Jumlah Pelawat

Friday, June 29, 2012

Lagu untuk kebangkitan rakyat..

Saturday, June 9, 2012

Warkah buat Utusan



Ini adalah warkah buat akhbar berbahasa melayu bernama Utusan. Coretan warkah ini bukanlah berniat jahat untuk menfitnah pihak akhbar Utusan jauh lagi mahu menjatuhkan kredibiliti akhbar itu. Cumanya melalui artikel ini, Che Wan mahu memberikan beberapa teguran ikhlas. Janganlah pula kelak diri ini disaman hanya kerana ingin memberi teguran daripada kacamata seorang rakyat Malaysia yang perihatin. Jikalau pihak Utusan mengemukakan saman pun, Che Wan tidak mampu untuk membayarnya kerana Che Wan bukanlah seperti pak-pak menteri yang mempunyai wang simpanan jutaan ringgit.

Akhbar Utusan merupakan sebuah akhbar utama dalam bahasa melayu bertulisan jawi di negara ini. Akhbar yang diasaskan pada tanggal 29 Mei 1939 ini pada awalnya berfungsi sebagai lidah dan senjata bagi bangsa melayu untuk menentang kuasa imperial inggeris. Pengarang pertama Utusan Melayu adalah saudara Abdul Rahim Kajai. Bersama beliau pada ketika itu adalah Dato Onn Jaafar yang begitu agresif menggunakan senjata mata pena ini menulis pelbagai bentuk artikel yang menjurus kepada kepentingan orang-orang melayu.

Ketika itu perjuangan Utusan sangatlah jelas. Menyampaikan seranan dan gesaan supaya orang melayu bangkit mempertahankan hak mereka. Musuh utama ketika itu adalah pihak penjajah inggeris semata. Tidak sesekali Utusan menghentam orang-orang melayu yang mempunyai pandangan yang berbeza dari mereka. Walhal ketika itu ada saja golongan haluan kiri yang mahu memerdekakan negara dengan cara yang berlainan dari mereka. Walaupun aliran perjuangan yang berlainan, namun Utusan tetap neutral dengan perinsip serta normanya.

Sifat neutral inilah yang telah hilang pada Utusan hari ini. Umpama burung merak cantik yang hilang ekor warna warninya. Tidak lagi gah seperti sifat asal yang dulu. Kini akhbar bahasa melayu ini tidak lebih sebagai alat dan perkakasan pihak-pihak tertentu yang digunakan untuk menyerang musuh sebangsa dan seagama yang hanya mempunyai sedikit perbezaan dari segi idealogi politik.

Umumnya, semua orang mengetahui bahawa akhbar ini telah dikawal oleh pihak pemerintah yang diterajui parti bernama UMNO. Setiap hari dan juga 365 keluaran Utusan setahun dengan tanpa belas kasihan membidas pihak oposisi dengan rakus. Kita perlu mengetahui bahawa lahirnya Utusan itu lebih dahulu daripada parti-parti politik yang ada di negara ini. Seharusnya Utusan menguasai tindak tanduk parti politik di Malaysia. Bukannya parti politik itu menguasai akhbar Utusan.

Tidak salah untuk mengkritik pihak oposisi jika berlakunya sesuatu kelemahan. Tetapi pihak Utusan perlu menpunyai etika dalam setiap laporannya. Utusan seharusnya bertindak adil dengan mengkritik juga dasar-dasar kerajaan pusat jika terdapat kelompangan dan kelemahan yang terbukti berlaku. Ini barulah menunjukkan bahawa slogan Utusan Malaysia sebagai “penyebar fikiran rakyat” itu boleh diguna pakai.

Ketika ini realitinya sikap Utusan yang berat sebelah amat mendukacitakan. Adakah pihak Utusan berasa bangga dengan laporan-laporan muka hadapannya yang memaparkan adegan-adegan lucah dan porno? Inikah yang mahu disebarkan didalam setiap pemikiran rakyat Malaysia? Apa akan jadi jika anak-anak kita kelak melihat adegan-adegan tersebut dan tidakkah pihak akhbar Utusan memikirkan tentang perkara ini? Merujuk kepada terbitan Utusan pada tarikh 5 April 2010 (kononnya mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan  juga 2 Mei 2012 (kononya mirip pula Azmin Ali) jelas membuktikan etika kewartawanan Utusan tidak mengikut nilai-nilai bangsa melayu yang sopan dan jauh dari perinsip agama Islam yang suci.

Utusan Malaysia keluaran 5 April 2010

                                                                         
                                                             Akhbar Utusan keluaran 2 Mei 2012

Che Wan begitu mengharapkan bahawa pihak akhbar Utusan mengambil iktibar daripada kes saman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Mahkamah Pulau Pinang membuat keputusan bahawa Utusan Malaysia bersalah kerana menerbitkan sebuah artikel berunsur fitnah pada keluarannya 20 Disember 2010. Utusan secara semborono menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai “anti-melayu” dan “rasis”. Setelah dibicarakan, Hakim mendapati pihak Utusan ternyata bersalah kerana menerbitkan artikel berunsur fitnah tersebut dan memerintahkan Utusan untuk membayar pampasan sebanyak RM 200 000 kepada Lim Guan Eng.

Selaku sebuah pengamal media massa, Utusan perlu segera bermuhasabah diri dan melihat kembali sejarah sebenar penubuhannya. Disebabkan pihak akhbar Utusan yang tidak neutral ini, banyak nama-nama timangan yang diberikan oleh pengguna-pengguna laman sesawang dan blog seperti utusanmeloya, utuseks dan sebagainya. Bagi Che Wan, Utusan tidak perlu dilabel sebegitu rupa kerana Che Wan percaya kita sebagai rakyat perlu memberi masa untuk Utusan ini memperbaiki dirinya selepas kerajaan Pakatan Rakyat berjaya menakluki Putrajaya kelak. Ketika itu insyallah Utusan akan menjadi penyebar fikiran rakyat yang sebenar. Sama-samalah kita doakan impian ini akan terlaksana. Semoga media kita dibebaskan dari cengkaman politikus korup hari ini.

             Utusan Melayu keluaran Pertama dalam tulisan Jawi pada tahun 1939.




Suatu masa dahulu: Akhbar Utusan Malaysia begitu neutral sehingga bebas mengkritik mana-mana parti di Malaysia termasuk UMNO sendiri.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...