Jumlah Pelawat

Tuesday, June 18, 2013

Satu hari nanti: Nurul Izzah bakal menjadi Perdana Menteri Wanita Pertama Malaysia?

Tangan yang menghayun buaian mampu untuk mengoncang dunia. Mungkin itulah perumpamaan yang sesuai untuk ditujukan kepada YB Nurul Izzah Anwar. Mengapa tidak, percubaan pertamanya bertanding dalam pilihanraya pada tahun 2008 beliau telah berjaya menumpaskan Datuk Sharizat Abdul Jalil bagi kawasan Lembah Pantai. Kemudiaan, pada PRU ke 13 lalu pula beliau mengalahkan Datuk Raja Nong Chik; seorang berjawatan menteri dalam kabinet YAB Datuk Seri Najib Razak.

Kelibat beliau amat digeruni musuh politiknya sehingga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman pernah mengeluarkan perintah larangan bagi Nurul Izzah untuk masuk ke negeri tersebut. Sedangkan beliau menyebut bahawa niat beliau adalah murni, iaitu untuk menyambut Pesta Kaamatan dan Pesta Menuai bersama-sama rakyat Sabah pada masa itu. Tindakan ini tidak lain tidak bukan adalah semata-mata untuk menghalang usaha Nurul Izzah untuk membina jaringan pengaruh antara beliau dan penduduk di negeri bawah bayu itu.

Sebagai seorang wanita dan masih lagi dalam ketegori "muda", tentunya perjalanan karier politik Nurul Izzah amat cerah. Mungkin ada kalangan penganalisis politik yang sudah mula mencongak pencapaian tertinggi Nurul Izzah mampu kecapi bersandarkan potensi diri yang ada pada beliau. Che Wan katakan bahawa Nurul Izzah mampu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti. Berikut adalah sebab-sebab mengapa tokoh wanita ini mempunyai peluang baik untuk memegang jawatan nombor satu tersebut :-

Pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebab pertamanya adalah kerana Nurul Izzah mempunyai pengaruh keluarga yang kuat dalam politik. Pasti semua sedia maklum bahawa Nurul Izzah merupakan puteri sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seorang pemimpin yang sejak zaman mudanya berjuang bagi mempertahankan hak-hak rakyat bawahan (rujuk Demonstrasi Baling 1974). Seperti kata pepatah melayu, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tentunya darah kepimpinan DSAI akan meresap jua ke dalam diri Nurul Izzah.

Banyak contoh dari sejarah yang boleh kita lihat untuk menguatkan hujah ini. Kalau di Myanmar, ikon demokrasinya iaitu Su Kyi adalah anak perempuan kepada General Aung San iaitu seorang pejuang kemerdekaan di negara tersebut. Bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo adalah anak kepada Diosdado Macapagal yang juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden di negara itu.

Di Indonesia juga begitu. Mantan Presiden iaitu Megawati Sukarnoputri adalah anak kepada pejuang sosialis Sukarno yang berjaya menghalau penjajah Belanda dari Indonesia. Datuk Seri Najib (Perdana Menteri Malaysia ketika ini) juga adalah anak kepada Tun Razak (Perdana Menteri terdahulu).

Jadi, dalam perkara ini pengaruh "bapa" mampu diperturunkan kepada anak mereka. Faktor ini secara tidak langsung dapat membantu Nurul Izzah bagi mendapatkan sokongan padu dari rakyat. Ini kerana Nurul Izzah membawa satu "jenama" yang kuat dimana orang ramai mengenali jenama "Anwar Ibrahim" tersebut. Sejarah sendiri telah membuktikan perkara ini.

Aspirasi Anak Muda
Faktor kedua yang mampu melonjakkan nama Nurul Izzah di pentas arena politik tanah air adalah kerana beliau membawa aspirasi baru anak muda. Disebabkan umur beliau yang masih lagi "sedikit" bagi seorang yang bergelar ahli politik, tentunya Nurul Izzah memahami apa yang di inginkan oleh anak-anak muda dinegara ini. Kita ambil kempen turunkan harga kereta sebagai contoh. Kempen ini diperkenalkan adalah untuk membantu golongan muda yang baru sahaja mula bekerja bagi memiliki kenderaan sendiri. Sememangnya kempen ini menjurus kepada apa yang golongan muda mahukan. Sayangnya manifesto PR untuk menurunkan harga kereta tidak dapat dilaksanakan ketika ini disebabkan UMNO / BN masih memegang tampuk kekuasaan.

Selain itu, sebagai pengguna media sosial Che Wan melihat Nurul Izzah sebagai antara tokoh politik yang begitu aktif melayani pertanyaan dan pandangan-pandangan selain berkongsi informasi melalui akaun facebook dan twitter-nya. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa YB Lembah Pantai ini faham  keinginan anak muda yang mahu suara mereka sentiasa diberi perhatian dan didengari. Mereka ini (anak muda) tidak gemar untuk mengisi borang, beratur panjang dan formaliti untuk memberi sesuatu cadangan ataupun aduan tertentu. Media sosial adalah jawapan terbaik bagi mengatasi masalah ini dan tentunya pemimpin muda seperti Nurul Izzah celik tentang dunia media sosial ini.

Bukti: Data statistik dari akaun facebook YB Nurul Izzah. Setiap pendapat dan cadangan dari pengguna laman sosial itu  diberi perhatian.
Ini adalah cara baru "engaging with public" yang dilakukan oleh beliau. Pastinya golongan belia di negara ini akan sentiasa berasa dekat dengan kepimpinan muda Nurul Izzah dan seterusnya dapat menukar sokongan tersebut dalam bentuk undi pada masa hadapan.

Pakatan Rakyat memperjuangkan keadilan sosial.
Faktor ketiga mengapa Che Wan berpandangan bahawa Nurul Izzah mampu menjadi Perdana Menteri Wanita pertama adalah kerana platform yang dipilihnya amat bersesuaian dengan kehendak masyarakat. Pada PRU13 yang lalu diakui bahawa BN masih mempartahankan Putrajaya. Namun harus diingat majoriti yang dimenangi mereka mengecil dari 140 kerusi (2008) kepada 133 kerusi (2013). Pertama kali dalam sejarah kerajaan yang dibentuk BN menjadi kerajaan tidak popular (hanya mendapat 47 peratus undian dari jumlah keseluruhan pengundi).

Ini menandakan BN telah berada diambang kejatuhan disebabkan perjuangan bersifat perkauman sempit mereka semakin ditolak oleh rakyat. Rakyat semakin menyedari fanatik kepada kaum-kaum tertentu tidak akan membawa apa-apa kebaikan untuk negara. Politik perpaduan dan keadilan sosial merupakan ciri-ciri masyarakat moden pada hari ini. Konsep politik perkauman yang digunakan oleh Parti Perikatan (sebelum ditukar kepada Barisan Nasional) hanya sesuai diamal untuk mendapatkan kemerdekaan dari kuasa imperialis British. Tetapi tidak lagi relevan pada hari ini. Masa telah berlalu dan pemikiran rakyat berubah seiring dengan perubahan masa.

Nurul Izzah dilihat sebagai pemimpin masa hadapan yang mampu untuk menyinar kerana perjuangan PR bersifat sejagat dan memperjuangkan hak rakyat bawahan yang sering ditindas. Bukan seperti parti yang kononnya memperjuangkan nasib melayu, tetapi sebenarnya hanya mengenyangkan kroni dan kembungkan poket sendiri. Mereka ini mempergunakan laungan melayu sedangkan cara hidup mereka sendiri pun kebaratan!

Tetapi kasihan, kerana masih ada melayu yang berjaya dibohongi mereka.

Nurul Izzah setanding ahli politik lelaki lain di dalam PR

Keberanian
Salah satu faktor yang membuatkan Nurul Izzah menjadi "favourite" sebagai calon PM pada masa hadapan adalah kerana keberanian diri yang dipaparkan beliau. Untuk menjadi seseorang pemimpin, sifat keberanian perlu menjadi azimat kerana merekalah nakhoda yang mengerakkan bahtera untuk sampai ke destinasi yang dituju. Walaupun seorang  wanita, ianya tidak menghalang Nurul Izzah untuk menceburkan dirinya di dalam politik yang lazimnya dipelopori kaum lelaki. Malahan dari segi keberanian tiada cacat celanya beliau dengan pimpinan muda lain yang berada di dalam PR.

Satu peristiwa yang membuktikan keberanian Nurul Izzah adalah ketika mengadakan ceramah di Lembah Pantai pada 24 Mei 2012. Walaupun ditekan oleh penyokong pihak lawan yang begitu fanatik dan cuba provokasi, namun Nurul Izzah dilihat tenang dan tetap berdiri diatas pentas bagi memberi pendedahan kepada masyarakat. Bukan mahu memuji membabi buta tetapi terbukti beliau adalah pemimpin muda yang berani bangkit walau ditekan. Tidak ramai pemimpin muda seperti beliau yang berani kedepan. Dan kerana sifat ini, beliau merupakan calon popular untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama Malaysia kelak.

Dibawah adalah video sewaktu ceramah tersebut yang menyerlahkan bakat kepimpinan dan keberanian beliau.



Nurul Izzah merupakan seorang politikus muda yang perlu diberi perhatian. Beliau mempunyai ciri-ciri dinamik yang diperlukan untuk menjadi pemimpin utama Malaysia pada masa hadapan. Wanita ini tidak boleh diperkecilkan kredibalitinya. Pengaruh bapa, platfom politik yang dipilih, aspirasi anak muda, dan nilai keberanian yang ada, mampu menempatkan diri beliau sebaris tokoh politik lelaki yang ada di negara ini.

Seperti Margaret Thatcher yang pernah dipilih untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama Britain pada tahun 1979 hingga 1990. Nurul Izzah juga dilihat mempunyai persamaan jelas dengan tokoh pemimpin tersebut. Yakni, waktu muda mereka banyak dihabiskan untuk memperjuang nasib rakyat jelata. Namun cabaran dan rintangan yang dihadapi tidak sesekali mematahkan semangat mereka. Siapa tahu, mungkin Nurul Izzah mampu menuruti jejak langkah Thatcher.






Bergelar seorang wanita, isteri & ibu yang memperjuangkan agenda reformasi di Malaysia. Dalam kelembutannya tersemat ketegasan.





0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...