Jumlah Pelawat

Wednesday, December 28, 2011

REFORMASI: Kita perlu belajar dari cerita Tuah dan Jebat




Lazim, semua orang mengetahui tentang cerita hikayat pahlawan lima bersaudara yang pernah berjuang di negeri bernama Melaka. Cerita ini amat terkenal terutamanya dikalangan masyarakat melayu kerana ianya melambangkan kegagahan, keperwiraan dan tradisi bangsa. Sejarah cerita ini bertahan sekian lamanya ibarat kata pepatah, tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Cerita ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi tentang bagaimana lima bersaudara iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu yang mahir dalam ilmu persilatan, menjaga kedaulatan wilayah Melaka dan pesisir pantainya dengan baik telah meninggalkan suatu kisah lagenda hebat buat generasi masa kini. Che Wan akui bahawa cerita lagenda lima pahlawan bersaudara ini merupakan cerita epik kesukaan Che Wan. Cerita ini penuh dengan falsafahnya tersendiri.

Dengan cerita kesusteraan ini juga kita boleh kaitkan dengan permasalahan yang terjadi didalam kehidupan masyarakat melayu hari ini. Dulu orang-orang melayu mengatakan bahawa Hang Jebat adalah penderhaka kepada Sultan kerana telah menghalau Sultan dari singgahsananya. Che Wan mahu bertanya kepada pembaca sekalian. Adakah pembaca sekalian bersetuju dengan pendapat ini?

Bagi Che Wan, Hang Jebat adalah pahlawan melayu sebenar yang berani bangkit untuk menentang kezaliman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh sang pemerintah. Salah tetap salah. Walau setinggi manapun pangkat seseorang itu, jika dia melakukan kesalahan, kita perlu menunjukkan bangkangan. Hang Jebat seperti yang kita ketahui memarahi Sultan Mahmud ketika itu kerana telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah tanpa usul periksa terlebih dahulu. Hang Jebat kemudiannya telah mengamuk dengan mengengam erat keris Taming Sari ditangannya. Baginya hukuman bunuh itu adalah akibat dari fitnah pembesar-pembesar di istana yang tidak senang dengan hubungan baik antara Hang Tuah dan Sultan.

Satu pengajaran yang dapat kita pelajari dari cerita hikayat melayu klasik ini adalah fitnah mampu untuk menjatuhkan sebuah empayar agung kerajaan kesultanan melayu yang hebat. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan penyebaran klip video lucah yang berleluasa dan tuduhan liwat tanpa saksi demi untuk menjatuhkan individu-individu tertentu dalam negara. Jika tidak ditangani segera, fitnah ini akan memecahbelahkan perpaduan antara masyarakat seterusnya negara ini akan menjadi huru hara.

Usaha reformasi bukan hanya baru berlaku pada abad ini. Ianya telah dimulakan oleh Hang Jebat sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi. Cuma penentangan yang dilakukan oleh Hang Jebat tidaklah disebut sebagai reformasi pada ketika itu. Namun jika diteliti, keadaannya sama sahaja, iaitu seorang dari kalangan rakyat biasa bangkit untuk menentang penindasan yang dilakukan oleh sang pemerintah. Kita perlu mencontohi semangat Hang Jebat yang berani untuk menentang kezaliman walaupun orang yang ditentangnya itu adalah seorang bergelar sultan dan pembesar-pembesar di istana.

Hang Tuah pula adalah seorang yang sangat patuh kepada pemerintah walaupun pemerintah tersebut melakukan kekejaman terhadap dirinya. Kita jangan mencontohi sifat Hang Tuah ini. Melayu hari ini perlu berani untuk bangkit menentang korupsi dan salahguna kuasa yang berlaku jika ianya terbukti dilakukan. Perilaku menutup mata terhadap ketidakadilan hanya akan memberikan kesan buruk terhadap negara dan rakyat pada masa hadapan.

Hang Tuah sanggup untuk menamatkan riwayat saudaranya sendiri demi untuk mempertahankan sultan yang zalim. Che Wan tidak menafikan bahawa kita perlu patuh kepada pihak pemerintah. Namun, janganlah kita secara buta tuli mengikut arahan pemerintah tanpa berfikir terlebih dahulu. Pemerintah adil kita perlu hormati, yang kejam pula kita perlu tunjukkan tentangan.

Pendapat Che Wan ini sehaluan dengan sejarah melayu seperti yang terkandung dalam Hikayat Demang Lebar Daun (sebuah hasil sastera melayu lama. Setiap orang Melayu perlu membaca dan menghayati hikayat ini). Apa yang dikatakan oleh Demang Lebar Daun adalah wujud hubungan dua hala antara raja (pemerintah) dan rakyat jelata. Ianya seperti perjanjian. Raja yang mahukan dirinya sentiasa dihormati dan didaulatkan perlu bertindak adil kepada rakyat jelata. Ada satu ayat dalam Hikayat Demang Lebar Daun menyebut Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah.

Disini jelas menunjukkan bahawa kehidupan bangsa melayu itu sendiri dibina atas elemen keadilan. Bangsa melayu sejati pasti cintakan keadilan dan kesaksamaan. Jika pemerintah tidak berlaku adil, rakyat sememangnya mempunyai hak untuk bangkit dan menukar pemerintah yang sedia ada. Hari ini, isu-isu seperti kes pembunuhan model Mongolia bernama Altantuya Sharibu, kematian Teoh Beng Hock di banggunan SPRM, kos pembelian kapal selam Scorpene yang amat tinggi, krisis kehakiman berkaitan video klip VK Lingam, skandal PKFZ dan yang terbaru berkaitan isu lembu NFC membuktikan bahawa berlaku ketidakadilan didalam pemerintahan kerajaan kita hari ini.

Semangat Jebat kita perlu sentiasa semat dan pelihara di dalam hati sanubari masing-masing. Keberaniannya perlu kita jadikan inspirasi untuk menentang pemerintah yang kejam dan korupsi. Hang Jebat adalah pahlawan hebat dalam sejarah tamadun bangsa melayu. Bagi Che Wan, Jebat adalah pahlawan utama dan paling hebat berbanding lima saudaranya yang lain termasuklah Hang Tuah.

Walau Hang Jebat rebah pada akhirnya, namun dia adalah pahlawan melayu pecinta keadilan. Rebahnya Hang Jebat itu lebih mulia kerana dia mati ditanah tumpah darahnya sendiri. Sedangkan Sultan Mahmud dan pembesar-pembesar di istana menghilangkan diri ketika Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada tahun 1511.


Wednesday, December 21, 2011

Revolusi melalui reformasi



Setiap bangsa atau negara pasti melalui satu proses revolusi sama ada mereka sedari atau tidak sedari. Thomas Jefferson iaitu Presiden Amerika Syarikat ketiga (1801-1809) pernah mangatakan bahawa masa kitaran revolusi pasti akan berlaku sekurang-kurangnya sekali dalam 20 tahun bagi memulihkan negara dari korupsi dan penindasan hak asasi manusia. Katanya lagi pohon kebebasan hak (tree of liberty), perlu disegarkan dari masa ke semasa.

Mahu atau tidak revolusi pasti akan berlaku walau sekuat mana pemerintah di sesebuah negara itu cuba untuk menghalangnya.

Bila pendapat umum atau sesuatu “public opinion” itu menguasai rakyat, semestinya mereka akan bangkit dan seterusnya melakukan sebuah revolusi. Namun perlu diketahui bahawa revolusi tidak berlaku dengan sengaja. Ianya perlukan sebab-sebab pemangkin untuk berlaku. Maksud Che Wan, revolusi memerlukan sebuah idea yang dapat diterima umum dan meresapi ke setiap pemikiran rakyat sebelum sesuatu kebangkitan rakyat itu terjadi.

Pada pendapat Che Wan, revolusi tidak mustahil untuk berlaku di Malaysia. Ketika ini idea reformasi yang dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 telah mula menampakkan hasil. Idea reformasi yang terkandung di dalam Buku Jingga mampu menggerakkan sebuah gelombang revolusi bagi membawa suatu perubahan baru di negara ini.

Melalui lipatan sejarah, usaha tokoh revolusi hebat seperti Guevera yang sanggup berjuang bermati-matian demi menjayakan sebuah idea revolusi perlu kita ambil pengajaran. Idea Guevera ketika menghidupkan revolusi di Cuba sangat-sangat diterima baik oleh penduduk setempat. Idea Guevara ketika itu adalah mahu menamatkan penindasan yang dilakukan oleh pihak kapitalis supaya jurang miskin-kaya serta pengagihan ekonomi negara itu menjadi lebih sekata. Ketika itu ramai rakyat Cuba hidup di dalam serba kemiskinan dan kekurangan akibat dari pemerintah negara itu yang korupsi. Walaupun idea Guevera adalah sesuatu yang baru ketika itu, namun ianya amat memberi inspirasi kepada rakyat Cuba untuk bangkit. Lantas, majoriti rakyat Cuba telah membantu Guevera yang masih muda ketika itu bagi menjayakan sebuah revolusi hebat sehingga peristiwa itu masih diingati sampai ke hari ini.

Che Wan yakin dan optimistik sesungguhnya kebangkitan rakyat pasti akan berlaku sekiranya idea reformasi dapat disampaikan dengan jayanya kepada semua rakyat dinegara ini merentasi perbezaan kaum, gender, umur dan geografinya. Tugas kita sebagai “reformist” untuk menyebarkan idealogi ini agar Malaysia menjadi lebih baik dan rakyat tidak lagi ditindas. Mari kita revolusi melalui reformasi.


Guevara seorang tokoh revolusi yang tetap diingati oleh rakyat Cuba

Monday, December 19, 2011

Mat Ludah Versus Mahasiswa





Che Wan sudah menonton video 16 ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO dari kawasan Petaling Jaya Utara yang semuanya kelihatan begitu marah dengan tindakan mahasiswa menurunkan bendera tertera wajah Datuk Seri Najib di PWTC. Klip video berdurasi 1 minit 9 saat itu memaparkan bagaimana saudara Armand Azha memaki hamun mahasiswa-mahasiswa yang terlibat didalam demonstrasi kebebasan akademik pada hari itu. Perkataan yang kerap terpacul dari mulutnya adalah “ludah”. Katanya jika dia dapat “memegang” individu yang menurunkan bendera tersebut, dia akan meludah ke muka mahasiswa itu.

Adakah kita mahu banggakan seseorang seperti ini yang kononya menggelar diri sebagai pahlawan melayu islam? Ludah itu perbuatan syaitan. Ianya perbuatan jijik dan kotor. Agama dan budaya melayu tidak pernah mengajar kita untuk meludah sesuka hati kepada khalayak.

Marah benar nampaknya saudara Armand Azha dengan perbuatan mahasiswa ini. Walau hanya bendera wajah seorang manusia diturunkan, dia sanggup untuk meludah golongan bijak pandai bergelar mahasiswa yang hanya mahukan kebebasan dalam dunia akademik. Oleh yang demikian, wajarlah jika kita memberinya nama timangan yang sesuai. Che Wan mahu menggelarnya sebagai Mat Ludah. Dia mengatakan bahawa mahasiswa yang hadir ketika demonstrasi itu kurang ajar kerana berani menurunkan bendera Datuk Seri Najib. Sebelum menjatuhkan hukum ludah, Mat Ludah perlu berfikir dahulu apakah salah dan silap pihak kerajaan sehingga menjadikan mahasiswa begitu agresif seperti hari ini.

Dasar AUKU 1974 adalah punca segala-galanya. Selama ini mahasiswa terlalu memendamkan rasa mereka. Suara mereka tidak didengari, aspirasi mereka tidak diberi perhatian. Mat Ludah perlu fikirkan perkara ini. Fikir dalam satu kerangka yang lebih besar. Jangan salahkan seseorang diatas kesalahan yang anda mulakan dahulu.

Mahasiswa hari ini tidak seperti mahasiswa dahulu kala yang hanya duduk diam belajar di kolej-kolej dan institusi pengajian. Kini mereka mengetahui setiap isu-isu yang berlaku disekeliling mereka terutamanya berkenaan dengan hak dan kepentingan mereka.

Ramai rakan-rakan Che Wan yang masih menuntut di universiti, mencemuh tindakan Mat Ludah ini. Mat Ludah seharusnya menunjukkan sifat yang lebih matang sebagai seorang  ahli Pemuda kepada parti melayu tertua di negara ini.

Mahasiswa bukannya tidak boleh ditegur langsung. Tentu boleh. Cuma cara dan pendekatan itu perlu sesuai dengan jiwa anak muda. Che Wan yakin golongan mahasiswa hari ini cukup bijak dan jika teguran itu diberikan dalam bentuk sopan dan berilmu, maka mahasiswa akan faham dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Tetapi, klip video Mat Ludah ini tentunya hanya akan menyemarakkan lagi kebencian terhadap kerajaan yang tidak mahu mendengar suara mahasiswa. Kekerasan tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada Mat Ludah dan rakan-rakan. Mahasiswa kini berani menentang ketidakadilan yang berlaku. Mat Ludah dan rakan-rakan perlu sedar akan perkara ini.

Seterusnya Mat Ludah dan rakan-rakan perlu menanyakan soalan kepada diri masing-masing adakah bendera Perdana Menteri itu dirosakkan? Bendera tu sama sekali tidak dirosakkan atau diludah oleh mahasiswa. Ianya hanya diturunkan selama lima minit dan digantikan dengan bendera “academic freedom”. Kemudiannya, bendera Perdana Menteri kembali berkibar di puncak tiang. Adakah terlihat kekurang ajaran disitu? Itu adalah langkah paling bertamadun pada pendapat Che Wan bagi menyatakan simbolik penentangan terhadap pentadbiran BN/UMNO. Mahasiswa tidak merosakkan harta benda jauh sekali menimbulkan huru hara. Itu adalah langkah terbaik. Tiada isu timbul disitu.

Satu lagi Che Wan tak berapa gemar adalah ketika Mat Ludah mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dengan kebangkitan mahasiswa. DSAI tidak pernah pun membuat sebarang kenyataan media menyuruh mahasiswa ini menentang kerajaan. Gerakan pembebasan akademik ini adalah diatas kesepakatan golongan mahasiswa sendiri yang mahu dunia akademik dibebaskan daripada akta-akta yang bersifat mencengkam. Menuduh orang lain akibat dari kelemahan diri sendiri adalah langkah dayus yang hanya mahu menunjukkan keegoan dan sifat bongkak Mat Ludah.

Apa pun, tindakan Mat Ludah dan rakan-rakan ini telah menambah lagi kebencian mahasiswa diseluruh negara terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib. Kekerasan dan budaya samseng mungkin adalah langkah terakhir UMNO/BN untuk mengekalkan penguasaan mereka di Putrajaya. Adakah mahasiswa akan mengalah dengan budaya kekerasan dan samseng seperti ini? Tentulah tidak...Mahasiswa bersemangat kental kini telah bangkit!




Dibawah ini adalah video Mat Ludah & rakan-rakannya..



Wednesday, December 14, 2011

Papa Gomo harus bertaubat

Dunia blog adalah medan maya dimana semua manusia diberikan ruang untuk berkongsi pendapat mereka tentang sesuatu perkara. Disebabkan jaringan liputan blog ini begitu meluas, maka seseorang blogger atau penulis blog itu mampu untuk mengetengahkan sesuatu isu dengan pantas dan cepat kepada pelayar dunia maya. Ianya tidak memerlukan modal yang besar untuk menerbitkan sebuah artikel di blog. Cukup sebuah komputer riba dan juga sambungan internet, anda mampu untuk menjadi seorang blogger.


Sebut sahaja nama Raja Petra Kamaruddin (RPK), pasti bermain dibenak fikiran masing-masing betapa beliau ini begitu “outspoken” mengkritik pentadbiran kerajaan Pak Lah pada tahun 2004. Kerana sifat berani inilah yang membuatkan blog beliau iaitu Malaysia-Today dikunjungi beribu-ribu pelayar dunia maya dalam sehari. Tidak dinafikan bahawa RPK merupakan seorang pelopor dalam dunia blog di Malaysia. Isu kes model Mongolia bernama Altantuya Sharibu yang dibunuh kejam mempunyai perkaitan dengan seorang pemimpin tertinggi negara ini juga adalah hasil laporan dari beliau. Tahun 2004 blog Malaysia-Today diasaskan, tahun 2008 tsunami politik berlaku di negara ini. Che Wan harap semua dapat melihat bagaimana kuasa penulisan blog ini dapat merubah cara rakyat negara ini berfikir dan membuat keputusan.


Diatas kesedaran itu Barisan Nasional juga turut tidak ketinggalan untuk mewujudkan seorang cybertrooper yang Pro kepada mereka (secara langsung atau tidak langsung). Jika RPK lebih menyebelahi pembangkang dan mengkritik kerajaan, Papa Gomo adalah blogger yang dilihat sangat-sangat ultra mempertahankan kerajaan pusat dan pada masa yang sama mengkritik pembangkang. Che Wan tidak menyalahkan Papa Gomo jika beliau ini mahu mengkritik pembangkang. Namun biarlah kritikan beliau itu disandarkan kepada fakta. Gaya bahasa yang beliau gunakan dalam penulisannya sangat tidak mengambarkan bahawa beliau ini mempunyai daya intelektual yang tinggi.


Cacian, makian, sumpah seranah, mencarut dan fitnah ibarat makanan bagi Papa Gomo. Sila klik (disini) untuk melihat sendiri blog Papa Gomo. Diharap pembaca boleh membuat perbandingan sendiri dengan sebaik-baiknya.


Kebebasan bersuara sememangnya hak setiap warganegara. Namun perlu ada tanggungjawab dan kesucian dalam menyampaikan suara tersebut. Pembaca juga harus bijak memilih mana satu fakta dan mana satu yang auta semata-mata. Blog kotor Papa Gomo ini mengambarkan betapa kotornya golongan yang mahu dipertahankan oleh beliau itu. Che Wan fikir, faktor taraf pendidikan rendah (hanya mempunyai SPM sahaja) membuatkan Papa Gomo tidak mengetahui apa itu “fakta”, “statistik kajian”, “literature review” dan sebagainya yang perlu disematkan bersama hasil penulisan. Papa Gomo hanya tahu menyerang pembangkang secara buta tuli sehingga kadangkala penulisan beliau menunjukkan betapa dangkalnya beliau ini.


Terbaru, Papa Gomo telah disaman oleh saudara Amin Iskandar iaitu salah seorang kolumnis Malaysian Insider atas tuduhan menfitnah dirinya. Tuduhan Papa Gomo ini sangatlah jijik kerana beliau menuduh saudara Amin Iskandar telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Che tidak faham mengapa Papa Gomo ini begitu suka dan gemar tentang perkara-perkara liwat-meliwat ini. Papa Gomo ini dilihat tidak mengunakan akal yang dianugerahkan oleh yang Maha Esa kepadanya dengan baik. Che Wan yakin rakyat sekeliling tidak sebodoh seperti yang Papa Gomo harapkan untuk mempercayai bulat-bulat apa yang beliau nukilkan itu. Tulisan-tulisan beliau ini kualitinya hanya layak berada di bakul sampah. Itu pun masih ada penyokong UMNO/BN tegar yang begitu membangga-banggakan Papa Gomo berfikiran lucah ini.


Ingatlah pesan seorang pejuang hebat dalam lipatan sejarah bernama Mahatma Gandhi. Katanya “When I despair, I remember that all through history the way of truth and love have always won”. Walau banyak mana pun fitnah, penipuan dan kepalsuan yang seseorang itu lemparkan ianya tidak akan sesekali dapat menutup kebenaran, hakikat sebenar dan cinta yang pasti akan menang pada akhirnya. Nasihat Che Wan pada Papa Gomo, segeralah bertaubat. Cukup-cukuplah dosa fitnah yang kamu lakukan itu.

Sunday, December 11, 2011

BN bakal terkubur jika kalah dalam PRU 13


Pembangkang biasa kalah dalam pllihanraya. Itu faktor yang membuatkan mereka berdaya tahan dan walaupun kalah, kewujudan mereka sebagai sebuah entiti politik tetap bertahan walaupun tanpa kuasa. Persoalannya mampukah Barisan Nasional (BN) bertahan sebagai sebuah parti politik jika ditakdir mereka kalah pada pilihanraya yang akan datang?

Menurut Otto Von Bismarck's iaitu seorang pemimpin politik dan ketenteraan yang berjaya menyatukan beberapa wilayah kecil membentuk empayar Jerman pada tahun 1871, mengatakan bahawa “Politics is art of possible”. Dalam dunia politik, tiada apa pun perkara yang mustahil. Sebab itulah beliau menyebut bahawa politik adalah seni serba mungkin.

Kemungkinan pembangkang kalah dalam pilihanraya adalah perkara biasa sebelum ini. Tetapi kita perlu ingat bahawa dalam medan politik, kemungkinan Barisan Nasional untuk kalah dan rebah juga mempunyai kemungkinan yang besar dalam Pilihanan Raya Umum 13 (PRU 13) kelak. Faktor akses internet, kebangkitan rakyat timur tengah dan isu kredibiliti pemimpin menjadi duri dalam daging terhadap kelangsungan “hidup” Barisan Nasional.

Selama ini Barisan Nasional mendapat kekuatan sokongan melalui penggunaan jentera kerajaan yang meluas. Mereka mengunakan semaksimum mungkin media arus perdana, infrastruktur, kemudahan awam dan penguatkuasa untuk mewujudkan cerminan bahawa merekalah satu-satunya parti yang dapat memimpin rakyat dengan baik walaupun hakikat sebenarnya tidak sebegitu. Barisan Nasional mempunyai dana yang banyak untuk menggerakkan jentera parti kerana duit yang ada pada kerajaan pusat digunakan oleh mereka untuk menampung segala kos sewaktu berkempen. Bila tiba waktu pilihanraya tidak kiralah pilihanraya kecil atau pilihanraya umum, Barisan Nasional mempunyai kuasa untuk menggunakan dewan-dewan awam di seluruh negara serta saluran televisyen seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menyampaikan manifesto mereka kepada rakyat.

Lain pula ceritanya disebelah kem oposisi. Semua individu yang membuat keputusan untuk menyertai pihak oposisi sedar akan kesukaran mereka untuk mendapatkan bantuan dana bagi mengerakkan jentera parti. Jentera parti hanya digerakkan oleh kekuatan iktizam ahli, semangat juang dan kesungguhan serta ehsan dari sedikit derma orang ramai yang bersimpati. Itu sahaja.

Kita ambil parti PAS sebagai contoh, segala jentera parti digerakkan melalui markas-markas pondok yang didirikan sendiri tanpa perlu meminta pertolongan dari badan-badan atau kementerian tertentu. Kita perlu memuji semangat ahli-ahli PAS diatas kesanggupan mereka berjuang dengan menggunakan dana yang terhad.

Che Wan gemar untuk membandingkan dua “ketua” di parlimen iaitu Perdana Menteri selaku ketua kerajaan dan juga ketua pembangkang untuk melihat siapakah yang lebih berketerampilan sebagai pemimpin.

Seperti yang kita ketahui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang yang berasal dari golongan bangsawan. Bapanya iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua (1970 hingga 1976). Sebagai seorang yang berasal dari keluarga golongan atasan dan elitis, tentunya Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengaruh politik kesan daripada sumbangan bapanya dahulu dan bukan dari berkat usahanya sendiri. Boleh dikatakan bahawa perjalanan politik Datuk Seri Najib mudah, lancar dan tidak berliku seperti yang dialami oleh ketua pembangkang.

Bagi ketua pembangkang pula, cerita dan skripnya berbeda sama sekali. Beliau merupakan seorang yang lahir dalam keluarga orang kebanyakkan sama seperti kita hari ini. Hidup dengan penuh kesederhanaan. Waktu mudanya penuh ranjau dan berduri. Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak muda lagi begitu lantang bersuara jika ketidakadilan berlaku. Buktinya beliau memimpin gerakkan mahasiswa melancarkan demonstrasi Baling pada tahun 1974 akibat daripada kesusahan hidup petani-petani ketika itu.

Dimanakah Datuk Seri Najib sewaktu zaman mudanya ketika petani-petani di Baling kelaparan dan menderita kerana harga komoditi getah jatuh teruk ketika itu? Orang-orang bangsawan tidak mengetahui dan tidak mengerti kesusahan rakyat. Nama “Najib” langsung tidak meniti dibibir-bibir orang ramai ketika waktu itu. Sejarah tidak pernah berbohong. Kita boleh bandingkan mana satu pemimpin yang menjadi pejuang rakyat sebenar. Pemimpin perlu berani. Berani dalam bentuk tindakan. Datuk Seri Najib jelas tidak mempunyai ciri itu. Sedang Datuk Seri Anwar Ibrahim menghabiskan zaman mudanya dengan berjuang demi rakyat, Datuk Seri Najib hanya diam membisu.

Selain itu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah ditahan dibawah Internal Security Act (ISA) selama lebih kurang 24 bulan di Kemunting pada tahun 1974 akibat daripada menentang kekejaman dasar-dasar pemerintah. Datuk Seri Najib pula dilihat tidak pernah menghadapi kesukaran-kesukaran yang dapat menguji semangat beliau sebagai seorang yang bergelar pemimpin. Beliau melalui jalan hidup yang cukup mudah.

Kerana itulah Che Wan mengatakan bahawa Barisan Nasional pasti akan terus lumpuh jika mereka kalah pada PRU 13 nanti. Pertamanya seperti yang Che Wan jelaskan tadi bahawa mereka akan kehilangan kuasa untuk mengawal media arus perdana serta tidak boleh lagi untuk menggunakan segala kemudahan awam seperti hari ini. Seterusnya faktor “bangsawan” Datuk Seri Najib yang tidak pernah merasai kesusahan akan membuatkan beliau hilang punca setelah segala kesenangan ditarik balik. Ini akan mengakibatkan beliau mengalami kesukaran untuk memimpin barisan pembangkang yang tentunya sangat mencabar. Itulah kelebihan orang-orang yang berasal dari kalangan rakyat jelata, mereka mempunyai daya tahan yang tinggi. Tidak seperti golongan bangsawan, sekali susah, mereka akan punah.


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Saturday, December 3, 2011

Tak mahu negara tumpahnya darahku seperti ini


Perhimpunan Agung UMNO 2011 adalah medan akar umbi dan perwakilan menunjukkan belang rasisnya. Berapi-api diatas pentas memaki hamun pemimpin politik berlainan warna kulit dari parti seteru mereka. Setelah mulut mereka dihadapkan ke mikrofon, suara di dalam dewan PWTC itu bergema dangan bahang semangat perkauman yang melampau. Rasa ini sengaja dijelmakan untuk mendapat sokongan dari orang-orang melayu. Fitnah dan cacian tidak difikirkan asal berjaya mewujudkan satu keadaan bahawa orang-orang melayu hari ini tidak selamat, selagi mereka tidak bernaung di bawah UMNO.

Keadaan ketakutan dikalangan masyarakat melayu sepertimana negara ini mencapai kemerdekaannya kira-kira 54 tahun dahulu sengaja dihidupkan kembali, agar kelangsungan politik mereka terjamin. Sesungguhnya tindakan ini mencerminkan bahawa UMNO tidak mempunyai satu prinsip yang kukuh. Pabila bergabung dengan MCA dan MIC membentuk kesatuan Barisan Nasional, mereka beria-ria melaungkan slogan 1Malaysia, tetapi pabila tiba perhimpunan parti, mereka menyimbah minyak pula untuk meluap-luapkan api semangat perkauman melampau mereka.

Che Wan tidak risaukan tentang masyarakat yang tinggal di bandar kerana mereka ini lebih berfikiran terbuka dan matang dalam memilih informasi. Tetapi bagi masyarakat yang tinggal di luar bandar, mereka berkemungkinan besar untuk terpengaruh dengan dakyah songsang perkauman ini disebabkan capaian internet yang sukar dikawasan tersebut. Jangan dibiar lagi isu-isu sensitif perkauman menganggu gugat kestabilan perpaduan antara kaum dinegara ini.

Kini kita berada dibulan terakhir tahun 2011. Isu-isu melibatkan kaum tidak lagi timbul seperti negara ini mula-mula merdeka dahulu (31 Ogos 1957). Kini kita perlu menumpukan kepada isu-isu yang lebih bersifat global seperti taraf ekonomi negara, kualiti kesihatan rakyat, kecekapan tadbir urus negara, hak asasi manusia dan sebagainya. Tidak kiralah dari mana kaum kita berasal, kita semua rakyat Malaysia. Keinginan dan keperluan kita adalah sama sahaja sebagai seorang yang bergelar manusia. Kita memerlukan satu kerajaan yang baik dan tidak rasis serta memahami landskap politik baru yang menjauhi pemikiran sempit perkauman melampau seperti ini.

Sebagai seorang melayu sejati yang peka terhadap sejarah, Che Wan tidak mahu lagi melihat pemimpin tertinggi negara ini memainkan isu-isu perkauman untuk mendapatkan sokongan. Mereka mungkin akan mendapat sokongan daripada kaum-kaum tertentu, tetapi harus di ingat bahawa mereka akan memecah belahkan keutuhan perpaduan kaum yang sedia terjalin selama ini tanpa mereka sedari. Kita lahir disini, kita semua rakyat Malaysia. Pertahankan perpaduan ini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...