Jumlah Pelawat

Friday, September 30, 2011

Malaysia itu rumahku (suara kecil politikus muda)


Rumah itu dibina atas seluas lautan tangisan dan segunung perjuangan nenek moyangku.

Dulu, rumah itu dihuni oleh anjing barat yang membawa budaya kuning mengotori tiang seri, menconteng dinding-dinding, merosakkan jendela songket yang berkilau megah dalam rumah itu.

Anjing barat itu telah pulang selepas puas melapah daging segar dan meninggalkan onak duri berbisa yang membakar rumah itu sedikit demi sedikit.

Walau apa pun, kini rumah itu menjadi milikku sekeluarga. Pelbagai budaya, perbagai citarasa.

Rumah itu penuh personanya. Perbezaan kami adalah madu dan gula yang memberi manis untuk menyulam muhibah.

Kami saling berkasih. Kami tunduk satu sama lain tanda hormat sebagai insani.

Namun langit tidak selalunya cerah. Ada antara kami yang cuba menangguk di air keruh, menjadi duri dalam daging, bersifat gunting dalam lipatan, bagai api dalam sekam.

Cuba memecah belahkan antara ufuk timur dan barat, utara dan selatan untuk terus mengenggami kuasa bernama putrajaya.

Teori diperkenal anjing barat pecah dan perintah itu dijelmakan kembali. Untuk melestari kuasa dalam rumah empat belas anak tangga itu. Hitam mesti duduk sama hitam, putih mesti duduk sama putih.

Namun sebenarnya ada dua orang nakhoda dirumah itu. Nakhoda besar dan juga nakhoda sederhana besar. Si transformasi dan juga si reformasi namanya.

Aku mulanya sangsi dalam buntu. Tetapi aku memilih jalan yang ditunjukkan oleh si reformasi.

Aku percaya jalan itu. Sinarnya makin dirasa. Jika Salehuddin Al-Ayubi mampu menerobos dan menawan Kota Al-Quds di Jerusalam. Begitu juga perjuangan ini.

Perjuangan murni ini perlu dilahirkan menggunakan segenap tekad dari hujung nafas yang panjang untuk kembali membina rumah yang setengah roboh itu ke mercu kejayaan.

Aku mahu perkuatkan kembali tiang seri, aku mahu putihkan dinding-dinding, dan aku mahu kembali memasang jendela songket itu supaya ia kembali bergemalapan.

Aku hanya insan biasa yang kadangkala alpa di pesisir hiburan melampau dalam rumah nazak itu.

Tapi aku sedar jua dalam gejolak nafsu anak muda, aku perlu bangkit menepuk tubuh yang lain semoga mereka terjaga dari bayangan mimpi yang mengasyikkan.

Anak muda adalah sendi dan tulang belakang membentuk wajah rumah itu. Waktu emas, ada dalam kedua belah tangan mereka. Kanan adalah penawar dan kiri adalah tuba kepada rumah yang bernama Malaysia itu.

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...