Jumlah Pelawat

Thursday, January 5, 2012

Insiden di UPSI: Ada kecacatan dalam sistem pendidikan negara ini


Che Wan bersimpati dengan nasib mahasiswa yang cedera sewaktu melakukan protes  aman pada Sabtu yang lalu (31.12.2011). Seperti kebiasaan, kenyataan dari Ketua Polis Perak dan juga laporan dari Buletin Utama TV3 tidak menyebelahi para-para mahasiswa yang cedera sewaktu protes aman itu berlangsung. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Komisioner Datuk Mohd Shukri Dahlan (Ketua Polis negeri Perak), mengatakan bahawa mahasiswa-mahasiswa malam itu mencederakan diri mereka sendiri dan bukannya akibat dari tindakan ganas polis.

Sebaik sahaja mendengar penjelasan dari Ketua Polis bagi negeri Perak ini, Che Wan hanya tersenyum. Jawapan yang diberikan oleh beliau ini memang sungguh tidak masuk akal. Adalah sebegitu bodoh untuk mempercayai bahawa pelajar-pelajar yang bijak pandai ini mencederakan diri mereka sendiri. Kenyataan seperti ini mengingatkan Che Wan tentang apa yang telah berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu dimasukkan kedalam penjara pada tahun 1998. Pihak polis mengatakan bahawa Anwar Ibrahim telah menumbuk matanya sendiri sehingga lebam.

Mungkin bagi pihak polis, pelajar yang cedera parah sehingga dikejarkan ke hospital ini telah menghentuk kepala mereka sendiri ke jalan tar dan menumbuk perut mereka sendiri. Adakah alasan sebegini mudah untuk kita percayai? Mengarut. Memang mengarut.

Ini semua retorik yang sengaja direka-reka untuk menghalalkan tindakan ganas terhadap orang-orang yang dilihat menentang mereka. Adakah perlu untuk menyakiti rakyat yang hanya mahukan hak mereka dikembalikan? Soalan ini perlu dijawab oleh Ketua Polis Perak.

Sesungguhnya ada satu kecacatan didalam sistem pendidikan kita hari ini. Pihak kerajaan perlu sedar bahawa mahasiswa adalah golongan “non-partisan” yang mana mereka ini tidak menyebelahi mana-mana pihak. Setiap apa yang diperjuangkan oleh mereka adalah keperluan mereka sendiri dan selari dengan kehendak zaman hari ini. Kebebasan berakademik perlu diberikan kepada mereka. Cara-cara mengongkong seperti ini hanya memburukan lagi keadaan dan kualiti institusi pengajian di negara ini. Che Wan kemukakan bukti. Kita lihat ranking Universiti Malaya sebagai contoh.

Sebelum ini, berpandukan data yang dikeluarkan oleh Times Higher Education World University Rankings, kedudukan universiti tersohor di Malaysia itu mendapat tempat ke 84 universiti terbaik didunia pada tahun 2004. Namun disebabkan sistem pendidikan dinegara ini yang bersifat mengongkong, maka kualiti pendidikan di universiti itu menurun dan rankingnya tergelincir tahun demi tahun. Pada tahun 2011, Universiti Malaya berada dikedudukan 167. Anda lihat sendiri bagaimana akta-akta yang mencengkam ini telah membunuh sifat intelektual dan keberanian mahasiswa-mahasiswa di negara ini. Universiti-universiti yang menghalang demokrasi di kampus ini juga telah menyekat daya pemikiran kreativiti dan inovasi pelajar-pelajarnya secara tidak langsung.

Tidak salah sebenarnya untuk membenarkan mahasiswa-mahasiswa di negara ini untuk terlibat secara langsung dalam dunia politik. Pendapat yang mengatakan bahawa pelajar-pelajar yang terlalu taksub dengan politik akan menjejaskan pencapaian akademik mereka adalah tidak tepat sama sekali. Pencapaian akademik pelajar dan berpatisipasi mereka dalam politik tiada langsung kena mengena. Sebenarnya penglibatan mahasiswa dalam politik sama sahaja seperti mereka terlibat dalam aktiviti kokurikulum yang lain seperti aktiviti kawad kaki, sukan, menjadi ahli dalam persatuan bahasa dan sebagainya. Adilkah untuk kita membuat telahan awal dengan mengatakan bahawa pelajar yang aktif di dalam kokurikulum itu lemah dalam akademiknya?

Sewaktu Che Wan bergelar mahasiswa dahulu, ramai juga rakan-rakan Che Wan yang aktif dalam sukan dan pada masa yang sama mempunyai pencapaian akademik yang baik sehingga mendapat anugerah dekan setiap semester melebihi individu yang kurang sosialnya yang boleh dikategorikan sebagai “ulat buku”.

Ini yang kurang difahami oleh segelintir masyarakat kita hari ini. Mereka memandang negatif terhadap golongan mahasiswa yang menuntut hak untuk berpolitik. Mereka saharusnya mengetahui bahawa dengan memberi pendedahan kepada mahasiswa di peringkat awal untuk berkecimpung didalam dunia politik, maka kita dapat melahirkan pemimpin politik yang matang pada masa hadapan. Tempoh belajar di universiti merupakan saat berharga untuk mereka mengasah bakat dan mencungkil potensi diri mereka dalam bidang politik. Menyekat kemahuan mereka adalah seperti membuang permata yang bernilai di negara ini. Kita membunuh pemimpin-pemimpin hebat masa hadapan.


Seharusnya potensi diri mereka itu kita perlu semai dan bajai dengan baik. Bukan dengan menunjukkan penentangan keras lagi kasar seperti yang terjadi di UPSI tempoh hari. Pendekatan polis untuk meleraikan rapat umum mahasiswa itu banyak kelemahannya. Terlampau banyak tekanan yang diberikan kepada mahasiswa pada malam itu. Dengan polis FRU lengkap bersenjata, mahasiswa tidak bersenjata diheret dan dilayan dengan kasar. Pihak polis perlu kembali mengingati amanah yang diberikan kepada mereka. Tugas Polis adalah untuk menjaga keamanan dan bukannya menambah lagi ketegangan.

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...