Jumlah Pelawat

Wednesday, June 29, 2011

Flotilla II: Suatu tekanan terhadap rejim Israel



Sehingga artikel ini ditulis, sukarelawan negara yang mengambil bahagian dalam konvoi kemanusiaan ke Gaza melalui jalan laut kini telah berada di pelabuhan Greece. Seperti yang dilaporkan oleh media-media antarabangsa, konvoi kedua flotilla ini telah disertai oleh sukarelawan dari negara-negara berbeza merentasi kepelbagaian bangsa, agama, latarbelakang dan warna kulit.

Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa dunia kini semakin membuka mata terhadap kesengsaraan dan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin khususnya yang berada di semenanjung Gaza. Kini, konflik yang berlaku di wilayah suci bagi tiga agama itu bukan hanya penentangan Palestin terhadap kekejaman Israel atau perselisihan antara Islam dan kekejaman rejim Zionis Yahudi tetapi penentangan masyarakat dunia secara keseluruhannya terhadap kekejaman rejim Israel.

Apa yang menarik, sebahagian kapal-kapal bantuan yang sedang berlayar menuju ke Gaza kebanyakkannya datang dari negara sekutu kuat Israel seperti Amerika Syarikat dan juga Perancis. Pengaruh Israel kini kelihatan semakin berkurangan akibat daripada peristiwa Komando Tentera Laut negara itu membunuh tujuh orang sukarelawan di atas kapal Rachel Corrie melalui flotilla pertama tahun lalu.

Turki adalah negara pertama dengan lantang membidas tindakan yang dilakukan oleh rejim Israel itu kerana kebanyakan sukarelawan yang tekorban adalah terdiri daripada rakyat negara itu. Hubungan diplomatik yang wujud antara Turki-Israel telah tercalar akibat daripada peristiwa ini. Kekejaman yang dilakukan Israel akhirnya telah memakan diri.

Namun, misi konvoi ke Gaza ini bukanlah suatu tugas yang mudah kerana rejim Israel sentiasa menggunakan pengaruhnya untuk memberi tekanan terhadap misi kemanusiaan ini. Di pelabuhan Piraeus yang terletak di Greece, kapal bernama Juliano yang datang dari negara Sweden telah disabotaj. Menurut sukarelawan yang berada di dalam kapal itu, kipas yang mengerakkan kapal tersebut telah dirosakkan sehingga kapal itu terpaksa berada di pelabuhan Piraeus beberapa hari untuk proses baik pulih.

Diharapkan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui jalan laut tidak terhenti begitu sahaja. Usaha sebegini perlu diteruskan dan seharusnya menjadi suatu program wajib setiap tahun. Lebih banyak flotilla di hantar ke Gaza, lebih banyak tekanan yang dapat diberikan kepada pihak Zionis Israel. Semoga penduduk Gaza masih lagi bertahan sehingga bantuan tiba.

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...