Jumlah Pelawat

Tuesday, June 1, 2010

Dilema ME-LAYU


Penulis tertarik dengan majalah Milenia Muslim keluaran Mei 2010. Ini kerana pada keluaran tersebut, isu yang diketengahkan adalah tentang daya usaha kerja yang kurang di kalangan masyarakat melayu. Isu tersebut pula dikupas dengan baik oleh bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada keluaran tersebut, Tun mengatakan bahawa sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, bermacam-macam cara telah di lakukan demi untuk memajukan kaum melayu. “Saya sudah memujuk, merayu, menangis dan berdoa supaya orang-orang melayu merubah sikap mereka tetapi ternyata saya telah gagal”. Begitulah ungkapan seorang tokoh yang orang ramai mungkin acap kali berpendapat telah berjaya membawa Malaysia ke mercu kejayaan. Namun, Tun sendiri merasakan bahawa beliau telah gagal. Apakah ini benar? Teruk sangatkah kaum melayu ini sehingga Tun berasa sebegitu rupa?

Mengungkap kembali sejarah lampau, bangsa melayu merupakan bangsa yang penuh dengan nilai-nilai kesopanan serta berpegang kepada adat dengan begitu utuh. Ini sememangnya tidak dinafikan, namun begitu melalui pengamatan penulis, secara keseluruhan jelas menunjukkan bahawa bangsa melayu ini menghidapi penyakit yang jelas menjadi batu sempadan untuk mereka terus maju. Melalui pandangan dan pengalaman yang telah dilalui, penulis berpendapat bahawa masyarakat melayu jelas menghidapi dua jenis penyakit ini. Pertamanya sifat dengki dan keduanya malas berusaha. Penyakit inilah yang menghalang mereka untuk menjadi lebih maju serta dapat menyaingi kaum lain. Disebabkan penyakit-penyakit inilah, kerajaan telah mencari formula terbaik bagi menjadi penawar yang mujarab seterusnya dapat mengeluarkan masyarakat melayu dari permasalahan ini. Oleh yang demikian, kerajaan telah melancarkan dasar ekonomi baru (DEB) pada tahun 1971 yang berobjektif untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat melayu supaya ianya akan mensaksamakan pengagihan aktiviti ekonomi antara kaum dan secara tidak langsung akan dapat menyatupadukan rakyat di negara ini.

Setelah dilaksanakan, ternyata objektif utama untuk bumiputra mencapai ekuiti melebihi 30 peratus masih gagal dicapai. Walaupun segala keistimewaan telah diberikan, namun mengapa masih lagi kita melihat sebegitu ramai orang-orang melayu terdampar dan hidup dalam serba kedaifan. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Negara pada tahun 2007, jumlah pendapatan isi rumah dibawah RM 1000 sebulan majoritinya adalah terdiri daripada kaum melayu iaitu seramai 496,500 orang. Kaum-kaum lain yang berpendapatan di bawah RM 1000 sebulan pula terdiri daripada 50,900 untuk isi rumah Cina, 29,000 untuk India, 29,300 Kadazan, 7,500 Orang Asli dan sejumlah 78,800 lagi untuk lain-lain kaum.

Melalui rekod tersebut, jelas menunjukkan bahawa kaum melayu ini seakan merempat di bumi sendiri. Menjadi suatu fanomena yang agak pelik apabila semakin keistimewaan diberikan, semakin jauh orang-orang melayu dari mencapai objektif DEB. Disini mencerminkan bagaimana sikap orang-orang melayu yang tidak acuh terhadap produktiviti diri mereka. Tidak dinafikan ada segelintir orang-orang melayu yang begitu berdaya saing serta amat rajin ketika melakukan kerja. Namun begitu, boleh dikatakan sebahagian besar masyarakat melayu ini masih lena dibuai keselesaan. Mereka merasakan “sekadar cukup” itu telah menjadi sesuatu yang baik untuk mereka. Lantaran itu, mereka sering melakukan kerja dengan cerca merba tanpa mementingkan tentang aspek kualiti. Ini lebih diburukankan lagi dengan sikap orang melayu yang mengalibabakan kontrak kerajaan yang diberikan kepada mereka. Maka terjadilah kontrak yang bertukar tangan kepada kaum lain pula. Dengan hanya mendapat RM 10-20 ribu mereka cukup berasa puas sedangkan mereka telah kerugian berjuta-juta ringgit!.

Kini Model Ekonomi Baru (MEB) pula telah dibentuk oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menangani permasalahan ini. Tetapi dilihat MEB lebih bertujuan untuk menjana ekonomi negara secara keseluruhan tanpa terlalu fokus kepada satu-satu kaum di negara ini. Ini kerana kerajaan sedar akan kepentingan negara untuk bangun setelah kemelesetan ekonomi berlaku pada tahun 2009. Inilah prioriti utama di dalam MEB yang lebih bersifat global daripada hal-hal domestik sahaja. Sama ada kaum melayu boleh terselamat atau tidak melalui dasar ini, hanya masa yang akan menentukannya.

Kesimpulannya, masyarakat melayu kurang maju ketika ini kerana sikap mereka. Dalam hal ini kita tidak perlu menyalahi kerajaan atau pihak-pihak lain. Masyarakat melayu secara keseluruhannya perlu sentiasa bermuhasabah diri dan perlu sedar akan kedudukan mereka ketika ini. Mereka perlu membuat suatu anjakan paradigma di dalam diri mereka. Janganlah terlalu merasa keselesaan(comfort zone) kerana nasib mereka mungkin akan berubah kelak. Bergembiralah waktu ini ketika kuasa politik masih lagi didalam gengaman orang-orang melayu. Menangislah dikemudian hari jika ianya juga terlepas kepada kaum-kaum lain. Masa itu barulah kita sedar ketika kita merempat di tanah tumpah darah sendiri. Hang Tuah ada berkata “takkan melayu hilang di dunia”. Ya benar. Sememangnya tidak akan hilang bangsa melayu di dunia ini. Namun apa guna kewujudan bangsa melayu ini jika ianya tidak dirasa.

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...