Jumlah Pelawat

Friday, September 30, 2011

Golongan melayu kelas bawahan perlu bangkit


Tahukah anda sekalian bahawa terdapat dua kelompok utama dalam masyarakat melayu kita hari ini? Jika anda sedar, masyarakat melayu terbahagi kepada dua iaitu golongan melayu kelas atasan dan juga golongan melayu kelas bawahan.

Golongan melayu kelas atasan terdiri daripada golongan elit dan bangsawan yang boleh diketegorikan sebagai orang kaya. Manakala golongan melayu kelas bawahan pula terdiri daripada golongan melayu yang sentiasa hidup dalam kesempitan dan boleh diketegorikan sebagai orang miskin.

Selama ini keadilan dinafikan kepada golongan melayu kelas bawahan kerana mereka tidak diberikan peluang yang secukupnya untuk memajukan diri dan hidup mereka. Peluang tersebut dikaut dengan rakus oleh golongan melayu kelas atasan tadi.

Walaupun golongan melayu kelas bawahan berusaha berganda-ganda melebihi golongan melayu kelas atasan, namun pulangan yang baik (dalam bentuk wang) hanya didapati oleh golongan melayu kelas atasan.

Ini sudah seperti menjadi suatu lumrah alam. Yang kaya semakin kaya, dan yang miskin menjadi semakin miskin. Inilah yang membuatkan jurang kualiti hidup antara melayu kelas atasan dan bawahan ini semakin melebar.

Jika ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa kesemua melayu itu miskin berbanding kaum-kaum yang lain dinegara ini, ternyata pendapat itu tidaklah tepat. Sememangnya ada melayu yang kaya. Malah kekayaan mereka melebihi kaum-kaum yang lain. Akan tetapi, terdapat lagi sebahagian besar masyarakat melayu yang jauh ketinggalan dibelakang.

Yang pasti, harta dan kekayaan itu boleh diwarisi dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Begitu juga dengan kemiskinan. Kemiskinan dan kesusahan juga boleh diwarisi dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Hatta, pusingan ini semacam sudah menjadi rantaian yang mengakibatkan pembanggunan sosio-ekonomi dinegara ini tidak seimbang dan seterusnya menyebabkan ketidakadilan berlaku.

Bayangkan begini:

Dua orang bayi lelaki dilahirkan pada tarikh yang sama iaitu bernama Ali dan Abu. Ali dilahirkan disebuah hospital swasta terkenal yang terletak di Kuala Lumpur manakala Abu dilahirkan dirumahnya (cara bidan kampung) yang terletak di Changlun Kedah. Bapa Ali adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya manakala bapa Abu hanya bekerja mengambil upah menoreh getah.

Masa pantas berlalu, kini usia kedua-duanya telah menjangkau 13 tahun.

Disebabkan kesempitan hidup, bapa Abu hanya mampu menghantar anaknya itu ke kesekolah menengah harian manakala bapa Ali menghantar anaknya ke sekolah yang mempunyai tradisi kecemerlangan yang tinggi iaitu sekolah menengah St John yang terletak di Kuala Lumpur. Walaupun yuran tahunan sekolah tersebut lebih tinggi berbanding dengan sekolah menengah yang lain, namun ayah Ali tetap juga mahu anaknya bersekolah disitu kerana infrastrukturnya lengkap. Guru tuisyen sains juga diupah khas untuk membimbing Ali dirumah disebabkan Ali lemah dalam matapelajaran itu.

Abu pula amat rajin mengulangkaji pelajaran namun kadangkala dia memerlukan buku rujukan tambahan dan bimbingan dari guru tuisyen kerana terdapat beberapa topik yang tidak difahami olehnya dalam matapelajaran matematik. Keperluan pendidikan Abu tidak dapat dipenuhi kerana ayahnya tidak mempunyai wang yang cukup untuk menanggung segala kos terbabit. Abu pasrah kerana faham akan keadaan ayahnya itu.

Masa berlalu pergi, kini umur Ali dan Abu menjangkau 18 tahun.

Disebabkan Ali mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajiannya di United Kingdom dalam bidang perundangan. Ali mengambil peluang itu kerana keluarganya mampu untuk menanggung segala kos pengajiannya.

Abu yang mendapat keputusan sederhana baik didalam SPM ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian di universiti awam dalam negara sahaja. Namun disebabkan kos pengajian yang tinggi. Dia terpaksa menolak tawaran itu. Dia mahu membantu keluarganya mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung.

Selepas 10 tahun. Ali dan Abu (usia 28).

Ali berjaya membuka firma guamannya sendiri di ibukota. Bapa Ali juga berhasrat untuk memberinya mengurus perniagaan milik keluarga. Gajinya menjangkau RM 8000 sebulan.

Jauh diutara tanah air pula, Abu baru selesai menebas semak samun. Diatas sebuah tanah yang luas, dia menjadi pekerja suruhan untuk menanam benih pokok getah dengan bayaran hanya RM 900 sebulan.

_________________________________________________________________________

Apa pengajarannya?

Pengajaran dan mesej dari cerita ini adalah berlaku ketidakadilan dimana orang melayu kelas atasan dapat meneruskan penguasaan dan kekayaan kerana mereka dapat menjamin taraf kesihatan, pendidikan, peluang perniagaan yang lebih baik berbanding golongan melayu kelas bawahan yang tidak diberi peluang yang sama rata.

Berpandukan kisah tadi, bayangkan jika si Abu diberi kualiti pendidikan yang sama seperti Ali, besar kemungkinan Abu akan berjaya sama seperti Ali atau mungkin lebih.

Sememangnya ada juga kisah dimana seorang yang berjaya dilahirkan daripada keluarga yang susah dalam kalangan melayu kelas bawahan, seperti jutawan Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Datuk Idris Jala (bekas CEO sebuah syarikat penerbangan terkenal di Malaysia dan kini menteri tanpa portfolio dalam kerajaan).

Namun jumlah yang betul-betul berjaya amatlah kurang. Disebabkan mereka tidak diberi peluang yang cukup, akhirnya mereka mewarisi kesusahan yang dipikul ibubapa mereka dahulu.

Diatas kesedaran itu, golongan melayu kelas bawahan perlu bangkit dari kitaran kesusahan ini. Mereka perlu melipat gandakan usaha mereka supaya mereka dapat mendaki strata yang sememangnya wujud dalam masyarakat melayu.

Che Wan juga mengkritik sekeras-kerasnya dasar kerajaan yang lemah dan segala korupsi yang berlaku dalam pentadbirannya sehingga mengakibatkan golongan melayu kelas bawahan sering terpinggir dari arus pembanggunan.

Masalah ini juga berpunca daripada pengamalan kronisme yang berleluasa. Segala kontrak hanya diberikan kepada individu-individu tertentu dan ini akan menguntungkan mereka-mereka yang berada dalam golongan melayu kelas atasan. Aktiviti ekonomi hanya tertumpu pada golongan-golongan melayu tersebut sehinggakan golongan melayu kelas bawahan menghadapi kesukaran untuk merebut tender-tender dan kontrak milik kerajaan.

Pemimpin-pemimpin yang berasal dari keluarga bangsawan dan elit tidak sesuai untuk mentadbir negara dan jauh sekali untuk merangka dasar-dasar yang berguna untuk keseluruhan rakyat yang kebanyakkannya tergolong dalam golongan melayu kelas bawahan ini. Mereka ini tidak faham kesusahan dan keperitan yang ditanggung oleh golongan melayu kelas bawahan. Sebagai contoh, kenaikan harga minyak petrol sebanyak 10 sen seliter tidak memberikan apa-apa impak kepada mereka.

Tetapi kenaikan harga minyak petrol sebanyak itu akan menjejas dan membebankan kelangsungan hidup golongan melayu kelas bawahan yang menetap di kampung-kampung.

Oleh yang demikian, setiap wakil rakyat perlu dipilih dari kalangan rakyat sendiri demi untuk menjamin bahawa setiap dasar yang dilaksanakan menguntungkan golongan melayu kelas bawahan ini. Fokus kepada golongan ini perlu diperhebatkan lagi. Setakat ini tiada satu pun mekanisme yang berjaya untuk menangani masalah ini. Model Ekonomi Baru (MEB) cetusan idea Perdana Menteri juga tidak menunjukkan “transformasi” seperti yang dilaung-laungkan.

Bangkit golongan melayu kelas bawahan! Kita sama-sama jatuhkan golongan melayu kelas atasan yang sombong dan bongkak. Pecahkan dominasi itu..!

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...