Jumlah Pelawat

Wednesday, November 14, 2012

Menghadapi perbezaan politik dengan berlapang dada



Sistem Raja Berpelembagaan merupakan tulang belakang dan tunjang kepada sistem pemerintahan di Malaysia yang mengamalkan ciri-ciri demokrasi sebagai garis panduan pentadbiran (rujuk konsep pemisahan kuasa). Apabila kita bercakap mengenai sebuah negara demokrasi tulen, ianya tidak boleh lari dari kerangka wujudnya dua belah pihak iaitu pihak kerajaan dan juga pembangkang. Cantiknya sistem demokrasi ini adalah kerana ianya membolehkan kedua-dua belah pihak sentiasa saling nasihat menasihati antara satu sama lain demi kebaikan masyarakat bersama.

Peranan pembangkang tidak boleh diperkecilkan kerana melalui suara merekalah segala rasa ketidakpuasan hati rakyat itu dapat dibawa seterusnya diketengahkan. Sebab itulah watak ataupun sumbangan pihak pembangkang diiktiraf seperti yang termaktub di dalam perlembagaan sehingga pihak pembangkang diberikan tempat rasmi didalam parlimen untuk menyuarakan segala pandangan dan kritikan mereka.

Hari ini kita perlu melihat perbezaan idealogi politik dari perspektif yang berbeza berbanding dengan generasi terdahulu. Jika dahulu mak-mak atau atuk nenek kita sangat emosional dan sanggup senteng tangan menentang orang-orang berbeza fahaman politik, janganlah sifat itu diulang semula hari ini. Kita seharusnya bersikap profesional dan matang serta mempunyai sifat toleransi yang tinggi terhadap individu yang mungkin tidak sehaluan dengan kita.

Dalam sebuah negara demokrasi madani, perbezaan pendapat itu perlu dianggap sebagai perkara biasa selagi ianya bertujuan untuk kebaikkan negara. Kita perlu beranggapan bahawa setiap parti politik di negara ini mempunyai agenda yang baik tetapi diantara yang baik itu kita perlu memilih mana satukah yang terbaik serta diyakini dapat memacu negara ini dengan lebih gemilang.

Pandora pemikiran kita perlu dibuka seluas-luasnya agar kita dapat menjauhi budaya-budaya samseng yang dilihat sedang menjangkiti segelintir masyarakat yang terlalu beremosi terhadap orang-orang yang berbeza sudut pandangan dari mereka sehingga memungkinkan tindakan-tindakan ganas berlaku.

Mutakhir ini, serangan demi serangan dalam bentuk samseng ini semakin berleluasa berlaku dan dilihat kebanyakkanya dituju kepada tokoh-tokoh dari kem pembangkang. Ini terjadi kerana parti-parti yang berlandaskan kaum dengan tanpa rasa bertanggugjawab memainkan sentimen-sentimen perkauman yang melampau. Keadaan ini amatlah mengusarkan kerana seperti yang diketahui sentimen perkauman akan menjadi bom jangka kepada perpaduan rakyat dinegara ini. Individu yang cetek akalnya akan mudah terpengaruh dengan permainan sentimen perkauman dan seterusnya akan menzahirkan perbuatan ganas mereka itu.

Sebenarnya, jika semua rakyat faham benar tentang kerangka sebuah negara demokrasi tulen, nescaya masalah politik samseng seperti ini mungkin akan dapat diatasi dengan jayanya. Sehubungan dengan itu, rakyat dinegara ini hendaklah memperhebat pembacaan terutamanya berkenaan isu semasa, sains politik dan sosial supaya fikiran mereka menjadi lebih rasional dan terdedah kepada fakta yang sebenar.

Untuk memudahkan pemahaman bagaimana kita mampu untuk berlapang dada bagi menghadapi perbezaan idealogi politik, Che Wan akan jelaskan melalui perumpamaan “milo ais - teh ais”.


Demokrasi matang ibarat “Teori Milo Ais - Teh Ais”

Demokrasi yang matang adalah ibarat teori “milo ais dan teh ais”. Che Wan katakan begitu kerana kedua-dua jenis minuman ini sememangnya sedap diminum tetapi dari segi rasa ianya berbeza. Inilah yang dipanggil sebagai citarasa. Individu A meminati milo ais lebih dari teh ais. Manakala individu B pula meminati teh ais lebih dari milo ais. Dalam konteks ini masing-masing mempunyai citarasa tersendiri. Kita tidak boleh saling salah menyalahkan kerana kedua-dua belah pihak adalah betul. Sememangnya kedua-dua jenis air minuman ini adalah enak dan menyegarkan.

Begitu jugalah dengan perihal terhadap pandangan politik ini. Ketika ini Che Wan percaya bahawa idea reformasi-Anwar mampu untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik berbanding idea transformasi-Najib. Sokongan ini adalah berlandaskan kepada beberapa faktor. Che Wan percaya bahawa reformasi merupakan satu perubahan yang pantas,  adil dan holistik yang diyakini dapat menjadikan Malaysia lebih berdaya saing bukan sahaja di rantau asia tenggara, tetapi di pentas dunia secara keseluruhannya.

Ironinya adalah kerana apabila perubahan berbentuk reformasi itu berlaku, portfolio didalam kerajaan persekutuan akan pasti turut berubah. Kementerian-kementerian akan digantikan dengan muka-muka baru yang dikategorikan sebagai golongan muda professional. Perubahan reformasi ini diyakini dapat memangkin Malaysia kearah yang lebih positif baik dari segi ekonomi mahupun sosialnya.

Namun demikian Che Wan tetap menghormati individu-individu yang pro kepada idea transformasi-Najib kerana itu adalah kepercayaan mereka dan sememangnya sukar untuk diubah pendapat mereka itu. Sama seperti pengemar teh ais yang sukar untuk tiba-tiba bertukar meminati milo ais dalam sekelip mata walaupun dipaksa kerana itu sudah menjadi citarasa yang dapat memuaskan hati sanubari mereka. Perbezaan ini perlu dihadapi dengan berlapang dada kerana pertembungan dalam sebuah negara demokrasi antara pihak majoriti dan minoriti sememangnya tidak dapat dielakkan.

Tetapi janganlah kita salah faham terhadap pertembungan pendapat ini. Walaupun kadangkala perselisihan faham itu berlaku dimana-mana tetapi kita sebagai rakyat Malaysia tetap juga bersatu dan ini dapat dibuktikan dengan kita menyambut hari kemerdekaan dan perayaan bersama-sama.

Ini sebenarnya adalah gaya pemikiran baru yang kita perlu terapkan agar tidak lagi berlaku pertembungan antara dua fahaman politik yang begitu emosional. Fahamilah bahawa didalam sebuah negara demokrasi, pertukaran antara kedua-dua belah parti untuk memegang tampuk pemerintahan adalah satu perkara biasa dan tidak perlu dihairankan.

Tidak salah untuk memberi peluang mana-mana parti untuk mentadbir negara kerana bagi Che Wan semua parti politik dinegara ini mahu membawa perubahan kearah lebih baik walaubagaimanapun masing-masing mempunyai acuan mereka yang tersendiri. Tugas kita sebagai pengundi adalah memilih acuan itu. Tepuk dada, tanya diri anda baik-baik. Acuan Reformasi atau Transformasi yang anda mahukan? Reformasi atau Transformasi, yang pentingnya adalah segala budaya samseng, fitnah dan serangan berbentuk peribadi dalam politik perlu dihentikan segera.

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...