Jumlah Pelawat

Wednesday, April 10, 2013

Bahaya mandat 2/3 diberikan pada pemerintah





Datuk Seri Najib Razak sewaktu berucap di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 8 April 2013 berkata kepada pesara-pesara kerajaan yang hadir bahawa BN memerlukan mandat rakyat yang kukuh bagi membangunkan Malaysia pada masa hadapan. Ujar beliau, "yakinlah, jika anda menyokong kerajaan pada hari ini, kita akan melakar lebih banyak kejayaan lagi. Saya akan bekerja lebih kuat lagi. Saya beri jaminan untuk bekerja sepenuh hati dengan segala kekuatan yang ada pada saya," (rujuk Akhbar Sinar Harian 8 April 2013).

Datuk Seri Najib merayu kepada rakyat supaya memberi sokongan padu pada parti yang dipelopori beliau. Maksudnya ialah beliau menginginkan BN memegang majoriti kerusi di parlimen menjangkau 2/3.  Persoalannya, adakah patut kita berikan mandat 2/3 ini kepada beliau?

Majoriti 2/3 adalah bahaya.

Majoriti 2/3 ini pada pemikiran Che Wan akan mendatangkan kesan yang amat buruk terhadap sistem pentadbiran negara dimana pihak pembangkang tidak dapat memberikan krtikan-kirtikan membina terhadap polisi-polisi atau dasar-dasar pihak pemerintah yang lemah.

Pengundi perlu bijak membuat keputusan. Cerdik menganalisis lanskap politik negara. Berfikir melangkaui kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli politik yang gemar bermain sentimen perkauman. 2/3 adalah satu bentuk “penganugerahan” kuasa yang terlalu besar kepada parti yang memerintah sehingga membolehkan mereka meluluskan dasar-dasar yang berlawanan dengan kehendak rakyat.

Tokoh sejarawan Jerman bernama John Emerich Edward Dalberg Acton (1834–1902) mengatakan bahawa "Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely”. John Emerich berpendapat jika terlalu banyak kuasa diberikan kepada seseorang nescaya mereka akan cenderung untuk melakukan salah laku dan salah guna kuasa.

Isu kilang nadir bumi Lynas adalah satu contoh dari pendapat John Emerich itu tadi. Kerajaan yang diberikan mandat pada tahun 2008 tanpa memikirkan keselamatan rakyatnya telah memberi kelulusan sewenang-wenangnya kepada syarikat luar untuk membuka operasinya di negara ini bagi memproses nadir bumi yang boleh mendatangkan risiko terhadap kualiti kesihatan penduduk setempat.

Melalui wakil pembangkang di parlimen, suara rakyat yang ditindas tadi akan dibawa dan kemudiannya dibahaskan. Alasan kerajaan BN yang menganggap bahawa kilang Lynas ini tidak akan membawa sebarang kemudaratan kepada penduduk setempat adalah tidak benar sama sekali. Ironinya kilang ini apabila beroperasi kelak akan menghasilkan sekurang-kurangnya 20 000 tan bahan radioaktif yang berbahaya.

Diakui oleh sendiri oleh pakar kesihatan awam, Dr T Jayabalan. Katanya "Dan mungkin juga pihak berkuasa adalah betul kerana thorium adalah sisa tahap rendah (radioactive) dan mereka dakwa ini adalah selamat. Ini adalah istilah yang digunakan oleh industri untuk menggelirukan anda (rakyat). Ingat tidak ada tahap selamat bagi radioaktif”.

Isu Lynas adalah contoh bagaimana pihak pembangkang dapat menyampaikan kehendak penduduk sekitar Gebeng (kawasan dimana kilang dibina) kepada kerajaan melalui sidang parlimen. Oleh demikian, wakil dari pihak pembangkang haruslah tidak sedikit jumlahnya. Sesebuah negara demokrasi yang baik ialah apabila kekuatan antara kerajaan dan pembangkang adalah hampir setara.

Keadaan seimbang ini akan mewujudkan satu suasana “check and balance” antara pihak yang memerintah dan oposisi. Diyakini suasana ini akan membuat kerajaan yang memerintah akan sentiasa berada dalam  keadaan terjaga dan seterusnya berkhidmatan dengan bersungguh-sungguh untuk rakyat. Jika gagal berbuat sebegitu rupa, maka tunggu saja kritikan-kritikan pedas daripada pihak pembangkang kepada mereka.

Tsunami politik yang berlaku pada tahun 2008 lalu telah membuka mata kita bagaimana kerajaan BN yang hanya berjaya memenangi 140 kerusi dalam parlimen seakan-akan tersentak dari lamunan tidur dan mimpi-mimpi indah. Kesenangan selama ini yang dinikmati mereka daripada segala amalan kronisme, rasuah, dan pembaziran tidak dapat dipertahankan lagi.

Pihak pembangkang yang kuat akan sentiasa memerhati dan seterusnya akan membongkar segala kegiatan korupsi yang dilakukan oleh pihak kerajaan . Dengan itu, pihak kerajaan pasti akan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan akan melakukan sesuatu yang “betul” untuk rakyat walaupun secara dasarnya mereka itu tidaklah betul pun.

Buktinya, selepas BN gagal mendapat majoriti 2/3 pada PRU 12, bermacam-macam program yang dilakukan oleh mereka bagi memenangi kembali sokongan rakyat. BRIM, SLIM, dan PRIMA adalah contoh program-program yang menguntungkan rakyat. Terima kasih kepada pembangkang yang kuat di parlimen.

Jika ditakdirkan  PR menang pada pilihanraya yang akan datang, BN jangan terus berkubur. BN juga perlu menjadi pembangkang yang kuat di parlimen supaya perbahasan sihat tentang permasalahan rakyat dapat diwujudkan. PRU 13 ini rakyat sekali lagi diberikan peluang dan ruang untuk memilih. Buatlah pilihan yang bijak. Kekalkan keseimbangan ini.


0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...