Jumlah Pelawat

Wednesday, April 3, 2013

Parlimen bubar dan Teori RAHMAN

Syukur hari ini tanggal 3 April 2013 parlimen telah dibubarkan. Setelah lama berteka teki, Datuk Seri Najib Razak akhirnya membuat pengumuman untuk membubarkan parlimen sekitar jam 11.30 pagi tadi. Ini adalah ujian pertama bagi beliau selaku ketua parti bagi menghadapi pilihanraya umum. Selepas saja pengumuman tersebut, terlintas dibenak fikiran Che Wan tentang nama Najib (N) yang merupakan huruf terakhir dalam teori RAHMAN. Kalau benarlah seperti teori tersebut, maka usaha reformasi yang digerakkan semenjak  tahun 1998 akan menempa kejayaan. 

Peluang ketika ini adalah seimbang antara PR dan BN. Keadaan “seimbang” ini bagi Che Wan sudah cukup baik jika dibandingkan dengan pilihanraya-pilihanraya terdahulu yang mana kita boleh membuat jangkaan awal bahawa kemenangan pasti di pihak BN. Namun kali ini senarionya berubah. Mentaliti pengundi berubah. Sumber informasi berubah dan kualiti calon-calon yang diketengahkan PR juga turut berubah. Ramai calon berlatar belakang profesional akademik atau profesional korporat menyertai PR (contoh: Tan Sri Khalid Ibrahim bekas CEO, Rafizi Ramli bekas akauntan, dan Sivarasa berlatar belakang perundangan).

Jika pemerintah berperilaku zalim, rakyat pasti akan bangkit. Pembubaran parlimen oleh Najib memberi kita satu kelegaan dan harapan baru. Barisan jentera setiap parti politik didalam PR perlu berusaha keras. PAS, PKR dan DAP seharusnya bergandingan dengan lebih utuh dengan mempergiat usaha bagi memberi pencerahan fakta kepada rakyat. Kita sedari bahawa media massa 24 jam, 7 hari seminggu akan menabur segala macam fitnah bagi menimbulkan persepsi tidak senang di kalangan rakyat terhadap PR.

Pemilih yang neutral (tanpa terikat dengan mana-mana parti politik) yang ditakrifkan sebagai pengundi atas pagar perlu diberikan perhatian. Che wan rasakan 30% jumlah pengundi akan mengundi PR dan 30% lagi akan mengundi BN kerana mereka adalah penyokong tegar parti masing-masing. Selebihnya 40% merupakan pengundi atas pagar yang biasanya akan membuat keputusan disaat-saat akhir sebelum tarikh pengundian. Gagal menjelaskan aspirasi yang terkandung dalam buku Jingga akan meletakkan PR dalam satu keadaan yang goyah. Kempen-kempen perlu diperhebat terutama dikawasan-kawasan yang terletak di pedalaman kerana penduduk kawasan ini lazimnya agak sukar untuk mendapatkan sumber-sumber berita alternatif.

Bagi Penjawat Awam pula, anda semua tidak perlu berasa takut untuk berubah. Selepas parlimen secara rasmi dibubarkan oleh Datuk Seri Najib pagi tadi, tiada lagi istilah siapa “kerajaan” atau “pembangkang”. Yang ada hanyalah parti-parti politik. Mandat yang diberikan pada 2008 yang lalu telah pun tamat. Anda langsung tidak terikat dengan mana-mana parti politik dan dengan itu, anda bebas memilih mana-mana pemimpin yang diyakini dapat memberi perubahan yang jelas dalam kehidupan anda dan juga pada negara ini secara keseluruhannya.

Jika berkesempatan, Che Wan pasti akan turun bagi membantu kempen-kempen PR. Kekuatan PR bukan terletak pada keselesaan bilik gerakan, berapa banyak bendera atau kain rentang pada pilihanraya kali ini. Kekuatan PR adalah semangat rakyat. Ini kalilah!

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...