Jumlah Pelawat

Monday, January 10, 2011

Setitis dakwat hitam yang dikaburkan…


Asalamualaikum dan salam sejahtera buat semua…Che Wan berharap semua pelayar-pelayar jalur lebar berada dalam keadaan sejahtera hendaknya. Kepada individu yang gemar melayari dunia maya untuk mencari informasi tanpa batasan tentunya mendapat kepuasan yang maksimum dengan kehadiran laman web yang bernama Wikileaks. Laman web yang diasaskan oleh Julian Assenge ini telah berjaya membocorkan pelbagai dokumen rasmi kerajaan yang boleh disifatkan sebagai sulit dan rahsia. Keadaan ini telah mewujudkan suatu senario yang memungkinkan orang-orang ramai untuk mengakses maklumat tanpa dibatasi oleh penapisan (filtering) oleh media-media mainstream yang tentunya dikongkong oleh pihak kerajaan.

Pada ruangan kali ini Che Wan ingin berkongsi suatu pandangan dan perspektif tentang kepentingan media massa untuk bersifat lebih neutral dalam melaporkan sesuatu berita. Seperti yang kita ketahui, media massa merupakan medium dimana berfungsi untuk menyampaikan berita kepada orang ramai agar sesuatu perkara yang berlaku itu dapat disampaikan kepada pengetahuan mereka. Sehubungan dengan itu, menjadi tanggungjawab pihak media untuk memberi gambaran jelas yang berpandukan fakta dan hakikat sebenar tentang sesuatu perkara yang telah berlaku. Pada pendapat Che Wan, media massa di sesebuah negara memegang suatu bebanan yang besar dimana mereka perlu bersifat berkecuali dan lebih berintegriti dalam menyampaikan sesuatu maklumat.

Selain perlunya kebebasan bersuara (freedom of speech), salah satu elemen yang penting dalam membentuk sebuah tamadun yang berdaya saing, gemilang dan perkasa, rakyat memerlukan kebebasan untuk mendapat maklumat (freedom of information) yang betul dan jauh dari manipulasi-manipulasi dari tangan-tangan kotor si pemberi maklumat yang dinamakan media massa tadi. Buat masa ini, apa yang Che Wan lihat adalah wadah arus perdana di negara ini terlalu berpihak kepada pihak kerajaan sehingga sesuatu kebenaran itu dilitupi oleh tirai propaganda dan kepalsuan. Keadaan ini akan merencatkan daya pemikiran rakyat serta akan membatasi daya intelektual seseorang individu itu. Seharusnya negara ini mengaplikasi Freedom of Information Act seperti digunakan pakai oleh negara maju seperti United Kingdom. Melalui akta ini pihak berkuasa tidak mempunyai kuasa untuk mengawal media massa dalam menyampaikan sesuatu berita.

Sewaktu isu-isu sensitif yang bersifat perkauman yang sering dimainkan oleh parti-parti politik yang berlandaskan kaum, mereka sering melontarkan fitnah kepada pihak-pihak pembangkang melalui media massa arus perdana dengan melabel seteru mereka itu sebagai penghakis ketuanan melayu dan sebagainya. Hakikatnya, Che Wan sendiri ada menghadiri program-program yang dianjurkan oleh Kerajaan negeri Selangor (dipimpin oleh Pakatan Rakyat) yang jelas mahu mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu seperti penganjuran Program yang bertajuk Wacana Raja Berpelembagaan, Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan. Pada program tersebut, pembentang kertas-kertas kerjanya adalah terdiri daripada penganalisis politik dan Sejarawan terbilang tanah air seperti Prof. Dr Ramlah Adam, Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim dan juga Prof Agus Yusof. Namun begitu, apa yang menyedihkan adalah sewaktu program murni sebegitu dianjurkan oleh kerajaan yang ditadbir pembangkang, sedikit pun tiada liputan yang dibuat oleh media-media arus perdana. Ternyata sifat bermuka-muka ini adalah bertujuan untuk menjatuhkan kredibaliti kerajaan Pakatan Rakyat yang sememangnya mahu memperkukuhkan lagi kedudukan Raja-Raja Melayu di dalam Perlembagaan Malaysia.

Pihak kerajaan perlu sedar bahawa untuk mewujudkan sebuah negara yang maju dan unggul, rakyatnya perlu diberi hak untuk mengetahui. Hak untuk mengetahui ini tadi semestinya dapat menjana pemikiran mereka dan seterusnya dapat meningkatkan daya intelektual mereka disebabkan maklumat yang diperoleh mereka itu tadi adalah tepat dan jitu. Tuntasnya, kerajaan juga perlu sedar bahawa rakyat khususnya golongan-golongan muda pada hari ini lebih bijak dan mempunyai daya analitikal yang tinggi untuk memilih informasi-informasi yang benar atau tidak. Di era globalisasi kini, kita seharusnya berasa syukur kerana lahirnya coretan-coretan berbentuk blog dan media alternatif yang akan menyeimbangkan ketidakadilan terhadap penyampaian maklumat itu tadi.

Akhir sekali, apa yang Che Wan ingin nasihatkan bahawa perubahan dalam aspek penyampaian sesuatu berita itu perlulah dilakukan sebelum mejoriti rakyat dinegara ini mempunyai suatu tanggapan sinis dan ketidakpercayaan terhadap media arus perdana sehingga berita yang benar pun mungkin dianggap suatu penipuan. Ingatlah, setitis dakwat hitam yang dicoret itu biarlah berlandaskan kebenaran. Sekabur mana pun dakwat pena hitam itu, kebenaran pasti akan menang akhirnya!

1 Ulasan:

fara said...

that's rite.....betul sgt2....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...