Jumlah Pelawat

Monday, September 12, 2011

Bukit Kepong : Kontroversi dalam lipatan sejarah

Salam aidilfitri buat semua. Dikala arena politik tanah air seperti berehat seketika dikala ramadhan, tiba-tiba sejarah berkenaan dengan peristiwa Bukit Kepong menjadi suatu topik perbualan hangat menjelang syawal yang secara kebetulan tarikhnya jatuh berdekatan dengan tarikh dimana negara ini mencapai kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos.

Media arus perdana sekali lagi cuba untuk memanipulasi kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PAS iaitu Mat Sabu dalam ucapannya di Tasik Gelugor, Pulau Pinang. Akhbar Utusan seperti kita ketahui yang sangat anti pada pihak pembangkang telah menjadikan tajuk muka depan terbitannya pada 27 Ogos 2011 melabel Mat Sabu sebagai “menghina pejuang negara”.

Pada entri terdahulu, Che Wan pernah mengulas tentang isu ini dimana seharusnya sejarah tentang pejuang-pejuang berhaluan kiri perlu dikaji semula kerana tindakan yang dilakukan oleh mereka dahulu secara tidak langsung bersifat ingin membebaskan tanah melayu (ketika itu) dari cengkaman penjajahan British.

Bezanya adalah mereka ini mengambil jalan dengan mengangkat senjata untuk mengusir kuasa asing. Langkah yang sama diambil oleh pejuang-pejuang kemerdekaan di Indonesia untuk mengusir kuasa imperialis Belanda dan terbukti langkah ini berjaya disana.

Che Wan teringat kembali bahawa novel sastera Bukit Kepong hasil tulisan Ismail Johari menjadi novel wajib bagi pelajar-pelajar tingkatan empat untuk membacanya. Che Wan juga tidak terkecuali membaca novel tersebut ketika dibangku persekolahan dahulu.

Ketika itu sifat kagum terhadap keperwiraan watak utama (diambil dari peristiwa sebenar) iaitu bernama Konstabel Othman diatas kesungguhannya mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong dari serangan kira-kira 200 askar komunis sehingga ketitisan darah yang terakhir benar-benar telah menyentap seluruh sanubari diri Che Wan.

Dari satu segi sememangnya anggota polis yang terkorban bolehlah dilabel sebagai pejuang negara.

Selain itu juga, sewaktu di bangku persekolahan, kita sering didedahkan dengan hujahan-hujahan yang terkandung dalam buku teks sejarah mengatakan bahawa usaha kemerdekaan negara seratus peratus dilakukan oleh gerakan-gerakan parti politik seperti UMNO, MIC dan MCA yang mendesak pihak British untuk memerdekakan tanah melayu melalui jalan diplomatik.

Ya benar. Sememangnya delegasi Allmarhum Tunku Abdul Rahman ke London merupakan titik tolak kepada kemerdekaan negara. Itu jelas dan Che Wan tidak sesekali menafikan perkara itu.

Namun demikian, golongan pejuang berhaluan kiri seperti Dr Burhanuddin Al Helmy, Ahmad Boestamam, Samsiah Fakeh, Rasyid Maidin dan lain-lain perlu juga diberi penghormatan. Kajian tentang mereka ini perlu dilakukan dengan lebih mendalam oleh sejarawan negara agar rakyat hari ini dan generasi akan datang dapat mengetahui hakikat sebenar.

Berbalik kepada peristiwa Bukit Kepong tadi, status pejuang negara yang diberikan kepada anggota-anggota polis yang terkorban boleh disangkal berlandaskan fakta bahawa peristiwa tersebut berlaku sebelum negara ini mencapai kemerdekaan.

Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1950 iaitu kira-kira 7 tahun sebelum negara ini mencapai kemerdekaannya.

Pada ketika itu setiap anggota polis tunduk dan patuh kepada arahan kuasa imperialis British selaku pentadbir dan penguasa tanah melayu.

Kita perlu ingat bahawa pihak British juga merupakan penjajah dan sesiapa yang bekerja untuk mereka pada waktu itu boleh juga dilabel sebagai talibarut British.

Bekerja untuk mereka (Btitish) bermaksud anggota polis yang bertugas di Bukit Kepong ketika itu secara tidak langsung membantu dakyah dan penjajahan yang dilakukan oleh pihak British ditanah melayu.

Sama ada 14 orang anggota polis yang terkorban di Bukit Kepong benar-benar mempertahankan tanah air atau mempertahankan kuasa penjajah British masih menjadi suatu tanda tanya sehingga hari ini.

Lantas perkara ini bolehlah dikatakan sebagai suatu “kontroversi dalam lipatan sejarah”.

Ini kerana perjuangan anggota polis yang mempertahankan Bukit Kepong dari serangan komunis sedikit sebanyak telah menimbulkan kemushkilan.

Jika kita membandingkan kisah perjuangan anggota polis Bukit Kepong ini dengan perjuangan pahlawan-pahlawan terdahulu seperti Dato Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Dato Maharajalela, Dol Said dan Rentap di Sarawak, sememangnya ada terhasil suatu perbezaan yang besar.

Masakan tidak, pahlawan-pahlawan atau perjuang yang dinyatakan tadi berjuang habis-habisan menentang kuasa penjajah kerana sayangkan tanah tempat tumpahnya darah mereka tanpa perlu tunduk dengan suatu kuasa penjajah yang lain dan mereka layak digelar pahlawan sejati tanah melayu.

Akan tetapi, anggota polis mempertahankan balai polis Bukit Kepong dari serangan komunis kerana mengikut telunjuk dan arahan pihak British pada waktu itu.

Mengapa tidak anggota polis tersebut menentang komunis dan seterusnya menentang juga pihak British agar tanah melayu ini benar-benar bebas dari cengkaman ideologi pihak luar? Jika perkara tersebut berlaku pada waktu itu, jelaslah mereka adalah pejuang negara dan layak mendapat penghormatan tanpa belah bagi dari rakyat negara ini.

Walau apa pun, sebagai umat islam kita perlu sentiasa berdoa agar roh saudara-saudara kita yang terkorban pada waktu itu (anggota-anggota polis Bukit Kepong) di cucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan hambaNya yang beriman.

Bagi generasi muda, belajarlah dari sejarah dan berjuanglah dengan betul tanpa perlu tunduk dengan satu pun anasir-anasir dari luar. Buat golongan sejarawan dan pengkaji sejarah pula, lakukan kajian tentang perjuangan golongan haluan kiri ini agar fakta dan penemuan-penemuan terbaru dapat dihasilkan.

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...