Jumlah Pelawat

Thursday, July 1, 2010

Politik yang perlu “disekolahkan”


Politik yang perlu disekolahkan. Agak janggal bukan tajuknya? Namun itulah isu yang Che Wan mahu ketengahkan pada ruangan kali ini. Politik. Semua manusia sedar atau tidak mengamalkan elemen politik didalam aspek kehidupan mereka sehari-hari. Tidak kiralah tua atau muda, lelaki atau perempuan, guru atau murid, ibu atau ayah, melayu atau india, waima artis sekalipun telah atau pernah mengamalkan politik didalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, si ibu mengamalkan politik apabila dia “menjanjikan” sesuatu kepada anaknya jika mendapat keputusan cemerlang didalam peperiksaan. Ahli perniagaan pula boleh dikatakan mengamalkan politik pabila mereka melakukan “pelobian” terhadap kontrak-kontrak yang dikeluarkan oleh kerajaan. Sedar atau tidak, kita sebagai manusia telah menjadi pengamal politik yang cekap biarpun seseorang itu mengatakan bahawasanya dia amat membencikan medan politik. Politik tidak boleh dipisahkan dari kehidupan manusia sepertimana bumi tidak akan lengkap tanpa kehadiran bulan di waktu malam. Politik itu baik selagimana ianya diamalkan dengan cara yang luhur serta untuk mencapai matlamat yang baik.

Namun demikian, dizaman yang penuh cabaran kini, jarang seseorang itu mengamalkan politik dengan penuh berintegriti. Lihat saja senario politik yang telah melanda tanah air pada hari ini. Pemimpin-pemimpin politik semakin ghairah mencipta retorik-retorik palsu serta memutarkan belitkan fakta hanya untuk mendapat pancingan undi dari rakyat. Ini ternyata salah. Che Wan merasakan hari ini terlalu banyak penyelewangan yang telah dilakukan oleh pemain-pemain politik di negara ini tidak kiralah apa jua parti politik sekali pun. Kita perlu kembali kepada asas politik yang bersih seperti yang telah diamalkan oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau berjuang dengan niat murni serta mempunyai agenda yang luhur demi untuk membebaskan Tanah Melayu dari cengakaman British. Entah mengapa setelah negara mencapai kemerdekaan, nilai-nilai politik yang baik di dalam diri pemimpin politik semakin terhakis. Fitnah dilakukan, korupsi dijelmakan, dan kroni dihidupkan. Ini semacam telah menjadi suatu budaya pula yang harus diamalkan oleh ahli politik jika ingin mengekalkan pengaruh dan kuasa mereka. Dengan lahirnya blog-blog yang bersifat fitnah serakah, media-media massa yang berat sebelah serta ceramah-ceramah yang memutar belitkan fakta, pemikiran rakyat telah dipesongkan. Lebih memburukkan keadaan, sesetengah ahli-ahli politik memainkan isu-isu perkauman yang bersifat sensitif agar mereka dapat menjadi juara kepada sesuatu kaum itu tadi.

Biarlah si kaum tua tadi mengamalkan budaya-budaya politik murahan seperti itu. Mereka ibarat buluh yang sukar untuk dilenturkan. Diatas kesedaran itu, “rebung” atau generasi muda pada hari ini perlu bangkit dengan cara baru supaya budaya bersih berpolitik dapat dizahirkan. Oleh yang demikian, politik perlu “disekolahkan” kembali. Golongan-golongan muda perlu diajar dengan cara yang berhemah ketika berpolitik. Mereka perlu tahu batasan-batasan ketika berpolitik dengan memberi fakta-fakta yang benar kapada rakyat. Politik pada hari ini dan masa hadapan perlu berorientasikan perkhidmatan kepada masyarakat. Parti-parti politik tidak perlu memburukkan satu sama lain untuk mendapatkan sokongan dari rakyat. Akan tetapi mereka perlu menyediakan manifesto terbaik yang dapat menjamin kesenangan rakyat dan dapat memajukan negara dengan lebih proaktif jika mereka ingin terus berkuasa.

Sehubungan dengan itu, kematangan dalam berpolitik itu amatlah penting. Sepertimana manusia perlu ke sekolah untuk menjadi insan yang lebih matang, begitu juga dengan perihal politik. Politik perlu disekolahkan kembali agar ahli-ahli politik pada masa hadapan lebih matang dan beretika ketika berpolitik. Harus diingat bahawa berpolitik itu tidak salah, kerana pemain-pemainyalah yang mencorakan sifat dan ragam didalam arena politik itu sendiri. Matlamat tidak sesekali menghalalkan cara. Fikir-fikirkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...