Jumlah Pelawat

Saturday, April 2, 2011

Dalang Video Lucah Tandus Modal Politik, Kata Ku Li

Artikel dipetik daripada TVSelangor.com (klik disini) :-

KUALA LUMPUR 2 APRIL : Tengku Razaleigh Hamzah membidas pihak yang mendalangi fitnah video lucah untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menegaskan rakyat akan menolak "politik kotor' sebegitu untuk mengalihkan tumpuan mereka daripada isu-isu nasional yang jauh lebih penting.

"Ini orang panggil gutter politics, politik longkang (dan digunakan) bila sudah tidak ada modal lagi. Ia timbul sebab polisi dan dasar yang diperjuangkan sudah tidak laku dan rakyat nampak tidak menerimanya. Oleh kerana itu (mereka) main politik kotor menyerang seseorang dengan harapan rakyat ketepikan hal seumpama itu. Ini bukan politik," tambah mantan Menteri Kewangan dan Naib Presiden Umno itu.

Dalam wawancara esklusif dengan TVSelangor, Tengku Razaeligh yang lebih dikenali 'Ku Li' menegaskan rakyat, khususnya masyarakat Melayu, menolak cubaan mana-mana pihak menyerang keperibadian pihak lain semata-mata untuk mencari kelebihan politik.

"Saya tak fikir rakyat terima hal (video seks) ini. Kalau tengok kes Anwar yang pertama tahun 1998, rakyat tidak terima. Usung tilam, bantal semua, tak ada orang terima. Saya masih ingat semasa saya adakan majlis dialog di Gua Musang. Orang cakap. Ni Melayu ke ni? Malulah," kata beliau.

"Perkara ini tak patut didedah kepada orang ramai. Jadi itu tunjukkan orang tak faham politik pun menolak benda macam ni. Saya rasa (video seks) ini salah langkah," tambah beliau

Ku Li berkata biarpun pihak yang mendalangi video seks itu berjaya menjatuhkan Anwar dan mencapai kemenangan politik, ia tidak bermakna dalam konteks kemuliaan tamadun negara itu sendiri.

"Kenapa kita nak amalkan ini semua kerana politik? Jika berpolitik sebegini, kalau kita menang pun, tidak ada maruah, tidak ada nilai, jadi tidak guna kita menang pun kalau kita guna cara buruk dan keji untuk mendapat tempat. Saya rasa rakyat pun tak dapat terima dengan baik," tegas beliau.

Tiga individu - Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Bendahari Perkasa Shuib Lazim dan ahli perniagaan Shazryl Eskay mengakumendalangi penayangan video itu kepada umum pada 21 Mac.

Mereka mendakwa rakaman itu menunjukkkan Anwar mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari.

Ketiga-tiga mereka dilaporkan berjumpa Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak selepas identiti mereka dibongkar oleh pejabat Parti Keadilan Rakyat.

Anwar membuat laporan polis bagi membolehkan polis menyiasat siapa pelaku dalam rakaman itu.

Beliau menegaskan pada malam rakaman itu dibuat, beliau di rumah bersama ahli keluarga dan kakitangannya serta berinteraksi dengan kenalan menerusi Twitternya.

Pejabat PKR mengemukakan sembilan pesanan Twitter Anwar, bagi menyokong hujah Ketua Pembangkang itu.

Semalam, Ketua Polis Negara Ismail Omar membuat pengumuman mengejutkan apabila mengisytiharkan video itu adalah tulen namun tidak mengulas sama ada pelakunya dikenal pasti.

Beliau berkata hasil siasatan sudah di fasa terakhir dan akan diserahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam tempoh terdekat.

Kenyataan Ketua Polis Negara itu menimbulkan pelbagai kecurigaan kerana adalah difahamkan polis tidak mengambil keterangan daripada pihak-pihak yang relevan
untuk memperakukan keterangan Anwar sebelum ini.

Contohnya keterangan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang menghuraikan sembilan catatan Twitter Anwar yang membuktikan Ketua Pembangkang tidak terbabit dalam perlakuan sumbang yang dituduh oleh Rahim dan dua rakannya itu.

Ku Li berkata perbuatan mencantas ahli politik dengan taktik-taktik keji seperti menayangkan video seks "bukan budaya" Melayu mahupun Islam kerana ia amat keji.

"Saya tak tahu dimana kita belajar perkara ini. Di Amerika pun orang kata politiknya kotor. Saya rasa ia bergantung pada kita. Rakyat Malaysia punya tamadun dan budaya yang baik, kenapa kita hendak ikut budaya tak baik' kata Ku Li.

"Apatah lagi bagi orang Melayu Islam, tak patut kita lakukan benda yang jijik yang dipandang rendah oleh orang. (Apa guna) kita buat perkara yang hina di sisi masyarakat," tegas beliau.

RON 97 naik lagi..alahai..


Che Wan ingin memetik artikel dari Akhbar Berita Harian:

2011/04/02

KUALA LUMPUR: Bermula tengah malam tadi, petrol RON97 dijual pada harga baru RM2.70 seliter selaras harga minyak mentah di pasaran dunia, kata Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Zulkifli Mokti. Penyelarasan harga itu bagaimanapun tidak membabitkan RON95 dan bahan api lain di negara ini.

zulkifli berkata, penyelarasan sebanyak 20 sen itu berikutan harga minyak mentah di pasaran dunia ketika ini AS$114 setong (RM345.19) minggu ini berbanding AS$105 (RM317) minggu lalu.
“Harga baru itu berikutan krisis di Asia Barat,” katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, semalam.

Zulkifli juga berkata harga minyak mentah dijangka terus meningkat ekoran situasi di negara Teluk itu yang mungkin berterusan.

Pada 31 Januari lalu, harga RON97 yang diapungkan mengikut harga pasaran semasa diselaraskan 10 sen kepada RM2.50 seliter. - BERNAMA

****************************************************************************************************

Geli hati apabila mendengar keluhan sahabat karib Che Wan terhadap kenaikkan harga petrol jenis RON 97. Memandangkan beliau amat teliti terhadap aspek penjagaan keretanya, Sahabat Che Wan ini hanya menggunakan bahan bakar jenis Ron 97 semenjak membeli keretanya kira-kira empat tahun dahulu. Che Wan ada menanyakan sebab mengapa dia hanya menggunakan minyak jenis RON 97 dan bukan jenis RON 95 ?. "RON 97 ni lebih ringan dan lebih selamat digunakan kau tahu tak? then performance kereta kau jadi lebih mengancam". Begitulah jawapan yang diberikan olehnya. Namun itu dulu. Kini disebabkan kenaikan harga minyak yang melampau, sahabat Che Wan itu terpaksa "melawan perinsip" dengan mengisi minyak RON 95 juga.

Che Wan yakin bahawa diluar sana ada pelbagai lagi cerita keperitan disebabkan oleh kenaikan harga minyak ini. Kadangkala Che Wan terfikir bagaimana pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang duduk di kampung menghadapi keadaan ini. Setiap hari jika mereka hendak menghantar anak-anak mereka ke sekolah, pastinya mengunakan kenderaan. Tidak kisahlah kereta ataupun motosikal kerana kedua-duanya memerlukan kos bahan api. Kenaikan harga minyak ini akan membebankan mereka. Ditambah lagi dengan kenaikan harga barang keperluan yang tentunya akan terjadi disebabkan kenaikan harga minyak ini. Kehidupan mereka tentunya akan terhimpit disebabkan mereka ini termasuk dalam golongan yang mudah jejas.

Kita jangan sesekali berbicara kesusahan ini dengan pak-pak menteri di atas sana. Mereka adalah golongan elit yang tidak mungkin merasai kesusahan dan kesempitan rakyat. Mereka hanya memikirkan saku dan tengkolok mereka yang mungkin diisi beribu-ribu ringgit sehari. Wahai menteri-menteri diatas sana. Jika bukan sebab kami sebagai rakyat memilih anda, tidak mungkin anda akan mendapat kesenangan seperti hari ini. Sekali-sekali lihatlah kesusahan rakyat dibawah. Jangan hanya ketika pilihanraya baru hendak turun dan kemudian mengelar diri juara rakyat. Bak kata pepatah, ikut resmi padi, makin tunduk makin berisi. Janganlah sesuka hati mengunakan kuasa sewenang-wenangnya sehingga mengkhianat bangsa sendiri.

Mungkin benar harga minyak pasaran dunia naik disebabkan oleh pergolakkan di asia barat. Namun pasti ada mekanisme yang boleh digunakan agar subsidi minyak dapat ditinggkatkan lantas harga minyak dapat diturunkan. Kita ini negara pengeluar minyak. Janganlah membandingkan harga minyak di negara ini dengan negara jiran yang sememangnya tiada kawasan galian petroleum. Mungkin kalian sudah tahu mahu kalah dalam pilihanraya akan datang dan mengaut hasil dan duit rakyat sehingga habis licin semuanya.

Dijajah oleh bangsa asing kita lawan sampai ketitisan darah terakhir..
Dijajah bangsa sendiri hanya air mata dan kekecewaan boleh dizahirkan...

Ubah sekarang...selamatkan Malaysia..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...