Jumlah Pelawat

Monday, June 3, 2013

Ceramah suara rakyat suara keramat sesuatu yang luar biasa.

Berlangsungnya ceramah “Suara rakyat suara keramat” di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei lalu merupakan sesuatu yang luar biasa. Nukilan kali ini berkisarkan pengalaman Che Wan menghadiri siri ceramah tersebut.

Disebabkan kehadiran penyokong-penyokong PR yang terlalu ramai, laluan trafik sekitar Kelana Jaya (terutama Lebuhraya LDP) menjadi agak perlahan. Che Wan melihat ada kenderaan diletakkan kira-kira 2 kilometer jaraknya dari lokasi ceramah. Mereka-mereka ini sanggup berjalan kaki dengan jarak yang begitu jauh demi untuk mendengar ceramah dari pimpinan tertinggi PR berkenaan penipuan PRU 13 yang lalu.

Suasana dimana ramai orang berpusu-pusu ke stadium lazimnya hanya dapat dilihat ketika menjelangnya perlawanan akhir sesuatu kejohanan bolasepak. Tetapi tidak pada malam itu. Rasanya, itulah pertama kali orang ramai berkumpul bersama-sama di dalam sebuah stadium pada waktu malam bagi memperjuangkan hak dan keadilan.

Ditepian jalan menuju ke stadium Kelana Jaya kelihatan berduyun-duyun orang ramai berbilang bangsa berjalan bersama-sama dengan mengenakan baju serba hitam. Hitam itu adalah sebagai simbolik kepada malap dan matinya demokrasi di Malaysia.

Di hadapan pintu gerbang stadium, sebelum dapat melangkah masuk kedengaran sorakan “Ubah!” dan laungan “Reformasi!”. Diselangi bunyi tiupan dari “Vuvuzela horn”. Suasana malam itu memang menaikkan semangat Che Wan untuk terus berjuang menegakkan keadilan di negara ini. 

Kawasan dalam stadium nampaknya begitu padat. Che Wan sendiri terpaksa bersesak-sesak untuk masuk. Ketika sudah berada didalam stadium pula, kelihatan lautan manusia berpakaian serba hitam membanjiri setiap inci stadium itu. Tiada langsung amalan rasisme disini. Orang cina tanpa rasa malu dan segan mengibarkan bendera PAS. Orang melayu begitu juga. Ada yang mengibarkan bendera DAP. Panji PKR turut tidak ketinggalan dikibarkan oleh seorang “uncle” berbangsa India.

Ini adalah satu manifestasi sebenar apa itu dimaksudkan dengan “Satu Malaysia”. Satu Malaysia dimana kita semua mahukan perubahan berlaku dinegara ini. Banyak banting tulisan tangan seperti “fight against racism” dan “Kami Tolak Perkauman” diangkat oleh anak-anak muda dari pelbagai kaum. 

Kemuncak kepada acara malam itu adalah apabila pentas diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum Keadilan untuk berbicara. Bunyi perit “Vuvuzela horn” tidak kedengaran lagi. Diam seketika. Hadirin yang hadir menumpukan sepenuh perhatian mereka pada susuk tubuh DSAI yang berada di pentas. Lengan kemeja hitam DSAI kelihatan disenteng sedikit.

“This is the beginning of a battle between the Rakyat and an illegitimate, corrupt, and arrogant government”. Butir-butir kata awal yang keluar dari mulut DSAI. Kata-katanya itu lantas disambut sorakkan oleh ribuan rakyat yang setia berdiri di tengah padang sambil tangan mereka dijulangkan julangkan keudara.

DSAI juga menambah, “Saya tidak akan berhenti sehingga kita sampai ke Putrajaya, sehingga kita dedahkan semua (penipuan) dan tuntut Putrajaya untuk rakyat”.

Anwar Ibrahim pada 8 Mei 2013 di Kelana Jaya.



DSAI kemudiannya mengumumkan bahawa satu lagi perhimpunan pada hari Sabtu di Pulau Pinang, serta merancang untuk turut mengadakan perhimpunan serupa di Ipoh pada hari Jumaat. Selain itu beliau menggalakkan supaya orang ramai yang hadir untuk memakai warna hitam pada setiap hari sabtu tanda protes terhadap sistem pilihanraya yang tidak adil di negara ini.

Walaupun hujan rintik-rintik melanda ketika ucapan DSAI malam itu. Hadirin yang hadir tetap juga tidak berganjak untuk mendengar ucapan dari beliau. Ini bukan satu perhimpunan “kosong” yang mengajak anak muda terkinja-kinja diatas pentas dengan disajikan artis-artis seksi. Walaupun dilabel “perhimpunan haram” oleh sesetengah pihak, tetapi pengisiannya lebih baik daripada konsert-konsert yang mendapat permit dan kebenaran dari pihak berkuasa.

Diakhir perhimpunan aman Blackout 505 pada malam itu. Seluruh rakyat marhaen yang hadir berdiri tegak dan sama-sama menyayikan lagu kebangsaan Negaraku. Perhimpunan tersebut berlansung dalam keadaan aman dan orang ramai bersurai dengan penuh tertib di luar stadium. Perhimpunan aman Blackout 505 tamat kira-kira pada pukul 11.45 malam.




0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...