Jumlah Pelawat

Monday, April 29, 2013

Membuat perubahan bukan satu jenayah





Perubahan merupakan satu sifat lahiriah manusia. Daripada segumpal daging dalam perut ibu berubah menjadi bentuk tangan dan kaki-kaki halus. Kemudian dilahirkan sebagai seorang bayi. Mempunyai sepasang kaki dan tangan gebu yang mampu untuk digerak-gerakkan. Kemudian bayi itu tadi sudah mula boleh merangkak. Dari merangkak, sedikit-sedikit bertatih untuk berjalan. Bayi membesar menjadi seorang kanak-kanak yang mampu pula untuk berlari walau tidak pantas.

Itu adalah satu contoh perkembangan biologi seorang manusia. Manusia berubah dari dalam perut ibu sehinggalah menjadi dewasa dan kemudiannya lanjut usia. Perubahan tidak boleh dielakkan. Mahu atau tidak, perubahan pasti akan berlaku. Hanya cepat atau lambat sahaja yang menjadi persoalan.

Jangan perlu takut kepada perubahan. Orang yang takut pada perubahan adalah orang yang tidak berani untuk berhadapan dengan cabaran dan rintangan demi mendapat satu kehidupan yang lebih baik. Orang seperti ini lebih rela duduk dalam “zon selesa” yang mana mereka berpendapat mereka sudah tenteram. Tidak perlu pada perubahan. Syukur sahaja apa yang ada.



Konsep syukur ini betul. Tetapi kita hendaklah berusaha terlebih dahulu. Berusaha dengan membuat beberapa perubahan dan memperbaiki kelemahan yang ada. Lebih baik kecundang dalam perubahan daripada terus takut untuk berubah.



Pendapat Che Wan selari dengan pendapat bekas Mufti Perlis iaitu Prof Madya Dato’ Dr Asri Zainul Abidin melalui tulisan di blognya.(Klik disini)



Saya percaya tukar, tukar dan tukar lagi sehingga kita dapat yang terbaik, dapat membawa negara ke arah yang lebih matang dan baik. Kita hendaklah bersedia untuk menukar BN kepada PR, ataupun PR kepada BN ataupun membuang keduanya sekali pada masa depan dan memunculkan politik baru sehingga kita menemui yang terbaik. Apabila yang terbaik itu mula ‘merepek’, kita akan tukar lagi. Kita tidak pentingkan nama parti, tetapi kualiti servis yang mampu diberikan! Kita sanggup menukar jika perlu tanpa mengira BN ataupun PR. Ubah, ubah dan ubah lagi sehingga yang baik diperolehi.


Dr Asri sendiri mengakui betapa pentingnya “tukar” atau “berubah” jika mahu mengecapi kejayaan. UMNO/BN telah diberi peluang yang secukupnya untuk mentadbir negara ini. 56 tahun adalah satu tempoh masa yang sangat panjang bagi membuktikan pencapaian mereka. Kini, tibalah pula masa tampuk pemerintahan itu disambung oleh orang-orang baru yang mempunyai idea yang lebih segar.



Tahun 2013 kita sebagai anak muda saluran 3 perlu mencari aspirasi serta visi baru untuk negara tercinta kita ini. Kita perlu perubahan kearah yang lebih baik. Para menteri yang mentadbir kelak perlu berintegriti tinggi, amanah dan adil. Sentiasa dengari masalah rakyat marhaen yang hidup kesempitan dibawah.

UMNO / BN akan menggunakan media arus perdana mereka bagi menakut-nakutkan pengundi tentang perubahan ini. Mereka sering melontarkan fitnah mengatakan bahawa jika PR dapat menawan Putrajaya, maka hancurlah bumi Malaysia ini, merempatlah orang-orang melayu, bankraplah negara dan bermacam-macam lagi tomahan liar yang dilemparkan. Sedangkan tidak terfikirkah mereka selama lima tahun PR memerintah empat buah negeri, tiada satu pun Raja-Raja Melayu yang berdaulat dihalau dari istana. PR juga menghormati perkara-perkara yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Islam tetap sebagai agama rasmi. Bahasa melayu tetap sebagai bahasa kebangsaan.

Tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan oleh pihak UMNO / BN ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menanam sifat ketakutan di dalam diri dan pemikiran rakyat yang dilihat mahu membuat perubahan pada PRU kali ini. Mereka katakan bahawa pendidikan percuma adalah dongengan. Turunkan harga kereta adalah mustahil. Rendahkan harga minyak adalah tidak masuk akal. Walhal didalam PR terdapat tokoh-tokoh yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang berkaitan ekonomi. Ketua Umum juga merupakan bekas Menteri Kewangan yang mempunyai pengalaman luas “inside-out” berkenaan  tadbir urus ekonomi dan kewangan negara. Beri peluang mereka untuk buktikan.

PR perlu diberi peluang satu penggal sebagai kerajaan pusat bagi membuktikan kata-kata yang dijanjikan mereka. UMNO / BN telah diberikan kuasa untuk memerintah dengan lamanya sebelum ini. Mengapa tidak peluang ini diberikan kepada PR pula. Kita cuba dengan angin baru. Sesebuah negara perlukan satu anjakan dalam perjalanannya untuk menjadi lebih baik. Salah satu caranya adalah dengan menukar tampuk pemerintahan negara tersebut. Anda tidak perlu takut untuk membuat perubahan kerana perubahan itu bukanlah satu jenayah. Ianya satu kemestian. #UBAH

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...