Jumlah Pelawat

Saturday, June 4, 2011

Satu lagi perancangan yang gagal..


Che Wan bersama seorang kenalan baik menghadiri sesi temuduga di Hotel Legend Kuala Lumpur. Selepas selesai sesi temuduga tersebut, kami pun mengambil keputusan untuk berehat seketika di McDonald The Mall (bersebelahan hotel tersebut). Selesai mengisi perut dengan sebuah beef burger dan air coke yang dibelanja oleh kenalan Che Wan itu, Che Wan pun lantas bergegas ke stesen komuter Putra untuk balik ke rumah.

Jam menunjukkan pukul 6.30 petang. Che Wan berada di stesen komuter Putra. Sangat ramai orang ketika itu. Bermacam watak dan bermacam jenis ragam yang Che Wan sempat perhatikan. Budak sekolah, pekerja kilang, lelaki banggali, gadis manis bertudung dan macam-macam lagi. Semuanya seperti Che Wan, menunggu train yang berkepala kuning dan berbadan biru itu. Train pertama menuju ke Rawang sampai. Che Wan bergegas ke muka pintu train tersebut. Namun, Che Wan berasa kehampaan kerana disebabkan penumpang di dalam train tersebut terlalu padat, Che Wan mematikan niat untuk menaiki train tersebut.

Che Wan terus menunggu dengan penuh kesabaran. Kira-kira hampir sejam menunggu, train kedua yang menuju ke Rawang tiba. Kali ini sekali lagi Che Wan beratur dengan penuh pengharapan. Setelah train tersebut berhenti dan membuka pintu automatiknya, hanya beberapa orang sahaja yang turun. Selebihnya masih berada di dalam train tersebut. Senario dan keadaannya hampir sama dengan train pertama tadi. Penuh dan padat (macam tin sardin!). Bagi yang bernasib baik, dapat juga menaiki train tersebut walaupun mereka terpaksa mengempis perut dan mengecilkan diri mereka untuk memadatkan tempat yang sudah tersedia padat itu.

Train kedua tadi perlahan-lahan menutup pintunya lalu mengelongsor laju meninggalkan Che Wan. Che Wan berasa sangat kecewa. Tiba-tiba Che Wan teringat kata-kata seorang rakan Che Wan yang pulang bercuti daripada melanjutkan pengajiannya di Seoul, Korea dulu. “Kau tahu tak wan, kat Korea kalau train lewat 2 minit pun orang sana dah marah-marah dan maki hamun kau tau tak”. Lantas Che Wan berfikir sejenak. Bukankah dua tahun lalu kerajaan ada memperkenalkan Enam Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) dimana salah satu bidangnya adalah ingin meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini?

Jika betul program yang diperkenalkan itu mengikut seperti apa yang dirancangkan, mengapakah keadaan kepadatan penumpang-penumpang yang menggunakan pengangkutan awam seperti ini masih berlaku? Che Wan melihat bahawa tiada bezanya keadaan dua tahun lalu dan hari ini dari segi kualiti pengangkutan awam. Keadaanya masih lagi sama. Tiada ketepatan masa dan perkhidmatan pengangkutan tidak dapat menampung keperluan pengguna pada satu-satu masa. Segala idea “transformasi” yang diuar-uarkan oleh kerajaaan hanya bersifat perubahan kosmetik dan luaran sahaja. Sesetengah orang “melabel” keadaan ini sebagai retorik politik yang mana rakyat ditipu oleh janji-janji manis yang dibuat oleh pihak kerajaan.

Apa yang menghairankan adalah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk memantau proses implementasi seperti PEMANDU masih lagi tidak dapat menjamin keberjayaan sesebuah program atau polisi yang dirancanakan. Inilah masalah utama yang dihadapi oleh Malaysia semenjak dari dulu lagi. Segala perancangan yang direncana sememangnya kelihatan hebat pada mulanya. Namun pabila tiba pada proses perlaksanaan, perancangan yang hebat tadi tidak dapat dizahirkan dengan jayanya. Che Wan melihat kegagalan setiap polisi dan program itu adalah kerana berlaku ketirisan, korupsi dan salah guna kuasa. Ini kerana jika setiap agensi kerajaan atau sesebuah organisasi itu melakukan tugas mereka dengan betul dan amanah, segala bentuk perancangan pasti akan dapat dilaksanakan.

Dalam permasalahan pengangkutan awam tadi, sebab utama berlaku kesesakan dan kepadatan penumpang adalah kerana jumlah pengangkutan awam yang terhad. Kerajaan perlu menyedari bahawa seiring dengan meningkatnya populasi penduduk, jumlah pengangkutan awam di negara ini perlulah juga ditingkatkan. Barulah akan wujud situasi keseimbangan dimana penawaran dan permintaan akan bertemu (konsep ekonomi). Jika kerajaan boleh membelanjakan sebahagian duit pembayar cukai untuk membeli jet pejuang dan kapal selam bagi tujuan yang kurang penting, mengapa tidak kerajaan meningkatkan perbelanjaan bagi kepentingan awam seperti membeli gerabak-gerabak baru untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan bas-bas baru untuk Rapid KL?

Disitu telah menampakkan kelemahan kerajaan dalam menjayakan setiap polisi dan program yang telah dirancang. Diharapkan kerajaan sedar akan kelemahan ini. Jika tidak, berilah laluan kepada pemimpin-pemimpin generasi baru untuk merencanakan polisi dan program yang lebih progresif dan dinamik.


P/S Kira-kira tiga jam Che Wan perlukan untuk sampai ke rumah di Kuala Kubu Bharu dengan pengangkutan awam..Sabar je lah..

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...