Jumlah Pelawat

Monday, October 10, 2011

Mengarut jika gaji ahli parlimen dinaikkan


Mengarut. Itu yang terpacul dari benak fikiran Che Wan ketika mendengar belanjawan 2012 yang diumumkan pada Jumaat lalu oleh Perdana Menteri. Che Wan bukanlah seorang yang hanya tahu membangkang secara membuta tuli. Tetapi cadangan yang terkandung dalam belanjawan untuk tahun hadapan supaya gaji kesemua 222 ahli parlimen dinaikan adalah satu langkah yang tidak masuk akal.

Mujur cadangan ini ditarik balik pada 10/10/2011 (hari artikel ini diterbitkan) kerana mendapat bantahan empat ahli parlimen daripada pembangkang seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita Harian (klik disini).

Ahli parlimen dari Santubung iaitu Datuk Dr Wan Junaidi dalam kenyataanya menyebut bahawa gaji ahli parlimen perlu dinaikkan kerana gaji yang diterima oleh mereka ketika ini amat rendah jika dibandingkan dengan negara lain. Katanya lebih rendah berbanding yang diterima oleh negara Fiji dan Chrismas Island.

Baiklah, jika inilah hujah yang dikeluarkan oleh seorang yang bergelar ahli parlimen, maka Che Wan ada penjelasan untuk menyerang hujah itu. Seperti yang kita ketahui, ahli parlimen adalah individu-individu yang dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihanraya.

Maka, disini menunjukkan bahawa calon yang menang dalam pilihanraya merupakan orang suruhan atau pekerja kepada rakyat di sesuatu kawasan. Sebab itulah sejak dari dulu lagi mereka diberi gelaran sebagai “wakil rakyat” dan bukannya "bos rakyat" mahupun "ketua rakyat". Oleh yang demikian, rakyat adalah majikan dalam perkara ini. Bukannya mereka. Mana mungkin seorang pekerja boleh menentukan gajinya sendiri selepas diambil bekerja. Itu adalah perkara yang hampir mustahil. Jika gaji mereka tetap juga dinaikkan, (melalui belanjawan yang dikemukakan di parlimen) keikhlasan mereka dalam menjalankan tugas boleh diragui.

Tidak perlulah membandingkan negara ini dengan negara lain dari segi gaji yang diterima oleh setiap wakil rakyat kerana ini membuktikan bahawa kos pentadbiran dinegara ini lebih ekonomikal dan rendah berbanding mereka dan tentunya ini adalah bagus. Ini dapat menjimatkan simpanan wang negara secara keseluruhannya.

Cuba anda bayangkan jika setiap ahli parlimen mendapat kenaikan gaji sehingga dua kali ganda daripada gaji mereka terima ketika ini. Secara keseluruhannya ia menelan belanja kira-kira RM30 juta setahun seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tempoh hari. Jumlah itu terlalulah tinggi. Bayangkan berapa banyak sekolah yang dapat didirikan dengan menggunakan jumlah wang RM 30 juta itu dan berapa juta kanak-kanakkah yang akan mendapat manfaat dari wang berjumlah RM 30 juta tersebut. Anda sendiri bayangkan.

Mungkin juga sesetengah orang menyokong tindakan untuk menaikkan gaji ahli parlimen dengan alasan untuk mengelakkan mereka dari terjerumus ke dalam kancah rasuah dan sebagainya.

Sebagai individu yang bergelar ahli parlimen, mereka perlu melakukan kerja dengan seikhlas mungkin tanpa terlalu memikirkan soal keuntungan. Ini yang perlu disedari oleh setiap ahli parlimen sebelum mereka masuk bertanding dalam pilihanraya.

Tugas sebagai wakil rakyat adalah membawa permasalahan isu setempat ke parlimen agar setiap polisi yang dirangka adalah berkualiti. Jika mahukan juga keuntungan, ceburkan diri dalam perniagaan, bukannya medan politik. Politik adalah untuk mereka yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam membantu rakyat.

Selain itu juga, jika gaji ahli parlimen tetap juga dinaikkan, ianya belum tentu dapat mengekang gejala rasuah. Sudah resam manusia tamak yang tidak pernah cukup. Sudah diberi satu lombong emas, tetap mahukan satu lagi lombong emas. Ahli-ahli parlimen seperti ini diharapkan tidak kekal lama dan rakyat perlu menunjuk jalan keluar kepada mereka melalui proses pengundian yang akan datang.

Akhir sekali, ahli parlimen seramai 222 orang dinegara ini perlu sedar akan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada mereka. Jangan terlalu memandang harta duniawi sehingga memberikan kesan buruk terhadap tugas mereka sebagai ahli parlimen. Bekerja untuk rakyat, dan berkhidmatlah untuk rakyat. Ingatlah bahawa tempoh anda sebagai wakil rakyat mungkin ditamatkan menjelang pilihanraya yang akan datang.

1 Ulasan:

Anonymous said...

setuju!
baiklah depa bagi dekat pekerja swasta ke..
kesian kat pekerja swasta..
hahahaha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...