Jumlah Pelawat

Sunday, December 11, 2011

BN bakal terkubur jika kalah dalam PRU 13


Pembangkang biasa kalah dalam pllihanraya. Itu faktor yang membuatkan mereka berdaya tahan dan walaupun kalah, kewujudan mereka sebagai sebuah entiti politik tetap bertahan walaupun tanpa kuasa. Persoalannya mampukah Barisan Nasional (BN) bertahan sebagai sebuah parti politik jika ditakdir mereka kalah pada pilihanraya yang akan datang?

Menurut Otto Von Bismarck's iaitu seorang pemimpin politik dan ketenteraan yang berjaya menyatukan beberapa wilayah kecil membentuk empayar Jerman pada tahun 1871, mengatakan bahawa “Politics is art of possible”. Dalam dunia politik, tiada apa pun perkara yang mustahil. Sebab itulah beliau menyebut bahawa politik adalah seni serba mungkin.

Kemungkinan pembangkang kalah dalam pilihanraya adalah perkara biasa sebelum ini. Tetapi kita perlu ingat bahawa dalam medan politik, kemungkinan Barisan Nasional untuk kalah dan rebah juga mempunyai kemungkinan yang besar dalam Pilihanan Raya Umum 13 (PRU 13) kelak. Faktor akses internet, kebangkitan rakyat timur tengah dan isu kredibiliti pemimpin menjadi duri dalam daging terhadap kelangsungan “hidup” Barisan Nasional.

Selama ini Barisan Nasional mendapat kekuatan sokongan melalui penggunaan jentera kerajaan yang meluas. Mereka mengunakan semaksimum mungkin media arus perdana, infrastruktur, kemudahan awam dan penguatkuasa untuk mewujudkan cerminan bahawa merekalah satu-satunya parti yang dapat memimpin rakyat dengan baik walaupun hakikat sebenarnya tidak sebegitu. Barisan Nasional mempunyai dana yang banyak untuk menggerakkan jentera parti kerana duit yang ada pada kerajaan pusat digunakan oleh mereka untuk menampung segala kos sewaktu berkempen. Bila tiba waktu pilihanraya tidak kiralah pilihanraya kecil atau pilihanraya umum, Barisan Nasional mempunyai kuasa untuk menggunakan dewan-dewan awam di seluruh negara serta saluran televisyen seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menyampaikan manifesto mereka kepada rakyat.

Lain pula ceritanya disebelah kem oposisi. Semua individu yang membuat keputusan untuk menyertai pihak oposisi sedar akan kesukaran mereka untuk mendapatkan bantuan dana bagi mengerakkan jentera parti. Jentera parti hanya digerakkan oleh kekuatan iktizam ahli, semangat juang dan kesungguhan serta ehsan dari sedikit derma orang ramai yang bersimpati. Itu sahaja.

Kita ambil parti PAS sebagai contoh, segala jentera parti digerakkan melalui markas-markas pondok yang didirikan sendiri tanpa perlu meminta pertolongan dari badan-badan atau kementerian tertentu. Kita perlu memuji semangat ahli-ahli PAS diatas kesanggupan mereka berjuang dengan menggunakan dana yang terhad.

Che Wan gemar untuk membandingkan dua “ketua” di parlimen iaitu Perdana Menteri selaku ketua kerajaan dan juga ketua pembangkang untuk melihat siapakah yang lebih berketerampilan sebagai pemimpin.

Seperti yang kita ketahui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang yang berasal dari golongan bangsawan. Bapanya iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua (1970 hingga 1976). Sebagai seorang yang berasal dari keluarga golongan atasan dan elitis, tentunya Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengaruh politik kesan daripada sumbangan bapanya dahulu dan bukan dari berkat usahanya sendiri. Boleh dikatakan bahawa perjalanan politik Datuk Seri Najib mudah, lancar dan tidak berliku seperti yang dialami oleh ketua pembangkang.

Bagi ketua pembangkang pula, cerita dan skripnya berbeda sama sekali. Beliau merupakan seorang yang lahir dalam keluarga orang kebanyakkan sama seperti kita hari ini. Hidup dengan penuh kesederhanaan. Waktu mudanya penuh ranjau dan berduri. Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak muda lagi begitu lantang bersuara jika ketidakadilan berlaku. Buktinya beliau memimpin gerakkan mahasiswa melancarkan demonstrasi Baling pada tahun 1974 akibat daripada kesusahan hidup petani-petani ketika itu.

Dimanakah Datuk Seri Najib sewaktu zaman mudanya ketika petani-petani di Baling kelaparan dan menderita kerana harga komoditi getah jatuh teruk ketika itu? Orang-orang bangsawan tidak mengetahui dan tidak mengerti kesusahan rakyat. Nama “Najib” langsung tidak meniti dibibir-bibir orang ramai ketika waktu itu. Sejarah tidak pernah berbohong. Kita boleh bandingkan mana satu pemimpin yang menjadi pejuang rakyat sebenar. Pemimpin perlu berani. Berani dalam bentuk tindakan. Datuk Seri Najib jelas tidak mempunyai ciri itu. Sedang Datuk Seri Anwar Ibrahim menghabiskan zaman mudanya dengan berjuang demi rakyat, Datuk Seri Najib hanya diam membisu.

Selain itu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah ditahan dibawah Internal Security Act (ISA) selama lebih kurang 24 bulan di Kemunting pada tahun 1974 akibat daripada menentang kekejaman dasar-dasar pemerintah. Datuk Seri Najib pula dilihat tidak pernah menghadapi kesukaran-kesukaran yang dapat menguji semangat beliau sebagai seorang yang bergelar pemimpin. Beliau melalui jalan hidup yang cukup mudah.

Kerana itulah Che Wan mengatakan bahawa Barisan Nasional pasti akan terus lumpuh jika mereka kalah pada PRU 13 nanti. Pertamanya seperti yang Che Wan jelaskan tadi bahawa mereka akan kehilangan kuasa untuk mengawal media arus perdana serta tidak boleh lagi untuk menggunakan segala kemudahan awam seperti hari ini. Seterusnya faktor “bangsawan” Datuk Seri Najib yang tidak pernah merasai kesusahan akan membuatkan beliau hilang punca setelah segala kesenangan ditarik balik. Ini akan mengakibatkan beliau mengalami kesukaran untuk memimpin barisan pembangkang yang tentunya sangat mencabar. Itulah kelebihan orang-orang yang berasal dari kalangan rakyat jelata, mereka mempunyai daya tahan yang tinggi. Tidak seperti golongan bangsawan, sekali susah, mereka akan punah.


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...