Jumlah Pelawat

Thursday, October 27, 2011

Bila kebebasan bersuara secara akademik disekat


Pakar perlembagaan negara iaitu Prof Dr Aziz Bari seperti yang diketahui umum telah digantung tugasnya oleh pihak pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana kenyataan yang dikeluarkan olehnya berhubung bidang kuasa sultan yang termaktub didalam perlembagaan persekutuan.

Selaku seorang yang “pakar” berkenaan dengan perlembagaan Malaysia, setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau semestinya dipaksikan kepada konsep-konsep dan teori ilmiah melalui kertas kerja dan juga kajian yang dijalankan oleh beliau setelah sekian lama berkecimpung dalam bidang akademik.

Prof Dr Aziz Bari ini bukanlah seorang yang asing didalam lanskap politik tanah air kerana sebelum ini pun beliau telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berkenaan isu-isu semasa seperti perhimpunan Bersih 2.0 dan juga kritikan kepimpinan PAS sewaktu muktamar parti itu berlangsung.

Sebenarnya Prof Dr Aziz Bari ini adalah seorang yang neutral dan hanya menyampaikan pandangan luhur dari pihak ketiga tanpa menyebelahi mana-mana pihak (kerajaan mahupun pembangkang). Tetapi entah mengapa, kebanyakkan golongan dari pihak kerajaan seperti memusuhi beliau. Seharusnya pandangan dan teguran dari seorang intelektual perlu dihormati kerana niat mereka adalah ingin membawa sesuatu itu ke arah kebaikan.

Tetapi Che Wan berasa agak sangsi mengapa pihak pengurusan UIAM awal-awal lagi boleh mengambil keputusan untuk mengantung Prof Dr. Aziz Bari selaku pensyarah di universiti itu walaupun beliau tidak dibuktikan bersalah. Ini yang menimbulkan kemarahan kebanyakkan mahasiswa-mahasiswa bukan sahaja dari kalangan pelajar UIAM malahan dari IPTA dan IPTS lainnya juga yang terkesan dari isu pengantungan seorang tokoh akademik ini. Pengurusan UIAM seperti mengikut “telunjuk” orang-orang dari kalangan politik yang mahu melihat Prof Dr Aziz Bari menderita dan terseksa.

Che Wan seperti golongan mahasiswa yang lainnya juga tidak memarahi jika ada pihak-pihak yang berlainan pendapat membidas atau mengkritik kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Dr. Aziz Bari. Sudah menjadi lumrah kehidupan kita ini yang sentiasa berbeza pendapat. Dalam kalangan adik-beradik sendiri pun kadang kala kita berselisih pandangan dan idealogi. Tetapi bila mana tindakan penggantungan ini dilakukan terhadap Prof Dr Aziz Bari, ianya telah melampaui batasan. Tindakan ini perlu sama-sama kita cemuhi. Ianya seperti menyekat golongan cendiakawan daripada mendidik masyarakat.

Secara keseluruhannya, tindakkan kurang bijak dan tidak profesional pihak pengurusan UIAM ini perlu diperbaiki. Institusi pengajian perlu bersifat “neutral” dan bebas dari mana-mana pengaruh kerana institusi ini merupakan gedung ilmu dan pensyarahnya merupakan golongan ilmuan yang perlu dihormati. Segala pandangan mereka perlu diteliti dan difahami sebelum sesuatu hukuman itu dijatuhkan.

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...