Jumlah Pelawat

Wednesday, November 30, 2011

Akta Perhimpunan Aman yang tiada amannya



Negara lain membuka langkah menuju kehadapan dan semakin maju. Negara kita pula melakukan perubahan dangkal dan mengundur langkah. Bukan salahnya negara ini. Tetapi salah sekelompok individu yang memimpin negara ini. Trend dunia ketika ini semakin sedar akan kepentingan hak asasi manusia dan masing-masing telah merubah sistem negara mereka yang sebelum ini bersifat kuku besi kepada sebuah negara yang lebih bebas dan tidak menindas rakyat.

Melalui episod kebangkitan rakyat di timur tengah, kita mendapat bukti bahawa negara yang tetap juga mahu mengekalkan konsep negara kuku besi dan rejim pasti jatuh dan tumpas melalui protes-protes jalanan. Banyak contohnya, Mesir, Syria, Lubnan, Tunisia dan yang terbaru adalah Libya.

Myanmar yang ketika dulu diperintah oleh pihak tentera junta kini demokrasinya lebih menyinar daripada Malaysia. Demokrasi negara ini kian lesu akibat dari perlaksanaan beberapa rang undang-undang yang memperlihatkan bahawa elemen kebebasan rakyat itu semakin disekat.

Apakah kerajaan hari ini tidak nampak akibatnya dari sekatan keatas kebebasan rakyat? Mereka sepatutnya mengambil tauladan dari peristiwa dan cerita dari timur tengah jika mereka tidak mahu “dibakul sampahkan”. Negara di timur tengah mungkin jauh nun disana, namun angin semangat kebangkitan mampu untuk ditiup ke negara ini.

Pada 29 November 2011, tarikh dimana “diktator kecil” bernama Akta Perhimpunan Aman 2011 telah dilahirkan. Akta ini sangatlah kejam walaupun tertera perkataan A.M.A.N padanya. Che Wan akan terangkan satu persatu sebab musabab mengapa akta ini dilabel sebagai kejam:

1-- Akta ini melarang terus orang ramai untuk mengadakan perhimpunan aman walaupun berada di premis persendirian jika tidak mendapat permit dari pihak polis.

2-- Seksyen 9(5) akta tersebut memberi kuasa kepada pihak polis untuk mendenda penganjur perhimpunan aman sehingga RM 10,000 sekiranya tidak diberi notis awal.

3-- Setiap rakyat Malaysia yang berumur dibawah 21 tahun dilarang sama sekali untuk berpatisipasi di dalam perhimpunan aman. (jika Universiti mahu dirobohkan sekalipun, mahasiswa dibawah umur 21 tidak boleh melakukan protes terhadap tindakan itu).

4-- Seksyen 21(3) membenarkan pihak polis untuk mendenda individu yang ditangkap dalam perhimpunan aman sehingga mencecah RM 20,000 yang mana akta sebelum ini membenarkan maksimum RM 2000 sahaja.

5-- Perhimpunan aman tidak boleh diadakan di hospital, tempat ibadat, sekolah, dan beberapa tempat lain. Mesti menjauhi kira-kira 50 meter dari tempat tersebut walaupun perhimpunan dijalankan secara tenang.

6-- Ia memberi kuasa yang besar kepada polis untuk menahan individu yang menyertai perhimpunan, dengan kuasa itu hanya polis sahaja menentukan sama ada sesuatu perhimpunan itu aman atau tidak.

7-- Pada Seksyen 8 akta tersebut, menyatakan bahawa seseorang pegawai polis boleh mengambil langkah yang difikirkannya perlu untuk memastikan perhimpunan berkenaan dikendalikan dengan teratur. (apa sahaja tindakan walaupun dengan melakukan kekerasan).

Sungguhpun Datuk Seri Najib Razak mengatakan bahawa kerajaan faham tentang aspirasi rakyat dan akan berubah melalui usaha transformasi, tetapi perubahan itu bukanlah kearah yang lebih baik, tetapi semakin buruk pula jadinya. Akta yang kejam diganti dengan akta yang lebih kejam. Sedang rakyat dahagakan demokrasi ketika ini, kerajaan Barisan Nasional mengambil langkah menongkah arus dengan menidakkan hak dan kuasa yang ada pada rakyat. Pilihanraya yang akan datang, mari sama-sama golongan belia di negara ini menunjukkan kuasa anak muda reformasi pada mereka. Kita sama-sama jatuhkan kerajaan kejam ini.

Tuesday, November 29, 2011

Hak Asasi Manusia

Kerana Kondo Mewah, Sapi dapat nama...



Raya korban dah lama habis. Tapi isu lembu yang satu ini masih lagi tidak dapat diselesaikan. Kepada yang sentiasa mengikuti senario politik semasa pasti mengetahui skandal RM 250 juta yang melibatkan projek National Feedlot Corporation (NFC) iaitu sebuah pusat penternakan lembu di Negeri Sembilan. Projek mega ini diuruskan oleh suami kepada ketua wanita UMNO iaitu Dato Seri Shahrizat Jalil.

Che Wan tidak menyalahkan perlaksanaan projek mega ini kerana ianya dapat menjamin pengeluaran hasil daging lembu segar dengan jumlah yang besar, secara tidak langsung ianya akan dapat membuka peluang pekerjaan dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK). Ini tentunya memberi kesan baik kepada ekonomi negara.

Tetapi masalahnya mengapa projek sebesar ini diberikan kepada individu yang begitu rapat dengan seorang yang bergelar menteri? Dalam negara yang amat bertuah ini, ramai lagi usahawan-usahawan yang berkecimpung dalam bidang penternakan mempunyai kepakaran dan mampu untuk mengurus projek sebesar itu.

Spekulasi untuk mengaitkan suami kepada Dato Seri Shahrizat Jalil menggunakan pengaruh yang ada pada isterinya untuk mendapatkan suntikan dana sebanyak RM 250 juta untuk membiayai projek penternakan itu sememangnya berasas.

Lazimnya, sebelum sesuatu projek berskala besar diluluskan, ianya perlu melalui satu proses saringan yang amat ketat dimana hanya usahawan-usahawan yang mempunyai latar belakang dalam industri penternakan sahaja akan diberi peluang untuk dipertimbangkan.

Ini kerana projek berskala besar seperti ini mempunyai risiko yang sangatlah tinggi. Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail (suami kepada Sharizat) bukanlah individu yang sesuai untuk menerajui satu gagasan industri ternakan lembu yang tentunya memerlukan kepakaran dan kebolehan yang jitu. Kredibaliti diri beliau sedikit sebanyak boleh diragui. Apa yang pasti, beliau telah pun mendapat bantuan “mega” tersebut dari pihak kerajaan.

Isu ini menjadi lebih panas pabila ahli parlimen dari Macang iaitu saudara Saifuddin Nasution membongkarkan bahawa NFC telah membeli dua buah Kondo Mewah berharga RM 9.8 juta yang terletak di Bangsar yang kononnya untuk tujuan pelaburan. Che Wan sendiri tidak nampak satu siknifikan disebalik pembelian dua buah kondo mewah tersebut. Cukup tidak masuk akal bila mana sebuah syarikat penternakan yang baru bertapak di negara ini mahu meluaskan operasinya dalam sektor hartanah pula. Tidak relavan sama sekali.

Pembelian dua buah kondo mewah itu seolah-olah memperlihatkan bahawa peneraju NFC seperti mempunyai kepentingan peribadi.

Selaku Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Jalil perlu memberi penjelasan tentang isu NFC ini sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan nanti. Tiada sebab untuk pihak luar melemahkan sayap puteri UMNO seperti yang diperkatakan beliau. Rakyat hanya mahukan penjelasan. Berikan penjelasan itu.



.


Wednesday, November 23, 2011

One Buck Short - Kelibat Korupsi



Bertapa hebatnya kita membeli isu terkini
Fakir miskin terpedaya
Orang kaya semakin kaya
Bagaimana kita nak maju asyik mereka rembatkan
AP senang didapat
Projek besar diorang rembat
45 hitam biru mencari-cari tujuan
Aku dia kita mangsa
Hal kecil menjadi besar
Apa lagi yang kita semua perlu lakukan
Bangsa kita keluar malam
Maruah bangsa semakin curam

Ingat kita takut?!
Apa mengarut?!
Kita tunjukkan!RAKYAT KEDEPAN!

Bertahun-tahun akan kita merasai sengsara
Peperangan yang tak sudah!
Cari harta mengambil tanah!
Walau sekarang kita hidup hidup dah cukup mudah
Tak cukup tamak harta
Cari makan mereka kata

Ingat kita takut?!
Apa mengarut?!
Kita tunjukkan!RAKYAT KEDEPAN!

Bak Kata
Cerita pendek
Kita harus Kerja sama
Jaga jaga Jaga nama
Kalau jatuh Depa pijak
Kerja sama Boleh maju
Jangan malas Jangan tipu
Makan rasuah
Tikam belakang
Semua ini Buat rosak
Tukar cara Kita fikir Baru hapus KORUPSI!
Tukar cara Kita fikir Baru hapus KORUPSI!

Thursday, November 17, 2011

PPSMI ibarat sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu

Bahasa jiwa bangsa. Bahasa adalah medium perantara yang membentuk identiti kewujudan sesuatu bangsa itu. Malahan tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa bahasa adalah tulang belakang dan sendi yang membezakan sesuatu bangsa itu daripada bangsa yang lainnya. Malaysia sedang menghadapi satu lagi krisis iaitu berkenaan dengan bahasa. Mengikut apa yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan (perkara 152), Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang perlu diamalkan terutamanya pada majlis-majlis rasmi kerajaan.

Kali ini Che Wan ingin kongsikan sedikit pandangan tentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sewaktu Che Wan di bangku persekolahan dahulu, dasar ini dalam perbincangan diperingkat parlimen dan masih lagi tidak dilaksanakan. Jadi Che Wan adalah generasi yang tidak menggunakan terma-terma atau perkataan inggeris seperti “plus” untuk tambah, “minus” untuk tolak dan “multiply” untuk darab dalam subjek matematik. Di peringkat persekolahan memang Che Wan bernasib baik.

Namun setelah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian di sebuah universiti awam tanah air, ketika itulah konflik timbul. Ketika diperingkat awal proses pembelajaran, Che wan menghadapi kesukaran kerana segala bahan bacaan, rujukan serta syarahan diberi dalam bahasa inggeris. Sebagai seorang yang berasal dari sebuah keluarga melayu kelas pertengahan yang tentunya menggunakan bahasa melayu untuk berkomunikasi di rumah serta hanya mendapat pendidikan sekolah menengah harian luar bandar, Che Wan akui bahawa penguasaan bahasa inggeris Che Wan tidaklah begitu baik.

Melalui pemerhatian Che Wan ketika di universiti dahulu, pelajar-pelajar (terdiri dari rakan-rakan Che Wan sendiri) yang berasal dari kawasan bandar sememangnya mempunyai penguasaan bahasa inggeris yang baik dari segi penulisan dan juga pertuturan. Ini memberi mereka kelebihan untuk memahami subjek-subjek yang diajarkan kepada mereka. Namun Che Wan tetap rasa bersyukur kerana walaupun menghadapi sedikit masalah pada peringkat permulaan, Che Wan berjaya juga memperoleh segulung ijazah sarjana muda (kepujian) di universiti tersebut.

Che Wan yakin bahawa kesukaran yang pernah dilalui oleh Che Wan dahulu, pasti turut dialami oleh pelajar-pelajar hari ini terutamanya yang mendapat pendidikan di sekolah-sekolah luar bandar. Sebab faktor inilah Tun Mahathir Mohamad (Perdana Menteri waktu itu) memperkenalkan dasar PPSMI ini. Motifnya adalah untuk memantapkan penguasaan bahasa inggeris dikalangan pelajar-pelajar disekolah rendah dan menengah supaya mereka tidak begitu “terkejut” apabila melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Setelah lebih lapan tahun dasar tersebut diperkenalkan, kerajaan telah membuat keputusan untuk memansuh pula dasar itu dan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik kembali diajar didalam bahasa melayu. Ini jelas menunjukkan kerajaan dinegara ini lemah kerana tidak mempunyai satu pegangan yang kukuh. Sebab itulah Che Wan mengatakan bahawa PPSMI ini ibarat “pi mai pi mai tang tu”. Baru sekerat jalan dasar itu dilaksanakan, sudah mahu dimansuhkan pula. Seolah-olah rakyat negara ini menjadi bahan ujikaji dan tikus makmal.

Kita sebenarnya berada konflik di persimpangan jalan. Sama ada ingin memilih untuk mendaulatkan bahasa melayu ataupun mengangkat bahasa inggeris demi kepentingan pendidikan. Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa bahasa melayu perlu dimartabatkan disamping bahasa inggeris perlu diperkukuhkan. Che Wan agak tidak bersetuju dengan pendapat beliau ini kerana kita tidak boleh mengaut kedua-duanya sekaligus. Kita perlu mempunyai suatu matlamat jelas yang mahu dicapai. Kita tidak mahu golongan ibubapa dinegara ini nanti berada didalam kekeliruan terhadap sistem pendidikan untuk anak-anak mereka disekolah.

Untuk mendapat sesuatu kita perlu melepaskan sesuatu. Sama ada ingin memartabatkan bahasa melayu atau ingin memperkukuhkan bahasa inggeris. Satu sahaja pilihan yang ada. Kedua-duanya tidak boleh jalan seiringan. Jika kita mahukan generasi masa kini menguasai kedua-dua bahasa serentak, maka akan terjadilah virus bahasa seperti penggunaan bahasa rojak dan sebagainya. Keadaan ini bolehlah diibaratkan sebagai “yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran”.

Dalam konteks bahasa ini, Che Wan merasakan adalah lebih baik untuk hanya memartabatkan bahasa melayu. Biarlah bahasa inggeris itu dimartabatkan oleh orang-orang inggeris dibarat. Kita perlu kekal dengan cara dan identiti kita. Jika kita tidak menguasai bahasa inggeris dengan baik sekalipun, kita mampu berjaya dengan cara kita sendiri. Kita lihat negara jepun sebagai contoh, mereka mampu untuk menjadi sebuah negara maju walaupun pengunaan bahasa inggeris dikalangan rata-rata rakyatnya sangat-sangatlah minimum.

Bahasa cuma alat perantara. Ilmu adalah suatu aspek yang lain. Walaupun dapat menguasai bahasa inggeris dengan baik, tidak semestinya seseorang itu mempunyai ilmu yang tinggi. Ilmu bukan bahasa, dan bahasa juga bukannya ilmu. Ianya dua aspek yang berbeza. Cumanya usaha penterjemahan itu perlu dipergiatkan. Jika sebelum ini PPSMI dilaksanakan untuk memudahkan pelajar membaca buku-buku rujukan didalam bahasa inggeris, mengapa tidak kita menterjemahkan segala buku bahasa inggeris tersebut kedalam bahasa melayu. Ini akan memudahkan pelajar-pelajar dinegara ini untuk membuat rujukan.

Kerajaan seharusnya menyediakan dana yang cukup untuk menambah jumlah penterjemah melalui Institut Terjemahan Negara (ITJNM) agar lebih banyak bahan-bahan bacaan didalam bahasa melayu dapat dihasilkan. Che Wan optimis jika usaha penterjemahan ini dilakukan dengan jayanya, isu berkenaan penguasaan bahasa inggeris ini tidak akan timbul. Kerajaan diingatkan supaya tetap konsisten untuk kembali menukar pengajaran dan pembelajaran matapelajaran sains dan matematik didalam bahasa melayu. Jangan pula selepas beberapa tahun subjek tersebut diajar kembali di dalam bahasa inggeris. Jika tidak, keadaan ini ibarat sitkom komedi “pi mai pi mai tang tu”. Setiap watak kehulu kehilir namun akhirnya berada ditempat yang sama. Tiada kemajuan dan tiada pencapaian.

Kesimpulannya, kita perlu bangga dengan bahasa kita. Jangan sesekali berasa rendah diri. Bukankah bahasa melayu itu pernah menjadi bahasa lingua franca sewaktu zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka sehinggakan pedagang dari timur tengah dan barat mempelajari dan mendalami bahasa kita?

Friday, November 4, 2011

Amanat dari Almarhum Tunku Abdul Rahman sewaktu hayatnya - Khas untuk pemimpin & pendukung UMNO hari ini..Kembalilah ke pangkal jalan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...