Jumlah Pelawat

Sunday, February 26, 2012

Tun M kata debat tak sesuai? Generasi kini bukan macam “malay dilemma”



Buku bertajuk Malay Dilemma (dilema melayu) adalah buku hasil tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1970. Buku ini ditulis oleh beliau sebelum memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Che Wan sendiri telah membaca buku ini sebanyak dua kali yakni dalam bahasa inggeris (asal), dan terbitan semula dalam bahasa melayu. Che Wan faham benar dengan pemikiran Tun M yang amat radikal memperjuangkan nasib bangsa melayu pada waktu itu berikutan pencapaian akademik mereka (orang melayu) yang agak terbelakang berbanding kaum-kaum lain. Initipati buku ini dari perspektif Che Wan adalah sangat tepat pada ruang lingkup waktu itu tetapi tidak relavan lagi pada waktu ini. Kerana zaman berubah mengikut masa. Seiring itu pendapat manusia juga berubah.

Melalui laporan yang terpampang di dada-dada akhbar Tun M menyatakan bahawa amalan debat adalah tidak sesuai untuk diamalkan dinegara ini kerana masyarakat masih tidak matang seperti di negara-negara barat. Kenyataan Tun M ini seperti mahu melindungi Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri ketika ini daripada berdebat dengan ketua pihak oposisi iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan selemah ini tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang bergelar mantan perdana menteri kerana ianya mengambarkan rasa negatif beliau terhadap kemampuan rakyat di negara ini untuk berfikir dan juga berkelakuan. Che Wan tidak boleh terima kenyataan yang lemah sebegini kerana seperti artikel terdahulu Che Wan berpendapat bahawa debat adalah satu permainan adil dan “fair game”. Semuanya bergantung kepada fakta untuk menang.

Untuk layak menjadi orang nombor satu negara, anda perlu menguasai “fakta” sebelum membuat sesuatu keputusan. Menolak untuk berdebat secara ilmiah adalah seperti menyembunyikan kelemahan diri kerana tidak mempunyai kemampuan menguasai fakta dan kejumudan ilmu yang ada dalam diri seseorang pemimpin itu. Pembuat keputusan yang baik (pentadbir) perlu menguasai ilmu dan perinsip yang jelas serta berani mempertahankannya dalam perdebatan.

Dalam konteks debat antara Anwar-Najib ini, debat harus dilakukan untuk menjernihkan segala kekeliruan yang berlaku di kalangan masyarakat. Ketika ini, isu Israel, masalah murtad, dan penyelewengan dana untuk projek lembu fedlot sedang hangat diperkatakan. Seharusnya isu ini diperdebatkan secara terbuka. Agar rakyat faham pendirian masing-masing. Kemudian, biarlah rakyat sendiri yang mengadilinya dengan bijaksana.

Che Wan memuji akan keberanian beberapa pemimpin dari Barisan Nasional (BN) kerana berani untuk berada di platfom yang sama dengan pemimpin dari Pakatan Rakyat (PR) untuk berdebat sepertimana Khairi Jamaludin dan juga Dato’ Dr Chua Soi Lek lakukan. Khairi berdebat dengan Pengarah Strategik PKR iaitu saudara Rafizi Ramli dan tempoh hari Dato’ Dr Chua Soi Lek pula berdebat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Untuk pengetahun pembaca sekalian, dalam buku Malay Dilemma tulisan Tun M, beliau ada merumuskan bahawa faktor genetik adalah penyebab utama masyarakat melayu sukar untuk maju. Mungkin inilah sebabnya beliau dari awal lagi percaya amalan debat seperti ini tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini kerana masyarakat melayu masih dungu dan tidak waras untuk berfikir berlandaskan fakta. Che Wan menentang sekeras-kerasnya pendapat Tun M ini kerana masyarakat hari ini terutamanya orang-orang melayu telah berubah dari segi pemikiran dan juga tatasusila mereka. Melihat kepada acara pertandingan debat yang dilakukan diperingkat universiti dengan begitu baik dan matang, Che Wan yakin bahawa amalan debat ini harus dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi dinegara ini melibatkan isu-isu yang lebih besar lagi. Tentunya acara debat ini ditunggu-tunggu dan dinantikan oleh segenap lapisan masyarakat.

Apa yang Che Wan harapkan adalah Datuk Seri Najib Razak berani untuk menyahut cabaran debat daripada pihak oposisi. Fikirlah bahawa debat ini perlu untuk kemajuan negara dan kearah politik Malaysia yang baru. Ayuh debat!.

Debat antara dua pemimpin yang ditunggu-tunggu

Friday, February 24, 2012

Puisi: Rapat Bahu ke Bahu (Kenangan Bersih 2.0)


Pagi itu awal kita bangun
Semangat berkobar tinggi untuk keadilan
Kita kuningkan diri, menuju medan itu
Lama sudah kita dipijak dan dibohongi
Sampai kita letih
Namun, dalam letih itu kudrat kita masih ada
Kudrat itu diperah dan dikerah demi "mentakhtakan" semula keadilan


Kita rapat bahu ke bahu
Runtuhkan kubu kekejaman
Kita rapat bahu ke bahu
Hapuskan kuku besi yang mencengkam


Kita bersatu menjadi segenggam lidi utuh tidak mudah diluluh
Buka langkah inci demi inci, rapat bahu ke bahu


Walau dihembus asap durjana
Walau disimbah air celaka
Bahu ke bahu tetap rapat dan padat


Tanpa mengira warna kulit, menanglah kita hari itu
Mata dunia melihat demokrasi sehalus kuman dipijak-pijak tanpa belas
Kita tetap mahukan bersih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...