Jumlah Pelawat

Tuesday, June 1, 2010

di suatu sisi kiri


Setelah lebih 52 tahun negara merdeka. Telah banyak yang sudah kita kecapi. Menara pencakar langit, jambatan terpanjang di asia tenggara, litar bertaraf dunia, lapangan terbang moden dan pelbagai lagi mercu-mercu kejayaan yang negara kita ini kecapi semenjak merdeka. Kemerdekaan bukanlah satu proses yang mudah, kerana seperti yang kita ketahui UMNO, parti tunggal melayu berjuang dengan cara yang diplomatik untuk membebaskan tanah melayu ini dari cengkaman kuasa imperial barat. Namun demikian, tahukah anda bahawa disebalik pertubuhan-pertubuhan politik berjuang menentang British pada tahun 1957, terdapat satu golongan yang juga berjuang untuk memerdekakan negara dengan cara yang lebih radikal yakni golongan berhaluan kiri.

Mungkin sebelum ini masyarakat didedahkan bagaimana golongan berhaluan kiri ini adalah "watak hitam" sepertimana yang terkandung didalam buku-buku teks(sewaktu penulis belajar dahulu) yang menerangkan akan perihal kekejaman mereka. Dewasa ini, semakin melangkaui waktu, takrif golongan berhaluan kiri ini perlu dirombak semula. Ini kerana, kita perlu melihat golongan ini dari satu perspektif yang berbeza bagi melihat fakta yang sebenar. Secara logiknya, masyarakat memandang serong terhadap golongan berhaluan kiri ini kerana golongan ini bertindak dengan berlandaskan ideologi komunisme. Akan tetapi perlu diingat bahawa seperti juga UMNO, mereka juga berjuang dengan menumpahkan setiap keringat dan darah mereka demi untuk memerdekakan negara. Pertubuhan sosialis seperti PUTERA, AWAS, API adalah bertujuan untuk mengusir koloni-koloni British dari tanah melayu.

Penulis tidak mahu mengulas akan Cheng Peng dan segala kekejaman yang telah dilakukan olehnya. Cuma disini penulis ingin mengulas tentang individu-individu berbangsa melayu yang menyertai gerakan haluan kiri dan mengapa mereka menjadikan ideologi komunisme ini sebagai asas perjuangan mereka. Lazimnya orang melayu yang beragama islam menolak fahaman ini. Jadi mengapakah individu-individu seperti Ahmad Boestamam, Samsiah Fakeh, Dr. Burhanuddin Al-Helmy,Ibrahim Yaacob dan lain-lain orang melayu terpikat dengan gerakan haluan kiri ini? Melalui pendapat penulis, mereka ini terpikat untuk menyertai gerakan berhaluan kiri kerana mereka berpendapat bahawa pengusiran kuasa imperialis barat hanya boleh dilakuan dengan jayanya hanya dengan cara mengangkat senjata. Disini satu persoalan timbul. Adakah dengan mengangkat senjata menentang penjajah ini satu kesalahan? tentunya tidak bukan? Kita perlu melihat kedudukan mereka yang serba kekurangan pada waktu itu. Pada tahun-tahun sebelum kemerdekaan, medium-medium untuk menentang penjajah amatlah terhad, oleh yang demikian, mereka terpaksa menyertai pertubuhan yang berorientasi komunisme untuk mendapat sumber dan kelengkapan yang cukup bagi menentang British. Tambahan pula, fahaman komunisme ini paling awal sampai ke tanah melayu dan ianya mempunyai peluang yang cukup cerah bagi menyekat penguasaan British di tanah melayu.

Pada waktu tersebut, Mereka-mereka ini tidak melihat parti-parti politik dapat memberi impak yang besar untuk memerdekakan tanah melayu. Dengan tertubuhnya Malayan Union, ini merencatkan lagi peluang parti-parti politik untuk beroleh kemerdekaan. Individu seperti Ibrahim Yaacob melihat pengusiran kuasa imperialis barat hanya dapat dilakukan dengan cara yang lebih “nampak” atau radikal iaitu melalui serangan-serangan gerila seperti yang berlaku di Indonesia. Dengan menjadikan Indonesia sebagai contoh, mereka berharap tanah melayu dapat mencapai kemerdekaan dengan cara yang sama. Kita perlu melihat golongan komunis ini melalui konteks yang berbeza. Ini kerana melayu-sosialis adalah berbeza dari golongan cina-komunis kerana walaupun mereka didalam satu rumpun yang sama tetapi ternyata mereka berbeza. Individu-individu melayu yang menyertai gerakan haluan kiri ini masih lagi memegang akidah dan tauhid pada Tuhan yang Esa.

Oleh yang demikian, kita perlu memperjelaskan masyarakat tentang fakta yang sebenar. Kita perlu mengetahui bahawa orang-orang melayu menyertai gerakan berhaluan kiri bukan kerana mereka menerima secara bulat-bulat fahaman komunisme akan tetapi mereka terpaksa menyertai gerakan tersebut kerana mempunyai matlamat yang luhur bagi membebaskan negara ini dari penjajah. Amat menyedihkan golongan-golongan veteran haluan kiri ini dibiarkan begitu sahaja. Bekas-bekas pejuang berhaluan kiri yang masih hidup kini kebanyakannya menetap di selatan Negara Thailand. Kehidupan mereka amatlah sederhana namun mereka tetap berasa gembira kerana akhirnya Malaysia bebas. Bebas dari cengkaman penjajah.

Kesimpulanya, apa yang boleh diperkatakan adalah, kita sebagai generasi muda perlu tahu akan fakta yang sebenar. Bahan-bahan bacaan di peringkat sekolah perlu dirombak dan meletakkan nama-nama tokoh haluan kiri ini sebaris dengan Tunku Abdul Rahman,Tun Sambatahan, Tun Tan Cheng Lock dan juga tokoh-tokoh kemerdekaan yang lain. Masyarakat juga perlu sedar bahawa elemen sosialis tidaklah salah kerana sosialis itu sendiri bermaksud golongan rakyat yang berani bangkit untuk berjuang agar mereka tidak lagi ditindas di bumi sendiri. Lapangkan dada, bukalah minda.......

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...