kerajaan perlu meningkatkan produktiviti diri mereka supaya rancangan lima tahun ini dapat mencapai objektifnya. Turut tidak ketinggalan, setiap menteri-menteri yang terlibat didalam perlaksanaan RMK-10 ini perlu kerap turun padang supaya mereka dapat melakukan pemantauan yang lebih rapi terhadap perancangan yang dibuat.

Akhir sekali, RMK-10 adalah satu perancangan yang amat penting dan menjadi titik tolak hala tuju negara Malaysia. Diharapkan segala perancangan yang direncanakan akan dapat dizahirkan dengan jayanya kelak. Rakyat perlu menyahut setiap intipati yang telah ditetapkan seperti yang terkandung di dldalam rancangan ini. Setiap institusi dan individu termasuk pihak pembangkang perlu memberi sokongan terhadap perancangan ini agar Malaysia dapat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

1 Ulasan:

Anonymous said...

bile terlampau concentrate swasta
cmne lak dgn industri kecil n sederhana???
kesian diowg...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...