Jumlah Pelawat

Tuesday, September 7, 2010

Pabila Malaysia ingin di ganyang..


Pada ruangan kali ini Che Wan terpanggil untuk berkongsi sedikit pandangan tentang isu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini iaitu tentang isu ganyang Malaysia. Ungkap kata perkataan “ganyang Malaysia” ini terlahir sewaktu pemerintahan Presiden Sukarno dimana pada ketika itu Indonesia melancarkan konfrontasi terhadap pembentukan Malaysia kerana mereka beranggapan sebahagian wilayah negeri Sarawak adalah milik mereka. Setelah isu ini selesai dan selepas tampuk pemerintahan bertukar kepada Presiden Suharto, secara keseluruhan hubungan Malaysia-Indonesia kearah yang lebih positif dan hubungan tersebut boleh diibaratkan seperti hubungan abang-adik yang sangat erat terjalin. Namun demikian, hubungan jernih diantara dua belah pihak kembali bergoncang setelah berlaku sedikit salah faham dimana penguatkuasa maritim negara republik itu ditahan oleh Polis Diraja Malaysia kerana didakwa telah melampaui batas kedaulatan negara Malaysia.

Jika difikirkan kembali, Che Wan merasakan bahawa isu ini merupakan isu kerdil yang pada kebiasaannya dihadapi oleh mana-mana negara di dunia ini kerana ianya melibatkan sempadan perairan yang sukar untuk ditandai. Oleh yang demikian, sukar untuk pihak berkuasa kedua-dua belah pihak untuk menjalankan tugas kerana kawasan perairan tidak boleh dipagari sepertimana sempadan di daratan. Isu ini mula menjadi hangat apabila akhbar arus perdana di Indonesia memperbesarkan insiden penahanan penguatkuasa maritim tersebut agar mereka dapat melariskan penjualan akhbar mereka. Apabila ini berlaku, ianya mengakibatkan sensitiviti rakyat negara itu memuncak lantas demonstrasi-demonstrasi liar terhasil. Pertubuhan-pertubuhan yang be-orientasikan “ganyang Malaysia” seperti GERAM dan BENDERA dengan lantang mewawarkan sentimen anti-Malaysia. Tidak cukup dengan itu, aktivis-aktivis tunjuk perasaan menyapu najis manusia di Banggunan Kedutaan Malaysia di Jakarta. Selain dari itu, Jalur gemilang juga dicemari pabila ianya dipijak, diludah dan dibakar oleh golongan-golongan tunjuk perasaan tadi.

Menurut perspektif Che Wan, demonstrasi-demonstrasi jalanan ini didalangi oleh kumpulan yang berniat jahat terhadap hubungan baik Malaysia-Indonesia yang sedia terjalin. Secara faktanya, jumlah rakyat Indonesia yang menyertai demonstrasi ini amatlah kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan rakyat negara itu. Memetik pada laporan akhbar Berita Harian, ahli-ahli demonstrasi ini tidak melakukan tunjuk perasaan secara sukarela akan tetapi mereka melakukan tunjuk perasaan kerana diberi upah dan imbuhan-imbuhan yang lain. Ini jelas menunjukkan bahawa ada suatu ‘tangan ghaib” yang berada dibelakang tirai menyuntik dana yang agak besar supaya hubungan dua hala Indonesia-Malaysia menjadi keruh.

Selain daripada itu, demonstrasi ganyang Malaysia ini sesungguhnya tidak wajar dilakukan kerana melalui lipatan sejarah Indonesia dan Malaysia saling memerlukan satu sama lain untuk membangun dan memajukan negara masing-masing. Sebagai contoh, Malaysia merupakan negara utama yang menawarkan peluang pekerjaan yang sebegitu banyak kepada rakyat Indonesia di dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, pengilangan, pembinaan dan perkhidmatan. Pada tahun 2009, jumlah keseluruhan warga Indonesia yang bekerja di Malaysia adalah kira-kira 1.2 juta orang (merujuk kepada Jabatan Kerja Manusia). Jumlah ini menunjukkan bahawa hubungan Malaysia-Indonesia mempunyai simbiosis yang amat erat dan sesungguhnya, isu-isu terpencil seperti salah faham ini tidak perlu diperbesarkan sehingga boleh merenggangkan hubungan kedua belah negara.

Kesimpulannya, rakyat di kedua-dua belah pihak tidak perlu finatik terhadap insiden yang terjadi kerana ianya satu permasalahan yang kecil. Kita sebagai negara berjiran perlu segera menyelesaikan masalah ini kerana ianya akan merugikan kedua-dua belah pihak. Tidak boleh tidak, Malaysia dan Indonesia perlu kembali menyemai dan membajai hubungan baik yang sedia terjalin supaya bunga keamanan akan terus berkembang mekar. Akhir sekali, ingatlah bahawa budaya, bahasa, bangsa, agama di kedua-dua negara adalah hampir sama. Jangan sesekali disebabkan masalah kecil ini hubungan baik abang-adik ini menjadi rengang dan punah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...