Jumlah Pelawat

Wednesday, December 28, 2011

REFORMASI: Kita perlu belajar dari cerita Tuah dan Jebat




Lazim, semua orang mengetahui tentang cerita hikayat pahlawan lima bersaudara yang pernah berjuang di negeri bernama Melaka. Cerita ini amat terkenal terutamanya dikalangan masyarakat melayu kerana ianya melambangkan kegagahan, keperwiraan dan tradisi bangsa. Sejarah cerita ini bertahan sekian lamanya ibarat kata pepatah, tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Cerita ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi tentang bagaimana lima bersaudara iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu yang mahir dalam ilmu persilatan, menjaga kedaulatan wilayah Melaka dan pesisir pantainya dengan baik telah meninggalkan suatu kisah lagenda hebat buat generasi masa kini. Che Wan akui bahawa cerita lagenda lima pahlawan bersaudara ini merupakan cerita epik kesukaan Che Wan. Cerita ini penuh dengan falsafahnya tersendiri.

Dengan cerita kesusteraan ini juga kita boleh kaitkan dengan permasalahan yang terjadi didalam kehidupan masyarakat melayu hari ini. Dulu orang-orang melayu mengatakan bahawa Hang Jebat adalah penderhaka kepada Sultan kerana telah menghalau Sultan dari singgahsananya. Che Wan mahu bertanya kepada pembaca sekalian. Adakah pembaca sekalian bersetuju dengan pendapat ini?

Bagi Che Wan, Hang Jebat adalah pahlawan melayu sebenar yang berani bangkit untuk menentang kezaliman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh sang pemerintah. Salah tetap salah. Walau setinggi manapun pangkat seseorang itu, jika dia melakukan kesalahan, kita perlu menunjukkan bangkangan. Hang Jebat seperti yang kita ketahui memarahi Sultan Mahmud ketika itu kerana telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah tanpa usul periksa terlebih dahulu. Hang Jebat kemudiannya telah mengamuk dengan mengengam erat keris Taming Sari ditangannya. Baginya hukuman bunuh itu adalah akibat dari fitnah pembesar-pembesar di istana yang tidak senang dengan hubungan baik antara Hang Tuah dan Sultan.

Satu pengajaran yang dapat kita pelajari dari cerita hikayat melayu klasik ini adalah fitnah mampu untuk menjatuhkan sebuah empayar agung kerajaan kesultanan melayu yang hebat. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan penyebaran klip video lucah yang berleluasa dan tuduhan liwat tanpa saksi demi untuk menjatuhkan individu-individu tertentu dalam negara. Jika tidak ditangani segera, fitnah ini akan memecahbelahkan perpaduan antara masyarakat seterusnya negara ini akan menjadi huru hara.

Usaha reformasi bukan hanya baru berlaku pada abad ini. Ianya telah dimulakan oleh Hang Jebat sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi. Cuma penentangan yang dilakukan oleh Hang Jebat tidaklah disebut sebagai reformasi pada ketika itu. Namun jika diteliti, keadaannya sama sahaja, iaitu seorang dari kalangan rakyat biasa bangkit untuk menentang penindasan yang dilakukan oleh sang pemerintah. Kita perlu mencontohi semangat Hang Jebat yang berani untuk menentang kezaliman walaupun orang yang ditentangnya itu adalah seorang bergelar sultan dan pembesar-pembesar di istana.

Hang Tuah pula adalah seorang yang sangat patuh kepada pemerintah walaupun pemerintah tersebut melakukan kekejaman terhadap dirinya. Kita jangan mencontohi sifat Hang Tuah ini. Melayu hari ini perlu berani untuk bangkit menentang korupsi dan salahguna kuasa yang berlaku jika ianya terbukti dilakukan. Perilaku menutup mata terhadap ketidakadilan hanya akan memberikan kesan buruk terhadap negara dan rakyat pada masa hadapan.

Hang Tuah sanggup untuk menamatkan riwayat saudaranya sendiri demi untuk mempertahankan sultan yang zalim. Che Wan tidak menafikan bahawa kita perlu patuh kepada pihak pemerintah. Namun, janganlah kita secara buta tuli mengikut arahan pemerintah tanpa berfikir terlebih dahulu. Pemerintah adil kita perlu hormati, yang kejam pula kita perlu tunjukkan tentangan.

Pendapat Che Wan ini sehaluan dengan sejarah melayu seperti yang terkandung dalam Hikayat Demang Lebar Daun (sebuah hasil sastera melayu lama. Setiap orang Melayu perlu membaca dan menghayati hikayat ini). Apa yang dikatakan oleh Demang Lebar Daun adalah wujud hubungan dua hala antara raja (pemerintah) dan rakyat jelata. Ianya seperti perjanjian. Raja yang mahukan dirinya sentiasa dihormati dan didaulatkan perlu bertindak adil kepada rakyat jelata. Ada satu ayat dalam Hikayat Demang Lebar Daun menyebut Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah.

Disini jelas menunjukkan bahawa kehidupan bangsa melayu itu sendiri dibina atas elemen keadilan. Bangsa melayu sejati pasti cintakan keadilan dan kesaksamaan. Jika pemerintah tidak berlaku adil, rakyat sememangnya mempunyai hak untuk bangkit dan menukar pemerintah yang sedia ada. Hari ini, isu-isu seperti kes pembunuhan model Mongolia bernama Altantuya Sharibu, kematian Teoh Beng Hock di banggunan SPRM, kos pembelian kapal selam Scorpene yang amat tinggi, krisis kehakiman berkaitan video klip VK Lingam, skandal PKFZ dan yang terbaru berkaitan isu lembu NFC membuktikan bahawa berlaku ketidakadilan didalam pemerintahan kerajaan kita hari ini.

Semangat Jebat kita perlu sentiasa semat dan pelihara di dalam hati sanubari masing-masing. Keberaniannya perlu kita jadikan inspirasi untuk menentang pemerintah yang kejam dan korupsi. Hang Jebat adalah pahlawan hebat dalam sejarah tamadun bangsa melayu. Bagi Che Wan, Jebat adalah pahlawan utama dan paling hebat berbanding lima saudaranya yang lain termasuklah Hang Tuah.

Walau Hang Jebat rebah pada akhirnya, namun dia adalah pahlawan melayu pecinta keadilan. Rebahnya Hang Jebat itu lebih mulia kerana dia mati ditanah tumpah darahnya sendiri. Sedangkan Sultan Mahmud dan pembesar-pembesar di istana menghilangkan diri ketika Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada tahun 1511.


0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...